Wednesday, September 22, 2021
Anugerah
Tajuk : Anugerah
"Selamat pagi Arisha, saya Doktor Najwa. Hari ni ada rasa kurang sihat atau gatal di bahagian mata?"
Suara itu masih terngiang ngiang di telinga aku, di usia aku 15tahun aku di sahkan menghidapi penyakit mata yang di namakan Glaukoma. Ianya meragut penglihatan aku perlahan lahan sehingga terpaksa menjalani beberapa kali pembedahan.
Tiga tahun sudah berlalu, kini aku dapat melihat kembali. Ada insan yang menderma kan matanya untuk aku. Seorang hamba allah yang tidak mahu dirinya dikenali.
Namun begitu kehidupan aku mula berubah setelah dapat melihat kembali. Aku dapat melihat semuanya tanpa ada hijab lagi. Keistimewaan aku ialah dapat melihat entiti ghaib. Bimbang dikategorikan kurang siuman, aku merahsiakan perkara ini dari semua orang termasuk keluarga aku sendiri.
Seperti biasa mungkin ada yang mengatakan seronok mungkin juga kurang selesa. Manakan tidak, di dalam bas kau akan nampak berbagai rupa di kerusi kerusi yang kosong. Namun begitu setakat ini masih belum ada yang cuba mengganggu aku sehinggalah hari ini ia cuba untuk berkomunikasi dengan diriku.
Sesosok tubuh lelaki yang ngeri cuba merapati aku dari arah hadapan. Giginya menyeringai seperti hendak menerkam aku. Patutkah aku menjerit meminta pertolongan? Aku semakin gelisah entiti tersebut mungkin roh jahat yang cuba bergurau atau cuba menyakiti aku.
Aku bingkas bangun dan duduk di sebelah seorang wanita cina. Perwatakan nya biasa dan mungkin berusia lingkungan 50an. Beliau terkejut dan menjeling aku. "Apa pasat ni, muka lu nampak pucat la amoi. Lu sakit ka?" wanita cina itu menyapa aku. "Sorry aunty, saya tak selesa duduk di kerusi sebelah tu sorang sorang. Aunty tak kisah kan saya duduk di sebelah aunty." Aku cuba memberi jawapan spontan.
"Aiya takde masalah lah. Ini public punya, siapa pun boleh duduk di mana mana. Saya nama Chin Yong. You sekarang tinggal dimana?" aunty tersebut seorang yang peramah. Nasib baik. Kalau terkena yang pemarah teruk aku.
"Saya Arisha, saya tinggal di Keramat. Dah lama tak naik LRT. Itu yang saya kurang selesa. Risau muntah je aunty." lagi sekali aku terpaksa berbohong, sebenarnya aku masih mencari cari rumah sewa. Buat masa sekarang aku hanya menumpang di rumah kawan sekerja aku di Setiawangsa.
" Aiya, stesen Keramat baru saje lepas. You kena turun depan sana angkat LRT semula ke Keramat." aunty Chin meninggikan suaranya sedikit seperti beliau pula yang terlepas stesen untuk pulang ke rumah.
"Tak apa aunty hari ni saya tumpang tidur di rumah kawan di Setiawangsa." tiba tiba mulut aku mengeluarkan ayat 'Cover line' aku lihat aunty Chin mengerutkan dahi.
"Tak mengapa lah begitu saya pun turun di stesen Setiawangsa. Kita boleh jalan sama sama." aunty Chin mempelawa aku untuk jalan bersama untuk pulang ke kediaman masing masing.
Sesampainya di perhentian Setiawangsa kami bergerak turun tangga namun yang anehnya orang ramai di sekitar melihat aku seperti kehairanan. Aku melihat lihat pakaian sambil meraba baju dan seluar, tak ada pulak koyak atau benda pelik. Kami teruskan perjalanan, suasana terasa agak sepi kerana di lorong ini sudah tidak kelihatan sesiapa melainkan kami berdua.
"You punya kawan tinggal di kawasan mana?" tiba tiba aunty Chin bersuara.
"Lagi 3 blok di depan sana aunty. Kenapa?" sambil tangan ku menunjukkan arah.
"Ooo, dekat lah dengan rumah aunty. Boleh la you singgah rumah aunty kita minum teh dulu. Jangan risau, aunty tak makan daging sebab aunty vegetarian." aunty Chin mempelawa aku ke rumahnya. Aku rasa serba salah, tapi perut pun lapar ni. Boleh la air teh pun. Janji dapat jugak berkenalan dengan aunty ni.
Kami berdua telah sampai di hadapan rumah aunty Chin. Sebuah rumah berkembar dan di sebelah nya tidak berpenghuni dan gelap. Rumah aunty Chin juga hanya disinari lampu jalan. Pagarnya sudah usang, lalang setinggi paras lutut bergoyang goyang seperti menari menanti ketibaan kami.
Aunty Chin membuka pagar rumah perlahan lahan. Disini aku terasa aneh, sepanjang aku menumpang di rumah kawan aku tak ada rumah ni. Tambahan pulak tak silap aku ni laluan perkuburan bukan Islam.
Langkah kaki aku berat untuk ikut aunty Chin masuk bersama ke dalam rumah tersebut.
"Kenapa you tak masuk, mari lah. Kita borak borak di dalam." aunty Chin mempelawa aku masuk sekali lagi. Masa seakan terhenti, perasaan nak terkencing, terberak dan terkentut semua ada. Aku ternampak lembaga seorang lelaki di celah celah rimbunan lalang tersebut.
Aku perhatikan dengan membuka mata seluas luasnya. Memang sah lembaga lelaki yang berada dalam LRT tadi. Aku kelip kan mata beberap kali, dan semakin jelas rumah di hadapan ku beransur bertukar menjadi gelap dan batu batu nisan berbaris baris, ada yang berwarna merah ada juga yang hampir roboh.
Aunty Chin di hadapan aku kini wajah nya beransur ansur pudar dan berubah. Apa lagi, aku tak peduli apa nak jadi jadi lah. Segala apa di tangan aku terpelanting pecutan seribu langkah dimulakan dengan jeritan "HANTU CINA"
Ini lah yang berlaku setelah aku dapat melihat kembali, peristiwa yang aku ceritakan adalah kisah yang pertama dari aku. Di pelawa hantu cina, di kejar bayang bayang hitam. Adakah ianya suatu anugerah? Hahaha, next time aku kena berhati hati. Sukar nak bezakan mana manusia dan mana hantu. Jumpa lagi next time. Sekian.
Penulis/karya : Juhari Shahrudin