Wednesday, September 22, 2021
Jari manis
Tajuk : Jari Manis
Subuh ini cuaca mendung dan aku melihat ke arah jam tangan. Jarum menunjukkan pukul 4 pagi. Aku mula menggaru kepala yang tidak gatal, bisik hatiku kemana pergi pekerja-pekerja kilang biasanya dah ada menunggu di pondok hujung jalan. Mereka belum juga muncul jam sudah pukul 5, aku menghidupkan enjin van dan bergerak melalui jalan kebun getah untuk ke tempat tinggal mereka. Laluan kebun ini tak banyak kenderaan masuk maklumlah hanya lori dan motor penduduk sekitar sahaja yang menggunakannya.
Sepanjang perjalanan aku terasa agak sunyi radio tak dapat dihidupkan kerana rosak dan telah dihantar ke kedai untuk dibaiki. Sampai disimpang tiga jalan aku terpandang kelibat dua kanak-kanak, tekaan aku usianya lingkungan 10 tahun. Eh, anak siapa pulak merayap dalam kebun getah pagi-pagi hari. Aku teringat di simpang kanan pernah ada kemalangan ngeri mengorbankan satu keluarga kerana terjatuh dalam gaung. Bulu tengkuk ku berdiri dengan tiba-tiba. Perasaanku bercampur aduk perlukah aku berhenti dan bertanya atau teruskan perjalanan.
Kanak-kanak tersebut terhendap hendap seolah mencari sesuatu yang hilang dan mereka tidak bercakap walaupun sepatah. Ah, baik aku bertanya nanti dicakap orang tak bertanggungjawab pulak. Aku berhentikan van di sebelah mereka dan turun. "Adik berdua dari mana ni, kenapa tak ditemani keluarga?" sambil menutup pintu van. Kanak-kanak tersebut memandangku tetapi tidak menjawap soalanku. Aku pun turut melihat lihat apakah barang yang mereka carikan. "Adik berdua tak takut ke bermain di kebun yang sunyi ni, marilah abang hantar balik. Langit pun gelap macam nak hujan." aku mempelawa mereka. Tiba-tiba salah seorang dari mereka memndangku dan menjawap " Tak apalah bang, ayah dengan ibu ada dekat bawah sana. Kami masih nak cari jari manis ibu."
Dadaku berdegup kencang, mereka mencari jari manis ibu mereka. Apa yang berlaku? "Eh,kenapa pulak jari manis ibu kamu boleh ada disini." tanyaku kehairanan. Kedua mereka menjawap " Kami baru kemalangan, sewaktu penduduk kampung menaikkan jenazah kami jari manis ibu masih tertinggal disini. Boleh abang tolong carikan?" Kaki aku menggeletar dan aku kaku seperti terkena kejutan elektrik, apalagi aku pun pecut ke arah van dan terus kuhidupkan dalam kelam kabut memecut keluar dari kebun getah tersebut. Sampai ke hari ini aku tak lagi masuk ke kawasan dalam kebun, biarlah pekerja kilang tunggu di pondok luar sahaja. Pengalaman ngeri yang tak dapat kulupakan sampai bila-bila, nasib aku tak kena sorok dengan hantu. Hahaha, tapi nak tergelak pun ada mana tidaknya basah seluar aku akibat terkencing ketakutan.
Penulis /Karya :Juhari Shahrudin