Wednesday, September 22, 2021
Khianat ep 1
Tajuk : Khianat. (Episod 1)
Sani merasa haus puas sudah dia merayau mencari kerja kosong di Bandar Kuantan. Namun hampa. mentari pun semakin tegak di atas kepala. Dia mengesat peluh di dahi dan berjalan menuju ke restoran berhampiran. Lebih tepat lagi restoran Nasi Kukus Mak Onah. Restoran tersebut menjadi perbualan di internet, tular di media sosial mutakhir ini.
Apa yang menariknya gulai yang disajikan sangat istimewa. Iya, gulai daging rusa dan sambal cili nya yang pedas. Sejak ianya dibuka pengunjung berbondong bondong datang ada yang bungkus ada juga yang makan di situ. Sani memilih untuk duduk berhampiran kaunter, bagi dia bukan nasi kukus yang jadi tumpuan tetapi anak Mak Onah, namanya Nora.
“Nora, bagi abang air sirap limau satu dan nasi kukus spesial satu.” Sani membuat pesanan dengan nada yang manja.
“Kejap yer Abang Sani, Nora nak kira duit baki pelanggan sekejap.” Nora nampaknya sedang sibuk mengembalikan duit pelanggan.
“Wah, semakin sibuk restoran ni kan patutlah kita ni dah tak dilayan macam dulu.” Sani seolah memperli Nora.
“Mana ada abang Sani, sama je macam dulu jugak. Cuma sekarang ni semenjak Nora iklan kan dalam media sosial memang sambutan agak menggalakkan. Sampai tak menang tangan dibuatnya.”
Adik kepada Nora bernama Bidin tidak begitu mesra dengan pelanggan apatah lagi si Sani, dia menjeling kepada Sani seperti tidak berpuas hati. Sebenarnya, dulu dia pernah berkawan tetapi mereka berselisih faham ketika di alam persekolahan dulu.
“Oi Sani, kau tak payah nak mengada sangat lah. Kakak aku tengah sibuk tu. Kau nak aku ambilkan order ke?” Bidin mencelah perbualan antara Sani dan Nora.
Sani buat buat tak dengar dan berpaling ke arah lain dalam hatinya kalau bukan disebabkan aku suka dekat Kakak kau dah lama aku hempuk dengan kerusi ni.
Malam itu Sani menaiki motor ke rumah Pak Mat, beliau bomoh yang terkenal. Rumahnya terletak bersebelahan dengan Kampung Sani iaitu Kampung Belukar. Sani menongkatkan motornya dan memberi salam. “ Assalamualaikum, assalamualaikum Pak Mat.”
“Wa’alaikumsalam, hah ada apa Sani. Meh masuk ke dalam.” Pak Mat menjawab salam si Sani dan menjemputnya masuk.
“Saya datang ni nak mintak Pak Mat tolong saya ni. Saya ada tak puas hati dengan budak ni. Dulu dia pernah curi basikal saya.” Sani memberitahu hajat kedatangan nya ke rumah Pak Mat.
“Habis tu kau nak aku buat apa?” Pak Mat membalas ringkas.
“Alaa, Pak Mat kan bomoh terer dalam Kampung ni, berapa pengerasnya saya bayar la Pak Mat. Kalau boleh saya nak biar dia rasa sakit nya hati saya ni.”
“Hmm, aku boleh buat supaya dia merana, tapi…..” Pak Mat terdiam sebentar.
“Tapi apa Pak Mat?” Sani bertanya kerana Pak Mat seolah nya sedang memikirkan sesuatu.
“Ini last aku buat kerja bomoh ni, aku dah cuci tangan. Esok aku nak ke rumah anak aku di Sungai Soi. Cucu aku nak bersunat.”
Pak Mat mengambil sesuatu dari dalam almari dia membawanya keluar penuh hati hati. Di letakkan di atas lantai. Tepak bara berwarna kehitaman di nyalakan. Baranya merah dan ditaburkan dengan kemenyan. Dikeluarkan keris kecil dari poket bajunya dan mulutnya terkumat kamit membaca jampi serapah. Kemudian, dia mengeluarkan kain berwarna kuning dan di dalamnya terdapat paku yang panjangnya hampir 7 inci. Matanya merah, dia merenung ke arah paku tersebut.
Lalu terasa seperti angin sejuk menerpa masuk ke dalam rumah. Sani hanya diam membisu tidak berani bertanyakan apa apa. Suasana hening itu menjadi bertambah seram apabila lampu tiba tiba terpadam. Sani terdengar ada bunyi menderam dari arah belakang, di dalam rumah tersebut gelap gelita. Grrrrrrr, grrrrrrrrrrrrrrrrr.
“Siapa yang menyeru akuuuuuuuuu. Hihihihihihihi” suara seorang wanita dari belakang Sani.
“Aku yang panggil. Malam ini aku berkehendakkan kau masuk ke dalam paku ni. Tugas kau ialah bunuh siapa yang melangkah paku ini.” Pak Mat memberi arahan kepada suara tersebut.
“Boleh, tapi aku mahukan ganjaran.” Suara itu meminta sesuatu dari Pak Mat.
“Apa yang kau nak?” Pak Mat menyoal.
“Aku mahukan sedikit darah dari pemuda ini” suara itu mahukan darah dari Sani.
“Sani, hulurkan ibu jari kaki kau ke depan. Berlunjur, tak banyak dia nak sikit je.” Pak Mat berbisik perlahan kepada Sani.
Sani yang ketakutan hanya menurut sahaja perintah dari Pak Mat, dilunjurkan kakinya ke depan. Terasa pedih ibu jari kakinya seperti dicucuk jarum. Suasana masih lagi gelap, Sani hanya Nampak kelibat Pak Mat tetapi dalam samar samar di sebelah Pak Mat ada susuk tubuh seperti perempuan tua. Bongkok dan rambutnya putih. Lutut Sani menggeletar namun ditabahkan hatinya semoga cepat selesai. Baginya, dendam kepada Bidin lebih utama.
Selesai sahaja upacara tersebut Pak Mat menyalakan kembali lampu. Sani cepat cepat kembali bersila. Ibu jarinya dibelek belek, memang ada kesan seperti lebam dan sedikit darah masih mengalir. Badan Sani terasa sejuk peluh membasahi bajunya.
“Kau ambik paku tu, tanam dekat mana budak tu selalu ada. Eloknya kau tanam lah waktu malam. Lagi bagus kau pergi tanam sekarang.” Pak Mat menyuruh Sani agar menanam paku tersebut di tempat Bidin selalu datang.
“Dia selalu ada dekat restoran mak dia Pak Mat. Baiklah sekarang saya pergi tanam.” Sani mengambil bungkusan kuning berisi paku tersebut dan menghulurkan wang RM100.00 kepada Pak Mat dan cepat cepat pergi ke arah motornya. Broom, motor dihidupkan dan dia memecut menuju ke restoran Nasi Kukus Mak Onah.
Penulis /Karya :Juhari Shahrudin