Wednesday, September 22, 2021
Buka atap
Tajuk : Buka atap.
Kisah ini terjadi lebih kurang 26 tahun lalu di sebuah Felda di negeri Pahang. Muncul seekor harimau belang memasuki sebuah rumah ketika bulan penuh dan cahayanya cukup cerah seperti lampu rumah.
Keluarga yang tinggal di rumah tersebut tiga orang perempuan dan seorang ibu tunggal yang bernama Mak Senah. Anak sulung Mak Senah bernama Zanisa sedang sarat mengandung, suaminya pula bekerja di Kuantan jadi malam itu mereka anak beranak tidur lewat. Kebetulan Mak Senah demam dan badannya agak panas, jadi adiknya Zarida dan Zanira bergilir menjaga Mak Senah.
Zanisa :" Esok kita mesti bawak mak ke hospital, dah seminggu mak demam tak sembuh sembuh."
Zarida :" Betul tu kak, Pak Zain pun cakap macam tu. Dia dah ikhtiar buat air tawar tapi mak macam ni jugak."
Zanira :" Alahai kak, bukan kami taknak bawak mak ke hospital, masalahnya bila kami cakap nak bawak ke hospital mak tu meraung menjerit jerit taknak taknak. Kami taknak paksa kak." perbualan mereka terhenti seketika kerana terdengar seperti bunyi ketukan di pintu dapur rumah.
Zanisa memandang adik adiknya dan memberikan isyarat senyap dan menunjukkan ke arah pintu dapur. Zanira yang paling bongsu sudah pun merapat ke arah kakak kakaknya. Bunyi tersebut semakin kuat mendengus dan bergerak mengelilingi rumah. Sesekali bunyi cakaran di dinding rumah. Maklum sahajalah rumah di Felda ketika itu masih ada yang asal iaitu diperbuat daripada kayu. Kelibat bayang seperti berdiri di tingkap papan tersebut dapat dilihat dengan jelas, kerana cahaya bulan penuh daripada luar dapat masuk melalui celah celahan papan namun dengan tiba tiba Mak Senah bangun dan merangkak ke arah pintu dapur sambil berkata "Awok datang yer, kawan lama doh tunggu. Ngape lambat benor awok nok nyampei ke rumoh kawan ni." Mak Senah berbicara dengan makhluk di luar rumah dalam loghat Pekan, Pahang.
Zanisa dan adik adiknya saling berpandangan. Perasaan seram mula menerpa, jantung berdegup kencang. Mulut mereka seakan terkunci. Namun Zanisa gagahkan juga untuk bersuara dan dia amat bimbang tentang fenomena tersebut. Inilah pertama kali selepas arwah ayahnya Pak Osman meninggal dunia ibunya bercakap cakap dengan entiti yang tidak diketahui.
Zanisa :" Mok bercakap dengan sape tu? Mok kan tak sihat lagi meh baring kat lembek ni."
Mak Senah :"Kawan bercakap dengan aboh awok ler, mok dengor suara dia tadi suruh bukok pintu ni" Mak Senah menjawab sambil telunjuk nya menunjukkan ke arah pintu dapur.
Zanisa :"Mok, aboh kan doh lame takde. Dia doh meninggal 10 tahun lepas dekat ladang kena baham dengan harimau."
Mak Senah bingkas bangun dan membuka pintu dapur. Zanisa dan adik adiknya tergamam kerana yang berdiri di hadapan pintu tersebut seekor harimau belang dengan ketinggian seekor anak lembu yang sedang merenung ke arah Mak Senah, sesekali matanya meliar melihat ke dalam rumah.
Perlahan lahan harimau itu masuk dan menuju ke arah Zanisa dan adik adiknya. Namun langkah harimau tersebut terhenti.
Mak Senah :"Tak payoh nok menengok cucu kawan yang bakal lahir tu, deme tu mane kenal awok. Meh sini kita borok meh"
Harimau tersebut menuju ke arah Mak Senah dan menjilat tapak tangan Mak Senah. Kemudian setelah hampir 10 minit berlalu harimau tersebut keluar dan hilang dalam semak. Mak Senah menutup kembali pintu dapur dan merangkak kembali ke tempat tidur seolah olah tiada apa apa yang berlaku.
Keesokan harinya Zanisa menyuruh adiknya ke rumah Ustaz Midon dan meminta beliau datang ke rumah dan menceritakan perkara yang berlaku. Ustaz Midon berjanji akan datang ke rumah selepas zohor.
Tengahari itu hujan renyai renyai Ustaz Midon sampai ke rumah Mak Senah dengan menaiki motor.
Ustaz Midon :"Assalamualaikum, ape kabo Zanisa, gayenyer macam doh tak lame nok bersalin tu." sambil menjeling ke arah perut Zanisa.
Zanisa :"Waalaikumsalam ustaz memang tak lame doh kalau ikutkan 10hari lagi bersalin laa doktor kabo. Jemputlah masuk ke rumoh ni ustaz. "
Ustaz Midon turun dari motornya dan berjalan perlahan lahan matanya terlihat sesuatu di atas tanah. Beliau tunduk dan memeriksa kesan di atas tanah tersebut. Kesan tapak kaki harimau dewasa. Dia memejamkan matanya sebentar dan membaca sesuatu. Lalu dikeluarkan plastik dari beg yang dibawanya, garam, lada hitam bercampur bertih ditabur.
Ustaz Midon :"Zanisa, awok panggil adik adik awok kesini sekejap."
Zanisa :"Bakpe ustaz? Baik saye panggil jap." Zanisa memanggil kedua adiknya dan mereka berlari lari anak ke arah Zanisa.
Ustaz Midon :"Gini, kawan nok kabo berita yang menyedihkan ni. Kawan harap awok semua bertabah lah yer. Suami awok mane Zanisa?
Zanisa :" Dia dalam perjalanan balik ke sini, kejap lagi sampai la tu."
Ustaz Midon :"Baiklah kalau gitu, mok awok ni sebenornya doh meninggal lebih kurang dua tiga hari doh. Jadi kawan nok panjat ke atas nok bukok atap sekeping. Kawan nok apa apa bunyi yang datang dari dalam rumoh jangan pedulikan waima mok awok menjerit sekalipun. Faham yer."
Air mata ketiga tiga beradik tersebut tiba tiba mengalir dan masing masing menahan sebak. Zanisa cuma mengangguk tanda setuju.
Ustaz Midon memanjat rumah tersebut bagi mencabut sekeping atap kemudian beliau turun semula dan melaungkan azan di setiap penjuri rumah. Azan yang pertama membuatkan Mak Senah menjerit jerit, azan kedua bunyi barang barang di dalam rumah dilemparkan ke dinding, azan ketiga rumah tersebut seakan bergegar gegar seperti hendak roboh dan azan yang terakhir bunyi jeritan yang panjang dari dalam rumah, tetapi jeritan itu bukan suara Mak Senah tak lain tak bukan bunyi harimau mengaum seperti kesakitan.
Suasana kembali tenang dan kebetulan itu juga suami Zanisa sampai. Ustaz Midon mengarahkan beliau memanggil orang masjid untuk menguruskan mayat Mak Senah dan menyempurnakan jenazahnya. Iya, ketika mereka semua masuk ke dalam rumah bau yang sangat busuk menerpa ke hidung. Mayat Mak Senah hitam dan seolah olah tinggal rangka. Sebelah kiri badannya sudah tidak berdaging, terlihat kesan seperti digigit dan dicarik carik kan oleh haiwan iaitu harimau.
Selesai solat jenazah dan dikebumikan Ustaz Midon menceritakan kepada anak anak Mak Senah bahawa selama ini yang tinggal bersama mereka adalah saka dan saka itu datang dengan menjelmakan diri sebagai harimau. Mungkin arwah Mak Senah ada membuat perjanjian dengan makhluk jin tersebut.
Janganlah kamu berdamping dengan makhluk jin kerana sebaik baik jin adalah sejahat jahat manusia. Jangan bersekutu dengan jin kesudahan nya amat tragis. Sekian.
Penulis /Karya : Juhari Shahrudin