Wednesday, September 22, 2021

Suamiku bukan suamiku

Tajuk : Suamiku bukan Suamiku Pagi itu Laila menyiapkan makanan untuk bekalan suaminya Razif. Laila meletakkan bekalan tersebut di samping barang barang memancing suaminya sambil berkata "Bang berapa hari trip memancing kali ni?" "Tiga hari je, tak lama sebab cuaca tak berapa ok sekarang. Kenapa, awak nak ikut ke?" Razif membalas sambil tersenyum. "Ishh taknak laa, abang tak ingat ke Laila sepanjang trip memancing tu asyik muntah muntah je. Sampai dah tak daya dah." Laila menjawab dengan nada perlahan. Razif menyandang beg dan membawa barang barang keperluan menuju ke kereta BMW 320i nya. Laila hanya mengekori Razif. " Jaga diri elok elok yer, apa apa call abah atau mak. " Razif memberikan pesanan sambil mencium pipi Laila. Hari telah pun berlalu, kini Laila menanti kepulangan suaminya seperti yang dijanjikan. Razif mengatakan trip memancing kali ini cuma tiga hari. Laila melihat lihat ke arah jam dinding sudah menunjukkan jam 9 malam. Hati Laila gelisah dan jantungnya berdebar debar, maklumlah duduk di rumah berseorangan. Perkahwinan Laila dan Razif sudah pun hampir 6 tahun tapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Mereka telah pun berusaha dari segi perubatan moden dan tradisional. Namun tidak membuahkan hasil. Hujan agak lebat mungkin musim tengkujuh sudah sampai. Laila masuk ke bilik air dan mencuci muka sambil menyanyi lagu empat dara duduk di tepi sungai. Sedang Laila menyanyi tiba tiba terdengar bunyi pintu depan rumah dihempas dengan kuat. Laila terperanjat dan sempat menjerit. Dia cepat cepat mengelap mukanya dengan tuala dan pergi ke arah pintu bilik. Laila membuka pintu bilik dengan perlahan lahan dan mengintai intai ke ruang tamu. "Eh abang, bila sampai. Kenapa basah kuyup ni." Laila memerhatikan keadaan suaminya yang serabai dan comot. Razif tidak menjawab dia masih berdiri tegak di hadapan Laila, mukanya tidak kelihatan dengan jelas kerana ditutupi rambutnya yang panjang. Laila merasakan ada sesuatu yang tak kena. Kereta BMW tiada di dalam garaj. Laila mengundur ke belakang dan cuba untuk tidak panik. Kilat sabung menyabung, guruh berdentum kuat. Bekalan elektrik terpadam. Laila menjerit dan meraba raba ke arah biliknya. Pintu bilik dapat dicapainya, Laila dengan pantas menutup pintu bilik. Keadaan gelap gelita, Laila mencari cari telefon pintar di atas katil. Pintu bilik diketuk bertalu talu, Laila semakin cemas. Laila cuba berfikiran rasional adakah itu Razif atau pun bukan. Mustahil Razif, suaminya bukan seorang yang suka berlawak jenaka apatah lagi 'Prank' seperti di negara barat. Sambil beliau mencari cari telefon pintarnya terdengar bunyi seperti suara mendengus di dalam bilik tersebut dan tiba tiba tangannya ditarik dan badannya dipeluk oleh sesuatu. Laila menjerit meminta tolong, tetapi sayangnya rumah beliau agak jauh dari jiran jiran. Banglo ini jaraknya 20 meter dari banglo banglo yang lain. Laila masih lagi meronta ronta, Razif menghempaskan Laila ke dinding. Muka Laila tersembam ke lantai. Laila cuba merangkak ke arah meja solek, kakinya dipegang dan ditarik. Laila merasakan sudah tidak berdaya untuk melawan dia hanya berdoa di dalam hati agar dapat melepaskan diri. Kipas kembali berputar, lampu bilik menyala dan dalam keadaan cemas itu Laila bangun dan duduk di penjuru katil. Mata Laila memerhatikan keadaan sekitar. Suaminya telah tiada. Laila bingkas bangun dan mencari telefon pintarnya di atas katil. "Hello, abah tolong Laila. Razif mengamuk dia pukul Laila." suara Laila menangis teresak esak. "Hello, eh Razif ada dengan abah ni, dia hantar ikan hasil dia memancing." ayah Laila menjawab dengan tegas. Laila jadi terpinga pinga, siapa yang berada di dalam rumah tersebut. Razif atau hantu? "Betul ke ni abah, sebab Laila baru je lepas kena hempas dengan Razif tadi." Laila masih enggan percaya. "Iya, betullah Razif ada ni jap abah bagi dia bercakap." "Hello Laila, kenapa ni? “ suara Razif jelas yang keluar dari telefon pintar tersebut. " Abang, tolong balik cepat bang, ada hantu. Laila sakit bang, badan kena hempas ke dinding dan lantai. Please abang. " Laila meminta Razif segera pulang ke rumah. Jam 1 pagi Razif sampai dirumah bersama dengan ayah dan ibu Laila. Laila menceritakan tentang perkara yang berlaku. Ayah kepada Laila melihat lihat keadaan di dalam rumah. Basah dan lantainya bergelinang dengan air. Razif memeluk Laila dan menuju masuk ke dalam bilik. Barang barang kosmetik dan perkakas di dalam bilik berselerak. Pintu bilik yang diperbuat daripada kayu tersebut terdapat kesan pecah dan retak di bahagian tengah. Malam itu mereka semua tidur di rumah ayah Laila. Kejadian tersebut sangat aneh dan misteri. Laila hampir menjadi tidak waras dan dia berkeras tidak mahu balik ke rumah itu lagi. Razif terpaksa menjual rumah banglo tersebut dan membeli rumah lain. Hobi memancingnya ditinggalkan atas nasihat ayah mertua nya. Apa dan dimana silapnya? Siapakah yang datang ke rumah Razif sebagai Razif itu masih menjadi misteri sehingga ke hari ini mungkin anda tahu akan jawapannya. Sekian. TAMAT Penulis /Karya : Juhari Shahrudin