Wednesday, September 22, 2021

Selain aku

Tajuk : Selain aku. Lenguh, penat dan letih. Hari-hari kena panjat tangga untuk sampai ke bilik. Lif sudah hampir enam bulan tak dapat digunakan. Baru dibaiki sebulan rosaknya berbulan-bulan. Bilik di tingkat lapan flat ini yang paling murah, apa nak buat terpaksalah beesusah payah sedikit. Setahun menyewa disini ada cerita-cerita mistik berkenaan lif tapi aku tak percaya cerita karut marut ni. Jam ditangan tepat pukul 12 malam, badan aku terasa sangat letih, tanganku mencapai tuala dan terus ke bilik mandi. Selepas mandi aku terus menuju ke almari pakaian. Aku terpandang ada sesuatu atas almari, bentuk macam mayat yang dibungkus. Berkali-kali aku menggosok mata seakan tak percaya. Lampu terpadam, masa inilah nak 'blackout' nya. Aku jadi gelabah, dengan masih bertuala mencari lampu picit. Mujurlah berdekatan dengan laci meja, segera aku suluh ke atas almari, aku mengurut dada kelegaan objek tersebut tiada. Kotak fius dekat dengan pintu, perlahan-lahan aku mengundur dan cuba memeriksa. Semasa mengundur aku ternampak kelibat seperti lembaga hitam di tepi pintu dengan pantas lampu picit aku arahkan ke pintu. Mayat yang dibungkus atas almari tadi tegak berdiri betul-betul dekat pintu. Peti suara aku seperti terkunci, puas aku cuba menjerit meminta tolong. Makhluk yang orang panggil pocong tersebut melompat kehadapan dan kebelakang memberi isyarat jangan keluar dari bilik tersebut. Tangan aku masih menyuluh tepat ke arah pocong itu sambil mengundur ke arah belakang. Aku teringat di dalam laci ada surah Yasiin. Laci tersebut aku buka dan aku tunjukkan surah Yasiin tersebut ke arah tempat pocong itu berdiri, lampu kembali menyala dan pocong tersebut melompat menembusi pintu bilik. Aku segera memakai pakaian dan membuka pintu untuk keluar, mungkin malam ini kisah mistik mengenai cerita karut terkena batang hidung sendiri. Aku berlari menuruni anak tangga dan pergi ke rumah abang saudara. Malam ini terpaksalah aku tidur di rumah abang saudara aku. Mana tahan pocong datang menegur. Selepas kejadian malam itu aku tidak lagi menyewa di flat tersebut. Kisah ini tidak aku ceritakan kepada sesiapa takut di labelkan karut jugak. Buat anda semua, ingatlah bahawa ada makhluk lain selain kita yang berada di muka bumi ini. Sekian. Penulis /Karya :Juhari Shahrudin