PANDANGANNYA menerawang jauh memikirkan diri. Setiap kali mengingati hal itu hatinya jadi sedih. Benarkah hidup ini begitu mudah aturannya? Lahir, kemudian membesar menjadi kanak-kanak, riang ria di alam persekolahan. Seterusnya bergelar remaja, melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, menjadi dewasa, berumah tangga, beranak-pinak dan akhirnya putaran kehidupan itu berlaku lagi pada generasi yang akan datang. Suatu ketentuan yang sudah pasti. Tetapi dalam mengharungi liku-liku kehidupan itu, manusia sering berdepan dengan pelbagai perkara. Antaranya nasib atau takdir, usaha dan kemahuan serta banyak lagi yang mempengaruhi sebuah kehidupan. Maka sebab itu, kita tidak patut menyalahkan TUHAN, kerana semuanya sudah tersedia untuk kita yang bergelar manusia. Cuma, laluan setiap insan dalam meneruskan kehidupan di muka bumi ini berbeza.
Kenapa mesti bersedih Irah? Irah mungkin tidak lahir dalam kemewahan hidup, tetapi Irah dilimpahi dengan kasih-sayang, asuhan dan didikan agama, kebahagiaan sebuah keluarga dan ketenangan hidup. Irah pernah juga mengecap kehidupan yang bererti. Sekurang-kurangnya Irah tidak lahir di bumi Iraq di mana rakyatnya sentiasa hidup melarat kerana peperangan. Irah juga tidak cacat, punya kudrat yang sempurna seperti manusia normal lain. Sepatutnya Irah bersyukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan-Nya yang tidak terhingga.
Namun, mampukah kebahagiaan seketika yang pernah dikecapi itu melenyapkan kisah duka yang baru sahaja bermula? Ayah, mak, Iya.... Irah rindu! Ada air mata yang menitis mengenangkan wajah-wajah itu. Senyum tawa emak serta wajah keibuannya. Belaian mesra ayah dan kata-kata nasihatnya. Ketawa dan gurauan Iya yang sentiasa menceriakan hati dukanya. Kenapa tiba-tiba wajah-wajah itu hilang dari pandangan? Kali terakhir menatap mereka, saat kain kapan membalut tiga tubuh insan yang disayangi. Wajah-wajah itu pucat lesu. Tiada lagi nafas dari rongga hidung.
“Irah, kuatkan semangat. Jangan bersedih.” Ucapan-ucapan sebegitu diterima saat dia kaku duduk di satu sudut ruang tamu. Irah seperti orang bodoh. Ditanya tidak berjawab. Diam membisu seribu bahasa. Tiada lagi senyum tawanya. Segalanya pergi bersama mereka yang disayangi. Ke manakah hala tuju selepas ini? Pada siapa lagi tempat untuk bermanja? Kalau diikutkan hati yang lara, mahu sahaja Irah turutkan mereka. Sudah tiada ertinya kalau ditinggalkan sendirian.
“Kami bukan tak nak ajak Irah. Kami pergi kejap aje. Lagipun Irah kan dah dekat nak exam. Kali ni aje kami tak bawak Irah sama-sama. Ok, sayang?” Terngiang-ngiang kata-kata ayah yang sedang menghidupkan enjin kereta. Iya di seat belakang hanya tersengih. Bukan tidak dipujuk ayahnya untuk ikut sekali menghantar Iya balik ke sekolah berasrama penuh. Irah hanya mampu memuncung, menarik muka sambil memerhatikan Proton Wira biru muda itu perlahan meninggalkan halaman rumah.
Sekejap? Ayah kata cuma sekejap. Cuma kali ini sahaja dia tidak mahu membawa Irah. Tapi rupanya ayah pergi untuk selama-lamanya. Pergi membawa emak dan Iya sekali. Kenapa tinggalkan Irah seorang diri? Irah mahu ikut!!!
“Kenapa ni?” Suara itu mengejutkannya. Segera dia mengangkat muka mencari gerangan empunya suara. Sekilas, dek pandangannya yang mula kelabu akibat genangan air mata, dia lihat Encik Mustakim berdiri di hadapan. Segera dia tunduk mengesat air mata yang tadi mencurah-curah.
Wajah Mustakim berubah. Disangkakan gadis itu tidur, rupanya menangis. Tapi kenapa? Musykil! Ringan sahaja mulutnya bertanya, mahu ambil tahu. Sekurang-kurangnya tidaklah dicop majikan yang pentingkan diri, tidak menimbang kebajikan pekerja. Kalau ada masalah, mungkin dia boleh membantu mana yang patut.
“Mata masuk habuk.” Alasan lapuk! Dah tak ada alasan lain ke nak bagi? Kalau masuk habuk pun, takkan sampai dibiar meleleh tak berhenti? Hmm...
“Dah pukul 5.30 ni. Awak tak nak balik ke? Staff lain semua dah balik. Saya pun dah nak balik ni, ke awak nak tolong kuncikan office?” Sengaja dialih topik asal persoalan. Tak kuasa nak melayan perempuan kalau dah berair biji mata. Aku pun boleh naik kesian. Bukannya boleh tengok perempuan menangis! Tambah-tambah kalau comel macam dia ni. Haru!!! Sudahlah duduk berdua. Silap haribulan kena tangkap khalwat, ada yang kena jadi bini nombor dua nanti. Mengamuk la si Anizah kat rumah! Mustakim sengih sendirian melayan angan. Irah buat tidak reti. Bukan apa, malu disergah begitu. Segera dicapai tas tangan yang diletak di bawah meja, bersiap untuk pulang.
“Saya balik dulu Encik Mustakim.” Kerusinya ditolak masuk ke bawah meja. Irah sekadar melempar senyum tawar sebelum berlalu. Lirikan mata Mustakim sedikit menggetarkan hati. Takut juga dipandang begitu. Boss bayar gaji suruh kerja, bukan menangis kat office dia!
“Lambat balik? Banyak kerja ke?” Suara Mak Ngah kedengaran dari ruang dapur. Mungkin sedang sibuk menyediakan makan malam.
“Bas lambat tadi. Irah sembahyang dulu. Kejap lagi Irah tolong Mak Ngah.” Ujarnya lalu segera menghilang ke bilik sejurus selepas mengambil air sembahyang. Beberapa ketika kemudian dia muncul di pintu dapur sambil menyinsing lengan baju kurung. Rambut lurus separas dada sudah siap diikat rapi.
“Irah kan baru balik. Mesti penat. Pergilah rehat dulu. Mak Ngah boleh buat semua ni.” Ujar Mak Ngah. Pandangannya jatuh kepada si anak dara yang sudah sedia mencapai senduk, mengacau sambal tumis di kuali. Cantik budak Irah ni. Baik, sopan. Kesian pulak. Muda-muda dah yatim-piatu! Getus hatinya. Di sebalik ketenangan wajah Irah itu terselit kesedihan yang tidak terucap. Kesuraman wajah cukup untuk memberi tafsiran.
Mak Ngah berfikir lagi. Kalaulah aku ada anak lelaki yang dah besar dan sama baya, harus aku buat menantu. Tapi..... Terkenang olehnya anak-anak yang masih kecil seramai tujuh orang yang lebih memerlukan perhatian. Lima orang dibangku sekolah, sedang dua lagi masih terkial-kial lagi bermain pasir, baru hendak mengenal erti hidup. Kemelaratan hidup pula kian menyepit bila tiba-tiba sahaja suaminya diberhentikan kerja. Mujurlah menganggurnya tidak lama, dua bulan sahaja. Kini suaminya, Rafiq sudah punya pekerjaan baru. Menjadi pemandu seorang ahli perniagaan. Kalau dulu kerjanya bawa lori, mengangkut barang-barang kargo dari Pelabuhan Klang, kini mengangkut orang pula. Ke hulu ke hilir dengan Mercedes Benz warna perak metalik. Nampak gah benar, walhal bukannya kereta sendiri.
“Pak Ngah mana? Tak balik ke?” Irah ramah bertanya. Setahunya sejak Pak Ngah menjadi pemandu, tak lekat duduk di rumah. Sibuk memanjang. Sudah pakai telefon bimbit. Tapi katanya itu majikan yang punya. Untuk emergency. Kalau tiba-tiba diperlukan, Pak Ngah akan dipanggil.
“Kejap lagi, baliklah tu. Dia kata ada hal nak bincang dengan Irah malam ni.” Mak Ngah memberitahu. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia memberitahu Irah sekarang. Nak juga tengok reaksi Irah. Apa katanya? Kasihan juga kalau Irah tak sudi. Tapi, takut pulak dikata derhaka pada suami!
“Macam serius aje bunyinya Mak Ngah. Apa halnya?” Kali ini mata bundar itu mengalih pandang, menjurus ke arah Mak Ngah seolah meminta satu jawapan yang lebih pasti.
“Tunggulah Pak Ngah balik nanti.” Itu sahaja jawapan yang diberi.
“Macam mana? Irah setuju? Pak Ngah bukan nak memaksa. Pak Ngah faham. Irah pun muda lagi.” Irah tidak senang duduk. Ada perasaan yang bergolak di dalam hati saat ini.
Kahwin? Irah gelisah. Bagaimana dengan cita-cita yang hendak di capai? Harapan arwah mak dan ayah yang belum digenggami?
Kahwin? Irah buntu. Irah masih muda. Bercinta pun belum pernah. Ah! Bukan itu soalnya! Soalnya Irah belum bersedia! Irah baru 18.
“Pak Ngah faham kalau Irah tak suka. Yelah, jadi isteri muda ni siapa yang hendak. Semua perempuan pun tak mahu bermadu. Pak Ngah kesian tengok majikan Pak Ngah tu. Isteri dia uzur. Manalah larat nak melayan suami. Kena pulak dia minta Pak Ngah yang carikan calon. Irah jangan ingat Pak Ngah nak menjual Irah pulak. Pak Ngah tak ada maksud macam tu. Pak Ngah sayang Irah macam anak sendiri. Cuma mungkin Pak Ngah tak mampu nak sediakan kesenangan untuk Irah. Nak bantu Irah sambung belajar pun Pak Ngah tak ada duit.” Kata-kata itu cukup menyengat cuping telinga. Irah rasa serba-salah. Terbayang di ruang mata dirinya bakal berkahwin dengan seorang lelaki yang sudah tua, berkepala separuh botak dan beruban, serta perut yang boroi. Tidak! Irah tidak mahu! Tambahan lagi, gelaran isteri muda yang bakal dinobatkan kepadanya. Arrgghhhh!!! Irah mahu jerit sekuat hati!