MATAHARI pagi menyinar alam. Suasana taman yang indah begitu damai. Tiba-tiba awan kelam berarak meliputi langit cerah. Hujan turun dengan kilat dan guruh berdentum-dentum. Irah rasa takut. Bajunya basah kuyup. Dia berlari-lari anak menuju ke satu pondok untuk berteduh. Tubuhnya menggigil kesejukan. Irah lihat ada beberapa orang lagi menumpang di pondok yang sama. Makin didekati makin jelas pada penglihatannya. Iya! Ayah! Mak! Mereka semua tersenyum padanya. Irah rasa sungguh gembira. Irah rindukan kalian semua! Irah mahu memeluk mereka, tetapi ada sesuatu yang menariknya pergi. Tubuhnya bagai diseret. Mak! Tolong Irah! Tetapi emak hanya tersenyum dan melambai. Mereka semua pun tersenyum dan melambai. Irah dibawa pergi dalam hujan yang lebat.
“Mak!!” Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Kepalanya terasa berat dan pening. Dia mahu membuka mata tetapi terlalu payah dirasakan.
“Irah…,” Satu suara bergema. Sayup-sayup dari kejauhan.
“Irah. Abang kat sini. Buka mata sayang.” Rasa gembira Fariz kian melonjak bila kelopak mata perempuan itu terbuka sedikit demi sedikit. Dari semalam tubuh Irah sudah memberi reaksi. Jari-jemarinya bergerak perlahan. Mulanya Fariz fikir dia berilusi. Setiap malam dia bermimpi Irah sedar semula. Pemeriksaan dari doktor memberikan jawapan positif. Seisi keluarga berasa sungguh gembira mendengarkan berita itu. Pak Ngah sekeluarga pun tidak lupa memanjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi. Irah yang sedar umpama mati hidup semula. Tiga bulan lamanya Irah terlantar di hospital tidak sedarkan. Atas kehendak yang Maha Esa akhirnya Irah sedar semula setelah sekian lama mereka menanti dalam debaran.
EMBUN menitis pagi. Semalam hujan lebat membasahi bumi. Dinginnya masih terasa kini walaupun mentari sudah menyinar di ufuk timur, menandakan bermulanya satu hari baru untuk semua manusia. Mega-mega kemerahan semakin menghilang diganti sinaran cerah menandakan hari sudah siang.
Irah mengemaskan semua pakaian dan barang-barangnya. Menurut doktor, dia sudah boleh pulang hari ini walaupun belum pulih sepenuhnya. Irah bersyukur ke hadrat Illahi kerana masih panjang umur dan beransur pulih seperti sediakala. Mujur tiada kecacatan yang menimpa. Suatu keajaiban juga kerana dia tidak mengalami sebarang kecacatan mental walaupun mengalami kecederaan di kepala.
Lama menunggu Pak Ngah menjemputnya di bilik wad membuatkan Irah merasa bosan. Alang-alang hendak pulang, baik turun sahaja ke perkarangan. Tidak perlu orang tua itu bersusah-payah naik ke atas. Namun, belum sempat dia keluar, seseorang telah pun menunggunya di luar bilik.
“Irah nak kemana?” Fariz bertanya kehairan melihatkan kelibat perempuan tiu membawa beg bersama.
“Balik rumah. Irah dah boleh balik.” Jawabnya ringkas.
“Dah boleh balik pun tak beritahu abang. Irah nak balik dengan siapa? Mari abang hantarkan.” Lelaki itu mempelawa sambil menghulur tangan untuk mencapai begnya. Pantas Irah mengelak, sama sekali tidak membenarkan lelaki itu memikul beg di tangan.
“Irah boleh bawa sendiri. Tak perlu hantar Irah balik. Irah akan balik dengan pak Ngah. Kejap lagi dia sampai.” Jawabnya tegas. Wajah Fariz tidak langsung dipandang. Marah di dalam hati masih membeku. Lelaki itu menghela nafas.
“Abang tahu Irah marah dan bencikan abang. Abang faham kalau Irah tak dapat maafkan abang.” Sayu suara Fariz kedengaran.
“Kalau dah sedia maklum, tak perlulah abang datang melawat Irah. Irah masih hidup lagi bang. Tak payah nak susah-susah fikirkan fasal Irah. Irah reti jaga diri-sendiri.” Suara Irah bergetar marah. Mengingati kenangan-kenangan lepas makin membuatkan hatinya meradang. Entah kenapa rasa sebaknya pula menujah jiwa.
“Abang sedar Irah. Selama ini abang buta dan jahil kerana tidak pandai menilai diri Irah. Abang tak pernah mengenali Irah mahupun cuba mengenali hati irah. Abang melukakan hati Irah berkali-kali. Memang patut abang dibenci.” Irah terasa geram. Kenapa mesti dia muncul pagi-pagi begini? Baru sahaja dia merancang untuk memulakan hari baru. Terasa seperti ada ribut yang melanda di kala hari cerah. Jauh di sudut hati Irah berasa serba-salah. Dia mahu meluahkan semua rasa marah yang dipendam. Namun, Irah tidak lupa. Sepanjang dirinya terlantar tidak sedarkan di hospital itu, Fariz yang menjaganya siang dan malam, hingga tidak hiraukan diri sendiri. Dia sendiri pun tidak akan tahu sekiranya Anizah dan Mustakim tidak melaporkannya. Pasangan itu sentiasa memujuknya supaya memaafkan Fariz dan melupakan dendam lalu.
Irah juga tidak mahu berdendam atau bermusuhan dengan sesiapa. Dan kemalangan yang berlaku pun bukan atas salah sesiapa. Dia sendiri tidak mengerti kenapa dia boleh bertindak menyelamatkan Zahidah walhal kalau difikir-fikirkan dia cukup marah pada wanita itu. Logiknya, dia membiarkan sahaja Zahidah digilis kereta. Namun, Irah masih lagi waras. Apa gunanya dendam berbalas-balas jika hidup tidak akan tenteram akhirnya. Dia tidak minta budinya dibalas. Dia juga tidak mahu memusuhi Fariz. Lelaki itu pun tidak mengungkit walau sedikit ketika menjaganya semasa tidak sedarkan diri. Paling tidak dilupa, walaupun Fariz berkali-kali menyakiti hati dan mengecewakannya, lelaki itu telah memberi suatu hadiah yang cukup istimewa dan tidak ternilai harganya – Is. Walau dibenci hingga ke akhir hayat, Is tetap anaknya bersama Fariz. Namun, untuk menuturkan kata maaf adalah terlalu sukar baginya lantaran hati masih terguris.
“Kalau Irah tetap bencikan abang, abang mengerti. Abang takkan mengganggu Irah lagi. Kalau satu ketika nanti hati Irah sudah terbuka, maafkanlah abang. Tiada apa yang abang dapat lakukan untuk menebus kesalahan abang pada Irah.” Ujar Fariz lemah lantas berlalu.
Hati Irah digamit pilu. Mengapa mesti aku merasa sayu?
“Abang…,” Langkahnya terhenti. Benarkah apa yang didengari? Benarkan Irah memanggilku? Dipusingkan tubuhnya lantas pandangan mereka bertaut. Cepat-cepat Irah menunduk, mengelak renungan lelaki itu.
“Irah panggil abang?” Fariz kian mendekati. Irah masih lagi menunduk, cuba mengumpul segala kudrat yang ada. Perlahan dia mengangguk.
Suasana sunyi seketika. Kedua-duanya membisu tanpa kata. Fariz menunggu bicara darinya sedang Irah pula kematian kata. Sukarnya untuk meluahkan rasa hati ini.
“Biarlah Irah berterus-terang.” Irah mengepal kedua tangannya. Terasa tubuhnya mengigil. Lelaki itu masih menanti jawapan.
“Irah dah penat berkelahi dengan abang dan keluarga abang. Irah harap, selepas ini Irah dapat mulakan hidup baru. Irah nak lupakan semuanya. Irah cuma nak teruskan kehidupan Irah dengan gembira. Irah mahu bersama Is. Selama ini Irah asyik berendam air mata. Irah terlalu penat bang. Terlalu penat memendam rasa. Cukuplah atas apa yang terjadi!” Dimuntahkan juga kata-kata yang selama ini berselirat di dalam jiwa. Fariz masih lagi membisu, membiarkan Irah meluahkan semuanya.
“Irah akui, Irah marah dan benci pada abang atas semua perbuatan abang. Irah tak mahu lalui itu semua sekali lagi. Berilah peluang pada Irah untuk hidup gembira seperti orang lain.” Sayu suara Irah.
“Abang faham Irah. Abang mengerti. Abang pun berharap abang dapat perbaiki kesalahan abang. Dan abang amat berharap Irah beri peluang pada abang untuk berubah. Selama ini abang tipu diri sendiri. Abang mencintai Irah tetapi terlalu ego untuk mengaku. Dan abang membuat kesilapan besar kerana menurut hati sendiri tanpa mempedulikan perasaan orang lain.” Kata-kata Fariz itu mengusik hatinya. Sebuah cinta yang didambakan suatu ketika dahulu baru kini diucapkan oleh lelaki itu. Sayang!
Irah tahu lelaki itu tidak berbohong. Irah tahu kata-kata itu datangnya dari hati yang tulus.
“Mungkin dulu Irah mengharapkan cinta dari abang, tapi sekarang memadailah kalau Irah dapat hidup gembira. Irah tidak bersedia untuk menerima cinta abang mahupun cinta dari sesiapa.” Jelasnya.
“Irah tidak sudi terima abang kembali? Irah tidak mahu beri abang peluang?” Soal Fariz penuh harap. Perempuan di hadapannya kini benar-benar di cintai. Di mahukan Irah di sisi. Dia mahukan kasih-sayang Irah.
“Irah tidak kata begitu atau sebaliknya. Irah cuma mahu capai cita-cita dan keinginan Irah dahulu. Soal lain, biarlah Irah fikirkan kemudian. Kalau sudah ketentuan Tuhan jodoh Irah bersama abang, Irah redha.” Jawabnya.
“Baiklah, abang takkan paksa Irah. Abang akan tunggu hingga Irah sudi terima abang kembali.” Fariz sedikit terkilan. Kerasnya hati perempuan itu walaupun diluarnya tampak lemah dan kecil.
Seketika telefon bimbit Irah berbunyi. Pantas dia menjawab panggilan.
“Irah nak turun sekarang. Pak Ngah dah sampai.” Ujar Irah.
“Boleh abang hantarkan?” Lelaki itu bertanya penuh harap. Irah sekadar mengangguk.
“Kenapa Irah tak tunggu kat bilik aje. Pak Ngah boleh naik. Eh, Fariz pun ada sama?” Girang suara lelaki tua itu.
“Saya singgah nak melawat dia. Tak tahu pulak dia keluar hari ni.” Jawab Fariz sambil membantu Pak Ngah menyimpan beg di bonet belakang.
“Irah balik dulu bang.” Suara Irah sebaik Pak Ngah menghidupkan enjin. Fariz masih lagi menanti, menatap wajahnya.
“Balik nanti, berehatlah banyak-banyak. Jaga diri. Abang sayangkan Irah.” Irah mengangggk. Hatinya rasa sayu, seolah-olah akan berpisah selamanya dari lelaki itu.
Baru sahaja dia menapak ke kereta, Fariz memanggil.
“Apa dia?” Lelaki itu mendekatinya.
“Irah… Kalau ada cinta di hati Irah, kita akan bersatu kembali. Kalau ada cinta dihati Irah, Irah akan berpaling semula kepada abang. Abang akan tunggu Irah. Abang cintakan Irah! Ingat tu.” Diratah wajah Irah semahunya. Dia terlalu sayangkan Irah. Terlalu sayang.
Irah sekadar mengangguk tanda mengerti. Hatinya kian meruntun. Masihkan ada cinta untuk Fariz?
“Irah ada apa-apa lagi yang tertinggal?” Soal Pak Ngah. Perempuan itu sekadar menggeleng lemah. Kereta yang dipandu Pak Ngah mulai keluar dari perkarangan hospital.
Dalam kesayuan hatinya tertanya-tanya. Masihkah ada cinta untuk lelaki itu? Fariz! Fariz! Fariz! Dari kejauhan Irah menoleh, memandang ke arah Fariz bersama limpahan air mata……