Irah masih lagi bersimpuh di lantai. Jari-jemarinya memintal hujung baju. Keresahan jelas terpamer di wajah comelnya. Sudah bergenang air jernih di kolam mata, tetapi ditahan supaya tidak menitis. Sejenak, dipandangnya anak-anak Pak Ngah dan Mak Ngah yang sedang bergelimpangan tidur di bilik dari pintu yang terbuka luas. Maklumlah, kalau tidur beramai-ramai sudah tentu rasa panas. Sebab itu pintu bilik dibiarkan ternganga.
Irah rasa sedih. Kalau bukan kerana Pak Ngah sekeluarga, pasti dirinya kini merempat entah di mana. Pak Ngahlah satu-satunya adik ayah yang tinggal selepas kematian Mak Su, adik perempuan ayah yang bongsu. Atuk dan nenek pun sudah lama pergi. Keluarga sebelah emak pula jauh di Sabah. Tidak pernah dikenali dan tiada khabar berita. Pak Ngahlah kini bertanggungjawab menjaganya setelah kehilangan ahli keluarga dalam satu kemalangan jalanraya di Ipoh. Ketika itu mereka dalam perjalanan hendak menghantar adiknya Zaliyah ke sekolah berasrama penuh. Irah sedar, kehadirannya menambah beban yang ditanggung memandangkan anak-anak Pak Ngah yang ramai dan masih kecil.
Kehidupan mereka sekeluarga juga tidaklah sesenang mana. Cukuplah sekadar apa yang ada. Mujurlah Irah diterima bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta selepas menamatkan SPM. Itupun gajinya tidak cukup untuk menampung keperluan mereka sekeluarga.
“Irah fikirlah baik-baik. Ini pun untuk kesenangan Irah juga. Jangan pula ingat Pak Ngah nak menghalau Irah. Pak Ngah cuma harap Irah dapat mengecap kehidupan yang lebih baik dari apa yang Pak Ngah sediakan. Pak Ngah yakin Irah akan bahagia. Majikan Pak Ngah tu baik orangnya. Pak Ngah pasti dia akan layan dan jaga Irah dengan sempurna.” Irah masih lagi membatu. Wajahnya langsung tidak diangkat. Ah! Aku sudah tersepit. Menolak, ibarat aku mengecewakan Pak Ngah yang banyak menabur budi dan menambah bebannya. Menerima bererti aku menyeksa diri sendiri. Kacau!
Pak Ngah merenung lagi batang tubuh Irah. Kasihan! Bukan dia mahu memaksa, tetapi dia juga terpaksa. Selama mana dia mampu untuk menjaga Irah sedangkan pendapatannya kecil dan hanya cukup-cukup untuk menyara keluarga. Itu belum masuk lagi perbelanjaan untuk pelajaran anak-anak akan datang. Kusut juga fikiran bila dikenang-kenangkan.
“BAIK pada pandangan Pak Ngah, baiklah juga untuk Irah.” Ah! Mahu sahaja Irah jahit mulut yang gatal bersuara. Kalau tidak kerana jawapan itu, pasti dia tidak duduk di sini. Pasti juga dia tidak menyarung kebaya biru buatan Songket Terengganu tika ini.
Hati Irah berdebar-debar. Majlis akad nikah telah berlangsung. Sebentar tadi dia mendengar ucapan akad nikah dilafazkan oleh jurunikah dan disambut oleh pengantin lelaki. Tenang suara itu, lembut menyapa telinga. Sedap suaranya. Bagaimana pula orangnya? Irah tidak berani angkat muka. Setiap waktu dia hanya tertunduk. Tidak pernah dia melihat lelaki itu. Semuanya diuruskan oleh Pak Ngah. Bukannya tidak pernah lelaki itu bertandang ke rumah. Sengaja Irah mengelak. Tak sanggup tengok lelaki tua senyum menyeringai pandang anak dara umur 18. Gerun!
Saat ini Irah rasa terasing. Suasana majlis perkahwinan di banglo itu tidak langsung mencuit hati. Beginikah perasaan pengantin baru? Kenapa tak rasa apa-apa pun? Memang cantik banglo ni. Orang kaya, dua tiga buah rumah pun boleh dibeli. Inipun, salah satu dari milik dia, agaknyalah! Majlis perkahwinan tersebut dirancang dan diadakan di situ secara sederhana. Kenalah sedar status sendiri. Takkan nak buat kat hotel dan heboh satu Malaysia. Dah awak tu bergelar isteri muda! Irah memarahi diri sendiri.
Irah rasa mengantuk. Terkuap-kuap menahan mata dari terlelap. Masuk kali ini sudah tiga kali mulutnya ternganga menguap. Keletihan dirasakan menjalar ke seluruh tubuh. Ikutkan hati mahu sahaja buat aksi renang berirama atas katil ni! Tapi, kenalah ingat, katil ni bukan aku yang punya. Takkan nak rembat sorang diri. Sedarlah sikit kalau dah menumpang harta orang! Gulp... Irah telan liur. Katil pengantin King size dipandangnya. Habis, kena share dengan dia ke? Habislah aku! Irah kerisauan pula. Apa harus dibuat? Irah pun tidak tahu. Arwah emak pun tidak pernah memberitahu apa-apa tentang malam pertama. Jauh sekali. Bercinta pun emak tak bagi, kononnya takut mengganggu pelajaran anak daranya. Irah kan muda lagi...
“Assalamualaikum.” Salam diberi penuh sopan serentak daun pintu dibuka. Dag, dig dug! Boleh dihitung denyutan jantung Irah. Takutnya! Akhirnya Irah menunduk lagi.
Irah dengar pintu ditutup. Tiada derapan kaki didengari. Ini bukan lantai kayulah cik kak! Seketika Irah mengangkat muka. Terkejut melihat sesusuk tubuh seorang jejaka menghampirinya lantas duduk di sisi, di birai katil pengantin yang terhias indah. Segak, muda dan kacak bergaya. Tinggi, berkulit sawo matang, berkumis nipis, sedikit janggut yang ditrim kemas menampakkan kejantanan seorang lelaki. Bulu keningnya lebat hitam, matanya bening dan di bibirnya terukir senyuman. Kontra habis! Irah rasa tidak percaya. Mana perginya lelaki boroi, kepala separuh botak dan beruban yang sentiasa dibayanginya? Betul ke dia? Irah perhatikan atas hingga bawah. Baju Melayu Songket biru yang dipakai lelaki itu sedondon dengan pakaiannya. Sah! Memang tak silap orang.
“Kenapa pandang abang macam tu?” Lelaki itu tersenyum lagi. Tenang. Irah tidak karuan lantas mengalih pandangan. Malulah pula!
“Kenapa ni? Shahirah asyik tunduk aje dari tadi. Shahirah tak sihat ke?” Irah rasa bahunya disentuh. Berderau darah naik ke muka. Tidak pernah mana-mana lelaki menyentuh tubuhnya sebelum ini. Shahirah? Itu nama penuh Irah. Dia tahu? Mestilah dia tahu! Bodoh punya soalan! Apa nama dia ya? Oh ya....
Fariz memandang perempuan itu. Shahirah. Cantik nama itu, secomel orangnya. Pertama kali dia melihat sendiri wajah Shahirah. Sebelum ini Shahirah hanya dilihat dari gambar. Itupun gambar berukuran pasport, macam orang nak minta kerja. Bukan dia tidak ingin berjumpa, tetapi Shahirah yang tidak sudi. Malu sangat kononnya. Nanti kalau dah kahwin hari-hari pun boleh tengok. Itulah alasan yang diberi.
Hmm... lihat dari gaya, memang benar nampak macam anak dara. Belum apa-apa dah takut semacam. Belum masuk gear satu pun lagi! Fariz berlelucon sendiri. Baru 18, masih muda. Lainlah dengan dirinya yang sudah dua tahun melayari bahtera rumah tangga. Umur pun sudah hampir menjangkau tiga puluhan. Seketika dia teringatkan Julia. Bagaimana dia sekarang? Menangiskah? Ah, bohonglah kalau ada perempuan dengan rela hati benarkan suami beristeri lagi kalau tiada langsung rasa cemburu dan sedih. Memang hakikatnya begitu, walaupun perkahwinan ini pun atas kehendak Julia.
“Dah ngantuk? Kalau nak tidur pun salin baju dulu.” Tegurnya sewaktu Irah menguap lagi untuk kali keempat. Irah tersipu-sipu malu. Salin baju? Depan dia? Aduhhh.....
Fariz bangun lalu menuju ke almari pakaian. Dia juga sudah terlalu letih. Seronoknya kalau dapat melenakan diri atas katil empuk masa ni.
Irah tergamam saat melihat dada bidang yang sasa itu terdedah. Segera dia mengalih wajah, tidak sanggup menatap adegan yang seterusnya. Fariz sudah sedia menyalin pakaian. Bingkas Irah bangun menuju ke almari dan mengeluarkan baju lalu kemudiannya berlalu ke bilik air.
“Nak ke mana tu?” Soalan itu mematikan langkahnya.
“Salin baju.” Irah memberanikan diri bersuara. Fariz sekadar menarik nafas. Salin ajelah kat sini. Nak segan apa? Laki sendiri. Macamlah aku tak pernah tengok perempuan! Hatinya merungut. Namun, dibiarkan sahaja Irah berlalu. Matanya sudah terlalu berat. Letak sahaja di atas bantal, terus dia berlabuh ke dunia lain...
Baru dua hari bernikah, Fariz sudah mula keluar rumah. Ke mana? Ke rumah isteri tua agaknya. Sayang betul pada isteri tua. Tapi, kalau betul-betul sayang, takkan sanggup kahwin lain. Kata Pak Ngah, isteri tua dia sakit. Betul ke? Kalau sakit, sakit apa? Hmm.... Orangnya segak, mesti isteri dia yang sorang lagi tu pun cantik. Macam-macam tanggapan dan persoalan bermain di kotak fikiran Irah.
Genap seminggu! Fariz tidak nampak batang hidung. Irah ditinggal seorang diri di banglo tepi bukit itu. Langsung tiada khabar berita dari suaminya. Sunyinya Irah tidak terkira. Jiran-jiran pun jauh benar hendak bertandang. Kebanyakan yang tinggal di situ terdiri dari pelbagai bangsa. Masing-masing buat hal sendiri. Orang kayalah katakan. Mujurlah ada Pak Seman. Dialah tukang kebun dan penjaga banglo itu. Hari-hari Irah bersembang dengannya. Ada juga Pak Ngah singgah sekali dua. Pembantu rumah pun tidak disediakan. Tapi Irah tidak kisah. Bukannya dia tidak biasa membuat kerja rumah. Kalau ada pembantu rumah, nanti apa pula Irah nak buat untuk mengisi masa lapang?
“JULIA kan tak sihat. Tak payahlah turun.” Ujar Zahidah tatkala tangannya disambut dengan salam dan dicium oleh menantu kesayangan.
“Ju tak apa-apa mak. Abang jaga Ju dengan baik masa mak dan abah tak ada.” Dikerling pada Fariz dan Pakcik Rafiq yang sedang mengangkut beg-beg dari kereta. Sebentar tadi suaminya pergi ke lapangan terbang KLIA, menjemput ibu dan bapa mertuanya yang baru balik dari mengerjakan Umrah. Pelbagai barang dan hadiah dibawa pulang oleh ibu dan bapa mertuanya dari Mekah.
Air Oren yang menjirus masuk ke dalam tekak menyegarkan badan yang keletihan. Julia sekadar melempar senyuman. Dipandang wajah ibu dan bapa mertuanya yang kelihatan berseri-seri sekali.
“Mak kamu seronok benar kat sana. Dua kali dapat cium Hajar Aswad.” Ujar Azri. Zahidah tersenyum lebar. Kenangan di Kota Mekah sukar benar dilupakan. Betapa gahnya melihatnya Kaabah dan Masjid Nabawi yang tersergam indah, tanda kebesaran dan kemuliaan Islam. Seronok sekali dapat menjejakkan kaki ke tanah mulia itu.
“Bukan senang nak dapat peluang tu. Terus mak ambil kesempatan berdoa untuk kita sekeluarga. Mak pun doakan Julia lekas sembuh. Tuhan Maha Kuasa. Insya-Allah bertambah sihatlah Julia hendaknya.” Julia senyum lagi. Sayang benar si ibu mertua pada dirinya. Maklumlah, hanya dialah satu-satunya menantu yang ada. Tapi, kalau ikutkan hakikat yang sebenar……
“Alah. Bukan itu aje. Mak kamu sebenarnya teringin nak menimang cucu. Harapnya kalau Julia cepat sembuh, lekaslah dapat cucu seorang lagi.” Saat ini wajah Julia berubah. Bukannya emak tidak tahu yang Julia….
“Abang ni!” Zahidah menyiku suaminya yang duduk di sebelah. Perubahan di wajah Julia merisaukannya. Bimbang takut-takut hati Julia tersentuh. Julia cuba pamer wajah tenang. Dipandang wajah Fariz yang masih lagi membisu. Tak mahu berterus-terangkah pada mak dan ayah? Mereka juga berhak tahu yang anak lelaki mereka sudah menikah lagi satu. Itu pun atas permintaan Julia. Dia sedia maklum kehendak ibu mertua yang semakin lanjut usia. Meskipun Lydia ada sebagai penyeri, namun Julia tetap tidak lupa. Lydia bukan darah daging Fariz. Lydia adalah anak hasil perkongsian hidup bersama suami terdahulu, Kamarul Ariffin.
“Lydia mana?” Zahidah mengubah topik. Diangkat leher menjengah ke kiri dan kanan, mencari kelibat si comel berusia 7 tahun yang dirindui.
“Ikut Cik Su dia ke Mid Valley. Anim janji kalau Lydia menang pertandingan mewarna kat sekolah, dia nak belikan hadiah.” Jawab Julia.
“Lydia menang pertandingan mewarna ke?” Ceria wajah Zahidah bertanya. Dia tahu, si comel itu semakin keletah dan pandai. Tengoklah siapa mamanya. Seorang peguamcara dan peguambela di ibukota. Cuma kini, sejak jatuh sakit, Julia tidak lagi bekerja. Fariz sama sekali tidak membenarkan.
“Dapat nombor 2 aje.” Fariz tiba-tiba menyampuk.
“Alah. Nombor 2 pun ok jugak. Kira pandai juga cucu abah tu.” Azri pula memotong.
“Bang…,” Tangan Julia dirasakan menyentuh peha. Segera Fariz berpaling. Ada isyarat yang diberikan isterinya. Cepat-cepat dia menggeleng. Biarlah perkara itu dirahsiakan dahulu. Ibu dan bapanya pun baru pulang. Takut nanti terkejut pula menerima berita itu.
“Haa… sok-sek berdua pulak. Apa halnya tu?” Zahidah mengangkat kening. Dapat dikesan ada sesuatu yang sedang bermain dalam pemikiran anak dan menantunya.
“Mana ada cakap apa-apa. Ju ni ha, saja aje.” Pandai pula Fariz memberi alasan untuk mengelak syak wasangka.
“Rahsia suami isteri. Biarlah! Awak ni pun. Nanti kalau dia nak cakap, pandailah dia beritahu.” Balas Azri pula.
“Ju nak ke dapur. Hari ni Ju nak masak special raikan kepulangan mak ngan abah. Mak dan abah rehatlah dulu.” Julia bangun menatang dulang minuman yang bersisa.
“Biar jelah kak Saba yang masak. Ju kan tak sihat.” Tegur Fariz pula.
“Alah bang. Bukannya selalu. Mak dan abah pun mesti rindu nak rasa masakan Ju, ye tak?” Terukir senyuman di ulas bibir Zahidah. Hai menantuku yang sorang ni! Pandai betul mengambil hati.
“ABANG dah seminggu tak balik sana. Kesian Shahirah. Dahlah tinggal kat banglo tu sorang-sorang. Kalau jadi apa-apa kan susah!” Tegur Julia yang sedang bersiap-siap di meja solek.
“Alah, Pak Seman kan ada, temankan dia. Janganlah risau.” Fariz menjawab acuh tidak acuh. Sejadah dilipat dan diletakkan semula ke penyidai, lalu dia duduk pula di birai katil, menunggu Julia bersiap untuk turun makan malam bersama keluarga.
“Besar manalah sangat kudrat Pak Seman tu. Buatnya datang perompak beramai-ramai, abang tak fikir ke? Bahaya tu bang. Baik abang pindah ke kondo ke, apartment ke, lagi selamat. Kurang-kurang, kalau abang balik ke sini, keselamatan dia terjaga.” Sambung Julia lagi. Fariz rasa ada kelucuan di situ yang membuatkannya tergelak kecil. Kalau isteri tua lain, mahu mengamuk bila dapat tahu ada madu. Pasti berterbangan periuk belanga. Ini, terbalik pula. Isteri tua risaukan isteri muda lebih dari suami.
“Abang ni! Ju cakap betul-betul abang gelak pulak!” Julia merajuk manja. Ah! Manisnya kalau Julia marah-marah dan merajuk. Sikap Julia itulah yang sering menawannya, menambahkan kasih sayang yang ada. Bukan selalu Julia menarik muka. Tidaklah getik semacam seperti sesetengah perempuan yang tahu merajuk aje!
“Abang tengok kan kalau Ju merajuk, makin cantiklah isteri abang ni!” Usiknya, menambahkan lagi muncung yang sudah sedepa.
“Abang!” Satu cubitan lepas di peha, disambut dengan jeritan kecil Fariz. Bukan main bisa cubitan jari Julia.
“Gurau sikit pun nak melenting. Abang tahulah. Bukannya abang tak fikirkan tentang keselamatan dia. Ju janganlah risau. Nanti abang uruskan semua.” Cepat-cepat dipujuk isteri yang cantik jelita. Takut nanti makin panjang pula rajuknya.
“Dahlah bang. Jom turun makan. Mak dan abah dah tunggu tu.” Julia menarik tangan Fariz. Muncung sedepa sudah hilang, diganti dengan senyuman manis walaupun wajah itu kelihatan sedikit pucat. Julia memang tak lekang dari senyuman!
----- sedutan episod 3 ------
Irah rasa tidak sedap hati. Meremang bulu roma. Entah kenapa dirasakan ada seseorang yang turut bersama-samanya di dalam banglo itu. Pak Seman? Lelaki tua itu sudah pulang petang tadi kerana isterinya sakit. Jadi, Pak Seman tidak menemaninya malam ini. Kalaupun Pak Seman ada, Pak Seman tidak masuk ke dalam rumah, sekadar tidur di bilik belakang berhampiran stor. Baru sahaja tangannya mencapai lampu suluh Irah rasa tubuhnya disentuh orang. Terus dia menoleh. Sesusuk tubuh seorang lembaga tegak berdiri.
“Aaaa!!!!!!” Irah menjerit sekuat hati. Tiba-tiba kedua belah tangannya digenggam kejap oleh lembaga itu. Ya ALLAH! Selamatkan aku!
“Lepaskan aku! Tolong!!!” Irah meronta-ronta lagi.