Wednesday, December 2, 2009

Menggapai Kasih Part 13

Terungkaplah segala cerita, tersingkaplah segala rahsia. Perkara yang selama ini menjadi samar-samar kini telah ketara diperdengarkan. Bilik berbentuk empat segi itu, tempat tiga jiwa dipertemukan, dipersembahkan pula dengan kisah-kisah yang bukan rekaan tetapi realiti yang menyakitkan, itulah tempatnya yang tidak mungkin dapat Salina lupakan sepanjang tempoh penghidupannya.
Alangkah pedih dan terhimpit hatinya mendengar pengakuan Azizi yang bersahaja, tanpa sedikit pun terbetik rasa kesal, malah Azizi meluahkannya seperti pengakuan-pengakuan itu satu permainan yang di dalamnya tiada apa yang hendak ditangis-tangiskan.
Bidai-bidai di jendela berkibar-kibar dilanggar oleh kelibat Azizi yang sedang menyandar. Penghawa dingin, mengeluarkan hawa yang sejuk tetapi belum mampu menyurutkan bahang konflik yang sedang melanda. Gambar-gambar yang berwarna-warni tergantung tidak bererti di muka dinding dan permaidani pula adalah medan tempat Salina menumpahkan air matanya.
“Ibu..” panggil Nurul perlahan selepas membiarkan ibunya tenggelam dalam kesedihan yang amat teruk buat seberapa lama.
“Marilah kita pulang bu..” pujuknya. “Tak guna kita dengar kata-kata lelaki tak siuman ni, bu!”
Salina mengangguk berat. Dia tahu kesedihannya tidak akan mendapat simpati di situ. Terlalu tinggi tali pengharapan digantungkannya terhadap Azizi. Sangkanya Azizilah lelaki mulia yang memberi sinar dalam hidupnya. Sangkanya Azizilah teruna budiman yang akan menghargai cinta sucinya. Namun sayangnya dia telah tersalah mendayung perahu. Sungai yang disangkanya menuju ke syurga inderaloka rupa-rupanya telah menghanyutkan dia ke sebuah jurang yang sangat dalam. Sia-sia kesetiaannya selama tujuh belas tahun yang akhirnya dibalas dengan duri-duri yang menikam ke dalam perasaan.
Dan apa yang paling dia kesalkan ialah kebenciannya, layanan buruknya dan penghinaannya terhadap Zikri. Lelaki itu, seorang insan mulia yang dikurniakan tuhan untuknya sebagai azimat paling bermutu, telah dia biarkan menderita bertahun-tahun hanya semata-mata kerana dia telah menyangka bahawa lelaki itulah parang yang cuba mencantas dahan kebahagiaannya buat sekian lama!
Hatinya telah menjadi amat gelap sehinggakan sinar kebenaran yang paling terang sekali pun tidak mampu membuka mindanya untuk melihat kebaikan Zikri. Apabila fikiran sudah diracuni oleh kebencian dan tanggapan songsang, setiap tingkahlaku seseorang akan segera ditafsirkan sebagai tidak bersopan biarpun pada hakikatnya tingkahlaku itu adalah sebuah perbuatan yang suci.
Itulah penyakit yang telah melanda dirinya selama tujuh belas tahun dan baru kini dia menyedari! Apakah sudah terlewat untuk dia kembali menghargai Zikri? Apakah pintu kemaafan masih terbuka untuknya? Apakah dia masih berkesempatan untuk menebus dosa-dosa besarnya terhadap Zikri?
Oh Zikri, maafkan Salina! Maafkan Salina kerana telah menganiyaimu.
Sebaik sahaja mereka pulang ke rumah, kira-kira setengah jam sebelum tibanya senja, dia terus mendamparkan dirinya di sofa, di ruang tamu. Belum surut kesedihannya, air mata kian lebat tercurah apabila gambaran wajah-wajah kecewa Zikri terbit di mana-mana. Dan apa yang paling mengharukan, dia sekarang sedang meneleku di atas sofa yang pernah menjadi tempat peraduan Zikri selama tujuh belas tahun. Tujuh belas tahun Zikri terpaksa terpinggir menyendiri bagai bahtera hilang haluan, sunyi dan tersiksa, namun tetap juga lelaki itu setia mendambakan perhatian dari sebuah keluarga yang tidak pandai menghargai.
Dia menangis lagi. Air mata turun bertali arus dan esakannya makin berat.
“Ibu? Kenapa ni? Ibu nampak sedih sangat..” pujuk Nurul bimbang.
“Ibu sedih sayang..” ucapnya tertahan-tahan. “Ibu menyesal sayang..”
“Lupakan aja Azizi ibu. Sia-sia kita menghabiskan air mata kita untuk seorang lelaki yang tak berguna..”
“Ibu bukan sedih kerana Azizi..” bantah Salina pahit. “Ibu sedihkan ayah tiri Nurul..”
Nurul tersenyum sinis mendengar. Entah kerana jijik atau kerana benci, ucapan ibunya itu adalah satu pengakuan yang tak sepatutnya diucapkan oleh seorang isteri kepada suami yang cuba menodai kesucian tubuh anak gadisnya sendiri.
“Semua lelaki sama saja ibu..” gerutu Nurul selamba. “Apa gunanya ibu sedihkan lelaki yang bernafsu binatang macam Zikri?”
“Itu yang ibu kesalkan sangat..” lanjut Salina kian sebak.
“Maksud ibu?” dia berkerut kening, curiga.
“Ibu kesalkan sangat sebab Zikri tak pernah melakukannya..”
“Tapi.. Nurul sendiri nampak ayah malam tu, dia datang mahu meragut kesucian Nurul..” Nurul cuba mempertahankan pendiriannya.
“Nurul..” ibu menggamit tangannya. “Ibu minta maaf,nak..” ucap ibu lemah sekali.
Dia tergamam dan bingung. Reaksi ibunya amat ganjil. Kesedihan ibunya juga amat luarbiasa. Dan apa yang paling dia bimbangkan ialah kalau-kalau pada waktu itu, ketika suasana sedang dipenuhi oleh banyak kekusutan, dan dia masih belum dapat menyesuaikan diri, tiba-tiba ibunya pula menyampaikan sebuah lagi pengakuan yang kiranya hanya tambah mengusutkan keadaan.
“Ibu minta maaf nak..” ulang ibu semula. “Ayah Nurul tak bersalah sayang. Dia tak pernah buat perkara terkutuk tu sebaliknya ibulah yang telah merancangkan semuanya..”
Nurul terpempan mendengar.
“Ibu upah orang untuk menyamar sebagai ayah kamu..”
Terpempan lagi.
“Ibu dah fitnah ayah kamu..”
Dan dia terus terpempan. Pendedahan ibunya terlalu berat untuk dia hadapi dan yang paling menghiris hati ialah dirinya telah ditipu oleh seorang ibu yang selama ini diletakkannya sebagai tangkai pengharapannya yang paling tinggi. Bagaimana seorang ibu tergamak memanipulasi kepercayaan seorang anak yang begitu suci nilainya, semata-mata kerana mahu memenuhi kepentingan peribadi sendiri? Bagaimana seorang isteri sanggup menghancurkan hati seorang suami yang tersangat menyayangi, semata-mata kerana menurutkan dendam peribadi sendiri?
“Sampai hati ibu buat Nurul macam ni..” rintihnya dalam kekesalan yang amat sangat. Teresak-esak dia menahan kesedihan, disembamkan mukanya ke riba ibu.
“Ibu minta maaf sayang..” ibu memeluk tubuhnya. “Pada masa tu, Nurul terlalu rapat dengan ayah, dan Nurul sikit pun tak hiraukan ibu. Ibu takut Nurul akan tinggalkan ibu. Ibu terlalu takut sehingga ibu tak dapat fikirkan cara yang lain..”
“Tapi ibu tak boleh fitnah ayah seteruk itu..”
“Ibu faham nak. Ibu mengaku yang ibu memang bersalah. Maafkan ibu, sayang..”
Tangisan dan esakan bersilih ganti. Kadangkala esakan ibu kedengaran lebih ketara, dan kadangkala esakannya sendiri mengatasi suasana yang serba memilukan itu. Namun, di dalam hati, sempat juga dia bertanya, apakah air mata yang sebanyak ini mampu membersihkan kekotoran dosa mereka berdua kepada ayah? Apakah air mata kekesalan yang dicurahkan sehingga ke titisan yang akhir ini dapat menebus penderitaan-penderitaan yang terpaksa ayah hadapi kerana kejahilan mereka buat sekian lamanya?
Tiba-tiba dia merasakan hidup ayahnya sangat malang. Tiba-tiba dia merasakan bahawa ayah adalah seorang lelaki yang sangat baik tetapi telah menerima layanan yang tidak adil. Tiba-tiba dia merasakan bahawa dialah kuman yang telah menambahkan penyakit dalam penderitaan ayahnya.
“Ibu..” sejurus dia tergerak untuk bersuara.
“Apa dia sayang?”
“Kita cari ayah, ya?” ucapnya dalam kehibaan yang masih bertali-temali.
“Iya, sayang.. Kita cari ayah..” angguk ibu bersama mata yang merah dan bengkak.
“Nurul nak minta maaf pada dia ibu. Nurul dah banyak berdosa. Nurul dah musnahkan kebahagiaannya..”
“Baiklah sayang.. kita sama-sama minta maaf dari dia. Ibu nak sujud di tapak kaki dia. Ibulah orang yang paling berdosa selama ini.”
“Ibu..”
“Nurul?”
“Nurul sangat sedih ibu…”
“Ibu juga…”
Mereka berdua pun berpelukan sekali lagi.
Tirai malam dilabuhkan perlahan-lahan. Kisah hidup mereka menjadi sebahagian lagi dari kronologi-kronologi lembaran suka duka manusia di muka bumi. Tidak terlepas dari membuat kesilapan, itulah fitrah makhluk yang diciptakan Tuhan. Selagi ada hayat dan umur usia, selagi itulah manusia akan berulang-ulang membuat kesilapan. Alangkah beruntungnya orang-orang yang dapat mengambil pengajaran dari setiap kesilapan-kesilapan itu, dan kemudiannya menggunakannya untuk memperbaiki taraf kehidupan mereka di dunia dan di akhirat. Alangkah malang pula bagi orang-orang yang terus lalai bergelumang dalam kesilapan. Jauh sekali dari menyesali, malah mereka menjadikan kesilapan-kesilapan itu sebagai jambatan untuk meraih nikmat di dunia yang sementara. Di akhirat kelak, merekalah golongan orang-orang yang rugi. Tiada tempat di syurga, sebaliknya azab yang maha pedih sedia menunggu menyambut kepulangan mereka ke pangkuan Illahi.