JR memerhatikan Nurul bermurung sejak tadi lagi. Banyak topik yang dibualkannya bagi membangkitkan suasana ceria tetapi hanya wajah bungkam menjadi teman bicara. Lama mereka duduk termenung di tepi tasik, memerhatikan riak-riak air yang berkilauan. Biasan sang mentari yang jatuh ke dasar tasik tampak seperti taburan butir-butir mutiara. Namun semua keindahan itu kiranya tidak membawa apa-apa kiranya fikiran telah terbang dibawa oleh hembusan angin.
“Nurul..” panggil JR setelah beberapa ketika.
Nurul mengangkat kepalanya, memandang.
“Aku ada satu idea..” kata JR sambil tersenyum panjang.
“Idea apa?”
“Idea untuk menyatukan ayah dan ibu kau..”
Nurul tergamam mendengar. Berubah air mukanya, hilang rasa gelisah, digantikan pula oleh perasaan ingin tahu.
“Aku banyak tengok filem pasal rancangan anak-anak yang nak satukan ibu bapa mereka yang berpisah.” Beritahu JR ghairah sekali.
“Kemudian, apa yang berlaku?” tanya Nurul tidak sabar-sabar.
“Rancangan mereka dilaksanakan dengan jayanya..”
“Lalu?”
“Lalu kita pun boleh buat macam mereka..” kata JR memberi harapan.
Tiba-tiba Nurul tersenyum.
“Kenapa?” tanya JR curiga.
“Aku tak sangka yang kepala otak kau ni sebegitu bijak!” usik Nurul langsung mengetuk kepala temannya itu lantaran terlalu gembira.
“Oi.. apa ni, sakitlah!” rungut JR sambil membetulkan kedudukan topinya.
“Kenapa aku tak terfikir perkara ni dari dulu lagi..”
“Alah, kau tu memang lambat pick up. Semuanya nak kena aku yang ajar..”
“Eleh.. kalau kau tu pick up sangat, cepat bagi tahu aku apa rancangan yang sedang kau fikirkan?”
JR tersengih panjang. Menunjukkan reaksi yang dia sememangnya sudah punya rancangan. Segera didekatkan mulutnya kepada Nurul lalu diterangkan satu persatu langkah yang patut diambil bagi memastikan semuanya bakal berjalan mengikut program. Dan ideanya itu, serta-merta mendapat persetujuan Nurul.
“Eii.. dahsyatlah kau ni..” puji Nurul bangga. “Kau sepatutnya jadi pengarah filem bila dah besar nanti..”
“Ingat, ni rahsia kita berdua tau!”
“Ingat tuan pengarah!”
“Janji?”
“Janji!”
Mereka berdua pun ketawa kelucuan. Sambil membuat janji, sambil mereka menyusun langkah. Setiap dari mereka punya tugasan masing-masing. Nurul diminta mengendalikan ibu sementara JR akan menguruskan perihal ayah. Sekiranya semua berjalan seperti yang diharapkan, ayah akan ditemukan dengan ibu di sebuah restoran mewah sempena hari ulang tahun perkahwinan mereka yang ke tujuh belas, kira-kira dua minggu dari sekarang. Pada masa itu kelak, di samping bertukar-tukar hadiah, mereka juga akan dibuai oleh alunan muzik paling romantis, ditambah pula sinar klasik cahaya lilin dan santapan pembuka selera.
Perempuan mana tidak akan lembut hati bila melihat suami berpakaian segak, tampan dan menawan. Suami mana tidak akan gugur egonya bila melihat isteri cantik berdandan, melangkah sopan dan manis dihiasi senyuman. Semoga suasana serba terbuka itu dapat merobohkan segala tirai persengketaan. Semoga usaha yang begitu murni itu dapat meleraikan segala kekusutan. Tatkala keruh sudah tiada lagi, yang kelihatan hanyalah air yang jernih. Dan tatkala dendam sudah tiada lagi, yang kelihatan hanyalah hati yang bersih!
“Apa? Nurul nak berbaik dengan ibu?” tanya ibu seperti tidak percaya sebaik sahaja dia melangkah masuk ke bilik pejabat lalu memberikan pengumuman yang mengejutkan itu.
“Hmm..” Nurul tersenyum mesra.
“Nurul dah maafkan ibu?”
Angguk.
“Terima kasih sayang..” ibu terus memeluk tubuhnya, keharuan.
“Ibu..” panggil Nurul kemudiannya selepas banyak yang mereka bualkan.
“Apa dia sayang?”
“Nurul ada satu permintaan..”
“Permintaan?” ibu berkerut hairan.
“Iya, permintaan.. itupun kalau ibu tak keberatan..”
“Eh.. katakanlah.. ibu sedia buat apa saja untuk anak kesayangan ibu ni..”
“Hujung minggu ni, Nurul nak kenalkan ibu dengan seseorang..” harap Nurul, ghairah sekali.
“Eh, sapa?” ibu kelihatan kaget. “Teman lelaki Nurul ke?”
“Alah adalah..” tingkah Nurul, sengaja hendak berahsia. “Dan Nurul mahu ibu pakai cantik-cantik pada malam tu nanti, macam puteri dari kayangan..”
Ibu menggeleng-geleng lucu. Terhibur menyaksikan telatah seorang anak, wanita itu rela berbuat apa sahaja asalkan ikatan yang sebelum ini hampir koyak berjaya disambung kembali.
“Suka hati Nurullah.. ibu akan ikut apa saja permintaan Nurul.” beritahu ibu menunjukkan kerelaannya.
“Sungguh ibu?”
“Sungguh..” ibu mengangguk mesra.
Terus dirangkulnya tengkuk ibu dan sebuah kucupan kasih sayang dia berikan ke dahi ibu. Wanita itu, biarpun cuba menahan apa yang sedang menggamit hatinya, akhirnya terpaksa jua mengalah tatkala keharuan tidak lagi dapat diselindungkan. Bersama linangan air mata, ibu membalas kucupan Nurul dan ibu peluk tubuhnya seerat mungkin. Sehingga bau harum dan hangat tubuh ibu bersatu bersama kehangatan tubuhnya sendiri, menjadi komposisi yang paling mententeramkan perasaan.
“Terima kasih sayang..” bisik ibu buat kali terakhir sebelum dia meminta kebenaran untuk mengundur diri.
“Ibu.. kita jumpa lagi nanti..” Nurul melepaskan genggaman jemari ibu. Lambat dan berat dia meninggalkan ibu dan semasa dia keluar dari lif, menginjak kakinya turun ke lobi, dia tidak dapat lari berasa tersangat gembira kerana ibu telah memberikan persetujuannya.
Kini tiba giliran JR pula untuk menjalankan tanggungjawab seperti yang diamanahkan. Perbincangan antara lelaki sesama lelaki itu sebenarnya lebih mudah terlangsung kerana keupayaan JR sebagai pembicara yang ramah dan sikap ayah sendiri yang cepat bertolak ansur dengan sesiapa sahaja.
Menjelang hujung minggu, JR keluar bersama ayah, pergi ke sebuah pusat membeli-belah bagi mencari barang yang sesuai untuk dijadikan hadiah. Dan apa yang lebih penting lagi, ayah Nurul perlukan penampilan yang baru. Dia mesti kelihatan tampan dan harum pada malamnya nanti!
“Kita nak pegi mana ni, JR?” tanya ayah Nurul lembut semasa JR menarik tangannya masuk ke sebuah kedai barang-barang kemas.
“Kita nak cari cincin yang sesuai..” beritahu JR bersahaja.
Terpinga-pinga mendengar, ayah Nurul mengikut tanpa bantahan. Dia duduk di atas sebuah kerusi sebelum mereka kemudiannya didatangi oleh seorang gadis cina yang cantik, yang segera pula dikenali sebagai salah seorang daripada pekerja-pekerja di situ.
“Ada apa yang boleh saya tolong?” tanya gadis itu, sopan sekali, kepada mereka berdua.
“Kami sedang cari cincin yang sesuai untuk diberikan sebagai hadiah pada malam ulangtahun perkahwinan..” sampuk JR selamba, seperti dirinya pula yang akan mengeluarkan perbelanjaan.
“Oh..” gadis itu senyum mengerti. Dia menjeling seketika kepada ayah Nurul sebelum bergerak ke sebuah kotak kaca yang dipenuhi oleh pelbagai cincin emas putih berbatu permata. Sebuah set kotak baldu dikeluarkan dari dalam ruang pameran dan mereka pun ditunjukkan kepada kilauan cincin yang rambang mata memandang.
“Hah, pilihlah pakcik..” arah JR.
Ayah Nurul mengangguk perlahan lalu mula membuat pilihan. Agak lama mereka mencari cincin yang sesuai, cincin yang punyai rekaan yang cantik tetapi tidak pula terlalu mahal harganya. Akhirnya sebentuk cincin bermata empat segi berjaya memaut minat di hati.
Selepas membayar harganya, mereka keluar berjalan beriringan menuju ke sebuah butik pakaian lelaki yang letaknya pada tingkat dua kompleks berkenaan.
“Kita nak ke mana ni JR?” tanya ayah Nurul kebingungan.
“Kita nak cari pakaian..”
“Pakaian?”
“Iya, pakaian yang akan menyerlahkan ketampanan pakcik!”
Masih terpinga-pinga, ayah Nurul meneruskan gerak langkah, mendaki anak-anak tangga eskalator. Dalam beberapa ketika sahaja mereka sudah pun berada di sebuah butik pakaian lelaki yang mewah. Dua tiga keping poster peragawan lelaki dalam gaya tertentu terpampang pada cermin depannya dan jenamanya yang gah cukup untuk menggambarkan bagaimana nilai harga yang perlu dijelaskan oleh sesiapa yang berminat untuk tampil sedemikian.
“Apa yang pakcik menungkan tu?” tanya JR apabila melihatkan ayah Nurul masih terpacak di pintu luar.
“Eh, tak ada apa-apa..” jawab lelaki itu kesipuan.
“Jom!” dia menarik tangan ayah Nurul.
Mereka pantas masuk ke dalam.
“Saya mahukan pakaian yang boleh memberi kelainan kepada ayah saya ni..” ucap JR seakan mengusik, kepada seorang jurujual cina lelaki berwajah bujur dan berambut lurus.
“Dan pakaian tu mesti berjaya membuatkan perempuan tergoda melihatnya!” sambung JR lagi, ketawa. Dan kata-katanya itu ternyata telah merubah air muka ayah Nurul, dari putih tanpa perasaan kepada merah kesipuan.
Jurujual lelaki tadi tidak mengambil masa yang lama untuk datang membawakan mereka beberapa helai pakaian yang dirasakan menepati ciri-ciri yang diinginkan. Semua baju-baju itu memang mahal harganya tetapi mutu dan kualitinya memang tidak dapat hendak dibandingkan dengan pakaian-pakaian yang dijual di pasar-pasar malam. Apalah salah kiranya ayah Nurul menghabiskan beberapa helaian not-not berwarna kundang, andai pengorbanan itu berjaya melembutkan hati seorang wanita yang telah lama keras membatu.
“Macam mana?” tanya ayah Nurul selepas mengacu sehelai kemeja berwarna biru muda dan sut warna tanah.
JR menggeleng.
“Tak sesuai!” cebiknya selamba.
Ayah Nurul mendengus hampa lalu kembali semula ke bilik persalinan. Dia mencuba pakaian yang lain, yang kiranya memberi penampilan yang lain pula.
“Macam mana?”
Tampil dengan kemeja warna merah jambu dan sut biru muda, sekali lagi ia mendapat bantahan dari sisi JR.
Ayah Nurul mencuba pula sehelai sut berwarna kelabu dan kemeja sewarna yang lebih cerah. Kali ini dia yakin JR akan bersetuju dengan penampilannya.
“Tak sesuai!” JR menggelengkan kepala.
Akhirnya, selepas mencuba hampir sepuluh persalinan, barulah persalinan yang kali itu, iaitu persalinan yang ke sebelas, sepasang sut warna hitam dan tali leher warna merah mawar berjaya mendapat persetujuan JR.
“Gorgeous!” puji JR sambil memberi isyarat dengan kedua ibu jari.
“Sekarang kita nak ke mana pula?” tanya ayah Nurul sebaik sahaja mereka bergerak meninggalkan butik Raoul.
“Ke Salon! Kemudian pergi cari minyak wangi, kemudian pergi beli bunga!” balas JR bersahaja.
Tercengang muka ayah Nurul mendengar. Sangkaannya bahawa urusan mereka telah selesai selepas membeli banyak barangan yang mahal-mahal, rupanya tidak benar sama sekali. Banyak agenda lagi perlu dilalui dan banyak lagi perbelanjaan harus dikorbankan. Namun, tatkala terlintas di mindanya bahawa semua ini adalah untuk isteri tersayang, dia pun tidak jadi membantah. Diteruskan gerak kakinya mengikut segala perintah JR. Dibiarkan jurudandan menukar fesyen rambutnya, dibiarkan JR membeli satu set minyak wangi jenama Polo Blue, dan dibiarkan juga JR memesan sejambak bunga mawar tiga puluh kuntum.
Penat membeli-belah, mereka singgah ke sebuah kedai makanan segera untuk menjamu selera. Penampilannya pada kali itu sudah pun berbeza, biarpun belum lagi disarungi oleh pakaian berjenama atau haruman yang mengasyikkan, namun ia telah berjaya menarik perhatian beberapa orang anak gadis yang duduk pada meja berhampiran. Mereka asyik mencuri-curi pandang kepada dirinya sambil tersenyum-senyum berbisik.
“Pakcik.. tengoklah budak-budak tu..” panggil JR perlahan.
“Kenapa?” tanya ayah Nurul, sengaja pura-pura tidak mengerti.
“Mereka tak habis-habis menjeling pakcik.. entah-entah mereka dah jatuh cinta, tak?” usik JR dalam ketawa kecil.
“Issh.. kamu ni.. tak adalah mereka sukakan orang tua macam pakcik.”
“Sapa kata pakcik tua, pakcik masih nampak muda, macam baru tiga puluh dua!”
“Issy..” muka ayah Nurul bertukar merah.
“Itu belum auntie Salina tengok pakcik lagi! JR rasa kalau dia nampak pakcik malam ni, mesti cair punyalah dia!”
“JR rasa rancangan kita boleh berjaya?” tanya ayah Nurul, curiga.
“InsyaAllah.. sekeras-keras kerak nasi, lembut juga apabila terkena air..”
Dengan itu, ayah Nurul pun menjadi yakin. Terbinalah harapan-harapan indah mendambakan segalanya akan berubah. Bersemilah cinta-cinta yang selama ini ketandusan tanpa siraman seorang isteri. Mekarlah bunga-bunga impian untuk menyaksikan akan berlakunya keajaiban. JR dan Nurul sudah pun mengaturkan segalanya begitu licin sekali, kini hanya tinggal dirinya untuk mengawal suasana. Segala-galanya bergantung kepada bagaimana dia menyusun kata-kata dan apa pula reaksi isterinya nanti bila melihat penampilannya yang serba berbeza dari kebiasaannya.
Pintu pejabat ibunya diketuk perlahan. Segera mendapat jawapan dari dalam, Nurul pun memberanikan diri melangkah masuk. Dilihatnya ibu sedang duduk di kerusi sambil berbual dengan seseorang di talian. Apabila melihat anaknya datang, ibu lantas menamatkan perbualan.
“Sayang? Bila sampai?” tanya ibu seakan terkejut melihat kehadirannya.
“Ibu dah lupa? Malam ni kan kita ada temujanji..” jawab Nurul mengingatkan.
“Oh, ibu terlupa sayang..” kata ibu sambil menepuk dahi.
“Habis bila ibu nak bersiap?”
“Ibu tak tahu lagi.” Balas ibu ringkas.
“Kenapa? Bukankah ibu dah janji?” Nurul menunjukkan ketidak senangannya.
“Ibu betul-betul terlupa sayang..”
“Mana boleh ibu buat macam ni?”
“Ibu ada perbincangan perniagaan malam ni..Ibu tak tahu habis pukul berapa..”
Nurul benar-benar hampa melihat reaksi ibu. Entah kenapa, tiba-tiba dia merasakan bahawa orang yang berdiri di hadapannya itu bukanlah ibunya tetapi adalah seorang wanita kejam yang tidak punya perasaan.
“Hari ini kan hari minggu? Kenapa ibu kena bekerja?” bentak Nurul, marah.
“Ibu kan nak cari duit untuk memenuhi keperluan Nurul..”
“Tapi ibu dah berjanji! Mana boleh ibu mungkir!”
“Mesyuarat ibu tu penting..”
“Ibu tak boleh buat Nurul macam ni..” air mata Nurul hampir sahaja melimpah. Tidak tertahan sedihnya melihat reaksi ibu sedemikian. Rasa kecewa yang tajam menikam-nikam hati kecilnya.