Wednesday, December 2, 2009

Kalau Ada Cinta Part 6

HARI ini Irah menangis lagi. Diletakkan semua barang-barang yang baru dibeli di dapur. Dia duduk di satu sudut ruang itu menangisi nasib diri. Peristiwa sebentar tadi benar-benar mengusik hatinya. Kata-kata dan tohmahan yang dlemparkan menjerut perasaan. Benarkah Irah yang bersalah? Tapi kenapa? Berdosakah Irah? Irah ni perampas? Perosak kebahagian rumah tangga orang? Irah menangis lagi.

“Kau jangan ingat kau dah kahwin dengan anak aku kau boleh hidup senang-lenang! Aku tak terima kau jadi menantu aku faham! Perempuan tak sedar diri! Aku tahu kau kahwin dengan anak aku sebab gilakan harta dia!” Tergamam Irah saat kata-kata dan tuduhan itu dilemparkan padanya. Dia benar-benar tidak mengerti. Pertemuan dengan ibu mertua dan adik ipar yang tidak disangka-sangka rupa-rupanya mengundang bahana.
Dia dimaki, dihina dan dicerca semahunya oleh Zahidah dan Anim. Kononnya perempuan sepertinya tidak bermaruah, hanya tahu merampas laki orang. Tapi itu bukan kehendak Irah! Mahu sahaja dia bertempik dan meraung menyatakan yang dia tidak bersalah. Tapi, pasti mereka tidak akan menerima. Pada mata mereka Irah seolah sampah yang merosakkan pemandangan suasana. Hina sangatkah Irah semata-mata bergelar isteri kedua? Kenapa mereka tidak mahu mengerti kedudukan yang sebenar? Kenapa Irah harus dipersalahkan bulat-bulat? Bagaimana dengan Fariz? Ah! Lelaki itu langsung tidak menyayangi Irah. Irah cuma punya satu ikatan yang tidak bererti dengannya. Mungkin kehadiran Irah juga tidak diingini Fariz. Irah sedih.

Kali ini Fariz betul-betul mengamuk. Wajahnya merah merona.
“Mak tak patut buat macam tu! Irah isteri Fariz. Dia tak bersalah. Fariz yang mahu peristerikan dia!” Fariz mengetap bibir kegeraman. Zahidah masih lagi berpeluk tubuh. Ketegangan menular di segenap pelusuk ruang tamu.
“Kenapa bertindak melulu? Ida tak patut malukan dia di khalayak ramai. Kenapa nak tuduh dia macam tu tanpa mengetahui kedudukan yang sebenar?” Azri menegur. Kesilapan isteri dan anaknya harus diperbetulkan. Zahidah dan Anim menyangkakan Irah seorang yang tidak baik. Tergedik-gedik mahu menjadi bini nombor dua dan kenyataan yang Julia dengan rela hati membenarkan Fariz beristeri lagi cumalah satu alasan yang tidak boleh diterima. Mereka sangkakan Irah perempuan mata duitan yang tentunya kini seronok dengan kematian Julia. Dan kini Fariz serta hartanya sudah menjadi milik Irah sepenuhnya. Pandangan serong masyarakat terhadap isteri kedua rupa-rupanya menular dalam diri Zahidah, lalu dia membuat kesimpulan mudah, Irah seorang perempuan jahat. Rentetan dari perasaan tidak puas hati, Irah diserang dengan kata-kata makian yang tidak sepatutnya saat mereka bertembung di ibukota. Fariz yang sedang bersama isterinya tidak mampu bersuara ketika pertelingkahan itu berlaku. Malu apabila orang ramai memerhatikan gelagat mereka sekeluarga. Sebaik menghantar Irah pulang ke kondo, Fariz terus balik ke rumah ibunya, meninggalkan Irah menangis sendirian....

“Ida tak peduli bang. Ida tak boleh terima dia sebagai menantu. Ida tak suka dia!” Zahidah masih dibelenggu rasa marah. Benci dan meluat benar-benar telah menakluk hatinya.
“Suka tak suka dia tetap isteri Fariz. Irah tak buat salah apa-apa. Kenapa mak nak buat dia macam tu sekali? Apa salah Irah sampai mak buat macam ni?” Fariz diamuk perasaan marah. Mungkin dia tidak menyayangi Irah, tetapi sebagai manusia dia masih punya perasaan dan peri-kemanusiaan. Irah tidak patut dipersalahkan atas perkara yang berlaku.
“Abang ingat, kami nak terima dia semata-mata kerana dia dah berkahwin dengan abang? Dalam hati Anim cuma kak Ju aje yang layak bergelar kakak ipar, bukan perempuan tu. Anim tak boleh terima dia!” Anim pula membentak.
“Baik, kalau mak dan Anim tak nak akui Irah sebagai sebahagian dari keluarga ni bermakna mak dan Anim pun tak nak akui Fariz sebagai ahli keluarga. Tak guna Fariz terus bertekak dengan mak kalau itu pendirian yang mak pegang. Fariz mungkin bersalah kerana tak maklumkan perkara ni pada mak dan abah awal-awal, tapi Fariz tak sangka mak akan bertindak melulu menuduh Irah yang bukan-bukan.” Fariz bingkas bangun menuju ke muka pintu. Marahnya masih berbuku.
“Fariz! Nak ke mana tu?” Azri sempat bersuara, cuba menghalang langkah Fariz.
“Keluar! Mak tak nak terima Irah kan? Bermakna mak pun tak mahu menerima Fariz. Fariz pun tak ingin duduk dalam rumah ni kalau semua orang nak bersikap macam ni. Mak langsung tak percayakan Fariz. Mak kata Fariz tipu mak kan? Sengaja ambil kesempatan untuk kahwin lagi. Fine! Fariz boleh keluar!” Tinggi suara Fariz meluahkan perasaan geramnya. Zahidah benar-benar terkejut.
“Fariz! Nanti dulu!” Teriakan Zahidah tidak diendahkan. Sejurus kemudian kedengaran ngauman enjin kereta membelah kepekatan malam meninggalkan banglo itu.

Jari kakinya menguis-nguis permaidani yang terhampar di ruang tamu. Mulutnya masih terkunci.
“Irah marah lagi?” Geleng. Wajahnya tidak diangkat. Fariz menarik nafas. Perempuan! Mulut cakap lain, dalam hati fikir lain!

Fikiran Irah menerawang mengingatkan peristiwa itu. Peristiwa dirinya dimaki-hamun di khalayak ramai siang tadi. Masih ada rasa sedih yang bertaut di tangkai hati. Dia ingin melupakannya. Paling ingin dilupakan ialah tamparan Zahidah yang melekap di pipi. Terasa masih berbekas lagi. Dia tidak mahu dikatakan terlalu menurut perasaan. Namun, Irah juga manusia. Mana mungkin sebegitu mudah dia melupakan perkara yang menyakitkan hatinya.
Entah kenapa tiba-tiba air matanya berlinangan. Irah rasa betul-betul sedih. Sudahlah hatinya sepi, dia diperlakukan begitu pula. Hina sangatkah Irah ini?

Fariz tergamam tatkala melihat titisan-titisan jernih yang hadir di wajah lembut itu. Sayu pula hatinya melihatkan Irah. Dia tidak menyalahkan isterinya. Kalau Julia, mahu sahaja naik angin bila dituduh yang bukan-bukan. Julia seorang yang tegas. Berani bertindak bila dirasakan dia berdiri di pihak yang benar. Tetapi berlainan pula halnya dengan Irah. Apa sahaja yang dikata, Irah tidak melawan. Jauh sekali hendak meninggikan suara. Bila digertak sahaja sudah mahu menangis. Mudah benar dia menitiskan air mata.

“Jangan macam ni. Abang risau!” Irah merasakan ada jari-jemari yang menyentuh pipinya. Lembut. Dia mengangkat wajah. Fariz begitu hampir. Betul-betul menghadap wajahnya. Air matanya diseka perlahan. Direnung seketika wajah Fariz.

Fariz jadi risau. Belas hatinya melihatkan titik-titik jernih yang berlinangan. Tiba-tiba sahaja tubuh Irah diraih dalam pelukannya. Bukan untuk mengmbil kesempatan, tetapi hanya untuk menenangkan jiwa Irah yang ketika itu diamuk pilu.

Irah termangu. Dibiarkan dirinya tenggelam dalam dakapan erat itu. Entah kenapa timbul satu perasaan aneh dari dalam dirinya. Tika ini dia benar-benar merelakan dirinya diperlakukan begitu. Irah perlukan Fariz! Dia mendambakan kasih sayang dari seseorang yang menyokong dirinya. Tanpa sedar dia membalas pelukan itu. Kedua-dua tubuh itu tenggelam dalam rangkulan yang kian kemas.

Hati Fariz jadi bergelora. Nafsu lelakinya membuak-buak. Mana mungkin dia mampu menahan godaan duduk berdua-duaan dalam keadaan demikian bersama Irah. Dia hanya seorang lelaki. Lelaki yang berperasaan terhadap perempuan. Dan tika ini dia benar-benar mendambakan sentuhan dan belaian dari seorang perempuan. Dia rindukan belaian Julia, wanita yang benar-benar memahami dirinya. Tetapi Julia tiada di sisi. Yang ada hanya Irah....

Wajah Irah diangkat dan direnung sedalam-dalamnya. Ada sinar perasaan yang terpancar dari anak mata itu. Perlahan satu kucupan hinggap di dahi. Berderau darah Irah. Mulanya dia mahu mengelak, tetapi akhirnya dia sendiri tidak betah untuk melawan perasaan yang mula hadir dalam diri. Fariz makin ghairah bertindak. Dicium pula kedua-dua belah pipi Irah yang mulus. Direnung lagi wajah itu. Hanya wajah Julia yang terbayang di ruang mata. Dirinya penuh dengan perasaan ingin bermanja dan dibelai. Lalu dihampiri wajah Irah dengan nafas yang berat menahan gelodak hati. Dan Irah merelakan. Lalu dua bibir itu bertaut mesra.

FARIZ jadi bingung. Apa yang telah aku lakukan? Dia dihantui rasa kesal dan bersalah. Dia telah menyentuh Irah, sedangkan di hatinya tidak punya perasaan cinta pada perempuan itu. Apa yang diingati ketika itu hanyalah Julia. Julia yang di cintai, bukan Irah!

Aku tak patut buat Irah macam tu. Aku terlalu pentingkan diri. Aku gunakan tubuh dia semata-mata untuk puaskan nafsu aku! Fariz bungkam. Memang dia berhak ke atas Irah dan dia sendiri tidak memaksa Irah mahupun memperlakukannya dengan kasar, tetapi dia tetap menyesal. Menyesal dengan tindakannya meraih kesucian Irah tanpa secalit perasaan cinta. Dia masih ingat. Niatnya mengahwini Irah semata-mata untuk memenuhi permintaan Julia. Dia tidak kisah berkahwin dengan sesiapa pun asalkan hati Julia dapat dijaga. Mudah sahaja dia meminta pakcik Rafiq mencarikan calon. Biarlah siapa pun, cantik atau tidak, tidak menjadi ukuran. Cukuplah asalkan orangnya berperangai baik dan boleh dijadikan isteri. Dia juga berniat untuk meletakkan batasan yang tertentu pada Irah semata-mata kerana cintanya pada Julia. Kerana itu, Irah tidak pernah didekati sejak dari malam pernikahan lagi. Namun, Fariz akhirnya kalah. Kalah oleh percaturan yang dilakukannya sendiri. Sesalan tidak mampu memperbaiki keterlanjuran yang telah berlaku.

Kejadian itu bagaikan mengubah diri Fariz. Dia lebih banyak membisu dari bercakap. Tidur pun sudah tidak sekatil. Saban malam Fariz akan melenakan diri di sofa di ruang tamu. Langsung tidak mahu mendekati dirinya lagi. Di mana silapnya? Apa salah Irah? Kenapa Fariz jadi begitu? Irah tidak tenang. Mungkinkah Irah ada melakukan kesilapan? Irah tidak pasti. Mahu sahaja Irah memuntahkan persoalan si hati, namun dia tidak punya keberanian untuk berkata-kata. Lelaki itu bukan boleh dikira moodnya. Tidak menentu.

Sudah seminggu Fariz tidak pulang ke rumah ibunya. Irah dapat mengagak. Pasti ada pergaduhan yang berlaku antara dua beranak itu menyebabkan Fariz merajuk hingga bermalam di kondo untuk beberapa ketika. Fariz tidak menyatakan apa-apa, tetapi Irah merasakan pergaduhan itu pasti berkaitan dengan dirinya.

Hari ini Irah kesunyian lagi ditinggalkan bersendirian di kondo. Fariz sudah pulang ke rumah ibunya selepas menerima panggilan dari sana. Marahnya tidak lama. Mungkin sudah reda dan berbaik semula. Air dicincang tidak akan putus. Begitulah lumrah keluarga. Dan Fariz sendiri tidak mungkin akan memperpanjangkan lagi pergaduhan yang tidak akan membawa ke mana-mana itu.

Dia benar-benar rindukan Fariz, tetapi tidak mampu menyatakan perasaannya terhadap lelaki itu. Di malam hari dia terasa sepi. Tiada teman untuk berbicara. Tidur pun bersendirian. Irah sudah mula menyayangi Fariz. Tidak karuan rasanya bila Fariz tiada di sisi. Terbayang-bayang wajah Fariz di mana-mana. Inikah namanya cinta?

ZAHIDAH duduk membisu. Seisi ahli keluarga berdiam diri. Ada keresahan yang melanda. Belum pun habis banglo itu dilanda duka dek pemergian Julia dan pertelingkahan antara Zahidah dan Fariz, mereka diduga lagi. Kedatangan Kamarul Ariffin petang itu bersama hajat yang sungguh sukar ditunaikan meletakkan mereka dalam dilema.

“Saya tak tahu Julia sakit selama ni. Dia tak pernah beritahu saya.” Ujar Kamarul Ariffin membuka bicara setelah kedatangannya disambut oleh Fariz.
“Dah ajal. Tuhan lebih sayangkan dia.” Fariz menjawab perlahan. Masih terasa juga kehilangan Julia di sisi. Banglo itu dirasakan sungguh sunyi sejak kematian Julia. Kalaulah Julia masih ada di sisi, pasti keadaan tidak suram begini. Segala-galanya ceria bila wajah Julia bertamu di sini.

“Sebenarnya ada hajat yang saya bawa ke mari. Niat saya bukan untuk mencari gaduh atau berebut dengan sesiapa. Saya harap Fariz faham.” Kamarul Ariffin cuba juga menyuarakan hasrat hati walaupun dirasakan berat. Dia tahu, lambat-laun dia terpaksa berterus-terang juga.

Fariz dapat menghidu ada sesuatu yang merisaukan di balik kata-kata itu. Hatinya berdetik semacam. Wajahnya yang tadi tenang bertukar serius.

“Apa maksud Kamarul? Saya tak faham. Boleh berterus-terang? Kalau ada sesuatu yang boleh saya bantu, saya akan cuba setakat termampu.” Ujarnya.
“Lydia. Saya rindukan dia. Saya ingat nak ambil dia tinggal dengan saya.” Hati Fariz bagaikan dipanah petir. Dia tidak memberi sebarang respon.
“Saya tahu Fariz sayangkan dia. Tapi, saya ayah kandungnya. Selama ini saya berikan hak penjagaan kepada Julia kerana Lydia perlukan ibunya. Tapi sekarang, Julia pun dah tak ada. Saya berhak ke atas Lydia. Saya tidak berpeluang mencurahkan kasih-sayang saya pada Lydia. Berilah saya kesempatan untuk memperbaiki kesilapan. Lydia perlukan ayah kandungnya.” Mulut Fariz bagaikan terkunci. Terbayang di ruang mata wajah Lydia yang comel lagi keletah. Bukan setakat dirinya malah seluruh ahli keluarga menyayangi Lydia. Memang Lydia bukan darah dagingnya tetapi dia tidak pernah mengasingkan Lydia dari hidupnya. Dia sayangkan anak kecil itu seperti anak kandungnya sendiri. Mana mungkin aku sanggup menyerahkan Lydia pada dia! Lydia juga anak aku! Hanya kerana dia ayah kandung Lydia maka dia sahajakah layak untuk menuntut haknya? Alasan!

“Saya dah berjanji pada Ju untuk jaga Lydia.” Fariz bersuara setelah sekian lama membisu. Dia tidak memandang wajah Kamarul. Ada rasa geram dan marah yang berbaur. Dia tidak rela Lydia dirampas dari sisinya. Lydia permata hati keluarga itu. Menyerahkan Lydia pergi ibarat memadamkan sinar dalam keluarganya. Lydia satu-satunya cucu yang ada!
“Saya tahu! Tak patut saya meminta begini. Saya sedar, besar pengorbanan Fariz menjaga Lydia dan Julia selama ini. Tapi berilah saya kesempatan untuk memperbaiki kesilapan saya. Saya tak mahu memperbesar-besarkan hal ini. Saya datang dengan cara baik. Jangan sampai kita bertelagah di Mahkamah. Fikirkanlah Fariz. Ini untuk kebaikan Lydia juga. Saya tak mahu suatu hari kelak dia mebesar dengan perasaan dendam dan benci pada saya kerana tidak menjalankan tanggungjawab saya sebagai bapa. Kalau Fariz punya anak sendiri, Fariz akan lebih mengerti.” Hati Fariz terguris mendengar kata-kata itu. Dia ingin membidas, tetapi tidak mampu.
“Tidak! Saya takkan serahkan Lydia. Dia sebahagian dari keluarga ni. Saya tak kisah kalau awak nak datang melawat dia sekali-sekala, tapi untuk serahkan dia, No!” Fariz memberi jawapan dengan nada tegas.
“Papa! Papa!” Anak kecil yang dipimpin Anim melepaskan pegangan lalu lari mendapatkan Kamarul Ariffin. Anim terpinga-pinga. Mereka baru sahaja pulang dari Taman Permainan Kanak-kanak. Sengaja Anim membawa Lydia ke sana untuk memujuk. Panggilan papa oleh anak kecil itu mengguris hati Fariz. Lydia memeluk erat tubuh Kamarul Ariffin. Penyatuan dua insan itu mengharukan suasana.
“Papa! Abah cakap mama dah tak ada. Mama dah pergi jauh.” Lydia mula merengek. Jelas nampak kerinduan yang menebal pada mamanya di wajah anak kecil itu.
“Papa tahu sayang!” Erat Kamarul Ariffin memeluk Lydia.
“Papa pergi mana? Lia rindu kat papa. Dulu Mama kata papa dah pergi jauh. Mama pergi tempat sama macam tempat papa pergi ke? Nanti mama balik sini lagi tak?” Soalan Lydia makin menjerut perasaan. Dia benar-benar tidak mengerti.
“Tak sayang. Mama takkan balik lagi. Sebab mama pergi tempat lagi jauh dari papa. Papa pergi kejap aje. Sekarang papa dah balik. Lia nak tinggal dengan papa tak?” Soalan Kamarul menduga hati Fariz.
“Nak. Lia rindu sangat kat papa. Tapi Lia pun sayangkan abah. Papa tinggallah sini. Kita tinggal sama-sama.” Kamarul menggeleng.
“Lia.” Fariz memanggil Lydia. Pantas dia berpaling. Mata bulat yang diwarisi dari Julia itu berkedip-kedip memandangnya.
“Lia nak tinggal dengan papa atau abah? Mana Lia lagi suka?” Fariz menyoal satu-satu. Perasaan Lydia juga harus diambil kira.
Seketika Lydia menggaru kepala lalu memandang kedua-dua wajah itu.
“Lia nak tinggal ngan papa.” Kata-katanya sudah cukup untuk memberikan satu keputusan yang nyata….


-------------- Sedutan episod ke 7 ------------------


“Semudah itu ke tanggungjawab seorang suami? Abang betul-betul bertanggungjawabkah? Abang sebenarnya ego! Abang cuma fikirkan tentang diri abang! Abang ingat kemewahan boleh beli diri Irah? Irah manusia bang! Irah ada perasaan. Pernah abang tanya tentang perasaan Irah? Pernah abang peduli Irah sedih atau gembira? Selama ni Irah sunyi. Sangat sunyi. Irah perlukan seorang teman. Irah perlukan kasih-sayang abang. Tapi abang langsung tak ingin memberi. Abang buat Irah rasa macam perempuan simpanan! Abang sentuh Irah tanpa sedikit pun perasaan sayang. Irah sedih! Irah malu! Irah pun ada harga diri bang!” Irah meluahkan perasaan yang sekian lama terbeban dalam diri. Biar Fariz tahu, bukan selamanya Irah akan tunduk dan mengalah oleh perbuatan lelaki itu!