Wednesday, December 2, 2009

Kalau Ada Cinta Part 14

PATUTKAH dia cemburu? Apakah ini rasa cemburu? Cemburukah aku? Argh! Bingung betul rasa hati. Bodoh! Dihenyakkan tubuhnya ke atas tilam yang empuk. Sebetulnya dia mahu melelapkan mata sahaja, menenangkan fikiran yang kini benar-benar bercelaru. Namun, ada sesuatu yang mengganggu fikiran tatkala ini. Wajah-wajah itu....

Dia sendiri tidak mengerti perasaannya. Melihatkan Irah berdua-duaan bersama seorang jejaka hari itu membuatkannya tidak senang duduk. Tidak pernah dia melihat Irah berdua-duaan dengan lelaki lain. Itulah kali pertama dan pada kali pertama itulah juga hatinya terusik. Macam-macam yang difikirkan. Siapa lelaki itu? Abangnyakah? Mustahil! Irah tidak punya abang. Dia sedia maklum tentang itu. Habis, siapa lelaki tu? Hati kecilnya masih bertanya, ligat mencari jawapan yang tidak dimilikki. Kemesraan mereka benar-benar meruntun hatinya.
“KITA nak ke mana ni?” Persoalan itu mematikan lamunannya. Sepasang mata tertumpu ke arahnya, meminta jawapan.
“Apa dia?” Dia bertanya kembali.
“Saya tanya kita nak ke mana ni? Awak ni kenapa? Mengantuk ke? Kalau mengantuk, berhentilah dulu. Karang accident kang siapa yang susah!” Irah mula mengomel. Mereka baru sahaja pulang dari rumah anak-anak yatim untuk menyiapkan tugasan yang diberi. Segala maklumat yang dikehendakki sudah sedia diambil. Semuanya akan dirangkum bersama untuk dimuatkan dalam laporan mereka nanti.

“Baliklah, kemana lagi?!” Jawab Hadi acuh tidak acuh. Hatinya tidak senang. Bicaranya juga tidak petah dan mesra seperti selalu. Apa kenanya dengan dia? Irah ingin bertanya, tetapi bimbang dikatakan sibuk menjaga tepi kain orang.

“Kalau nak balik kenapa ikut jalan ni? Ini kan jalan nak ke Putrajaya. UPM kat sana cik abang oi!” Tegur Irah. Hadi menggaru kepala yang tidak gatal. Baru tersedar dia telah masuk ke lorong yang salah. Sungguh fikirannya menerawang sebentar tadi.

“Awak ni kenapa Hadi? Bawak kereta pun tak ingat jalan balik. Risau saya! Sakit ke?” Ha... Memang! Sakit hati tau tak!

“Tak ada apa-apalah!” Hadi merengus. Wajahnya mencuka sejak dari tadi lagi. Sepanjang hari itu pun mereka jarang berbual kerana Hadi berat mulut benar untuk berkata-kata. Ada tongkol emas agaknya dalam mulut tu!

“Awak marah kat saya ke?” Irah menduga lagi. Kali ini suaranya perlahan sahaja. Matanya melirik ke arah jejaka itu. Angin semacam!

“Saya tak marah. Cuma....,” Ish! Mulut ni memang tak ada brake langsung! Kenapa boleh terkeluar pulak perkataan ‘cuma’ tu?
“Cuma apa? Awak ada masalah ke? Tak nak share dengan saya?” Soal Irah. Risau juga melihatkan keadaan temannya yang moody semacam hari itu. Biasanya Hadi bersikap ramah dan riang. Tetapi tidak pula hari ini.

“Entahlah. Saya pun tak tahu nak cakap macam mana. Saya bengang!”
“Hadi, awak....,” Belum sempat Irah menghabiskan ayatnya lelaki itu lebih dahulu memotong.
“Saya perlu berbicara dengan awak Irah.” Suara Hadi mendatar, serius.
“Ya, saya sudi mendengar. Apa masalahnya? Saya ada buat sesuatu yang menyakitkan hati awak ke Hadi?” Irah rasa bimbang. Apa pulak silap aku?
“Irah, saya mahu berterus-terang dengan awak.” Suaranya masih lagi seperti tadi. Sedikit keras dan tegas. Matanya langsung tidak memandang wajah Irah. Tiba-tiba sahaja kereta itu diberhentikan di bahu jalan.
“Eh Hadi! Apasal awak berhenti kat sini? Mana boleh berhenti sesuka hati kat sini. Kena saman karang. Kut iye pun cakap ajelah. Tak boleh ke cakap sambil drive?” Panik seketika Irah dibuatnya.

Hadi membisu. Kata-kata Irah itu dibiarkan sahaja tanpa sebarang reaksi. Sebaik enjin dimatikan, dia membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Suasana ladang UPM yang menghijau di tepi jalan menggamit perasaan. Cuba dipujuk hati yang bercelaru. Cuba dipupuk segala kekuatan diri.

“Hadi, kenapa ni?” Irah turut keluar dari kereta, mengekori lelaki itu. Hairan dengan sikap Hadi yang berubah sedemikian.

“Irah jumpa siapa pagi tadi?” Hadi mula memuntahkan persoalan pokok. Bola matanya tepat memandang wajah perempuan itu tanpa berkedip.

Irah termangu-mangu. Otaknya berfikir sejenak. Seketika dia terdiam. Patutkah dia memberitahu Hadi yang dia berjumpa Fariz pagi tadi? Memang lelaki itu ada datang ke kolej berjumpanya. Sengaja Fariz singgah melawatnya untuk memberitahu tentang perkembangan anaknya. Apa pula pandangan Hadi kalau dia tahu yang Irah sebenarnya..... Ah! Pastinya Hadi akan berfikir yang bukan-bukan. Selalunya begitu. Kalau sudah bergelar janda, tentu dipandang rendah dan serong di mata masyarakat, walhal bukan kehendaknya untuk jadi begitu. Wajahnya berubah. Bibirnya bagaikan terkunci. Wajarkah dia berbohong?
“Irah. Saya tahu saya tak patut masuk campur dalam hal peribadi awak. Awak berhak jumpa sesiapa pun. Itu hak awak dan saya tak ada kena-mengena langsung. Ya, saya cuba berfikiran begitu. Tapi hati saya menolak sama sekali. Terus terang saya katakan, saya rasa cemburu bila lihat awak berdua-duaan dengannya. Saya lihat awak berdua begitu mesra. Saya tak patut berperasaan begini. Saya kesal!” Hadi tertunduk. Irah menelan liur. Ada sesuatu yang tidak enak terkesan olehnya.

“Hadi...,”
“Irah, biar saya habiskan. Kalau tidak mungkin saya takkan cakap langsung pada awak. Saya tak sanggup terus memendam perasaan macam ni. Sebenarnya, saya sukakan awak. Sejak dari pertemuan pertama kita. Sejak itu saya berusaha untuk berkawan dengan awak. Dan bila saya lihat awak bersama lelaki lain,saya rasa tercabar. Saya tak pandai bermain dengan kata-kata Irah. Straight to the point. Sebenarnya saya rasa saya dah jatuh cinta kat awak.” Irah rasa macam mahu pengsan. Gugur rasa jantungnya. Wajahnya panas. Bagaimana ini boleh terjadi?

“Irah, saya mahu tahu adakah awak punya seseorang yang istimewa di hati awak? Boleh berikan saya peluang untuk mengenali awak dengan lebih lanjut?” Ada harapan yang disandarkan pada persoalan itu. Bagaimana Irah harus memberi jawapan? Keliru!

“Hadi, saya...., saya rasa tak sesuai kita berbicara soal hati sekarang. Kita masih belajar.” Irah cuba menangkis soalan itu.
“Kalau perasaan yang saya alami terhadap Irah ini suatu dosa, kenapa Tuhan menganugerahkannya? Mengenal hati budi seseorang juga merupakan satu pelajaran. Saya ingin belajar mendekati Irah. Tapi saya takkan dapat berbuat demikian kalau Irah sendiri tidak sudi. Saya mahu tahu Irah adakah saya punya peluang itu bersama awak?” Irah benar-benar mahu mengelak. Dia rasa tersepit. Sesungguhnya dia takut untuk jatuh cinta sekali lagi. Suatu ketika dia pernah jatuh cinta. Tetapi cinta itu mengundang seribu satu keperitan dan hampir-hampir menghancurkan hidupnya.

“Hadi, kalau awak ingin bercinta, carilah perempuan yang setara dengan awak. Saya bukanlah pilihan yang sepatutnya. Awak tidak kenal saya. Tidak tahu latar belakang diri saya. Dan saya sendiri tidak mahu membuka pekung di dada. Kita lupakan sahaja apa yang diperkatakan ini.” Balas Irah.

“Kerana saya tidak tahulah maka saya nak mengenali diri Irah. Irah tidak mahu beri peluang kepada saya? Atau adakah Irah pernah disakiti?” Tersentuh seketika hati Irah. Hatinya memang pernah disakiti. Bukan sekali. Berkali-kali....

“Hadi, sesetengah perkara sukar untuk dijelaskan. Cuma apa yang saya nak katakan di sini, saya lebih menghargai persahabatan kita dan saya berhasrat untuk kekalkannya begitu. Apa yang telah saya alami banyak mengajar saya tentang erti kehidupan. Buat masa ini, bercinta adalah perkara terakhir yang mungkin akan saya buat kerana banyak perkara lain yang ingin saya tumpukan.” Jelas Irah. Hadi menarik nafas.
“Berilah saya peluang Irah. Kita cuba kenal hati budi masing-masing. Saya tidak mahu mengalah selagi belum mencuba. Saya cuma minta satu peluang dari awak. Saya janji tidak akan kecewakan awak!” Pujuknya.

“Hadi, saya bukanlah seperti yang awak sangkakan!” Irah masih bertegas.

“Kenapa tidak? Awak takutkah? Kita belum lagi mencuba, kenapa mesti awak mengatakan tidak?” Gesa lelaki itu lagi. Irah menggeleng-geleng. Lelaki itu terlalu mendesak. Bagaimana harus diterangkan?

“Beri saya alasan yang kukuh Irah. Kalau awak sudah berpunya, saya akan mengalah. Tetapi kalau tidak, berikanlah saya peluang. Please! Jujur dengan saya Irah.” Pujuk Hadi lagi. Mana mungkin sebegitu mudah dia melepaskan bunga yang diidam-idamkan selama ini. Perasaan yang baru berputik itu haruskah dibiarkan mati?

“Hadi...,” Irah mengangkat wajah, memandang lelaki yang merenungnya. Ada sinar cinta dari mata lelaki itu. Hati Irah makin sayu. Lelaki itu memang seorang teman yang baik. Terbayang olehnya kenangan bersama lelaki itu. Bagaimana pertemuan mereka berlaku dan persahabatan yang terjalin. Wujudkah rasa cinta di hatinya untuk Hadi?

“Biarlah saya berterus-terang Hadi. Lepas ni, awak buatlah keputusan sendiri. Sememangnya untuk saya memberi peluang kepada seorang lelaki bagi mencintai saya amatlah sukar. Hidup saya pernah hancur sekali. Tak sanggup saya hancurkannya sekali lagi.” Keluh Irah. Dirasakan ada sesuatu yang tersekat di kerongkong tika ini.

“Apa maksud awak Irah?” Mata bening itu merenung batang tubuh Irah, mahu mengetahui segalanya.

“Dulu, saya pernah berkahwin. Saya punya seorang anak lelaki. Masih kecil. Baru berusia setahun. Saya berpisah dengan suami ketika masih mengandung. Saya seorang janda Hadi.” Lelaki itu tergamam. Sungguh dia tidak menyangka. Suasana hening seketika. Angin petang yang bertiup kencang langsung tidak dirasakan meyapa tubuh.

“Saya harap awak dapat simpan apa yang saya beritahu ini. Saya berterus-terang kerana saya tidak mahu awak membuang masa memikirkan perkara yang tidak sepatutnya. Saya tahu, orang akan pandang serong pada perempuan macam saya. Saya sedar status saya. Dan buat masa sekarang, saya nak belajar bersungguh-sungguh supaya saya dapat pekerjaan yang baik dan dapat jaga anak saya dengan sempurna. Saya harap awak mengerti.” Hadi masih terdiam. Tiada kata diluahkan.

“Marilah kita balik. Hari dah petang.” Ujar Irah sambil kembali ke perut kereta. Sesungguhnya penjelasan itu telah membuatkan satu hati kecewa. Bintang yang ingin dicapai rupa-rupanya hanya debu kaca yang berterbangan di kala malam....


------------------- sedutan episod ke 15 ------------------------------------

“Apa maksud ayah? Fariz tak faham.”
“Fariz tak terfikir ke nak berbaik semula dengan Irah. Maksud ayah kahwin semula dengan Irah?” Duga Azri. Anak mudanya tersentak. Kahwin semula? Dengan Irah? Dia termenung, agak lama. Bagaimana harus dijawab soalan itu? Lama dia berfikir sebelum bersuara semula.

“Abah, Irah tu susah dijangka. Abah pun tahu apa yang berlaku antara Fariz dan dia. Fariz sendiri tak ingin semua ni terjadi. Tapi, dia sendiri yang ingin bebas.” Azri menggelengkan kepala mendengarkan jawapan anaknya itu. Kau masih terlalu mentah Fariz! Banyak lagi yang perlu kau pelajari dalam hidup ini! Bisik hatinya.