Wednesday, December 2, 2009

Menggapai Kasih Part 6

Beberapa hari berlalu, semuanya hambar dirasakan. Daun kalendar gugur satu persatu. Siang berubah berganti malam. Kemudian malam pula pergi diganti siang. Rutin hidup Nurul berjalan seperti selalu. Pagi; pergi ke sekolah fardhu ain, petang pergi ke sekolah kebangsaan, malam pula pergi ke pusat tuisyen. Setiap waktu membawa wajah-wajah buntu. Tika di sekolah, dia terpaksa menghadap muka Zainol yang menyakitkan perasaan, pulang ke rumah, dia terpaksa melihat ibu mencerca ayah. Esok, dia kena ke sekolah lagi. Kemudian pulang ke rumah lagi. Tidak banyak perkara-perkara yang membahagiakan, apa yang selalu dialaminya ialah kesedihan.
Malam itu, semasa dia pulang dari kelas tuisyen, dia menyeret kakinya perlahan-lahan. Dia tidak banyak bersuara dan JR pula, ingin sekali bertanya tetapi keberaniannya tidak ada. Maka dengan itu, dia turut menjadi diam. Mereka berjalan terus, beriringan menghala ke jalan sunyi yang dilitupi kabus. Cahaya jingga tumpah menerangi, tetapi sinarnya yang kabur itu tidak mampu mengubah suasana kelam. Langit hitam tanpa bintang dan bulan juga tidak kelihatan.
Ke manakah perginya bintang Polaris? Apakah bintang Polaris sudah merajuk? Apakah bintang Polaris juga tidak sudi untuk menghiburkan hati ini?
Tiba-tiba dia teringat bahawa sekarang ialah bulan Julai. Bintang Polaris hanya akan kelihatan bermula dari bulan Disember sehingga ke penghujung bulan April. Dia adalah seorang gadis yang terlalu suka bermimpi. Dia menyangka buruj akan terbentuk pada setiap musim. Seperti lautan yang ada pasang surutnya, kombinasi bintang pun begitu juga. Bila berubah kedudukan bumi, berubahlah juga pemandangan bintang di kaki langit.
Nurul tunduk semula, menghilangkan lenguh di tengkuk kerana mendongak. Dia cuba hendak mara, tetapi tiba-tiba JR menarik hujung bajunya. Dia terdorong beberapa inci ke belakang.
“Kenapa?” tanyanya sedikit marah.
“Tu..” JR menunjukkan kepada tiga orang remaja lelaki yang entah dari mana munculnya, tiba-tiba datang mengelilingi mereka. Setiap seorang daripada mereka memandang dengan penuh makna, sambil tertawa sinis. Saling tak tumpah bagai samseng dalam cerita aksi.
Nurul menarik nafas cemas. JR berselindung di belakangnya.
“JR..” bisik Nurul.
“Apa?” JR tidak berani menguatkan suara.
“Apa dia orang nak ha?”
“Tak tahu..”
“Ishh.. kau ni, janganlah penakut sangat!”
Suara ketawa bergema lagi. Tubuh mereka menjadi kecut.
“Kau ada duit?” tanya salah seorang lelaki yang tampaknya punya gaya seperti seorang ketua.
“Tak ada..” ucap Nurul, gentar.
“Tu, yang pondan belakang tu, ada duit tak?”
JR tersentak.
“Err.. tak ada..” jawab JR, gentar juga.
Nurul memejamkan matanya kesal. Mengapalah pada saat-saat begini, JR yang seharusnya tempat untuk dia sandarkan harapan tetapi sayangnya bertindak laku lebih lemah dari seorang perempuan.
“JR!” bisik Nurul lagi.
“Apa?”
“Kau lawanlah mereka..”
“Issh.. kau nak aku mati ke?”
“Apalah kau ni.. sikit pun tak boleh nak diharap!”
Ketiga-tiga orang samseng itu kian mendekati. Tidak berupaya membalas, Nurul biarkan begnya dirampas. Beg itu dilambung tinggi. Berpindah dari satu tangan ke tangan yang lain. Pening kepala Nurul melihat permainan itu. Bimbang lagi dia membayangkan kemungkinan yang bakal berlaku. Di saat ini, dia cuma teringatkan ayahnya. Di manakah ayahnya berada sekarang? Dapatkah ayahnya mengesan bahawa anak kesayangannya kini sedang berada di ambang bahaya?
“Hoi!” tiba-tiba terdengar suara lelaki menyergah.
Samseng-samseng itu semuanya berpaling. Nurul ikut berpaling, mengharapkan kalau-kalau yang datang menyergah itu adalah ayahnya.
“Tak ada kerja lain ke nak buat?” sergah suara lelaki itu lagi. “Tak malu nak kacau perempuan?”
Samseng-samseng itu ketawa sesama sendiri bila melihatkan bahawa teriakan yang penuh berani itu rupa-rupanya datang dari seorang pemuda berkulit cerah. Sangka mereka jika ada wira berani mencabar, biarlah orangnya gagah seumpama jaguh gusti. Tetapi sayangnya, orang yang kononnya memiliki semangat bertarung yang tinggi, rupa-rupanya sekadar ranting sebantang. Tanpa perlu bertarung bertiga, seorang sahaja sudah mencukupi untuk mematahkan tulang-tulang lembut buat hidangan pembuka selera.
Pergelutan pun dimulakan. Didahului oleh samseng yang paling besar tubuh badannya. Diikuti pula oleh anak-anak buah yang sekali-sekala datang mencelah apabila melihat ketua mereka berada di ambang musibah. Jurus pertama berjaya menumpaskan samseng pertama. Jurus kedua pula dibuka kini bagi menumpaskan samseng kedua dan ketiga sekali gus, memandangkan mereka menyerang secara serentak dari dua arah yang bertentangan. Banyak tumbukan bersilih ganti kepada buah-buah tendangan yang maha keras lagi maha menyakitkan. Namun semua itu dapat ditahan secara mudah. Tak banyak tenaga perlu diperah. Penangan-penangan musuh dianggap rapuh bagai anak kucing baru belajar mencakar.
Akhirnya pertarungan berjaya jua sampai ke kemuncak apabila musuh-musuh lari bertempiaran, hendak menyelamatkan diri masing-masing. Suasana yang serba kecoh kini bertukar menjadi aman. Medan pertarungan yang serba menakutkan kini berubah menjadi medan bertukar-tukar salam penghargaan.
“Nurul tak apa-apa?” tanya si pemuda selepas yakin musuh-musuh tadi tidak berani kembali.
“Eh, macam mana awak:-“ Nurul tidak dapat meneruskan kata-katanya apabila terpandangkan siapa gerangan wira yang telah menyelamatkannya.
“Ya.. saya Zainol.” ucap lelaki itu sambil tersenyum. “Saya harap pertolongan saya ni dapat meraih kemaafan dari Nurul.”
Nurul serba-salah mahu memberikan kata-kata. Sepertimana JR yang terkelu tidak bersuara, seperti itulah keadaan dirinya yang dikelilingi oleh perasaan malu, kesal dan terharu.
“Malam dah lewat ni..” lanjut Zainol. “Biarlah saya hantar Nurul pulang..”
“Pergilah..” gesa JR yang sedia memahami apa yang sedang bermain di fikirannya.
“Kau tak kisah aku tinggalkan kau sendiri?” dia meminta kepastian.
Geleng.
“Kalau macam tu aku pergi dulu..”
Zainol tersenyum girang menerima persetujuannya. Segera dia mengambil beg Nurul dan barang-barang yang bergelimpangan, segera juga dia memimpin tangan Nurul menuju ke motosikal yang diletakkan tidak jauh dari tempat kejadian.
JR tinggal sendirian di samping basikal buruknya. Dia membiarkan apa yang berlaku tanpa dapat menghalang semuanya dari terus berlaku. Dia bukannya ahli ramal ataupun seorang tukang tilik, tetapi dia ada semacam kepercayaan bahawa keadaan selepas ini tidak lagi akan serupa seperti sebelumnya. Segala-galanya akan berubah dan berpaling arah laksana air sungai yang telah melimpah.
Senyuman Nurul yang dilihatnya tadi adalah senyuman gembira! Renungan romantis Zainol yang diperhatikannya tadi adalah renungan cinta! Dan di antara dua jejaka yang saling berlumba, hanya mereka yang paling gagah akan berjaya!
Demikianlah takdirnya jiwa manusia. Jarang sekali terlaksana mengikut sebagaimana yang dirancang. Sekali hati telah berubah, tingkahlaku juga akan berubah. Dan perubahan itu berlaku dengan pantas, lebih pantas dari hembusan angin kencang di musim tengkujuh, lebih menggerunkan lagi, perubahan itu sendiri tidak bisa disedari oleh orang yang memilikinya sebaliknya orang-orang yang paling hampir dengannyalah jua yang terpaksa merasai segala akibatnya.
Perubahan itu jika mengarah kepada kebaikan, sememangnya perubahan seumpama itu digalakkan. Akan tetapi sekiranya perubahan itu menjurus kepada sesuatu yang bersifat negatif, maka besarlah bekasnya yang ditinggalkan kepada orang-orang yang hampir dengannya. Biarpun apa jua usaha dilakukan supaya perubahan itu dapat dihentikan atau setidak-tidaknya ditahan dari terus berlarutan, namun jika ianya tidak mendapat kerjasama dari pihak yang terbabit, maka payahlah usaha itu untuk membuahkan kejayaan.
Keadaan kini berlainan benar dari yang sebelumnya. Nurul yang JR kenali sebagai seorang yang sangat mengerti, tiba-tiba bertukar gaya, menjadi seseorang yang begitu asing untuk didekati. Kalau dahulu, pada musim-musim peperiksaan begini, mereka akan duduk berdua di bawah pondok cendawan sambil mengulangkaji pelajaran, atau langsung sahaja singgah ke perpustakaan mencari buku-buku rujukan, kemudian pula setelah kepenatan berbincang tentang subjek pendidikan, mereka akan lepak-lepak menenangkan fikiran di kafetaria. Banyak perkara menjadi topik perbualan dan banyak juga isu yang mereka utarakan. Sehinggalah akhirnya apabila tiba waktu periksa, mereka masuk ke dalam dewan bersama senyum keyakinan. Atas satu matlamat dan sokongan yang dibina bersama, mereka berjaya membuktikan kepada sekalian teman-teman seperjuangan bahawa merekalah pelajar-pelajar yang cemerlang!
Namun kini tatkala musim peperiksaan tiba lagi, JR tiba-tiba terbiar menyendiri. Bagai orang yang sudah dilupakan, dia duduk tanpa teman di bawah pondok cendawan. Mengutip kembali kenangan-kenangan yang masih tersimpan, kemudian dia berjalan pula ke perpustakaan. Menyelak beberapa lembaran buku pelajaran, suasana tersangat hambar dirasakan. Akhirnya dia menyeret kakinya ke kafetaria. Dan di situ juga dia temui kekosongan. Di mana-mana pun sudah tiada lagi kesenangan-kesenangan.