Selepas bersiram dan makan, Nurul ke ruang tamu semula. Pada waktu itu jam sudah mencecah ke angka sepuluh. Ibu sudah tiada di ruang tamu tetapi ayah, dia dapat melihat kelibat ayahnya sedang duduk di halaman luar, bertemankan julaian pokok-pokok hiasan dan sinaran bulan purnama empat belas hari. Dia pun memberanikan diri menjejaki ayahnya. Sambil membawa secawan kopi panas, dia menyapa ayah, lalu duduk pada sebuah kerusi kosong yang melengkapi set meja logam berukiran indah, corak bunga kerawang.
Dinginnya suasana malam itu, berlainan benar dari kebiasaannya. Entah oleh kerana hujan senja tadi atau sememangnya kedinginan rumah ini yang menjadikan persekitaran sebegitu. Pokok-pokok puding bertimpa-timpa tumbuh memanjat jaringan kayu dan pokok-pokok orkid tumbuh bergayutan di dalam pasu-pasu comel yang berlubang-lubang dasarnya.
“Minum, ayah.” Nurul menghulurkan cawan kepada ayahnya.
“Terima kasih..” ucap ayah sambil tersenyum nipis. “Apa Nurul buat kat sini?”
Nurul sengaja buat-buat ketawa. Kononnya hendak menimbulkan kemesraan.
“Nurul nak teman ayah tengok bulan..” jawabnya selamba.
Mendengarkan itu, ayah turut ketawa.
“Buat apa? Bulan tu tak akan lari ke mana..”
“Sebab tak larilah kita boleh tengok.. kalau dah lari, macam mana nak tengok..”
Ayah ketawa lagi.
“Pandai anak ayah ni..” ayah menampakkan barisan giginya yang cantik. “Kenapa Nurul tak tidur lagi, esok kan hari sekolah, kalau tak cukup tidur, nanti tak dapat pula belajar dengan baik..”
“Alah.. sekali-sekala, Nurul nak juga temankan ayah..”
“Tapi ibu tentu marah kalau dia tahu Nurul di sini..”
“Nurul dah biasalah ayah.. lagipun Nurul bukannya buat apa-apa yang salah..”
“Eh, kenapa Nurul cakap macam tu?”
“Iyalah, salah ke sekiranya seorang anak berbual-bual dengan ayahnya? Tidak pernah tercatat dalam mana-mana buku perundangan dunia sekalipun, mengatakan bahawa seorang anak itu tidak boleh berbicara dengan ayahnya..”
Ayah mengangguk kagum. Terharu dan tersentuh, mata ayah berkaca-kaca. Bagai ingin melindungi apa yang terserlah, ayah segera meneguk kopi dari cawannya.
“Ayah bukan apa, Nurul..” sambung ayah selepas beberapa ketika. “Ayah terlalu sayangkan Nurul dan ayah tak sanggup melihat Nurul dimarahi hanya disebabkan oleh ayah..”
“Kan Nurul cakap tadi, Nurul dah lali..”
“Jadi Nurul tak kisahlah?” duga ayah.
“Hemm..” Nurul menganggukkan kepalanya.
“Walaupun selepas mendengar segala-galanya tentang ayah dari ibu?”
Angguk lagi.
“Nurul tak mahu ambil pusing tentang tanggapan ibu terhadap ayah. Nurul punya tanggapan Nurul yang tersendiri.. dan Nurul tak akan ubah tanggapan Nurul itu hanya kerana sebuah cerita silam..” tegas Nurul penuh keyakinan dan kesungguhan.
“Terima kasih Nurul..” suara ayah tenggelam dan makin perlahan. Ayah memandang meja. Dahinya berkerut-kerut dan dadanya berombak-ombak tidak menentu.
“Ayah?” Nurul menjadi bimbang. “Ayah tak apa-apa ke?”
“Tak.. ayah tak apa-apa..” ayah kembali mengangkat kepalanya sedikit demi sedikit. Dari kilauan sinar rembulan, terbias tangisan jernih dari pipi bersih ayah.
“Kenapa ayah nangis?”
“Taklah.. mana ada ayah nangis..” dalih ayah.
“Eleh.. Nurul dah nampak..”
“Nampak apa?”
“Air mata ayah..”
“Ini bukan air mata.. mata ayah ni, tak tahan kena asap kopi ni..”
“Iyalah tu..”
Lantas mereka berdua ketawa oleh kata-kata yang bersahaja dan mengusik sanubari.
Sementara menunggu bicara selanjutnya, keadaan kembali menjadi sunyi. Dan resah sayu seorang lelaki tetap jua dapat Nurul baca dari raut wajah ayahnya.
“Ayah.. boleh Nurul tanya satu soalan?” soal Nurul, satu lagi percubaan berani dari dirinya.
Ayah mengebam bibir. Ayah pandang gadis remaja di hadapannya, tenang.
“Nurul boleh tanya seberapa banyak yang Nurul suka..”
Nurul puas hati dengan jawapan ayahnya.
“Hidup ayah dengan ibu terlalu derita.. Kenapa ayah tak mahu ceraikan ibu saja?”
Ayah agak kaget pada mulanya untuk memberikan balasan. Tidak terduga bahawa soalan itu akan diajukan, dia juga belum bersedia untuk menerima sebarang persoalan yang terlalu peribadi. Namun menyedari soalan itu datangnya dari seorang anak yang seharusnya diberikan penjelasan, dan tidak ada apa yang patut dirahsiakan, maka akhirnya dia mengalah.
Ayah menarik nafas dalam. Ayah berpaling dahulu kepada halaman rumah sebelum kembali bertaut menatap Nurul yang sedang bermain kebimbangan, bimbang sekira soalannya tadi telah mengguris hati ayahnya.
“Ayah tak ceraikan ibu Nurul, sebab ayah terlalu cintakan dia..” ucap ayah, membuat pengakuan.
Nurul terdiam. Jawapan yang diterimanya berlainan dari apa yang telah dia ramalkan.
“Tapi itu kan tidak adil. Ayah bersusah payah mencintai orang yang tidak mencintai ayah..” bantah Nurul, agak kesal.
“Bercinta tak semestinya menerima..”
“Apalah gunanya.. ayah boleh cari perempuan lain yang lebih pandai menghargai ayah..”
“Nurul belum pernah bercinta.. Nurul akan faham suatu ketika nanti apabila tiba masanya..”
“Jadi ayah akan terus menyiksa diri ayah sampai bila-bila?”
“Kenapa pula? Ayah kan ada anak ayah yang budiman ni?”
“Ayah ni.. orang cakap pasal lain.. dia pergi ke lain pula..” Nurul memuncungkan mulutnya.
“Sudahlah Nurul.. dah lewat ni.. lebih baik Nurul pergi tidur dahulu..”
“Tengok tu, saja nak melarikan diri dari kena soal..”
Ayah ketawa.
“Besok kita berbual lagi, ya?”
“Itupun kalau mak tak nampak..” ingat Nurul, berseloroh.
Sekali lagi ayah ketawa.
Akur kepada arahan ayahnya, Nurul bangkit dari kerusi. Sebelum dia berlalu, sempat dia mengucupi pipi ayah. Ayah terkejut. Lama ayah terkedu. Dan dia dengan selambanya melangkah ke dalam menuju ke kamar peraduan sambil bernyanyi-nyanyi girang. Dia tahu sudah lama dia tidak melihat ayah ketawa, dan pada malam itu dia berjaya membuatkan ayahnya ketawa buat beberapa kali. Alangkah baiknya jika ayah sering ketawa kerana wajah ayah akan semakin tampan dengan lesung pipitnya yang kelihatan di sebalik dua ulas bibir yang mengukir senyuman.
Terbitnya fajar pada keesokan harinya, Nurul bangun membawa semangat baru. Bersiap-siap untuk ke sekolah fardhu ain, dia turun ke bawah. Sebelum menuju ke meja makan untuk bersarapan, Nurul singgah di ruang tamu. Terkejut sejenak dia melihat ayahnya belum lagi bangun. Masih berselimutkan gebar tebal dan dua biji bantal, ayah tidak menyedari bahawa dia telah pun datang merapati.
“Ayah? Subuh dah nak habis ni.. ayah tak mahu bangun sembahyang? Ayah tak kerja?” banyak yang dia tanyakan kepada ayah semasa tangannya menggoncang lembut bahu lelaki itu.
Ayah tidak menjawab. Badan ayah panas. Kepala ayah berat. Mata ayah sukar hendak dibuka. Serta-merta hati Nurul diserang perasaan bimbang.
“Eh.. ayah demam ni.. ayah kena makan ubat..” ucapnya kepada dirinya sendiri. Teringatkan koleksi ubat-ubatan ibu di dalam peti sejuk, dia segera mengorak langkahnya, menuju ke dapur.
“Nurul, buat apa tu?” tiba-tiba ibu menyergah dari belakang, semasa dia sedang sibuk memilih ubat yang sesuai untuk diberikan kepada ayah.
Berderau darahnya dan gemuruh hatinya.
“Nurul tengah cari ubat..” jawab Nurul gugup.
“Ubat?” ibu bertanya, curiga. “Nurul sakit ke?”
“Nurul tak sakit, tapi ayah..”
Kedengaran suara ibu mendengus. Tanpa simpati mahupun pertimbangan, ibu pantas mendapatkan dirinya. Ibu sentak ubat dari tangannya lalu ibu letak semula ubat tadi pada tempatnya. Kemudian, ibu menutup pintu peti sejuk dengan kuat sekali.
Dia tersentak ketakutan. Dia tidak berani menentang mata ibu yang bengis. Dia tahu ibu sedang marah dan dia dapat menduga apakah hukuman yang bakal diterimanya kerana melanggar undang-undang ciptaan seorang wanita berjiwa keras.
“Kenapa Nurul tak mahu dengar cakap ibu? Berapa kali Nurul nak ibu ingatkan Nurul tentang semuanya?” tengking ibu.
“Nurul minta maaf..” ucap Nurul terketar-ketar. “Nurul simpati dengan ayah..”
“Dia bukan ayah kamu!” herdik ibu. “Dia tu binatang, dia patut mati. Biarkan aja dia sakit!”
Nurul memejamkan mata. Pedih hatinya mendengar ibu mencemuh ayah.
“Ibu dah lama hidup dengan ayah kamu.. dan ibu lebih mengenali dirinya.. Ibu lebih tahu hati budinya. Berbuat kebaikan kepada orang seperti ayah kamu adalah suatu kesilapan yang paling besar, faham?”
Dia terpaksa mengangguk.
“Ibu tak mahu Nurul dilukai oleh ayah sebagaimana hancurnya hati ibu dipermainkan oleh lelaki jahanam itu..”
Angguk.
“Cubalah Nurul faham dengan keadaan ibu..”.
Angguk lagi.
“Ibu bukan sengaja nak marah Nurul.. Ibu buat semua ni kerana ibu sayangkan Nurul..”
Angguk lagi.
“Ibu terlalu sayangkan Nurul.. Nurul sahajalah bukti lambang kasih ibu kepada Azizi.. Dan ibu perlu pastikan keadaan Nurul sentiasa baik agar bila tiba masanya nanti, ketika Azizi berhenti dari rajukannya lalu pulang ke tanahair, ibu akan beritahu segala-galanya kepada dia. Tentang diri kita yang menderita. Tentang Nurul dan tentang kehidupan kita. Pada masa itu juga nanti, Nurul akan mendapat seorang ayah kandung yang jauh lebih baik dari apa yang pernah Nurul rasai sekarang..”
Nurul mengangguk-angguk kehibaan. Suara ibu terlalu sayu dan penderitaan ibu berjaya meraih simpatinya. Menyedari pahitnya sejarah hidup yang dilalui, dia cuba belajar menyelami dan memahami hati ibunya. Ibu tidak harus dipersalahkan kerana bertindak sedemikian. Ibu telah bertindak atas dasar perasaan dan pengalaman. Dan dia, sebagai anak berkeperluan untuk menjadi tongkat yang menyokong ibunya berdiri di kala ibunya sudah tidak dapat lagi hendak berdiri. Apalah gunanya seorang anak jika bukan untuk menjadi sinar yang menerangi kegelapan hidup seorang ibu?
Namun keputusannya itu tidak akan merubah kasih dan cintanya terhadap ayah. Ibu tetaplah ibu dan ayah tetaplah juga ayah. Kedua-dua mereka mendapat tempat yang paling istimewa di hatinya. Hati ini biarpun kecil sahaja rupa bentuknya, akan tetapi ia adalah cukup besar untuk menempatkan dua jenis rupabentuk kasih sayang yang berbeza resamnya.
Kalaupun dia tidak dapat menjadi Mahatma Gandhi yang berjaya menyatukan seluruh India, atau seorang anak yang dapat menyatukan kedua ibu-bapanya, cukuplah sekiranya dia dapat berlaku adil kepada kedua ibu bapanya. Menunaikan hak-hak mereka dan berlaku baik kepada mereka sebagaimana mereka sendiri telah melayani diri ini dengan sebegitu baik buat sekian lama.
Petangnya, selepas pulang dari sekolah agama, Nurul ke sekolah kebangsaan. Dihantar oleh ibu seperti kebiasaannya, dia melangkah longlai masuk ke perkarangan sekolah. Masa kedua dan masa ketiga di kelas berjalan begitu hambar. Masa ketiga pula adalah masa kosong kerana Cikgu Zabedah cuti bersalin. Masa ketiga itulah Nurul keluar meninggalkan kelas. Kiranya perbualan bersama teman-teman tidak mendatangkan apa-apa, dia memilih untuk bersendiri. Di bawah pondok berbentuk cendawan, di dalam taman sains, itulah tempat kegemarannya. Dia duduk di situ sambil mengulangkaji pelajaran. Tanpa mempedulikan orang yang lalu lalang, dia tekun menyelak satu persatu helaian buku nota di tangan.
“Hai..” sapa Zainol yang muncul entah dari mana, secara tiba-tiba. Dia tidak sedar sejak bila Zainol datang.
“Hai..” balas Nurul malas. Dia kembali menjatuhkan pandangannya ke buku.
“Kau tak masuk kelas cikgu Zabedah tadi, ya?” ujar Zainol, terus duduk di hadapannya biarpun tidak pula terlanjur dia mempelawa.
“Bukan ke dia cuti hari ni?” Nurul mengerutkan dahi.
“Memanglah dia cuti.. tapi ada cikgu ganti..”
“Sapa?”
“Cikgu Noraini.. dia suruh kami semua ke perpustakaan..”
“Alah.. jadi tak salah lah aku duduk di sini kan?”
“Tak..” Zainol tersengih.
Nurul menarik nafas lega. Bimbang juga hatinya andai ada kelas pengajaran sepertimana yang dia sangkakan. Dia enggan terlepas mengikuti mana-mana pun sesi pelajaran. Dia seorang pelajar yang mementingkan disiplin. Dia sering mendapat kedudukan yang baik di dalam peperiksaan. Dia tidak mahu lantaran kealpaannya, dia gagal menghadirkan diri ke kelas, seterusnya mengancam pencapaian peribadi akademiknya. Nantinya, jika perkara itu sampai ke pengetahuan ayah atau ibu, mereka akan risau. Apabila mereka risau, bertambahlah lagi kemurungan dan tekanan fikiran mereka.
Macam mana dia dapat menentang wajah mereka kelak sedangkan pada kala itu, hatinya sudah pun sarat dipenuhi oleh rasa bersalah?
“Hoi,”
Keadaan akan menjadi bertambah buruk. Jika tidak kena gayanya, ibu mungkin akan mengambil peluang ini untuk menyalahkan ayah. Ayah akan dimalukan dan ayah akan dituduhi sebagai puncanya. Akhirnya, mereka terpaksa dipisahkan.
Tidak, tidak!
“Hoi!”
“Tidak!”
“Hoi,”
“Ha?”
“Apa yang tidaknya?”
Nurul tersentak. Zainol memandangnya hairan.
“Apa yang kau fikirkan?” tanya Zainol lagi.
“Ah, tak ada apa-apalah..” dalihnya.
“Kau ni, banyak sangat beranganlah..”
“Kau cari aku apa hal?”
“Kau datang tuisyen tak malam ni?”
“Tuisyen?”
“Takkan dah lupa kot?”
“Aku tak tahu lagi..” jawab Nurul selamba.
“Aik, kenapa pulak tak tahu lagi?”
“Ayah aku demam, mungkin aku nak jaga dia..”
“Ayah kau kan dah besar.. pandailah dia jaga diri dia..”
Nurul tidak menjawab. Dia tidak berminat mahu menjawab pertanyaan-pertanyaan yang tidak bermakna. Zainol bukan boleh dilayan berbicara, makin dilayan, makin banyak pula pertanyaannya. Makin banyak pertanyaan, makin sukar pula untuk dia menjawabnya.
“Aku jemput kau ya, malam ni..” ulang Zainol seperti sengaja ingin memaksa dalam cara yang kurang ketara.
“Kan aku dah kata.. aku tak tahu lagi..” selar Nurul, jengkel.
“Tak apa.. aku datang jugak..” Zainol tersengih. “Kita pergi bersama-sama tau!”
“Suka hati kaulah!”
Malas Nurul mahu melayan Zainol. Lagi cepat dia memuaskan hati lelaki itu, lagi cepatlah dia dapat menamatkan perbualannya dengan Zainol. Dan dengan itu, Zainol akan cepat berlalu. Dia juga boleh kembali menelaah dengan tenang seperti sebelumnya tanpa diganggu oleh mana-mana tetamu yang tidak diundang.
Zainol memang terkenal di sekolah. Kawan-kawan banyak memanggil Zainol ‘cute’. Biarpun cuma pelajar biasa yang tidak menyandang apa-apa jawatan di sekolah, Zainol tetap disukai oleh ramai pelajar perempuan. Muka Zainol licin. Tulang pipi Zainol tinggi dan dagu Zainol berlekuk. Senyuman Zainol menarik. Tubuh Zainol sederhana tinggi, agak kurus tetapi bila berpakaian, pakaiannya kemas dan terletak.
Namun, tidak seperti kebanyakan pelajar-pelajar yang lain, Nurul sukar sekali menyesuaikan dirinya dengan pemuda seperti Zainol. Tidak ada yang memaut hati, Zainol pada pandangannya tidak lebih daripada pelajar-pelajar lelaki lain yang tidak memiliki apa-apa keistimewaan untuk dia kagumi.
Sungguh dia berasa hairan, sungguh lagi dia berasa curiga. Dalam ramai-ramai gadis belia yang meminati, mengapa dirinya juga yang Zainol kejar-kejarkan? Mengapa Zainol selalu sahaja mencari kesempatan-kesempatan untuk mendekatinya sedangkan dia semahu-mahunya cuba menjauhkan diri?
Pada usia yang sebegini muda, dihimpit pula oleh suasana keluarga yang senantiasa bergelora, Nurul awal-awal lagi sudah mensasarkan tumpuan utamanya adalah pelajaran. Enggan meruncingkan fikirannya yang sedia runcing, terlibat di dalam hubungan percintaan bisa menggugat keteguhan akal fikirannya. Biarlah pada waktu ini, dia cipta terlebih dahulu impian masa hadapan. Biarlah pada waktu ini keluarga terlebih dahulu menjadi keutamaannya.
Dia terlalu cintakan ayah dan ibu. Dan kasih mereka lebih daripada mencukupi baginya. Tidak perlu dia mencari kasih yang lain selain daripada kasih kedua ibu-bapanya. Hingga tiba masanya nanti, di waktu dia telah cukup bersedia, dia percaya dia akan juga membuka hatinya.
Menjelang petang, dia menerima panggilan daripada ibu. Kata ibu, dia tidak dapat menjemputnya pulang petang ini kerana ada beberapa urusan di pejabat yang tidak dapat dielakkan. Ibu melarang dia menaiki kereta ayah. Ibu menyuruh dia pulang dengan teksi. Duitnya ibu akan jelaskan kemudian, setiba di rumah kelak.
Dia akur biarpun hatinya berat. Dia menyertai kawan-kawannya melangkah keluar ke pagar sekolah. Dia ternampak ayah sedang menanti di kereta. Wajah ayah sugul tetapi ayah masih juga hendak tersenyum.
“Kenapa ayah datang sini? Ayah kan sakit?” tanya Nurul keharuan semasa ayah datang menggamit tangannya.
“Ayah rindukan Nurul.. ayah nak jemput Nurul pulang..” jelas ayah, lembut sekali nadanya.
“Tapi ayah kan sakit.. ayah sepatutnya berehat di rumah..”
“Tak ada ubat yang dapat menyembuhkan sakit ayah selain daripada melihat wajah Nurul..”
“Oh..” Nurul menelan liur, terharu. Dia membiarkan ayah meramas-ramas jemarinya. Tangan ayah hangat, sehangat kasih-sayang dan perhatian yang ayah berikan padanya.
“Kenapa Nurul nampak macam orang susah hati? Nurul tak suka ayah datang ?” tanya ayah. Suara ayah terus menusuk ke dalam hatinya.
“Err.. bukan..”
“Ayah tak akan berkecil hati sekiranya Nurul tak menyenangi kehadiran ayah. Ayah faham..”
Nurul memejamkan mata. Rasa bersalah yang tajam menikam-nikam hati kecilnya.
“Maafkan Nurul, ayah.. Nurul tak dapat pulang dengan ayah..” berat sekali dia meluahkan pengakuan itu dan dilihatnya ayah senyum pahit mendengar kata-katanya. Mata ayah berkaca-kaca dan dahi ayah berkerut-kerut macam orang dalam kesusahan.
“Tak apa.. ayah faham..” ucap ayah, mengawal suaranya.
“Maafkan Nurul ayah.. ibu suruh Nurul pulang dengan teksi..”
“Begitu..” ayah mengangguk kecewa. “Nurul ada duit nak bayar teksi?”
“Nurul dah ada duit.. lagipun ibu tak kasi Nurul ambil duit ayah..”
Ayah tersenyum lagi. Kian ketara sayu dan kecewa di sebalik raut wajahnya.
Nurul terpaksa melepaskan genggaman tangan ayah. Berat dia melangkah, ralat lagi yang dia rasakan kerana terpaksa melukai hati ayah. Semasa berada di dalam teksi, dia menangis sepuas-puasnya. Tidak sanggup dia melihat wajah ayah sebegitu. Kalaulah hatinya ini sekeping kaca, tentulah telah lama ia pecah berkecai. Dan kalaulah hatinya ini sehelai kertas, telah lama ia terkoyak kerana penangan kepayahan yang amat kuat menerajang hidupnya. Mujurlah Tuhan menciptakan hati manusia ini lebih utuh dari besi dan lebih teguh dari batuan. Maka dapatlah hambaNya menempuhi pelbagai rintangan dengan penuh ketabahan hasil kurniaan dari yang Maha Pencipta.
Teksi bergerak makin laju. Dia terhangguk-hangguk di dalam kereta. Beberapa kali punggungnya melambung dari kusyen tatkala teksi melanggar permukaan jalan yang tidak rata. Nurul enggan meninjau ke luar. Dia lebih senang bersandar ke kerusi. Dia ingin memujuk hatinya. Dia ingin menenangkan perasaan sendiri. Entah kenapa setiap kali dia berhadapan situasi begini, fikirannya kalut dan benaknya keresahan. Kebiasaannya, seseorang yang seringkali melalui sesuatu kesukaran, lama kelamaan akan biasa dengan kesukaran itu. Tetapi bagi dirinya, biarpun sudah bertahun-tahun menempuh kesukaran hidup berkeluarga, dia belum lagi dapat menjadi biasa. Setiap yang berlaku, biarpun berulang-ulang peristiwanya tetap jua pedih dirasakan. Kadangkala ia makin menyakitkan dan tambah pula merusuhkan nubari.
“Cik.. dah sampai..” tiba-tiba suara pemandu teksi mematikan lamunannya.
Nurul tersentak. Teksi telah pun berhenti. Dia memandang-mandang sekeliling untuk memastikan bahawa dia telah tiba ke tempat yang betul. Pada ketika itu, sinar petang tidak lagi kelihatan. Senja telah menggantikan siang, membawa warna-warna malam dan cahaya suram yang lainnya.
Nurul memandang-mandang lagi ke sekitaran dan tiba-tiba hatinya berasa ganjil. Dia mendapati dirinya bukan berada di halaman rumah, atau berada di mana-mana kawasan perumahan yang biasa dilintasinya, akan tetapi dia kini berada di sebuah kawasan semak yang jauh terpinggir dari pandangan umum. Hanya lalang dan pokok renek tinggi tumbuh dengan banyaknya di sana-sini.
Suasana sepi dan unggas-unggas berdendangan.
Serta-merta dia menjadi bimbang.
“Eh, encik bawa saya ke mana, ni?” tanya Nurul tidak keruan.
Tiada balasan diterimanya. Pemandu teksi berpaling ke belakang, kemudian dia direnung bersama sebuah pandangan mencurigakan. Air liur lelaki itu menitik-nitik dan dengusan nafasnya jelas kedengaran.