Nurul terpacak di luar bengkel ayah. Diperhatikan pintu shuttle yang seringnya terbuka, tetapi pada kali itu ia telah ditutup begitu rapi sekali. Diperhatikan lantai-lantai yang selalunya comot dengan palitan-palitan minyak hitam, tetapi pada kali itu ia kelihatan begitu bersih. Diperhatikan juga kekisi-kekisi bengkel yang acap kali ada kain-kain buruk bergantungan tetapi pada kali itu ia kelihatan bagai dahan pokok yang botak.
‘TO LET’. Demikian bunyi papan tanda yang tertulis di luarnya. Beberapa orang dari kedai berhampiran yang lalu-lalang, terus berlalu tanpa menghiraukan kehadiran Nurul di situ sebagaimana dia sendiri tidak tergerak untuk menghiraukan kehadiran mereka.
Matahari kian meninggi dan kepanasan semakin bertambah kepada beberapa darjah.
“Cik!”
Dia ternampak bayang-bayangnya jatuh ke permukaan tanah, dan segera disedarinya itu adalah imej seorang gadis kecil yang telah hilang keinginan untuk membanggakan diri. “Cik!”
“Hah?”
Seorang lelaki berusia awal tiga puluhan menyapanya.
“Kenapa cik menangis?”
“Eh.. tak apa-apa..” dia menyeka air matanya.
“Ada apa yang boleh saya bantu?”
“Err.. saya nak tahu dah berapa lama bengkel ni ditutup?”
“Oh, lama cik! Dekat lima bulan..” jawab lelaki itu.
“Lima bulan?”
“Ha.. kalau tak silap saya lima bulanlah..” angguk lelaki itu, pasti.
“Ke mana tuan bengkel ni pergi?”
“Itu saya tak tahu cik.. tapi dari apa yang saya dengar, bengkel ni ditutup sebab tuan pemiliknya patah hati..”
“Oh..” dia tunduk kehibaan.
“Betul ke cik tak apa-apa?”
“Tak.. saya ok.”
“Cik nampak macam dalam kesedihan..”
“Bukan. Saya selalu baiki kereta di sini. Sekarang saya dah tak tahu kat mana lagi saya nak hantar kereta saya..”
Kenyataannya itu berjaya membuatkan lelaki itu berhenti bertanya. Dia pun kembali ditinggalkan berseorangan. Dialihkan semula tumpuannya kepada bengkel yang telah sedia kosong. Seakan terbayang imej ayahnya sedang bekerja. Seakan terpandang ayahnya sedang memberikan senyuman, kemudian meninggalkan kerja-kerja yang penting semata-mata untuk meluangkan masa bersama anak gadis kesayangan.
“Bila Nurul sampai?”
“Baru aja..”
“Kenapa tak beritahu ayah yang Nurul nak datang?”
“Saja. Nurul rindukan ayah.”
“Ayah pun rindukan Nurul..”
“Eii.. baju ayah busuklah!”
“Nak sikit?”
“Tak mahu! Ayah, apa ni? Kotorlah..”
Gelak ketawa pun berhamburan, Tetapi sebentar semua keindahan itu hilang, suasana berubah hening dan bengkel di hadapannya kembali tersergam sunyi, bagai rumah lama ditinggalkan penjajah. Pada ketika itu tahulah Nurul bahawa ayahnya sudah berada di suatu tempat yang jauh. Tersangat jauh. Dan dia tidak mungkin dapat menemuinya lagi.
Dia pun melangkah pulang membawa hati yang kecewa. Entah kenapa setelah tiba di rumah, rasa kecewanya belum juga mahu hilang. Dia terasa dirinya bagaikan seorang banduan di dalam tahanan reman. Seorang banduan yang tidak bersalah tetapi kerana bukti-bukti dalam perbicaraan tidak menyebelahi nasibnya, maka dia terpaksa menjalani hukuman penjara yang akhirnya akan mengheret diri ke tali gantung. Bayangkanlah betapa hiba dia meniti hari-hari berlalu. Setiap saat mendatang adalah saat-saat menghampirkan diri kepada kematian. Dalam pada manusia lain berlumba-lumba mencipta sinar gemilang di masa hadapan, dia pula terkapar longlai menunggu ajal datang menjemput.
Itulah dirinya! Terenang-renang mencari tebing tempat berpaut sedangkan daratan masih jauh dan lautan luasnya tiada bertepi. Bagaimanakah musim derita ini dapat dihentikan? Dan bilakah kemarau kasih ini akan berada di penghujung? Apakah ini hukuman yang terpaksa dia dan ibu lalui lantaran sikap buruk mereka terhadap ayah?
Ayah? Maafkan kami ayah! Ampunilah kami dan bebaskanlah kami dari seksaan yang tak termampu rasanya hendak ditanggungi!
Dia sudah tiba di rumah. Langkahnya berat didepangkan dan buat kesekiankali suasana rumah yang serba hening itu telah menyambut kepulangannya. Kereta mercedez terbiar kaku di dalam halaman dan dia terus membuka pintu pagar.
Dia ingin memberitahu ibu bahawa pencariannya pada hari itu belum lagi menjulurkan putik-putik harapan sebagaimana hari-hari terdahulu, tetapi apabila dia melihat ibu sedang tercongok kesedihan di kerusi malas, dia tidak sampai hati hendak menyampaikan. Sudah berminggu-minggu ibu tidak ke kerja. Sudah berminggu-minggu ibu bermurung dan menangis. Tanpa makan dan tanpa bersuara, badan ibu menjadi semakin kurus. Wajah cantik ibu kelihatannya semakin cengkung dan mata ibu juga semakin lama semakin membengkak. Dari seorang wanita korporat yang bergaya, bijak berkata-kata dan handal menjalankan urusniaga, ibu telah bertukar menjadi seorang manusia yang sugul, pendiam dan penyedih!
Oh, ibu sayang.
Dia pun mengarahkan kakinya longlai ke dalam bilik. Terlentang di peraduan, dia teringat kata-kata JR pagi tadi, sewaktu dia bercadang mengajak lelaki itu menemani mencari ayahnya. Baru sebentar dia ke pintu pagar, hendak berbasikal ke rumah JR tetapi JR lebih dahulu sudah menantinya di halaman bersama wajah yang sugul.
“Eh.. JR? Awalnya kau sampai?” tegurnya sedikit terkejut.
JR tunduk gelisah tetapi dari reaksi yang seolah menyelindungkan sesuatu, dia dapat menduga ada sesuatu yang kurang enak bakal JR sampaikan.
“Aku..aku ada perkara nak beritahu kau..” ucap JR keberatan.
“Katakanlah JR.. aku sedia mendengarnya.” Balas Nurul dalam nada suaranya yang terkawal.
“Sekarang mungkin bukan masa yang sesuai untuk aku cakapkan perkara ni.”
JR memandang mukanya. Tenang dan bersedia, dia membalas pandangan lelaki itu, dan nafasnya ditarik sedalam mungkin.
“Tapi, jika aku tak beritahu kau sekarang, aku mungkin tak berpeluang beritahu kau sampai bila-bila..” lanjut JR lagi.
“Usah kau bimbang.. katakan aja..”
“Aku.. Aku akan berpindah.” berat sekali JR membuat pengumuman itu.
“Berpindah?” membulat matanya mendengar.
“Iya.. berpindah ke tempat lain.”
“Heh, kau pun nak tinggalkan aku jugak?” tiba-tiba timbul ketawa yang tak dirancang dari bibirnya. Ketawa yang kononnya untuk menutup kehibaan tetapi sebenarnya telah menggemakan irama sayu dari sebuah hati yang terkilan.
“Aku minta maaf.” Pohon JR dalam kekesalan. “Ini bukan kerelaan aku, tapi ayah aku tiba-tiba aja kena berkhidmat di Sabah.”
“Semua orang yang baik dengan aku, semuanya nak tinggalkan aku.”
“Kau jangan cakap begitu. Aku bukan suka-suka nak tinggalkan kau. Kalau ikutkan hati, aku nak temankan kau sampai bila-bila, tapi..”
“Bila kau nak bertolak?” pintasnya pantas, seolah sengaja ingin menghentikan kata-kata memujuk yang semakin pedih untuk dia dengari.
“Aku akan bertolak esok.”
“Heh,” sekali lagi dia tersenyum pahit. Ngilu sungguh hatinya membayangkan yang dia akan ditinggalkan JR pada saat-saat sokongan dari lelaki itu sangat-sangat diperlukan..
“Lepas ni.. aku akan tinggal sorang-sorang..” rintihnya.
“Nurul..” pujuk JR.
“Aku dah tak ada tempat nak mengadu masalah. Aku dah kehilangan kawan yang paling baik..”
“Nurul..”
“Tapi aku nak ucapkan selamat berbahagia buat kau. Semoga di tempat yang baru tu, kau akan dapat seorang kawan yang lebih baik dari aku. Kawan yang tak menyusahkan dan kawan yang tak akan menghina kau.”
“Nurul.” Pujuk JR, kian terhimpit.
“Aku tak tahu macam mana nak pergi ke sekolah tanpa kau..” tiba-tiba dia menangis.
JR tenggelam dalam lautan serba salah.
“Lepas ni aku kena ke tuisyen sorang-sorang, shopping sorang-sorang, makan di kafetaria sorang-sorang..”
“Nurul..” pujuk JR. “Kita kan masih kawan lagi, biarpun jarak kita jauh?”
“Ia tak sama.”
“Aku janji akan selalu hantar e mel kat kau, ok?”
Dia cuba tersenyum, namun janji JR itu ternyata tak berupaya menyenangkan perasaannya.
“Kenapa kau kena tinggalkan aku pada waktu-waktu begini?”
“Nurul.. aku terpaksa.”
“Sampai hati kau..”
“Manalah tahu kalau-kalau di Sabah nanti, aku boleh temui ayah kau?”
Nurul terdiam. Kata-kata JR pada kali itu berjaya membuka mindanya berfikir. Ada benar juga telahan yang dibuat JR, manalah tahu kalau-kalau ayah membawa diri terlalu jauh sehingga ke Sabah. Tempat seumpama itu memang mustahil untuk dijejaki memandangkan keterbatasan yang dia miliki. Mungkin, ada hikmah JR berpindah ke sana. Mungkin JR adalah utusan Tuhan yang dihantar untuk mencari ayahnya di Sabah. Mungkin Tuhan telah mendengar rintihnya selama ini lalu diutuskanlah seseorang sebagai wakil untuk menemukan dia dengan ayahnya.
Maka perbualan bersama JR akhirnya berjaya ditamatkan dalam suasana damai biarpun masing-masing terpaksa pulang membawa hasrat tak ingin berpisah. JR berjanji akan selalu menghubunginya dan dia juga berjanji akan selalu membalas e-mel kiriman JR. Sebelum berlalu, mereka mengucapkan selamat berjaya menghadapi peperiksaan SPM yang bakal mendatang. Mereka juga mendoakan sesama sendiri supaya setiap dari mereka akan menempuhi hidup yang bahagia dan bebas dari dukalara apabila dewasa kelak.
“Kalau kau kahwin nanti jangan lupa jemput aku!” itulah kata-kata JR yang paling akhir, kata-kata yang masih diingati dan akan terus diingatinya sampai bila-bila.
“Kau pun! Kalau dapat awek cantik, jangan lupa kat aku!” balasnya sambil melambai-lambai tangan, sayu.
Mereka pun tidak lagi bertemu selepas peristiwa itu. Hari bersilih ganti, dan bulan semakin cepat bertambah, sebagaimana bertambah lebarnya jurang perpisahan antara Nurul dan JR. Beberapa minggu pertama berjauhan, JR ada mengirimkan e mel kepada Nurul, menyatakan kepadanya khabar dan cara kehidupan yang serba mencabar di rantau orang. Ada juga dinyatakan dalam kiriman-kiriman seterusnya, berita-berita tentang usaha mencari ayahnya. Sekurang-kurangnya, biarpun kiriman yang diterimanya setiap dua hari itu, tidaklah serupa dengan bertentang mata, namun ia dapat juga menyurutkan keperitan yang sedang dia tanggungi.
Kemudian apabila waktu terus berganjak dan masing-masing sibuk menghadapi peperiksaan, e mel dari JR terus berkurang menjadi seminggu sekali. Dia yang turut sama dihimpit oleh tuntutan mengulangkaji, menerima keadaan itu sebagai suatu lumrah yang tidak harus dibimbangkan. Sangkanya, JR tentulah sedang sibuk membuat persediaan sepertinya sehingga sukar pula untuk melapangkan masa bagi melayari laman web. Akan tetapi apabila musim peperiksaan telah pun tamat, dan JR masih lagi jarang-jarang berhubungan, dia mula menjangkakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku. Dari sepucuk e mel setiap dua hari, ia bertukar menjadi sepucuk e mel seminggu, seterusnya sepucuk e mel sebulan dan kini kiriman-kiriman itu tiada lagi diterimanya. Kini setelah genap dua tahun mereka tidak berjumpa, dan tiada lagi khabar-khabar berita yang diterimanya, tahulah dia bahawa pada ketika itu dirinya sudah dilupakan. Tinggallah dia berseorangan menjadi seorang teman yang mana kehadirannya tiada lagi diperlukan.
Seringnya kehidupan berjalan bertentangan dengan yang apa dirancang. Sering pula kehidupan memaksa kita melalui satu keadaan yang tak sanggup untuk dihadapi. Ternyatalah bahawa kuasa mengawal perjalanan takdir bukanlah berada dalam genggaman kita sebaliknya ada sebuah kuasa yang maha hebat telah merancangkan segala-galanya. Kita sebagai hamba haruslah akur kepada kehendak Illahi kerana setiap ujian yang didatangkan itu pada hakikatnya bukan bertujuan untuk melemahkan seseorang tetapi sebaliknya ia merupakan satu bentuk ingatan supaya setiap manusia yang telah jauh menyeleweng dapat kembali pulang berada di jalan yang diredhai Tuhan.