Wednesday, December 2, 2009

Menggapai Kasih Part 5

Semasa Nurul melangkah masuk ke kelas, Nurul lihat ada sekuntum bunga mawar merah tersemat rapi di dalam laci meja. Di sebalik helaian daun-daun hijau yang berkilat, terselit sekeping kad kecil warna merah jambu. Dia menanggalkan kad itu lalu membacanya.
“Sekuntum kemaafan kupohonkan
andai di hatimu masih punya belas kasihan
Zainol”
Hilang rianya bila melihat nama si pemberi. Meluat pula dia membaca kata-kata yang tertera. Sakit juga hatinya dipujuk oleh ungkapan-ungkapan yang berpura-pura. Serta-merta dia mencapai kuntuman mawar itu lalu dicampakkannya ke dalam tong sampah berhampiran. Puas, lapang, tenang, dia membersihkan sisa-sisa kotoran yang masih ketinggalan di telapak tangannya.
“Eh, kenapa dibuang bunga tu?” tiba-tiba sebuah suara menyapanya dari belakang.
Serta-merta kepalanya terputar. Dan dilihatnya, JR sudah pun tertegak kira-kira kurang satu depa dari tempat dia berdiri.
“Eh, JR..” balasnya gugup.
JR tersenyum manis.
“Kenapa buang bunga tu?” ulang JR semula.
“Err tak ada apa-apa..aku ni ha, alergi pada bunga.”
“Siapa pula gerangan sang pemberi?”
“Ah kau ni, semua pun nak tahu.. macam penyiasat peribadi pulak!” ujarnya seakan berseloroh.
“Manalah tahu kalau-kalau pemberian istimewa dari kekasih pujaan hati..”
“Issh..gila kau!”
Cepat-cepat Nurul berlalu. Enggan melanjutkan perbualannya dengan JR. Cepat-cepat juga dia mengambil tempat duduknya di bangku. Dia tahu JR sedang berfikir-fikir sesuatu tentang dirinya. Kebetulannya, loceng sekolah tiba-tiba berbunyi nyaring. Menandakan bermulanya mata pelajaran untuk sesi pertama. Ramailah pelajar-pelajar berduyun-duyun masuk ke dalam kelas. Ramailah juga yang sibuk berbincang itu dan ini; dan dirinya sendiri, tidak lagi terganggu kepada apa yang baru diterimanya, sebaliknya dia telah bersiap sedia mahu menumpukan sepenuh perhatiannya kepada apa yang bakal guru mereka ajarkan nanti.
Menjelang waktu rehat, dia didatangi JR. Pada mulanya lelaki itu teragak-agak untuk mempelawanya pergi makan bersama tetapi setelah dia memberikan persetujuan, barulah JR kelihatan yakin dan pasti. Mereka berjalan beriringan, menyusuri kawasan koridor sekolah yang memanjang dan dipenuhi oleh pokok-pokok bunga itu.
Belumpun sempat mereka menginjakkan kaki ke kawasan kantin yang datar, tiba-tiba muncul seorang lelaki dari arah bertentangan. Lelaki itu berkulit cerah dan bajunya pula tersisip kemas ke dalam seluar seragam sekolah warna putih.
“Zainol?” Nurul menunjukkan rasa tidak senangnya.
Zainol mengangguk lemah..
“Apa kau buat kat sini? Kau sengaja nak cari gaduh lagi, ya?”
“Err, bukan!” pintas Zainol.
“Habis tu?”
“Aku datang sini nak minta maaf pada kau..” rayu Zainol, mengharap. “Tolonglah.. aku betul-betul nak minta maaf..”
“Ah, kemaafan apa? Bukankah semalam kita sudah pun bermaafan..” bantahnya.
“Itu aku tahu, tapi bukan kemaafan seperti itu yang aku mahukan.. Aku mahu kau maafkan aku jujur dari hati kecilmu..”
Nurul berpaling ke arah lain. Sambil berpeluk tubuh, air mukanya jelas menggambarkan bahawa perbualan seumpama itu ingin segera dihentikan.
“Aku berjanji akan berubah Nurul.. Kau hukumlah aku apa sahaja yang engkau suka asalkan kemaafan dapat engkau berikan..”
Tiba-tiba Nurul ketawa. Zainol berkerut tidak mengerti.
“Hei, dialog filem mana kau hafal ni?” tempelak Nurul bersahaja. “Sorrylah.. kalau kau fikir dialog-dialog jiwang sebegini dapat melembutkan hati aku,.lupakan saja! Kau hanya membuang masa!”
“Nurul..”
“Sudah, aku tak mahu dengar apa-apa lagi! Kau boleh berambus!” dia membuat keputusan muktamad.
“Nurul..”
Ditariknya lengan baju JR, bergegas hendak berlalu.
“Jom JR!” perintahnya.
“Tunggu!” harap Zainol semula tetapi Nurul sudah pun menjauh.
Dua hari berlalu, kemudian tiga hari, kemudian lagi empat hari. Hari itu ialah hari Khamis. Tepat jam dua belas, genaplah lima hari dia tidak bertegur sapa dengan Zainol. Malamnya, selepas pulang dari kelas tuisyen, dia menjejaki JR menyusuri jalanraya sambil menyorong basikal menuju pulang ke rumah masing-masing.
Rumah JR letaknya tiga blok dari kawasan rumahnya. Seperti kelazimannya, dia akan tiba ke rumah terlebih dahulu, dan selepas sepuluh minit atau lebih, barulah JR akan tiba di rumah sendiri. Keadaan yang sedemikian yang sememangnya satu kemujuran, sangat-sangat menggembirakan kedua mereka. Banyak yang dapat mereka bualkan setiap kali dalam perjalanan pergi dan balik, banyak juga yang dapat mereka kongsi bersama, tidak kira sama ada perkara itu berkaitan hal peribadi atau pun isu-isu semasa, semuanya menjadi bahan perbicaraan yang rancak dan menarik.
Hari itu, seperti kebiasaannya mereka menyorong lagi basikal hendak pulang dari tempat tuisyen. Deretan-deretan rumah kedai, blok-blok perumahan dan barisan-barisan lampu jalan, mereka lintasi setiap satunya, dan dalam beberapa ketika lagi, binaan-binaan itu telah jauh mereka tinggalkan.
Angin malam bertiup lembut dan bintang-bintang bertaburan menghiasi khazanah angkasa. Dalam banyak-banyak bintang itu, ada tiga butir yang sinarnya paling gemilang. Bentuknya memanjang bagai bidikan anak panah. Kata JR, bintang itu adalah buruj Polaris. Zaman dahulu-dahulu, selain daripada menjadi pedoman pelayaran, bintang juga sangat berguna dalam menunjukkan arah kiblat.
“Cantik kan..” puji Nurul spontan.
JR mengangguk perlahan, tidak pula terlupa untuk menyorong basikalnya maju ke hadapan.
“Hidup kita ni pun macam bintang-bintang juga..” ucap JR seperti berfalsafah.
“Hmm?” Nurul mengerut kening, tidak mengerti.
“Iyalah.. bintang-bintang tu kan membentuk satu formasi yang tertentu.. ahli kaji bintang Grik silam menamakan formasi-formasi itu dengan bentuk-bentuk tersendiri yang ada kaitan dengan budaya dan kepercayaan mereka. Kemudian mereka kaitkan pula semua itu kepada satu kuasa takdir yang mencorakkan hakikat kehidupan mereka.. Lalu dinamakan pula ia dengan nama Zodiak..”
“Jadi apa kaitan semua tu dengan kehidupan kita?” celah Nurul, menunjukkan minatnya.
“Tujuan mereka berbuat begitu adalah kerana mereka perlukan pegangan untuk meneruskan kehidupan. Kita di sini, di dalam dunia serba moden ini, seharusnya punya pegangan juga supaya hidup kita dapat dipandu ke arah jalan yang betul..” jelas JR panjang lebar.
“Oh..” dia mulai mengerti. “Dahsyatlah JR ni.. tak sangka pula yang JR pandai berfalsafah..”
“Isyy.. ini bukannya falsafah..” tingkah JR, merendah diri. “Ini JR dapat dari buku..”
“Jadi, apakah pegangan yang sepatutnya kita amalkan?”
“Kita kan orang islam, maka pegangan kita adalah Al-Quran dan Hadith. Itulah sumber pengetahuan terbaik untuk generasi manusia..”
Nurul senyum bangga. JR tampak begitu bijak berkata-kata. Tidak disangkanya, seorang lelaki yang sering menjadi bahan ejekan di sekolah, rupa-rupanya punya pandangan dan iltizam yang sebegitu tinggi.
“Kita dah sampai..” ucap JR sejurus, mematikan angan-angannya.
“Ha?” Nurul tersentak. Dia memandang ke sekeliling.
Sebuah banglo dua tingkat berbumbung biru tersergam megah di hadapannya. Dan di dalam halaman, ada kereta mercedez yang diletakkan oleh pemiliknya tidak jauh dari pintu pagar.
Ibu sudah pulang! Begitu detik hati Nurul.
“Kalau begitu, esok kita jumpa lagi di sekolah..” ucap Nurul sebagai kata penghabisan kepada temannya.
“InsyaAllah..” janji JR.
“Bye!”
Mereka pun berpisah. Nurul melangkah masuk ke dalam rumah. Ibu menyambutnya di muka pintu.
“Anak ibu dah balik?” sapa ibu mesra. Senyumannya tampak berlainan sekali.
Nurul membalas senyuman ibu. Sambil menanggalkan kasut, dia masuk ke dalam, terus ke ruang tamu.
“Ada kawan Nurul datang..” beritahu ibu sebelum sempat dia maju.
“Ha, ada kawan Nurul datang?” tanyanya, seolah tidak percaya.
“Itu, sedang duduk di ruang tamu.” Ibu menunjukkan kepada kelibat seorang lelaki yang sedang duduk terhenyak di sofa. “Lama dia tunggu kamu, katanya ada perkara penting...”
Nurul tidak dapat menahan dirinya dari berasa terganggu apabila mendapati kawan yang ibu maksudkan ialah Zainol. Semasa ibu menghilang ke dapur untuk membancuh air, dia terpacak resah menunggu reaksi lanjut dari seorang lelaki yang sangat dibencinya.
Dia tidak tahu bagaimana Zainol boleh sampai ke situ dan dia juga tidak berminat untuk menyelidiki apa tujuannya Zainol bersusah payah mencari dirinya sampai ke mari.
“Nurul..” Zainol bangkit dari sofa, menghulurkan salam persahabatan.
“Kau nak apa, cari aku?” herdik Nurul, kasar, tanpa menyambut apa yang patut disambut olehnya.
“Aku nak minta maaf..” ucap Zainol memulakan perbualan.
“Kau ni tak reti bahasa ke? Atau kau nak aku tolong ajarkan berbahasa?”
“Aku tak akan berhenti mencuba, Nurul. Selagi kau belum memaafkan aku, selagi itulah aku akan terus menagih belas simpati..”
“Hei, tolonglah.. aku dah bosan dengan semua ni, boleh tak kau balik aja ke rumah kau? Orang tua kau tentu tengah menunggu kepulangan anak kesayangannya yang budiman..”
“Nurul.. berilah aku peluang sekali lagi.” rayu Zainol.
Dia mengetap gigi. Rimas.
“Aku sukakan kau Nurul..”
“Apa?” terbeliak mata Nurul mendengar.
“Aku benar-benar sukakan kau..” sekali lagi Zainol membuat pengakuan.
Nurul tidak jadi hendak marah apabila ibunya tiba-tiba muncul di ruang tamu. Ibu membawa setalam air dan ibu letakkannya di atas meja.
“Ha, minumlah Zainol..” pelawa ibu, senyum mesra.
“Terima kasih auntie..” ucap Zainol berbahasa.
“Kamu berdua berbual-buallah dulu ya.. auntie ada kerja di atas..”
Zainol mengangguk akur sambil mengiringi lenggok pinggul ibu berlalu dengan kedua ekor matanya.
Nurul menghempaskan beg tuisyen ke sofa. Bertambah-tambah jijik dan rasa meluatnya bila melihat tingkahlaku Zainol yang sebegitu. Zainol memang pandai bersandiwara. Muka baik Zainol memang cepat meraih kepercayan. Kalaulah ibu tahu apa sebenarnya yang telah berlaku, alangkah baiknya!
“Nurul..kau janganlah buat aku macam ni..” kata Zainol semula selepas meneguk sedikit air.
Dia tidak memberikan perhatian.
“Setiap manusia ada lakukan kesalahan, aku pun begitu juga. Takkanlah kau nak hukum aku selama-lamanya hanya kerana sebuah kesalahan yang tak aku sengajakan..”
“Hei, kau boleh balik cepat tak? Sakit telinga aku ni dengar kata-kata mengarut kau tu..” cerca Nurul tanpa belas kasihan.
“Nurul..”
“Berambuslah wahai budak tak tahu malu!”
“Sampai hati kau , Nurul!”
“Aku rasa aku tak perlu tunjukkan kau mana pintu keluar..”
Terkilan sungguh air muka Zainol menyaksikan kedinginan Nurul terhadapnya. Sebagai lelaki yang punya maruah dan keegoan, dia tidak betah merelakan dirinya terus dihina. Apalah gunanya dia terus bertahan sekiranya orang benar-benar sudah tidak sudi untuk menerima kehadirannya.
Akhirnya dengan hati yang berat, dia pun membuat keputusan untuk pulang. Buat kali penghabisan dia cuba lagi menyimpan sekelumit harapan agar Nurul menukar fikiran, namun semuanya tidak mungkin menjadi kenyataan.
Terdengar jelas suara Nurul mengeluh lega sebaik sahaja dia meninggalkan halaman rumah banglo kediaman Nurul. Dia pun menyeret kakinya perlahan-lahan, mendapatkan motosikal yang diletakkan di pinggiran jalan sambil membawa perasaan lelaki yang ketara kehampaan.
“Nurul!” panggil ibu perlahan ketika Nurul sudah pun mula bersiap-siap untuk tidur.
“Masuklah..” jemputnya sopan.
Ibu masuk ke dalam. Rambut ibu berbalut dengan alat-alat dandanan dan muka ibu putih dilapisi bahan penjagaan kecantikan. Ibu duduk di atas katil, mendapatkan anaknya yang bergolekan. Ibu membelai-belai diri ini dan ibu juga menghadiahkan dirinya sebuah senyuman.
“Nurul..” ucap ibu lembut.
Nurul menatap wajah ibu.
“Kawan Nurul tadi tu, apa namanya?”
“Kawan yang mana ibu?” sengaja Nurul pura-pura tidak mengerti.
“Alah, kawan Nurul yang cute tu..” bisik ibu seakan mengusik.
“Isshh.. ibu ni.. bukan ke tadi ibu dah tahu namanya?”
“Ibu dah lupa.. Nurul bagilah tahu ibu semula..”
“Zainol..” jawabnya berat.
“Oh, Zainol. Sedap nama tu..”
Tangan ibu terus galak mengusap ubun-ubunnya. Tangan ibu begitu dingin. Dingin yang mendamaikan.
“Apa hajat dia cari Nurul?” tanya ibu kian lembut.
“Tak ada apa.. kami berbincang pasal kerja sekolah..” Nurul terpaksa berbohong. Gelisah dia menjawab soalan-soalan ibu, bagai ada sesuatu tidak kena dirasakan.
“Ibu suka tengok dia. Kacak, baik, dan pandai pula menghormati orang tua..”
“Apa yang ibu cakapkan ni?”
“Ibu suka kalau dia jadi teman lelaki Nurul..”
“Ibu!” bantah Nurul, bengang. “Nurul kan masih belajar ..”
“Itu ibu tahu, tapi kalau Nurul cepat-cepat dapat cari teman lelaki, makin cepatlah Nurul dapat hilangkan kesunyian Nurul..”
Dia bangkit dari pembaringannya. Dia renung muka ibu dalam-dalam seperti cuba memastikan bahawa orang yang berada di sampingnya itu adalah benar-benar ibu yang dikenalinya.
“Kenapa? Nurul pelik tengok ibu berkata-kata begini?” tanya ibu sinis.
“Nurul tak faham apa sebabnya ibu suruh Nurul buat semua ni..”
“Nurul.. ibu tahu Nurul kesunyian..”
“Ibu!” Nurul mencegilkan matanya.
“Ibu nak Nurul cari teman lelaki supaya Nurul tak lagi rapat dengan ayah..”
Nurul terdiam. Tersentak segenap anggota badannya, dan di kala itu barulah dia mengerti apa sebenarnya yang cuba ibu sampaikan.
“Nurul..” ibu membelai-belai rambutnya.
Dia memejamkan mata. Sayu.
“Seorang perempuan bila telah mencintai seorang lelaki.. hatinya akan diserahkan sepenuhnya kepada orang yang dicintai. Senyumannya, ingatannya, pengorbanannya, semuanya adalah untuk kekasih pujaan hati. Keluarga sudah tidak lagi menjadi penting. Sanak saudara dan kawan-kawan juga sanggup ditinggalkan. Semuanya akan kita lakukan demi untuk orang yang kita sayangi..”
“Ibu..” dia cuba menghentikan kata-kata ibunya. Kata-kata ibu terlalu merangsangkan sehingga meremang seluruh bulu romanya.
“Bila Nurul dah bercinta.. Nurul tak akan hiraukan lagi ayah Nurul. Nurul tak akan perlukan lagi belaiannya..” lanjut ibu sambil ketawa ganjil. Ibu berhembus nafas di tengkuknya dan ibu kucup pula pipinya yang halus.
“Ibu.. Nurul tak akan lupakan ayah..” bantah Nurul tegas.
Ibu terkikih ketawa mendengar.
“Semua orang akan cakap begitu Nurul, sebelum mereka jatuh cinta. Tapi setelah mereka kenali betapa indahnya cinta.. mereka sanggup lakukan apa saja..”
“Tapi Nurul tak akan lupakan kebaikan ayah.. Nurul sayangkan dia..”
“Nurul.. Nurul..” geleng ibu. “Ramai lagi lelaki baik dalam dunia ni. Nurul tak jumpa ayah kandung Nurul yang sebenarnya. Dia berkali-kali ganda lebih baik dari ayah tiri Nurul..”
“Jika benar dia baik, kenapa dia tak cari Nurul?”
“Kerana dia tak tahu kewujudan Nurul..” ibu menjeling penuh makna.
“Jadi apa yang perlu Nurul buat sekarang?”
“Nurul perlu bercinta.. Nurul kena cari teman lelaki..”
“Bercinta?” jijik dia mendengar kalimah itu.
“Iya..” angguk ibu. “Bercinta dengan lelaki seperti Zainol..”
Nurul menarik nafasnya. Jantung di dada berdegup lebih kencang dari kebiasaan dan peluh-peluh dingin mulai terbit di permukaan dahi ini.
“Ibu bukan nak merosakkan Nurul.. Ibu bercakap begini adalah untuk kebaikan Nurul. Ibu nak Nurul selamatkan diri dari seorang ayah yang hipokrit..”
“Jangan-jangan ibu bercakap begini, sebab ibu sendiri yang kesunyian, tak?” tiba-tiba Nurul membuat telahan.
Ibu terkejut. Berubah air mukanya, gugup.
“Err.. apa maksud Nurul?”
“Ibu bercakap begini sebab ibu rindukan belaian dari seorang lelaki. Ibu telah lama sunyi sendirian. Walaupun bergelar isteri, tapi tak pernah disentuh suami..”
“Nurul!” ibu terjerit kemarahan. “Sampai hati Nurul cakap begitu dengan ibu!”
“Nurul minta maaf.. Nurul cuma meluahkan apa yang tersirat di hati Nurul..”
“Nurul benar-benar mengecewakan ibu.. Ibu tak sangka ayah telah merosakkan fikiran Nurul sampai sejauh ini. Nurul tengoklah nanti, suatu ketika nanti, belang ayah Nurul akan terserlah jua. Pada masa itu nanti, barulah Nurul akan menyesali kerana mempercayai lelaki sepertinya dan Nurul akan teringatkan semua larangan-larangan ibu yang telah Nurul langgari!”
Ibu bangkit meningggalkannya.
Dia bungkam di peraduan, menghitungkan semula segala kata-kata ibu. Biarpun terpaksa bertindak agak keterlaluan, namun dia percaya bahawa dia telah melakukan sesuatu yang wajar. Apalah guna dia menurut ucapan-ucapan yang tidak bermakna meskipun ucapan-ucapan itu datangnya dari lidah ibunya sendiri!