Wednesday, December 2, 2009

Kalau Ada Cinta Part 7

BANGLO itu semakin dihinggapi kesunyian sejak Lydia pula meninggalkan mereka. Semenjak itulah juga Zahidah sering jatuh sakit. Saban minggu Anim akan pulang dari kolej untuk menjengah. Fariz pula sudah jarang pulang ke kondo. Lebih banyak masa diluangkan di rumah menemani Zahidah. Masih ada lagi sisa-sisa kemarahan di hati ibunya, tetapi Fariz membiarkan sahaja. Rajuknya tidak lama. Fariz satu-satunya anak lelaki di dalam keluarga. Lama mana Zahidah mampu bertikam lidah dengan Fariz. Sudahnya dia membiarkan sahaja. Sedikit-sebanyak sifat degil dalam diri Fariz itu diwarisi dari dirinya sendiri. Mungkin Fariz pernah meninggi suara, tetapi Fariz masih sudi merendahkan egonya dengan meminta maaf. Kepulangan Fariz juga dirasakan mengurangkan sedikit-sebanyak tekanan yang dihadapinya. Zahidah rindukan Lydia! Zahidah rindukan telatah anak kecil.
Pada mulanya Lydia datang setiap minggu melawat mereka sekeluarga. Namun, keputusan Kamarul Ariffin untuk berpindah ke Sarawak sekali lagi menghancurkan perasaan mereka. Lydia akan dibawa bersama ke sana. Tiada lagi kunjungan dari anak kecil itu mengubat rasa rindu. Mereka terpaksa akur. Fariz sendiri terkilan dengan pemergian anak tirinya. Memang dia menyayangi Lydia dan tidak pernah mengabaikan anak kecil itu. Namun, dia tidak mungkin dapat mengambil tempat Kamarul Ariffin. Lelaki itu bapa kandung Lydia. Lelaki itulah yang dikenali sebagai papa sejak dari lahir lagi. Dan nama lelaki itulah juga yang sering disebut-sebut oleh Lydia. Tidak hairanlah kalau anak kecil itu memilih untuk tinggal bersama bapanya. Lydia rindukan kasih bapa kandungnya. Kasih-sayang yang tidak boleh diganti!

IRAH bernyanyi-nyanyi kecil. Ada keriangan yang berputik di dalam hati. Sebentar tadi Fariz menelefon. Katanya mahu pulang ke kondo hari ini. Terus dia tersenyum lebar. Tidak sabar-sabar untuk menyambut kepulangan Fariz. Pelbagai lauk-pauk sudah disiapkan menunggu kepulangan Fariz. Hatinya berbunga. Rindu benar pada suaminya.

Loceng pintu yang berbunyi menandakan kepulangan Fariz. Segera Irah membuka pintu dan menyambut suaminya dengan senyuman mesra. Tangan Fariz diraih, disalam serta dikucup.

Fariz kehairanan. Lain benar layanan Irah hari ini. Mesra sekali.
“Abang nak makan? Irah dah masakkan.” Sapa Irah.
“Boleh juga. Irah dah makan? Jom makan sekali,” Irah menggeleng.
“Irah kenyang. Abang makanlah.” Shahirah sudah sibuk menghidangkan makanan di meja makan. Fariz dilayan sungguh istimewa.

Irah ternanti-nanti. Sudah hampir pukul 11.00 malam. Fariz masih lagi mengadap kaca televisyen. Tiada langsung tanda-tanda untuk masuk tidur. Tak kerjakah besok?
“Abang, dah lewat ni. Tidurlah. Abang kan kerja.” Suara Irah menegur Fariz yang masih leka dengan rancangan tv.
“Tak apa. Irah tidurlah dulu kalau mengantuk. Abang tidur kat luar aje.” Jawabnya tanpa memandang wajah Irah. Matanya masih lekat di kaca tv. Irah rasa sedikit terkilan. Tidur kat luar? Irah menggigit bibir.
“Abang, Irah cakap sikit boleh?” Irah bersuara perlahan lantas mengambil tempat di sofa. Fariz mengerling. Wajah isterinya serius. Segera dipadamkan televisyen dengan remote control.
“Apa dia? Tak cukup duit belanja ke?” Soalnya. Irah menggeleng. Sunyi seketika. Irah cuba mencari kekuatan untuk berbicara.
“Abang marahkan Irah ke? Irah ada buat salah ke?” Berkelip-kelip matanya memandang Fariz. Wajah lelaki itu berubah. Dahinya berkerut.
“Kenapa Irah tanya macam tu? Mana ada abang marahkan Irah.” Jawabnya. Irah menelan liur lagi. Masakan! Kalau tidak kenapa dia asyik menjauhkan diri dari aku?
“Dah tu kenapa abang macam… macam…,” Dia tidak menghabiskan ayatnya. Dibiarkan tergantung di situ. Irah takut untuk bersuara.
“Kenapa ni? Macam apa? Cuba cakap terus-terang dengan abang. Irah ada apa-apa yang tak puas hati?” Kali ini Fariz pula menyoal bertubi-tubi. Tergagap-gagap dia untuk memberi jawapan.
“Abang…, abang asyik jauhkan diri dari Irah. Abang dahlah jarang-jarang balik ke sini. Irah ajak tidur di bilik pun abang tak mahu.” Irah bersuara sayu. Fariz terdiam. Sedar dengan perlakuan dinginnya terhadap Irah. Dari segi lain dia tidak pernah mengabaikan Irah. Hanya kemesraan sahaja yang tidak diberikan sedangkan Irah benar-benar memerlukan kasih-sayangnya.

Fariz menghela nafas yang terbuku. Dia sendiri tidak mengerti dengan apa yang dialaminya. Dia rasa bersalah terhadap isterinya.
“Abang minta maaf.” Lambat-lambat dia menuturkan ayat itu. Begitu sukar untuk meluahkan apa yang tersirat di dalam hati. Namun dirinya takkan tenang selagi tidak berterus-terang.
“Kenapa abang minta maaf? Irah tak faham.” Direnung wajah Fariz untuk meminta jawapan yang lebih pasti.
“Abang sebenarnya belum bersedia.” Irah makin hairan. Apa maksudnya? Tidak bersedia?
“Maksud abang?”
“Abang minta maaf sebab buat Irah macam ni. Abang sebenarnya.... tak cintakan Irah!” Irah tergamam. Terasakan nafas tersekat di kerongkong. Bukan itu ucapan yang diharapkan! Kenapa? Kenapa???
“Abang minta maaf kerana usik Irah. Abang sebenarnya belum bersedia untuk terima Irah dalam kehidupan abang. Abang masih cintakan kak Ju. Abang bersalah kerana dah terlanjur dengan Irah. Abang bukan sengaja.” Irah tidak dapat menahan sebak. Terus air matanya menitis di situ. Bukan itu yang dinanti-nanti dan diharapkan selama ini. Irah dambakan sebuah cinta dari Fariz. Ternyata harapannya hancur berkecai. Hancur dek kata-kata yang diluahkan. Sebegitu mudah Fariz berkata begitu setelah melakukannya? Kalau tiada cinta kenapa buat Irah begini?
“Irah, abang....,” Fariz cuba menyentuh bahu Irah tetapi dia mengelak. Hatinya sakit. Fariz keterlaluan! Irah isteri Fariz. Kenapa tidak boleh memberikan cinta dan kasih-sayang pada Irah? Irah juga berhak!
“Kenapa abang buat Irah macam ni? Apa salah Irah? Kalau abang tak sukakan Irah, kenapa tak lepaskan Irah?” Dia menyoal marah dalam tangisnya. Teresak-esak hingga terhenjut bahu menahan sendu.
“Abang... abang minta maaf Irah. Abang cuma manusia. Abang tak dapat kawal diri. Abang tahu abang salah. Abang akan cuba layan Irah dengan baik. Irah, maafkan abang!” Irah semakin geram. Sebegitu mudah menuturkan perkataan maaf. Hatinya terlalu sakit tika ini.
“Sampai hati abang. Abang dah buat Irah macam ni. Takkan tak ada sedikit pun perasaan pada Irah? Abang kejam!” Irah berlari-lari anak menuju ke bilik, meninggalkan Fariz tanpa kata. Dihempas daun pintu sekuat hati. Pelbagai perasaan bercampur-baur di dalam hati. Sedih, pilu, marah dan geram. Fariz terlalu ego!

Peristiwa itu mengubah diri Irah menjadikannya tidak ceria seperti sebelumnya. Hanya kedinginan bertamu di lubuk sanubari. Fariz sudah tidak dipedulikan. Dia sudah berjauh hati. Tiada lagi harapan disandarkan pada Fariz. Perasaan yang baru memutik indah bagaikan direntap sekelip mata oleh kata-kata lelaki itu. Kedukaan menjadi peneman. Sudahlah Irah ditinggalkan keluarga, kini hatinya dibiarkan sendiri tanpa tempat bermanja. Betapa Irah menagih cinta dari Fariz, tetapi lelaki itu tidak sudi memberi. Ah! Fariz hanya tahu mengambil kesempatan! Tak guna menabur kasih pada orang yang tak sudi. Irah pun tak ingin tersudu-sudu kalau orang tak suka! Cinta yang tidak berbalas ibarat pohon yang baru mula bertumbuh dibiarkan kering dan mati. Pedih di hati TUHAN sahaja yang tahu!

Fariz sedar dengan tingkah Irah yang berubah drastik. Pastinya Irah berkecil hati dengan penjelasannya. Tetapi Fariz tidak mahu berpura-pura. Memang silap dia berkata begitu, tetapi selama mana harus Fariz menyembunyikan hakikat sebenar? Cinta dan sayang. Wujudkah untuk Irah? Fariz tidak tahu. Bila disebut tentang soal kasih, hanya wajah Julia yang terbayang di ruang mata. Adakah ruang dihati untuk Irah sedangkan sepenuh cinta sudah dicurahkan buat Julia? Julia mungkin sudah pergi untuk selama-lamanya, tetapi wanita itu masih hidup dalam hatinya, dalam kenangannya, dan dalam perasaannya. Lalu, bagaimana?

“FARIZ, mak nak cakap sikit boleh?” Zahidah menegur Fariz yang leka membaca akhbar di ruang taman. Ada sesuatu yang sudah kian lama bersarang di benaknya. Cuma tidak terluah sahaja. Diletakkan dulang berisi minuman dan kuih-muih yang menjadi hidangan minum petang di meja kecil di hadapan Fariz. Suasana damai taman yang terhias indah dengan landskap dan tumbuhan-tumbuhan renek dan pokok-pokok bunga membangkitkan suasana yang harmoni dan tenang. Bayu yang berpuput lembut menyegarkan suasana petang yang damai.
“Apa dia mak?” Fariz meletakkan akhbar di sisi sedang Zahidah pula sudah mengambil tempat di sebelahnya.
“Isteri Fariz apa khabar?” Wajah Zahidah sedikit gusar. Bimbang kalau-kalau Fariz masih berkecil hati dengan sikapnya suatu ketika dahulu.
“Dia... baik. Kenapa mak tanya fasal dia?” Fariz cuba mengesan apa yang sebenarnya ingin diperkatakan oleh ibunya.
“Mak.... mak sebenarnya nak minta maaf. Mak dah sedar kesilapan mak. Mak harap Fariz maafkan mak.”
“Fariz dah lama maafkan mak. Fariz pun minta maaf sebab berkasar dengan mak. Dahlah, jangan bangkitkan hal tu lagi. Kita lupakan aje, ya mak.” Fariz cuba memujuk. Tidak karuan melihatkan kesedihan di wajah tua itu. Dia lebih rela mengalah dari melihat ibunya menangis. Sekeras-keras hati lelakinya, bisa juga dilembutkan oleh titisan air mata ibu. Kasih ibu terlalu tinggi nilainya!
“Kalau mak minta sesuatu boleh?” Zahidah bertanya lagi.
“Apa dia mak?”
“Mak nak jumpa dia.” Fariz sedikit terkejut.
“Jumpa Irah?” Zahidah mengangguk.
“Mak nak minta maaf dengan dia. Mak dah bersalah pada dia. Berilah mak jumpa dia. Hati mak tak tenang selagi tak berjumpa dan minta maaf.” Pandangan Zahidah penuh kesayuan. Terpancar sinar harapan yang menggunung dari matanya.
Fariz membisu beberapa ketika. Dia sendiri tidak dapat memberi kata-putus. Bagaimana pandangan Irah sendiri? Ah! Irah pun sudah tidak sudi berbicara dengannya. Saban hari hanya melayan perasaan sendiri. Hmm...

“Insya-Allah. Kalau ada kesempatan Fariz akan bawa dia kemari.” Jawabnya.
“Fariz...,” Diletakkan tangannya di atas tangan Fariz yang kasar.
“Tolong ya. Hati mak betul-betul tak tenteram. Jangan sampai mak tak sempat minta maaf dengan dia.” Ujarnya penuh harap.
“Mak, jangan cakap macam tu. Fariz janji akan bawa Irah jumpa mak. Mak janganlah bimbang ok?” Digenggam tangan tua itu sambil menghadiahkan sebuah senyuman. Zahidah menarik nafas lega mendengarkan janji itu...

“TAK payahlah bang. Irah rasa Irah duduk kat rumah lagi baik.” Wajah Irah mencuka. Tubuhnya dipusing membelakangkan Fariz. Pandangannya dilarikan ke luar tingkap, mengharapkan suasana di luar sana dapat memberi sedikit ketenangan kepada hati yang terluka. Suka-suka hati dia nak mengarah aku itu ini! Ingat aku ni lembu ke? Tak ada perasaan? Marahnya di dalam hati.
“Jangan macam tu. Irah pun janganlah berkecil hati sangat. Perkara tu dah lama berlalu. Takkan dengan orang tua pun nak berkira. Abang dah janji dengan mak nak bawa Irah jumpa dia. Mak dah minta maaf.” Ujar Fariz pula, masih memujuk.
“Irah dah lama maafkan mak. Irah tak berkecil hati. Abang sampaikan ajelah salam Irah pada mak abang. Bukan Irah tak sudi nak jumpa mak, tapi Irah sedar siapa diri Irah. Irah tak layak bergelar menantu. Irah ni tak bererti untuk sesiapa. Siapalah Irah pada abang.” Dirasakan kesayuan membalut hatinya. Terkilan di hati oleh perbuatan Fariz masih belum hilang. Masih kukuh tersemat ingatan terhadap kata-kata Fariz walaupun telah hampir beberapa bulan berlalu. Irah sebenarnya telah kecewa dengan suaminya. Suatu kekecewaan yang diciptakan oleh lelaki itu sendiri.

“Irah masih marahkan abang?” Diam membisu. Fariz yang medekati cuba dijauhi. Tidak mahu dirinya disentuh. Irah rasa jelik dengan sentuhan lelaki itu. Terasa dirinya terlalu hina. Hanya layak menjadi bahan santapan nafsu Fariz, bukan untuk disayangi, apatah lagi dicintai. Fariz kejam! Tidak berperasaan!
“Abang dah minta maaf banyak kali. Irah nak suruh abang buat apa, hah? Kenapa degil sangat? Berapa kali abang cakap, abang tak sengaja! Abang cuma seorang manusia biasa, bukannya Nabi yang boleh menahan godaan. Abang bertanggungjawab atas perbuatan abang. Abang bukannya mengabaikan Irah dari kehidupan abang. Selama ini abang jaga makan pakai Irah. Tak cukup lagikah?” Fariz pula diserang amarah.
“Semudah itu ke tanggungjawab seorang suami? Abang betul-betul bertanggungjawabkah? Abang sebenarnya ego! Abang cuma fikirkan tentang diri abang! Abang ingat kemewahan boleh beli diri Irah? Irah manusia bang! Irah ada perasaan. Pernah abang tanya tentang perasaan Irah? Pernah abang peduli Irah sedih atau gembira? Selama ni Irah sunyi. Sangat sunyi. Irah perlukan seorang teman. Irah perlukan kasih-sayang abang. Tapi abang langsung tak ingin memberi. Abang buat Irah rasa macam perempuan simpanan! Abang sentuh Irah tanpa sedikit pun perasaan sayang. Irah sedih! Irah malu! Irah pun ada harga diri bang!” Irah meluahkan perasaan yang sekian lama terbeban dalam diri. Biar Fariz tahu, bukan selamanya Irah akan tunduk dan mengalah oleh perbuatan lelaki itu!
“Irah, abang... abang tak bermaksud begitu.” Fariz kematian kata.
“Sudahlah bang. Tak payahlah pujuk Irah. Irah sedar siapa diri Irah. Tak payahlah susah-susah kerana Irah. Buat apa temukan Irah dengan mak abang, sedangkan Irah dengan abang pun bukannya ada apa-apa.” Tangisnya berlagu lagi. Fariz merasa tertekan. Perasaannya benar-benar terhimpit kala ini. Antara melayan rajuk isteri dan kehendak ibu yang disayangi. Zahidah sudah sedia menanti. Janjinya untuk membawa Irah pulang ke rumah hari ini. Telah berhari-hari Zahidah bertanyakan hal itu. Kini Irah pula yang buat perangai. Kacau!

“Irah, soal ni kita settle kemudian, boleh? Sekarang abang cuma minta Irah ikut abang jumpa dengan mak. Sekali ini aje abang minta. Lepas ni, apa sahaja yang Irah mahu, apa sahaja yang Irah nak buat, nak marah abang ke, nak pukul abang ke, terpulang pada Irah. Cuma tolong jangan sakitkan hati mak abang. Abang tak sanggup tengok mak menangis lagi. Mak tak berapa sihat. Tolonglah faham Irah.” Sedaya-upaya dipujuk Irah yang kian melayan rajuk. Seketika Irah membisu. Tangis yang bersisa diseka dengan belakang tapak tangan. Walau betapa sakitnya hati, Irah masih sedar statusnya sebagai seorang isteri. Seketika dia terkenangnya wajah arwah emak. Irah anak yang baik. Jangan sekali-kali derhaka pada ibu bapa. Terngiang-ngiang nasihat itu di telinga. Kalaulah mak ada di sisi! Ah! Fariz bukannya mengerti apa yang Irah rasakan!

“Abang nak balik rumah mak abang, abang baliklah sorang-sorang. Irah tak mahu!” Tegasnya. Entah dari mana datangnya sifat memberontak yang sebelum ini tidak pernah dipamerkan. Memang sejak akhir-akhir ini pun dia sudah mula pandai melawan. Radangnya tidak menentu. Kalau anginnya sudah datang, ada sahaja yang menjadi amarahnya.

“Irah jangan nak melawan cakap abang. Jangan sampai abang berkasar dengan Irah. Abang cakap baik-baik ni.” Habis sudah kata pujukan Fariz terhadap perempuan itu. Egonya tercabar bila Irah semakin buat perangai. Kalau dulu, isterinya tidak pandai melawan, kini ada sahaja kata-kata sinis yang terpacul dari bibir. Memang Fariz seorang yang cepat baran bila apa yang disuruhnya ditentang.
“Irah cakap tak mahu, tak mahulah!” Irah menjerit marah.
Dada Fariz kian terbakar dengan kedegilan Irah yang menjadi-jadi. Semakin dipujuk rayu semakin naik lemak pula! Mengada-ngada!
“Diam! Aku tak suka dengar perempuan menjerit, tau tak?!” Kali ini tengkingan Fariz bergetar ke segenap ruang. Irah terpempan. Tubuhnya menggigil. Dia rasa takut sekali bila lelaki itu mengamuk.
“Ikut abang balik rumah mak sekarang jugak!” Fariz terus merenggut kasar tangan isterinya. Tangisan Irah tidak dipedulikan. Marahnya berapi. Pantang benar kalau perempuan melawan cakapnya.
“Irah tak mahu! Irah tak mahu! Lepaskan!” Irah meronta-ronta ingin melepaskan diri. Dia benar-benar tidak ingin pergi. Dia benar-benar dikuasai perasaan sedih dan marahnya. Namun, Fariz tidak sudi mendengar. Jeritan dan tangisan Irah dipandang sepi.

Kereta Mercedes Benz perak metalik itu meluncur masuk ke perkarangan banglo di pinggir bukit dan akhirnya berhenti tepat-tepat di hadapan pintu masuk utama. Irah sekadar memandang. Besar dan mewah sekali banglo itu. Dia kagum, namun tiada kata pujian diluahkan. Sepanjang perjalanan pun dia hanya membisu. Tengkingan Fariz benar-benar membuatkan dia kecut walaupun hatinya memberontak tidak ingin ikut sama. Matanya masih basah dek tangisan sepanjang perjalanan. Kepalanya sedikit pening. Mungkin kerana cuaca panas yang sedang melanda negara tika ini. Semalam pun telah diwartakan dalam berita yang cuaca panas mungkin akan berlanjutan untuk tempoh beberapa bulan.

“Irah..,” Dia dengar namanya dipanggil. Fariz mengisyaratkannya supaya turun. Seketika kemudian Irah nampak wajah seseorang yang pernah ditemuinya. Perempuan yang memarahinya dan menamparnya suatu ketika dulu.

Wanita itu tersenyum. Didekati anak dan menantu yang sekian lama dinanti.
“Mak, ini Irah.” Fariz memperkenalkan. Gugup Irah menyambut salam dari tangan tua itu. Pertama kali Irah menyalami tangan ibu mertuanya. Debar di hati Tuhan sahaja yang tahu!
“Masuklah Fariz, Irah. Abah belum balik lagi. Sekejap lagi dia pulang. Kak Saba dah siapkan makan tengahari. Irah makan di sini ya.” Irah ingin bersuara, tetapi pandangan tajam Fariz seolah-olah memberitahunya supaya mendiamkan diri. Akhirnya diturutkan sahaja langkah Zahidah masuk ke dalam banglo yang tersergam indah.

Melilau mata Irah melihatkan hiasan indah dalam ruang tamu itu. Di dinding tergantung gambar-gambar keluarga. Fariz bersama ibu, ayah, adik, seorang anak kecil berusia dalam lingkungan 7 tahun dan seorang wanita yang jelita. Mungkinkah itu Julia? Ah! Bahagianya mereka! Desis hatinya. Mungkin suatu masa dahulu rumah ini penuh dengan suasana ceria dan gembira. Dari gambar-gambar yang terpamer itu, dia dapat mengagak kegembiraan yang pernah tercurah. Terasa dirinya jauh sekali. Aku tak patut kemari!
“Abang, Irah nak balik.” Dicuit lengan Fariz sambil ayat itu dibisikkan. Fariz mengangkat kening tanda kurang senang.
“Irah jangan nak cari fasal! Kita baru aje sampai. Abah pun belum balik lagi. Jangan nak mengada-ngada!” Marah Fariz. Dikawal nada suara agar tidak kedengaran oleh Zahidah yang ketika itu berada di ruang dapur untuk mengambil minuman sementara Kak Saba pula sibuk menghidangkan makan tengahari.
“Irah bukan nak mengada-ngada! Irah rasa tak sihat. Irah pening!” Irah mula memicit dahi yang dirasakan berdenyut. Mungkin kerana cuaca yang terlalu panas. Fariz tidak melayan. Mengada-ngada! Suka buat perangai!

Zahidah muncul dari dapur sambil menatang sedulang minuman. Wajahnya yang terukir dengan senyuman berubah bila melihatkan Irah. Wajah perempuan itu pucat kelesuan. Kenapa pula? Tadi ok aje?

“Irah kenapa? Tak sihat ke?” Zahidah menegur. Irah menggeleng. Sedaya-upaya cuba dikawal imbangan tubuh. Saat ini kepalanya benar-benar pening. Pandangannya nanar. Suara Fariz dan Zahidah bagaikan tak terjangkau oleh pendengaran. Tiba-tiba kelam menutup tirai penglihatannya. Dirasakan bumi ini berputar. Tubuhnya jatuh terjelepuk ke lantai...

Perlahan dibuka kelopak mata yang dirasakan berat. Kesakitan di kepala masih lagi dirasai. Aku dimana?

Dilihatnya Fariz ada di sisi, menggenggam tangan kirinya. Ditoleh pula ke sekeliling. Zahidah bersama perempuan muda yang pernah ditemuinya dahulu serta seorang lelaki separuh umur.

Irah ingin membuka mulut bertanyakan apa yang berlaku. Dia cuba bangun tetapi dihalang oleh Fariz.

“Rehatlah! Irah kan baru sedar.” Fariz menguntum senyum. Kenapa mesra benar? Di setiap wajah terpamer kegembiraan. Irah tidak mengerti. Agaknya mereka seronok tengok aku terlantar begini.

“Kenapa Irah tak cakap awal-awal? Fariz pun satu, tak ambil tahu keadaan Irah. Kesian Irah. Kalau mak tahu, tak ada mak suruh Irah datang tengah-tengah cuaca panas macam ni, biar Irah berehat aje kat rumah.” Irah langsung tidak faham.
“Jaga diri baik-baik Irah. Irah kena jaga kesihatan Irah sekarang.” Azri pula mengusap-usap kepalanya. Irah rasa terharu. Betapa dia mendambakan kasih seorang ayah.
“Kenapa Irah tak cakap dengan abang? Kenapa rahsiakan?” Fariz pula menyoal lembut. Irah masih belum dapat menangkap maksudnya. Dikerutkan dahi kehairanan.
“Cakap apa ni? Irah tak faham.” Dipandang wajah Fariz untuk meminta suatu kepastian. Kali ini Zahidah pula mendekati dan menghadiahkan satu kucupan di dahi. Irah terpana!
“Irah bakal bergelar ibu sayang!” Bagaikan mahu luruh jantung mendengarkan jawapan itu. Irah bakal bergelar ibu? Maknanya Irah mengandung? Mengandungkan benih Fariz? Tak mungkin! Dialih pandangannya pada Fariz tanpa berkelip.
“Irah... Irah mengandung bang?” Dia bertanya. Dirasakan soalan itu terlalu bodoh untuk diajukan.
“Irah dah dua bulan mengandung. Apa Irah tak sedar?” Irah berfikir-fikir seketika. Cuba mengingati mana-mana perubahan yang berlaku pada dirinya sejak akhir-akhir ini. Seingatnya memang periodnya pun sudah beberapa bulan tidak datang. Sangkanya hanya kerana tekanan yang dihadapi. Dahulu pun Irah mengalami keadaan yang sama. Kerana itu Irah tidak menjangkakan ada perubahan dalam dirinya. Cuma akhir-akhir ini sahaja dia mudah benar berasa penat, lesu dan pening.

“Irah dah berbadan dua sekarang. Fariz kenalah jaga Irah betul-betul. Mak rasa daripada Irah tinggal sendirian kat Kondo tu, ada baiknya Irah tinggal dengan kami. Sekurang-kurangnya mak ada untuk tengok-tengokkan Irah.” Irah makin tersentak mendengar cadangan Zahidah yang tak semena-mena itu. Dirasakan perkara ini terlalu mendadak baginya.
“Tapi….,” Irah ingin membantah. Mana mungkin! Ini tidak sepatutnya berlaku. Dia ingin menjauhkan diri dari keluarga itu. Tetapi lain pula yang terjadi.
“Betul tu Fariz. Biar Irah tinggal dengan kami. Tak payah susah-susah Fariz nak berulang-alik ke sana ke mari. Doktor pun ada beritahu badan Irah lemah sedikit. Ada baiknya kalau mak yang jaga dia daripada Fariz biarkan dia seorang diri. Bagus cadangan mak kamu tu.” Ujar Azri pula. Zahidah angguk senyum. Fariz belum memberikan keputusannya tetapi ibu bapanya lebih dahulu membuat kesimpulan. Irah tidak mampu menghalang.
“Lepas keluar hospital, Irah terus tinggal dengan mak ya sayang?” Zahidah mengusap-usap lagi kepala Irah, bagaikan seorang ibu membelai anak kecil. Irah hanya terdaya membisu.

------------ sedutan episod 8 -----------------

“Cukup Irah! Abang tak nak dengar lagi! Irah dah makin berani sekarang. Irah jangan lupa yang Irah masih isteri abang. Abang dah bosan dengan tuduhan Irah tu semua. Abang tak pernah buat jahat pada Irah. Ada abang kasari Irah? Ada abang paksa Irah? Hmm? Cuba fikir sikit. Kalau Irah tak rela disentuh abang, kenapa tak melawan? Kenapa tak menolak malam tu? Kenapa biarkan? Kita sama-sama mahu. Silapnya abang tak punya perasaan cinta pada Irah masa tu. Sekarang Irah nak letakkan semua kesalahan atas abang?” Tubuh Irah yang digoncang Fariz sedikit kecut. Takut juga bila lelaki itu diamuk marah. Namun, hatinya masih tebal dengan rasa benci dan geram.
“Ah! Abang memang ambil kesempatan! Abang yang mulakan! Kalau tak, semua ni takkan terjadi!” Dia masih berkeras menegakkan hujahnya.