Wednesday, December 2, 2009

Menggapai Kasih Part 4

Keesokkan harinya, ketika waktu rehat, ramai pelajar keluar makan di kantin sekolah. Dia tidak menyertai kawan-kawannya. Duduk sendirian di dalam kelas, dia membaca sebuah novel yang dipinjamnya dari perpustakaan.
Kipas di siling berputar pada kelajuan tiga. Dari sini, jelas kedengaran suara pelajar-pelajar bergurau senda berhampiran kaki lima. Dua tiga orang pelajar cina masuk ke dalam, menyelongkar sesuatu dari beg masing-masing dan kemudiannya keluar semula sambil bergelak ketawa.
Tidak terlintas di hati Nurul ingin mempedulikan mereka sebagaimana mereka sendiri tidak berminat untuk mencampuri urusannya. Kiranya membaca novel lebih menenangkan, dia terus menerokai halaman-halaman kertas putih berisi tulisan-tulisan bercetak.
Sebentar, kira-kira sepuluh minit berlalu, dia terdengar bunyi tapak kaki melangkah. Seterusnya bahunya ditepuk orang dari belakang. Dia berpaling, melihat siapa gerangan yang datang.
Dilihatnya, Zainol telah terdiri dengan senyuman manis bersama sepasang seragam sekolah.
“Kau?” sapa Nurul, mendatar.
Angguk. Zainol duduk di hadapannya.
“Aku dah dengar apa yang berlaku pada kau semalam..” ucap Zainol tanpa dipinta.
“Jadi?” Nurul tidak memberikan perhatiannya.
“Aku tumpang bersimpati. Kalau aku ada semalam, tentu dah aku cincang-cincang pemandu teksi gila tuh!” gerutu Zainol geram sambil menemukan penumbuk dengan tapak tangannya.
“Hah, iyalah tu!” Nurul hampir tergelak mendengar.
“Kenapa? Kau tak percaya aku boleh kalahkan pemandu teksi tu?”
“Entah-entah bila tengok engkau, minat binatang tu beralih pula dari aku kepada engkau pulak..Habis nanti sapa pulak nak tolong engkau!” ujar Nurul sambil ketawa kecil.
“Apa kau ingat aku ni tak mampu berlawan ke?” Zainol kelihatan tercabar.
“Alah.. tentu tak sehebat ayah aku. Semalam dia lawan macam hero dalam cerita Hollywood tau! Fuh, dahsyatla..”
“Ah, lagi-lagi cerita pasal sugar daddy dia, bosanlah!”
“Hei!” Nurul membentak marah mendengar gelaran yang Zainol berikan kepada ayahnya.
“Apa?”
“Dia bukan sugar daddy akulah! Dia ayah aku!”
“Eleh, macamlah aku tak tahu yang dia tu bukan ayah kandung kau!”
Nurul mengetap gigi, marah.
“Mana kau dapat semua cerita ni, ha?”
“JR bagi tahu sama aku..” Zainol tersengih bangga. “Dan dia juga bagi tahu yang kau ni, anak haram!”
“Kurang ajar!” Nurul tidak dapat mengawal kemarahannya. Serta-merta dicapai beg sekolahnya lalu dihentakkan beg itu beberapa kali kepada badan Zainol. Zainol cuba hendak melawan tetapi hentakan Nurul semakin keras dan akhirnya dia jatuh bergelimpangan ke lantai dan Nurul semakin galak menendang dan memijak-mijak tubuhnya.
“Eii, apa ni anak haram! Berhentilah!” jerit Zainol meminta tolong.
“Sial! Sekali lagi kau panggil aku anak haram, aku bunuh kau!”
Suasana menjadi riuh-rendah. Dalam beberapa ketika sahaja kelas telah dipenuhi oleh pelajar-pelajar. Dan dalam beberapa ketika lagi Cikgu Normah dan Cikgu Zulkifli, guru disiplin mereka sudah pun tercegat berdiri sambil memberikan pandangan tajam.
“Nurul, berhenti!” herdik cikgu Normah garang.
Nurul tersentak. Dia memandang ke sekeliling, dan pada ketika itu baru disedarinya apa yang telah berlaku. Dilihatnya Zainol terdampar di atas lantai, mengerang kesakitan. Dan dirinya, tegak terpaku bersama sebuah beg sekolah yang sarat dengan buku-buku.
“Kamu berdua, ikut cikgu ke pejabat!” perintah cikgu Zulkifli pula.
Zainol dan Nurul akur. Mereka menyusup-nyusup di celah-celah khalayak yang ramai. Mengetahui yang diri mereka diperhatikan, mereka mengekori guru-guru di hadapan tanpa banyak bicara, dan sekali-sekala terdengar suara orang ketawa, entah kerana mengajukkan Zainol yang tidak berupaya melawan seorang perempuan ataupun kerana mengajukkan Nurul yang mula mendapat jolokan ‘anak haram’.
Dalam pada berjalan ke pejabat, Nurul ternampakkan kelibat JR, berhampiran tangga, memerhatikan mereka berdua dengan wajah yang sugul, dan reaksinya, jauh sekali daripada berasa senang mahupun lapang.
“Kenapa kamu berdua bergaduh?” herdik cikgu Zulkifli tegas sambil memegang rotan panjang, sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam bilik cikgu muda itu yang letaknya kira-kira sepuluh langkah dari pintu besar pejabat sekolah.
“Dia pukul saya dulu cikgu!” ujar Zainol sambil mengesat darah yang mengalir pada pinggir bibirnya.
“Nurul?” mata cikgu Zulkifli menikam ke arah pelajar berbaju kurung dan bermata galak itu. “Betul kamu pukul dia dulu?”
Nurul tunduk sebak tetapi dia sudah pun mengangguk.
“Kenapa kamu pukul dia?” tanya cikgu Zulkifli lagi.
“Dia..dia..” Nurul sukar hendak meneruskan kata-kata. “Dia panggil saya anak haram, cikgu!” Serta-merta air matanya melimpah. Dia menangis teresak-esak. Ditekup mulutnya dengan tapak kirinya namun sedih tetap juga menguasai sanubari.
“Zainol,” tumpuan cikgu Zulkifli beralih kepada pelajar lelaki berambut kusut dan baju berkedut, di sebelah Nurul.
Zainol tidak berani mengangkat kepala. Mukanya pucat dan tubuhnya menggigil-gigil.
“Kamu tak ada kerja lain yang hendak dibuat selain daripada mengejek orang?” tanya cikgu Zainol, sinis bunyinya.
“S..saya tak sengaja, cikgu..”
“Apa maksud kamu tak sengaja?”
“Dia sombong sangat dengan saya cikgu..”
“Jadi?”
“Saya geram.. saya pun ejeklah dia..”
Cikgu Zulkifli mendengus kecil mendengar penjelasan anak muridnya. Dia mundar-mandir beberapa kali, memerhatikan setiap satu wajah yang ketakutan. Berkira-kira apa keputusan yang patut dilaksanakan, dia akhirnya mendapat satu keyakinan.
“Nurul..” panggilnya tegas.
“Cikgu..” Nurul mengesat air mata.
“Kamu tahu, bergaduh merupakan satu kesalahan?”
Angguk.
“Biarpun ada orang cuba mempersenda-sendakan kamu, tapi pergaduhan bukanlah jalan penyelesaiannya, faham?”
Angguk.
“Dan kamu, Zainol!”
“Ya cikgu!” sahut Zainol.
“Kamu kena menghormati orang lain. Sebagai lelaki, kamu sepatutnya meletakkan wanita di tempat yang paling tinggi. Maruah dan sejarah hidup seseorang bukannya permainan atau bahan yang boleh diperkotak-katikkan. Mengerti?”
“Mengerti cikgu..”
“Dan sekarang..” cikgu Zulkifli memandang kedua-dua anak muridnya.
Nurul dan Zainol mengangkat kepala masing-masing.
“Saya mahu kamu berdua berbaik.. saya nak tengok kamu berdua bermaaf-maafan..”
Nurul dan Zainol saling berpandangan. Biarpun di hati berat sekali untuk melakukan apa yang telah diarahkan, tetapi perintah guru terpaksa jua dilaksanakan. Kalau tidak kerana penghormatan dan rasa rendah diri, masakan Nurul mampu memaafkan Zainol. Zainol telah mendedahkan rahsia yang cuba dia selindungkan buat seberapa lama. Kini, kerana ejekan Zainol, semua kawan-kawannya telah tahu siapa dirinya. Kini, kerana cercaan Zainol semua kawan-kawannya telah mengenali kedudukan dirinya sebagai anak haram.
Mana hendak diletakkan air mukanya. Bagaimana hendak dia menghadapi kawan-kawannya?
“Cepat.. saya nak dengar kamu minta maaf.!” arah cikgu Zulkifli semula apabila perintahnya sebelum ini tidak mendapat apa-apa tindakbalas.
Dengan terpaksa, atau kerana enggan memburuk-burukkan keadaan yang telah sedia buruk, Nurul akhirnya mengalah. Sambil berpura-pura bahawa dia telah melupakan apa yang terjadi, sekuntum ucapan kemaafan dia pohonkan kepada Zainol. Dan Zainol, sepertimana dirinya juga, turut membalas dengan perlakuan yang serupa. Nurul tidak kuasa mahu mempertimbangkan sama ada kemaafan Zainol itu tulus niatnya ataupun sekadar topengan dari keadaan yang sebenar. Biarpun berjuta kemaafan lelaki itu pohonkan, ia tidak akan berupaya memadamkan arang yang telah terconteng ke muka ini. Biar berjuta kemaafan diserahkan, pekong yang telah terbuka tidak mungkin dapat ditutup lagi.
Cikgu Zulkifli senyum puas setelah menyaksikan perdamaian antara kedua anak muridnya. Terpedaya oleh lakonan yang meyakinkan, dia tidak menyangka bahawa apa yang tersembunyi hakikatnya adalah jauh lebih buruk dari apa yang telah disaksikannya.
“Bagus.. saya suka melihat kamu begini..” ucap cikgu Zulkifli bangga.
Zainol senyum nipis tetapi Nurul masih bermuram durja.
“Boleh kami keluar sekarang, cikgu?” harap Zainol.
“Belum lagi..” jawab cikgu Zulkifli pendek.
Zainol dan Nurul tersentak.
“Kamu belum lagi menerima hukuman..” kata cikgu Zulkifli sambil bermain-main dengan rotannya.
Dua libasan rotan cukup untuk meninggalkan bekas di tangan Zainol dan Nurul. Dua libasan rotan juga sudah cukup untuk meninggalkan parut yang tersangat besar di lubuk hati Nurul. Selepas diberi beberapa rangkaian lagi nasihat-nasihat yang sekadar singgah di telinga tetapi tidak sampai ke dalam hati, Cikgu Zulkfili akhirnya membenarkan mereka keluar.
Nurul berjalan cepat-cepat menuju ke perpustakaan. Zainol pula pulang ke kelas.
“Nurul! Nurul!”
Nurul terdengar ada orang memanggil dari belakang. Langkahnya mati dan dia tercegat di tepi balkoni, mendapati JR sedang berlari-lari anak mendapatkannya. “Apa kau nak?” herdik Nurul marah, kembali membuka langkahnya.
“Aku minta maaf..” ucap JR kesal.
“Sudahlah..kau pun sama aja macam si Zainol tu..” gerutu Nurul. “Aku ingatkan kau akan bersimpati dengan aku, tapi rupanya kau pun sengaja nak mengenakan aku..”
“Aku kena paksa.. Aku terpaksa beritahu dia..”
“Ah, kau kan lelaki? Kenapa kau tak boleh melawan balik?”
“Kau pun tahu yang aku ni tak segagah mana..”
“Habis tu apa guna kau jadi lelaki kalau lembik macam anak dara?”
“Kau katalah apa yang kau suka, Nurul..” ucap JR, agak terkilan. “Asalkan kau dapat maafkan aku..”
Mendengarkan itu, Nurul tidak jadi hendak melangkah. Dia berpaling semula ke belakang dan dia dapat melihat wajah JR yang bungkam. Nurul sedar kata-katanya tadi keterlaluan. Dia terlalu mengikutkan perasaan marahnya sehinggakan dia tidak dapat berkata dengan kata-kata yang bijak.
“Aku minta maaf..” ucap Nurul kesal.
JR senyum hambar.
“Aku tak patut hina kau..” lanjutnya. “Fikiran aku berserabut.. aku tak tahu mana nak letak muka aku ni bila semua kawan-kawan dah dengar cerita pasal aku..”
“Aku faham..”
“Aku malu JR, aku malu!”
“Ini semua bukannya salah kau.. mereka tak patut menghina..”
“Tapi aku dah kehilangan sebahagian besar kawan-kawan aku..”
“Kan aku masih lagi kawan kau?”
Nurul terdiam. Direnungnya wajah JR yang benar-benar tulus membuat pengakuan. Hatinya tersentuh.
“Kau masih lagi boleh mengadu masalah kau dengan aku.. Kita masih boleh berbincang topik-topik kegemaran kita..”
Nurul diam lagi. Matanya tidak berkelip menatap gerak-geri seorang jejaka berkaca mata yang sedang berusaha menghiburkan hatinya.
“Iyalah..” ucap Nurul akhirnya. “Apa gunanya kawan-kawan kalau sekadar teman di kala senang.. Bukankah kawan yang sebenar itu adalah orang yang sanggup mendampingi kita di kala orang lain semuanya berlumba-lumba hendak meninggalkan kita..”
“Hah, begitulah..” kata JR lega.
Nurul mulai ketawa.
“Terima kasih JR.. aku dah salah sangka dengan kau..”
“Tak apa.. aku cuma nak tengok kau gembira..”
“Aku nak pergi ke perpustakaan ni, kau nak ikut sekali?”
“Tak. Aku ada kerja sekolah nak disiapkan..”
“Hmm.. kalau macam tu, kita jumpa lagi nanti masa kelas cikgu Normah.”
“Allright!”
Mereka berdua pun berpisah sambil tersenyum gembira. Nurul meneruskan langkah ke perpustakaan dan hatinya sedikit-sebanyak terubat juga oleh kata-kata yang indah dan menyentuh perasaan. Dia tidak lagi dicambuk kebimbangan. Sebaliknya pujukan JR telah menggantikan kemarau hati ini kepada bunga-bunga yang berkembangan.
Malam tiba mengikut hukumnya. Suasana malam yang sepi sangat serasi untuk Nurul duduk mengulangkaji. Ibu tidak ada di rumah, ibu ada mesyuarat di luar daerah. Menurut ibu, jika mesyuarat tamat segera, barulah ibu akan pulang menjengah. Jika tidak, mungkin ibu terpaksa bermalam di rumah teman seperjuangan.
Nurul tidak kisah bila ibu akan pulang. Nurul juga tidak bimbang kalau ibu tidak pulang. Ibu memang selalu sibuk. Masa ibu seringnya suntuk. Ibu wanita kuat berkerja. Lebih-lebih lagi semangat ibu hendak menyara keluarga. Pendirian dan kedegilan ibu untuk tidak menerima walau sekupang pun duit pemberian ayah, memaksa ibu berusaha lebih berlipat ganda.
Hasilnya, kerjaya ibu tinggi berjaya. Kedudukan ibu di mata masyarakat jauh menjulang ke puncak, meninggalkan ayah jauh di tempat yang paling bawah. Namun bukan itu perkiraan Nurul. Dia tidak terkesan dengan taraf sosial dan tanggapan umum masyarakat terhadap ibu bapanya. Bagi Nurul, ayah tetaplah ayah dan ibu tetaplah ibu. Seorang ayah punya kedudukannya sendiri yang tidak mungkin dapat digantikan oleh ibu yang paling sempurna sekalipun. Dan seorang ibu demikian juga, posisinya sebagai ibu tidak mungkin terlawan oleh mana-mana ayah yang paling budiman sekalipun. Dia sayangkan ibunya saling tak tumpah sepertimana sayangnya dia kepada ayahnya.
Menyebut sahaja nama ayah, kebetulan pintu biliknya diketuk orang. Dia yang sedang menelaah di meja studi segera berpaling lalu ternampak muka ayahnya terjengul di balik daun pintu.
“Boleh ayah masuk?” tanya ayah sopan.
Nurul tersenyum girang. Diketepikan buku-bukunya, dan dianjakkan kerusi beberapa inci ke belakang, membuka ruang untuk ayah duduk di katil.
Ayah mengisi ruang yang telah dibuka. Ayah duduk memandang tenang, merenung raut wajah anaknya yang manis dengan sehelai gaun tidur warna merah jambu.
“Ayah tak ganggu Nurul ke?” ucap ayah memulakan perbualan.
“Eh..tak adalah.. Nurul suka tengok ayah datang.” ucapnya sambil tersenyum.
Ayah melepaskan keluhan berat. Dahi ayah berkerut-kerut bagai sedang berfikir sesuatu yang keras.
“Petang tadi, cikgu Nurul telefon..” beritahu ayah bersahaja. Bibir ayah terkemam-kemam dan mata ayah memantulkan sinaran lampu tidur yang terpasang di meja studi.
Nurul menarik nafas. Mukadimah ayah telah menggambarkan apa yang ingin disampaikan. Ini tentunya berkaitan pertengkarannya siang tadi. Tentu cikgu Zulkifli telah menceritakan segala-gala kepada ayahnya.
“Jadi ayah dah tahu semuanya?” Nurul membuat telahan.
Angguk.
Dia menelan air liurnya yang pahit di kerongkong.
“Nurul janganlah takut.. ayah bukannya marah pun..”
Dia tunduk membisu. Ayah mencapai jari-jemarinya lalu ayah genggam jari-jemari itu berulang kali. Alangkah erat genggaman itu sehinggakan dirasakan jiwanya bagai telah disatukan dengan jiwa ayahnya.
“Jika ayah berada di tempat Nurul, mungkin ayah akan lakukan perkara yang sama. Ayah rasa tentu teruk kawan ayah tu ayah kerjakan..” lanjut ayah lagi, kian lembut dan kian menusuk.
“Nurul geram ayah.. mulut kawan Nurul tu..”
“Nurul tak perlu jelaskan apa-apa.. ayah mengerti..”
“Nurul malu, ayah..”
“Ayah faham sayang..”
Ayah memeluk tubuhnya. Degupan jantung ayah rapat di telinganya dan hangat panas badan ayah menyelinap ke seluruh saraf-sarafnya.
“Semua ini tentu berat untuk Nurul lalui..” bisik ayah penuh kelembutan.
Dia memejamkan mata. Terharu.
“Tapi Nurul kena kuat, sayang. Hidup ini terlalu sukar dan mencabar. Hanya orang-orang yang kuat akan berjaya dalam hidupnya..”
“Nurul takut Nurul tak mampu..”
“Percayalah Nurul, Nurul mampu melakukannya..”
Air mata Nurul tumpah di dada ayah. Dia menonyohkan muka ke bahu bidang ayah. Ayah mengusap-usap hitam panjang rambutnya. Ayah berikan dia semacam kekuatan yang sangat dia perlukan.
“Tuhan tak akan menguji seseorang dengan ujian yang tak mampu hambaNya lalui.. maka kerana kita mampulah, lalu Tuhan menguji kita dengan ujian-ujian yang sebegini..”
“Tapi bagaimana kalau kita tewas, ayah?”
“Tuhan akan memaafkan kita asalkan kita berjanji untuk tidak berputus asa..”
“Ayah,”
“Apa dia, sayang?”
“Ayah terlalu baik! Nurul sayangkan ayah!”
“Ayah juga begitu, nak. Ayah juga sangat sayangkan Nurul.”
“Ayah dah selamatkan Nurul.. ayah dah buat banyak kebaikan kepada Nurul..”
Ayah terus memeluknya rapat-rapat. Nurul biarkan ayah melakukan begitu. Hatinya senang dan dadanya lapang kerana ditusuk oleh aroma tubuh ayah.
“Ayah.. katakanlah ayah..”
“Katakan apa Nurul?”
“Katakanlah bagaimana Nurul hendak membenci ayah sedangkan ayah terlalu baik dengan Nurul? Katakanlah bagaimana baru dapat Nurul menurut apa yang ibu mahukan?”
“Nurul pejamlah mata Nurul rapat-rapat dan katakanlah kepada hati Nurul bahawa Nurul bencikan ayah.”
“Nurul tak boleh.. Nurul tak mampu..”
“Ayah juga tak mampu bencikan Nurul. Nurullah satu-satunya harapan ayah yang tinggal. Ayah sudah tidak punya sesiapa lagi di dunia ini selain dari Nurul..”
“Nurul rasa berdosa ayah, kerana menipu ibu.. Nurul janji untuk menjauhi ayah, tapi Nurul dekatkan juga diri Nurul kepada ayah..”
“Ayah juga..”
“Kenapa dalam kehidupan ini kita sering dipaksa untuk melalui sesuatu yang enggan kita lalui?”
“Itulah takdir namanya!”
Nurul mengesat mata setelah menangis agak lama. Dia melonggarkan pelukannya, dan kemudian dia duduk kembali di meja studi. Ketenangan ini, ketenangan dapat berbual bersama ayahnya tanpa sebarang halangan adalah sebuah nikmat yang jarang-jarang sekali dia alami. Dia tidaklah mengharapkan sesuatu yang terlalu tinggi akan berlaku antara ibu dan ayahnya. Seandainya dia dapat selalu berbincang begini di samping ayahnya, dan ibunya pula merelakannya, itu pun sudah lebih dari memadai.
“Nurul..” ayah memanggil perlahan.
Dia berpaling, merenungi muka sayu ayah.
“Ayah minta maaf atas apa yang telah berlaku antara ibu dan ayah selama ini..”
“Eh, kenapa ayah cakap begitu?” Nurul mengerutkan dahi, hairan.
“Ayah telah menyebabkan semua kerumitan ini berlaku.. kalaulah tak kerana ayah, tentu Nurul dan ibu sedang hidup bahagia di samping seorang ayah kandung yang sejati..”
“Nurul tak perlukan semua tu ayah..” tegas Nurul. “Nurul dah cukup berbangga memiliki seorang ayah tiri yang sungguh hebat..”
“Ayah bukannya ayah sejati Nurul..”
“Tapi ayah dah memberikan sesuatu yang sukar sekali untuk dilakukan oleh ayah sejati..”
Ayah diam terharu. Mata ayah berkaca-kaca. Dada ayah bergelombang turun dan naik. Nurul tahu ayah ingin menangis tetapi ayah bijak mengawalnya.
Lama suasana ditakluki keheningan. Bunyi langsir jendela terbuai-buai dan bunyi kipas meja berpusing bersilih ganti mengisi ruang sunyi antara dua manusia. Lampu yang berkilauan dan barang-barang perhiasan yang bergantungan, seiring dan senada mengiringi keadaan yang serba mengharukan.
Sebentar, ayah bangkit dari layanan perasaan yang panjang. Dirasakannya, kehadirannya yang seketika itu cuma mengganggu ketenangan anaknya. Dirasakan juga yang dirinya sebenarnya telah mengganggu kesempatan yang ada untuk anaknya mengulangkaji pelajaran. Lalu, atas naluri itulah, ayah akhirnya membuat keputusan untuk mengundur diri.
Nurul mengucupi tangan ayah sebelum membiarkan lelaki itu pergi. Kekosongan kembali berkunjungan dan dia menyambutnya dengan perasaan yang sukar dimengertikan. Nota-nota di meja, dicapainya kembali. Kertas-kertas soalan yang memerlukan jawapan, diisinya kembali. Semua itu berlarutan dan terus dia lakukannya penuh minat sehinggalah ke lewat malam. Kemudian, dia pun tidur di kamar peraduan. Menanti kiranya esok masih ada untuk dia teruskan perjuangan.