IRAH mendengus. Bosan! Dipandang segenap ruang tamu kondo yang terhias indah. Suasana sunyi dan tenang. Langsir satin berwarna peach lembut menari-nari dipukul angin yang menderu masuk dari jendela yang terbuka. Ruang tamu tersusun kemas. Tampak lebih ceria dan menarik. Irah telah membuat beberapa perubahan terhadap dekorasi ruang itu. Sofa biru nila sudah beralih kedudukan, menjadikan ruang kelihatan lebih luas. Jambangan bunga tulip menjadi hiasan di atas meja kaca. Mengundang suasana romantis.
Sebentar tadi Fariz ada menelefon memberitahu dia akan balik ke kondo petang ini. Nak masak ke? Irah berkira-kira. Namun hajatnya itu dimatikan sahaja apabila mengenangkan bekalan makanan yang sudah habis. Hanya tinggal air masak dan biskut kering sahaja di dapur. Fariz pun sudah lama tidak berkunjung ke mari. Kalau ada, setakat singgah sebentar bertanyakan khabar. Duit belanja dapur yang diberikan dahulu pun sudah habis. Irah tidak berani meminta. Cukuplah sekadar apa yang diberi. Sudah kira baik Fariz membenarkannya tinggal di situ walaupun sendirian. Sekurang-kurangnya Irah tidak merempat. Tambahan lagi, tinggal di kondo mewah begini memanglah lebih selesa jika dibandingkan dengan rumah kayu Pak Ngah.
“JU nampak lain hari ni. Nampak lebih berseri.” Teguran dari Fariz membuat hati Julia makin kembang dan berbunga.
“Ye ke bang? Ju pun rasa sihat semacam aje. Entahlah, Ju rasa happy sangat-sangat. Kalau Ju mati hari ni pun tak apa. Tak rasa sedih.” Kata-kata akhir Julia itu mencengkam perasaan Fariz. Dia ingin menegur tetapi dimatikan niatnya. Takut nanti bergaduh lagi.
“Abang nak balik kondo kan hari ni? Baliklah petang sikit. Nanti jangan lupa kirim salam Ju pada Shahirah.” Fariz masih lagi mendiamkan diri. Entah kenapa ucapan Julia tadi benar-benar mencuit hatinya. Julia seolah-olah tidak mengerti.
“Ju nak ambil air sembahyang siap-siap. Kejap lagi nak masuk Asar. Takut lepas ni dah tak sempat dah.” Kata Julia. Fariz menjeling isterinya. Risau benar dengan ungkapan Julia yang asyik melalut tentang mati sejak akhir-akhir ini. Meskipun dia tidak suka Julia bercakap begitu, Fariz tidak menyuarakan apa-apa. Julia berlalu ke bilik air.
Sejurus kemudian, Fariz terdengar seolah-olah ada sesuatu jatuh menghempap lantai bilik air. Julia! Berdegup pantas jantung Fariz, sepantas lariannya. Julia kaku terbaring di lantai jubin. Nafasnya berombak. Kepalanya luka berdarah, mungkin kerana terkena kepala paip semasa jatuh. Wajahnya pucat lesi. Tubuh Julia basah lencun dek air yang mencurah-curah dari paip yang terbuka.
Tika ini dada Fariz berombak cemas.
“Ya ALLAH! Ju! Bangun Ju! Ju sedar tak? Ju, abang ni! Mak! Abah! Cepat!! Ju pengsan ni!!” Fariz menjerit memanggil kedua orang tuanya. Bergegas mereka naik ke tingkat atas. Tubuh Julia diangkat dan dibaringkan di atas katil. Zahidah sudah tidak dapat menahan sendu. Sekian lama dia melihat penderitaan Julia dan ketabahan wanita itu melawan penyakit yang dihidapi, manakala Azri pula menundukkan wajah. Mungkinkah saat itu telah tiba?
“Abang bawa Ju ke hospital ye sayang?!” Pilu, cemas dan risau sebati teradun di jiwa Fariz. Tidak karuan dia melihat Julia sebegitu. Air jernih sudah mengalir membasahi pipi. Perlahan Julia menghulur tangan ke arah suami tercinta. Bibirnya bergerak, ingin menyatakan sesuatu yang tidak kesampaian.
Abang, ampunkan segala dosa Ju bang. Relakan Ju pergi. Ju sayangkan abang! Hanya hatinya mampu berbisik. Sekelip mata TUHAN mengambil segala kudrat yang ada, menjadikannya terlalu lemah walaupun untuk bersuara. Semua yang berada di dalam bilik sudah tidak dapat menahan sebak.
Tangan Julia diraih dan digenggam Fariz dengan erat.
“Tidak! Ju tak boleh tinggalkan abang! Abang sayangkan Ju! Abang tak boleh hidup tanpa Ju. Ju jangan buat macam ni!” Tubuh Julia dirangkul semahunya tanpa mempedulikan orang lain. Saat ini hanya Julia di dalam hati.
“Lydia..... Shahirah!” Hanya itu mampu diucapkan. Namun, sudah cukup untuk memberi pengertian kepada Fariz. Tanggungjawab yang sedia menanti... Fariz kematian kata.
“Ju…” Jari Julia yang runcing melekat di bibirnya menghalang kata-kata. Pandangan Julia sudah semakin kabur. Kakinya sudah terasa sejuk dan kebas. Mungkinkah malaikat maut sudah datang untuk menjemputnya pulang?
“Bawa mengucap Ju.” Tersekat-sekat ayat Fariz. Matanya sudah merah dan wajahnya kian basah.
Terukir senyum puas di wajah Julia. Pandangan matanya semakin pudar. Perlahan ucapan kalimah dua syahadat bergetar di bibir pucat Julia serentak bersama nafas yang terakhir. Kini, tubuh itu terkulai layu dalam pelukan Fariz. Julia sudah pergi untuk selama-lamanya, membawa bersama sebuah nostalgia cinta…..
IRAH cukup risau. Janji tinggal janji. Puas ditunggu tetapi Fariz tidak muncul-muncul. Hilang entah ke mana. Irah rasa geram. Kalau tak nak balik pun, sekurang-kurangnya telefonlah! Ini tidak! Dahlah kat rumah tak ada apa-apa untuk dimakan. Nak menelan apa? Irah mengeluh resah. Segera dia teringat baki wang simpanan yang masih ada dalam akaun bank hasil penat lelahnya bekerja sebelum ini. Lantas terus Irah bersiap untuk keluar. Tapi, Irah tak minta izin Fariz untuk keluar. Nanti kalau dia balik macam mana? Irah berfikir-fikir seketika. Alah! Bukannya Fariz kisah pun keadaan Irah. Selama ni pun Fariz bukannya ambil peduli dengan apa yang Irah buat. Setakat tanya sihat ke tidak? Dah makan ke belum? Irah pun boleh! Irah terus capai tas tangan dan keluar selepas mengunci pintu. Tak kuasa nak mati kebulur sebab lelaki tu!
HAMPIR tiga minggu Fariz tidak datang menjengah. Telefon pun tidak. Irah tidak berani menelefon. Fariz pernah berpesan, kalau tiada apa-apa yang penting, tidak perlu menelefonnya. Irah memang geram dan makan hati dengan sikap suaminya. Sampai hati buat Irah macam ni! Apa? Hina sangat ke Irah di mata dia? Irah pun ada harga diri. Apa guna ada suami kalau langsung tidak pedulikan isteri? Nafkah pun tidak diberi. Dia rasa ingin lari sahaja. Tapi ke mana? Ke rumah Pak Ngah? Nanti apa pula kata Pak Ngah. Dah lama juga Irah tidak menjengah Mak Ngah dan sepupu-sepupu. Rindu juga pada Najiha, Ita, Amir dan anak-anak Mak Ngah yang lain. Nak pergi ke? Hmm.....
“Eh, Irah! Jemputlah naik!” Ceria suara Mak Ngah menyambut ketibaan Irah petang itu. Segera Irah menyalami tangan wanita yang dihormatinya.
“Mak Ngah apa khabar? Budak-budak mana?” Soalnya sambil menjengah ke dalam rumah mencari kelibat anak-anak kecil yang menghiasi rumah kayu itu.
“Ada aktiviti kat sekolah hari ni. Tinggal budak berdua tu aje. Najiha dengan Ita main kat rumah sebelah.” Jawab Mak Ngah.
“Pak Ngah mana?” Kecoh lagi Irah bertanya. Sesungguhnya keluarga itu memang dirinduinya.
“Laa... kan hari ni hari Jumaat. Malam ni nak buat tahlil lagi. Pak Ngah balik lambat sebab menolong kat kenduri tahlil arwah.” Balas Mak Ngah pula.
“Siapa yang meninggal Mak Ngah?” Irah bertanya kehairanan. Wajah Mak Ngah berubah.
“Irah tak tahu ke? Kan Puan Julia, isteri Encik Fariz meninggal. Dia tak beritahu Irah ke?” Terlopong mulut Irah mendengarnya. Mak Ngah dapat mengesan sesuatu. Bagaimana perhubungan Fariz dengan Irah? Takkan Irah langsung tidak diberitahu tentang kematian madunya?
Tiba-tiba sahaja dia resah. Bagaimana Fariz sekarang? Patutlah Fariz tidak datang menjengah. Fariz punya alasan kukuh! Fariz perlu berada di samping keluarga tika ini.
“Emm.... Mak Ngah, Irah tak boleh lama. Irah singgah sekejap aje ni.” Irah bersuara. Jelas terbayang kebimbangan di raut wajahnya. Bagaimana kalau tiba-tiba Fariz pulang ke kondo dan mendapati dia tiada? Irah mengeluh risau.
“Alah. Irah baru aje sampai. Takkan singgah kejap aje. Kut iye pun tidur le semalam kat sini. Irah pun dah lama tak datang ke mari. Budak-budak semua rindukan Irah. Mereka mesti seronok kalau tahu Irah datang. Atau Irah dah tak sudi nak bermalam di sini? Maklumlah, mana sama dengan tempat tinggal Irah sekarang.” Ada sedikit kesalan dalam nada suara itu. Rasa rendah diri bernaung di lubuk hati Mak Ngah. Lupa pula Irah sudah tidak berada dalam lingkungan status yang sama.
“Eh! Apa Mak Ngah cakap ni. Tak ada Irah fikir macam tu. Rumah ni pun rumah Irah jugak. Irah pun rindu nak jumpa budak-budak semua.” Ujarnya. Pujukan Mak Ngah untuk bermalam di situ akhirnya diterima walaupun di dalam hati Irah terselit juga rasa gusar. Entah apa tindakan Fariz jika mengetahui perkara ini.
DERINGAN handset yang berbunyi tanpa henti dari bilik sebelah mengganggu ketenangan Anim yang sedang bersiap untuk majlis tahlil di ruang tamu. Segera dia masuk ke bilik abangnya dan mencapai handset itu. Mungkin panggilan penting. Dari tadi tidak berhenti. Berkali-kali. Diangkat handset yang sedang dicas. Tertera ‘No. 2’ di skrin handset. No. 2? Apa punya shortcut name abang guna ni? Letak le nama orang ke! Hei... Segera dijawab panggilan itu.
“Abang, Irah ni. Abang kat rumah ke?” Belum sempat Anim berkata apa-apa kedengaran suara seorang perempuan. Anim terkedu. Abang? Irah? Siapa ni?
“Err... abang Fariz kat bawah. Tengah tahlil. Nak tinggalkan pesanan ke?” Anim bertanya. Senyap seketika.
Irah terpana. Adik diakah? Mungkin barangkali.
“Tak apalah. Terima kasih.” Terus Irah mematikan perbualan. Anim kehairanan. Tadi bukan main cemas bunyinya. Alih-alih tak nak bercakap pula. Terus diletakkan semula handset itu dan berlalu untuk menyertai jemaah tahlil yang sudah bermula di tingkat bawah.
Selepas tahlil, Anim memberitahu Fariz tentang panggilan itu. Dia menepuk dahi. Bagaimana boleh lupa pula yang dia ada seorang lagi isteri. Apa halnya pula Shahirah yang ditinggal sendirian? Bagaimana keadaannya?
“Dia ada tinggal pesanan tak?” Anim disoal. Geleng. Terus Fariz bergegas mencapai kunci kereta dan keluar.
Anim kehairanan. Apa kena dengan abang? Pelik semacam. Penting sangatkah panggilan dari perempuan bernama Irah tu? Dia merasakan ada sesuatu yang disembunyikan. Ini mesti ada udang di sebalik batu. Tak boleh jadi ni!
------- sedutan episod kelima ---------
Lena yang kian diulit mimpi dirasakan terganggu. Ada sesuatu yang mula merayap di sekitar tubuhnya. Irah tidak melayan. Rasa letih dan mengantuk masih menebal.
Ada tangan yang mula melingkari pinggang Irah. Semakin lama semakin kemas dan semakin galak. Dan tangan itu makin bertambah ganas, merayap ke dada dan peha. Irah rasa tidak selesa. Dibuka perlahan mata yang masih kuyu dek rasa mengantuk. Dalam kesuraman suasana bilik, Irah melihat wajah Fariz. Lelaki itu tersenyum. Sebuah senyuman yang menggoda. Senyuman yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.
Note: Selamat Hari Raya daripada iRah :)