PANCARAN kilat yang kuat dan bunyi guruh yang berdentum hebat mengejutkan lenanya. Irah menggosok mata yang masih mengantuk. Kilat menyambar lagi. Terus dia memejam mata dan menutup telinga. Fobia pada kilat tidak pernah hilang sejak kecil lagi. Hujan di luar turun mencurah-curah, lebat bersama angin yang menderu-deru.
Irah mengorak langkah menuruni anak tangga menuju ke dapur. Tekak yang haus ingin dibasahi. Suasana malam yang gelap sedikit menakutkan. Ditekan suis lampu, tidak menyala. Black out! Irah gusar. Sudahlah tinggal seorang dalam rumah besar, elektrik pula tiada. Takutnya! Dia berkira-kira untuk mencari lilin atau lampu suluh. Barangkali ada dalam laci kabinet di dapur. Langkahnya dipercepatkan. Risau berada dalam gelap begini. Mujurlah pancaran kilat sekali-sekala memberi sedikit cahaya membolehkannya nampak jalan ke dapur.
Irah rasa tidak sedap hati. Meremang bulu roma. Entah kenapa dirasakan ada seseorang yang turut bersama-samanya di dalam banglo itu. Pak Seman? Lelaki tua itu sudah pulang petang tadi kerana isterinya sakit. Jadi, Pak Seman tidak menemaninya malam ini. Kalaupun Pak Seman ada, Pak Seman tidak masuk ke dalam rumah, sekadar tidur di bilik belakang berhampiran stor. Baru sahaja tangannya mencapai lampu suluh Irah rasa tubuhnya disentuh orang. Terus dia menoleh. Sesusuk tubuh seorang lembaga tegak berdiri.
“Aaaa!!!!!!” Irah menjerit sekuat hati. Tiba-tiba kedua belah tangannya digenggam kejap oleh lembaga itu. Ya ALLAH! Selamatkan aku!
“Lepaskan aku! Tolong!!!” Irah meronta-ronta lagi.
“Hei…Shahirah! Abang ni!” Lembaga itu bersuara. Irah mencari-cari nada suara itu. Semacam pernah didengari.
Lampu suluh di tangan kanan dinyalakan. Pancaran kilat dari luar menampakkan wajah lelaki itu. Fariz! Irah mengucap lega. Sekali lagi petir berdentum. Serentak dengan itu tubuh sasa Fariz dipeluknya, terkejut dek kemaraan petir menyelar bumi.
Terpana seketika Fariz saat tubuhnya dipeluk erat. Tidak pernah isterinya bertindak begitu sebelum ini. Malam pertama dahulupun, bila dia bangkit dari tidur, dilihatnya Shahirah tidur di sofa, bukan di sebelahnya. Malam kedua pula berlalu dengan dia tertidur di bilik bacaan meninggalkan Shahirah tidur sendirian di bilik. Terasa ada gigilan dari tubuh kecil itu. Takut barangkali? Dibiarkan sahaja tubuhnya dalam rangkulan.
Irah terasa kehangatan menjalar dari tubuh lelaki itu. Hish! Apa aku buat ni? Segera dilepaskan pelukan eratnya. Serentak itu juga lampu ruang dapur menyala. Sakit juga mata akibat mengalami perubahan kadar cahaya yang tiba-tiba. Bola matanya dialih memandang wajah Fariz. Bajunya sedikit lencun.
“Dah lama ke black out?” Soalan itu keluar dari mulutnya. Teragak-agak Irah hendak menjawab.
“Tak pasti. Irah tidur tadi. Sedar-sedar dah black out.” Jawab Irah. Ooo… Nama panggilannya Irah!
“Hmm… dah ada letrik balik dah. Jangan takut. Abang ada kat sini.” Ujar Fariz. Irah sekadar mengangguk.
“Kenapa tak telefon dulu abang nak balik sini? Terkejut Irah. Ingatkan pencuri tadi,” Irah pula bertanya.
“Abang lupa. Lagipun tak rancang nak balik malam ni. Abang balik ni pun sebab ada hal nak bagitau Irah. Abang dah aturkan tempat tinggal lain untuk Irah. Senang abang nak berulang-alik. Kemas barang-barang yang perlu sahaja. Abang sibuk, tak sempat nak bagitahu awal-awal pada Irah. Esok kita pindah.” Nada suara Fariz seolah memberi arahan. Pindah? Terkebil-kebil mata Irah berkedip. Irah tidak membantah sebaliknya mengangguk lagi.
“Abang nak mandi ke? Basah tu. Nanti demam.” Irah bersuara.
“Tak apa. Basah sikit aje. Nanti abang tukar baju. Irah kalau mengantuk pergilah sambung tidur.” Fariz memadamkan lampu suluh yang menyala. Irah melangkah naik ke bilik. Dikerling ke belakang. Fariz tidak ikut sama. Irah masuk ke bilik dan duduk di birai katil menunggu si suami. Fariz tidak kunjung tiba. Lama dia menanti hingga rasa mengantuk mengundang kembali. Namun, kelibat Fariz masih tidak kelihatan. Ke mana dia? Lantas Irah turun semula. Melilau dia mencari Fariz. Dalam bilik bacaan ke? Tepat sekali seperti yang dijangka. Saat dia membuka pintu dilihatnya Fariz sudah lena berdengkur di sofa. Perlahan Irah menutup kembali daun pintu. Ada sedikit kekecewaan menyelinap di balik jiwa.
HAA!!! Itulah! Lain kali degil lagi. Ikutlah kepala otak sendiri! Jangan dengar nasihat orang! Irah merungut di dalam hati. Tangannya masih ligat memicit dahi Fariz yang panas. Sepagi selepas mengangkut barang berpindah ke Kondominium Sri Damai, terus sahaja Fariz pening. Badannya panas semacam. Hampir-hampir dia pitam kalau tidak Irah menyambut tubuhnya dan memapah ke bilik. Mujurlah tidak banyak barang yang dibawa. Sekadar beg pakaian dan beberapa barang lain yang dirasakan perlu. Kondo yang dibeli sudah dilengkapi perabot, memudahkan mereka berpindah ke situ.
Dahlah badan besar! Aku ni kecik! Nasib baik tak pengsan. Kalau tak, jenuh nak mengangkat. Kes aniaya betul! Irah mengomel lagi. Sudah dua biji Panadol masuk ke dalam mulut Fariz. Demamnya masih belum ada tanda-tanda mahu kebah.
“Pergi kliniklah bang. Makin panas ni.” Pujuk Irah lagi. Kasihan pula melihatkan Fariz berkeadaan begitu. Tapi, nak bawa macam mana? Nak drive, Irah tak reti bawa kereta. Lesen pun tak ada. Panggil teksi ajelah!
Fariz hanya mengangguk. Tidak tahan menanggung pening. Silap haribulan, orang ingat kena SARS pulak!
Anim menggosok matanya berkali-kali. Betul ke ni? Rasa macam tak percaya pulak. Eh! Takkanlah! Diperhatikan satu pasangan manusia yang keluar dari perut teksi dan berjalan beriringan masuk ke Klinik Ho. Rasanya dia kenal lelaki itu. Macam abang! Tapi, iye ke? Anim menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Bukan tu! Segera ditolak jauh tanggapan yang mula bersarang di benak. Kalau abang dah tentu Mercedes Benz perak metalik sudah tersadai di tempat letak kereta. Pakcik Rafiq pun tak nampak batang hidung! Anim berasa lega pula. Mustahil abangnya keluar dengan perempuan lain. Dia cuba membandingkan abangnya dengan lelaki itu tadi. Memang dari susuk tubuh dan gaya saling tak tumpah. Wajahnya, Anim kurang pasti. Hanya lihat dari seberang jalan. Romantik semacam aje pasangan itu. Yang lelaki siap terlentok dekat bahu pasangannya. Berpegang-pegang pinggang lagi. Ish! Tak adanya abang berperangai macam gitu! Tak pernah! Takkanlah abang nak cari perempuan lain selepas kak Ju! Anim masih ingat lagi bagaimana murungnya wajah Fariz ketika mendapat berita Julia berkahwin dengan rakan sejurusannya, Kamarul Ariffin ketika di tahun akhir. Hampir 5 tahun Fariz menyepi diri. Tiada wanita lain dapat membuka pintu hati. Hinggalah dia dipertemukan semula dengan Julia yang sudah menjanda dan punya seorang cahaya mata. Kalau abang gilakan perempuan, tak adanya kak Ju yang jadi pilihan, sedangkan bersepah anak-anak dara yang tergila-gilakannya!
“BILA abang nak berterus-terang dengan mak dan abah? Ju tak kisah. Ju ready aje kalau abang nak beritahu sekarang.” Fariz menarik nafas. Balik-balik itu yang ditanya. Baru aje balik dari kondo, nama Shahirah juga yang disebut Julia. Sudahlah demam aku pun baru kebah. Siapa yang kahwin lagi sebenarnya ni? Aku ke Julia?
Fariz menggaru dahi dengan jari telunjuk, cuba memikirkan jawapan yang paling sesuai. Dipandang wajah Julia yang terkulat-kulat. Aduh! Sudahlah isteri yang sorang ni cantik jelita dan disayangi dengan sepenuh hati. Tiba-tiba pula disuruh kahwin lagi. Kalau lelaki lain memang dah Raya Cina! Aku? Hmm.... Terfikir pula di benaknya diri Shahirah yang ditinggalkan sendirian di Kondominium Sri Damai. Memanglah tidak secantik dan setanding Julia. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia menurut sahaja permintaan Julia itu. Mungkin kerana hendak menjaga hati perempuan yang disayangi. Bagaimana dapat dibuka pintu hati untuk Shahirah sedangkan sepenuh cinta sudah diabadikan untuk Julia? Hanya Julia yang bertakhta di jiwa. Bukan Shahirah dan bukan orang lain. Sudahnya dia sendiri tidak tahu apa harus dilakukan terhadap Shahirah. Mahu dibiarkan begitu atau diterima sahaja sebagai isteri? Kalau sekelumit perasaan pun tiada, bagaimana harus Shahirah didekati? Bingung!
“Nantilah? Abang belum sedia lagi. Kahwin ni pun terburu-buru. Nasib baik mak dengan abah tengah kat Mekah buat Umrah. Anim pulak kat kolej. Kalau diorang tahu, habis abang!” Keluhnya.
“Kenapa pulak? Shahirah pun isteri abang jugak. Dia berhak ke atas abang. Takkan selama-lamanya abang nak rahsiakan hal ni? Sampai bila abang nak beri alasan outstation kalau menjengah Shahirah? Nanti kalau ada ahli keluarga yang nampak, mesti mereka ingat abang buat benda tak senonoh. Susah-susah sangat, biar Ju aje yang cakap! Ju yang beriya suruh abang kahwin lagi. Untuk kebaikan semua jugak.” Wajah Julia sudah berubah. Bengang agaknya dengan tindakan Fariz yang ingin merahsiakan pernikahan kali keduanya.
“Ju, janganlah macam tu. Ju tahu abang sayang dekat Ju. Ju sorang je dalam hati abang.” Bahu Julia ingin dipaut tetapi isterinya lebih dahulu mengelak. Geram tak sudah dengan perangai Fariz.
“Tak adil abang cakap macam tu. Shahirah dah sah bergelar isteri. Abang bertanggungjawab terhadap dia. Abang kan lelaki! Abang nak tunggu Ju mati dulu baru nak cakap kat mak dan abah? Macam tu?” Fariz bercekak pinggang. Pantang benar perkataan itu didengarinya.
“Ju ni tak habis-habis melalut fasal mati! Abang tak suka tau! Berapa kali abang cakap? Cuba bawak bersabar sikit! Allah tu Maha Kuasa! Kalau Dia nak Ju sembuh, sekelip mata aje Ju boleh sembuh. Ini tidak, asyik nak berputus asa. Cakap doktor yang kata Ju dah tak ada harapan, Ju boleh terima. Ju ingat doktor tu Tuhan ke?” Keras suara Fariz memarahi Julia. Tidak semena-mena air jernih merembes dari birai mata isterinya. Dia rasa bersalah.
“Ju bukan nak paksa abang. Ju pun tak nak berputus asa. Tapi, Ju rasa macam Ju dah tak lama hidup kat dunia ni. Ju tak mahu abang dituduh yang bukan-bukan. Ju sayangkan abang!” Tubuh itu dipeluknya erat serentak dengan air mata Julia yang menitis laju. Bukan tidak sedih melihat keadaan isterinya itu. Dibelai rambut yang kusam milik isterinya. Kalau dulu, bukan main lebat, ikal dan panjang lagi. Tapi kini, sudah nipis akibat kesan rawatan kemoterapi yang berpanjangan.
Fariz menghela nafas. Tangis Julia masih berpanjangan. Liver cancer! Fariz rasa tidak percaya. Kenapa Julia boleh mengidap penyakit itu? Dari mana dan bila, tidak diketahui. Yang pasti saat mereka mengetahuinya penyakit itu sudah menular di dalam tubuh. Rawatan dan ubat yang diambil tidak langsung memberi kesan. Malahan makin membuatkan Julia menderita. Rawatan kampung juga turut dicuba. Sudah pelbagai bomoh dan pawang ditemui, ternyata sia-sia. Julia pasrah menghadapi hayat yang masih bersisa.
“Nantilah. Bila abang dah bersedia nanti, kita cakap kat mereka. Ok sayang?” Jawapan itu sedikit melegakan hati Julia. Risaunya tidak terkira memikirkan Shahirah. Bimbang kalau-kalau kehadiran perempuan itu ditolak hanya kerana punya title isteri kedua. Julia sedia maklum, kalau sudah bergelar isteri muda, pastinya masyarakat memandang serong. Apa yang pasti, dia tidak mahu Shahirah dikatakan perampas dan perosak rumahtangga kerana dia sendiri yang menginginkan kehadiran Shahirah dalam hidup mereka.
-------- sedutan episod 4 --------------
Tika ini dada Fariz berombak cemas.
“Ya ALLAH! Ju! Bangun Ju! Ju sedar tak? Ju, abang ni! Mak! Abah! Cepat!! Ju pengsan ni!!” Fariz menjerit memanggil kedua orang tuanya. Bergegas mereka naik ke tingkat atas. Tubuh Julia diangkat dan dibaringkan di atas katil. Zahidah sudah tidak dapat menahan sendu. Sekian lama dia melihat penderitaan Julia dan ketabahan wanita itu melawan penyakit yang dihidapi, manakala Azri pula menundukkan wajah. Mungkinkah saat itu telah tiba?
“Abang bawa Ju ke hospital ye sayang?!” Pilu, cemas dan risau sebati teradun di jiwa Fariz. Tidak karuan dia melihat Julia sebegitu. Air jernih sudah mengalir membasahi pipi. Perlahan Julia menghulur tangan ke arah suami tercinta. Bibirnya bergerak, ingin menyatakan sesuatu yang tidak kesampaian.