Wednesday, December 2, 2009

Kalau Ada Cinta Part 12

LANGKAHNYA di sepanjang susur jalan merentangi padang hijau yang luas terbentang dipercepatkan. Hatinya riang berbunga. Dia mahu segera sampai ke kelas, tidak mahu lewat untuk kelas pertama ini. Walhal masih ada masa sebanyak 15 minit lagi sebelum kelas tersebut bermula. Boleh sahaja kalau mahu menaiki bas ke dewan kuliah. Namun, dia lebih gemar berjalan kaki.

Pagi yang indah dan cerah. Cahaya mentari terbias ke seluruh alam. Indah nian bumi ciptaan Tuhan. Dia mahu menikmati segala keindahan yang ada. Suasana pagi yang ceria seolah-olah memberi semangat baru kepadanya. Sekian lama diimpikan detik-detik ini. Irah tidak mahu melepaskan walau sesaat pun detik yang berharga ini. Cita-cita yang sekian lama dipendamkan begitu sahaja akhirnya tercapai juga.
Syukur kepada-Nya atas segala limpah kurniaan yang tidak terhingga. Tidak disangka akhirnya dia berpeluang menjejakkan kaki di sini. Tempat yang diidam-idamkan selama ini. Dan kini, Irah tidak lagi kecundang seperti dulu. Hidupnya tidak lagi diselubungi langit mendung, kerana ia telah berlalu dan diganti dengan sinaran suria yang memberi semangat baru kepadanya.

Irah berterima kasih kepada abang Mus. Irah berterima kasih pada kak Anizah. Irah berterima kasih kepada Pak Ngah sekeluarga. Kalau tidak kerana mereka, Irah mungkin tidak berpeluang untuk berada di sini tika ini dan bergelar seorang siswi sebagaimana yang diidam-idamkan sekian lama. Sejak dari dahulu lagi Irah ingin menyambung pelajarannya ke menara gading. Namun, pelbagai dugaan datang bertimpa-timpa hinggakan keinginan yang satu diluputkan dari ingatan begitu sahaja.

Benarlah. Segala yang berlaku itu bukan selalunya mengundang khabar buruk sahaja. Ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Irah tidak sesekali membenci Mustakim yang kini sudah dianggap seperti keluarga sendiri. Lelaki itu ibarat abang kandungnya, memberikan semangat dan pedoman bila mana dia memerlukan. Kemalangan yang meragut nyawa keluarganya tinggal sebagai suatu kenangan pahit. Irah tidak membenci Mustakim kerana dia redha dengan apa yang berlaku. Sudah takdir keluarganya dipanggil dahulu untuk mengadap ILLAHI.

Azam Irah kini cuma satu. Ingin belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya. Dia mahu mencapai segalanya. Mahu mengumpul sebanyak mungkin harta yang mampu dicari. Bukan kerana sifat tamak atau materialistik, tetapi kerana dia mahu menyediakan segalanya untuk seseorang yang cukup istimewa dalam hidupnya; Redzuan Iskandar. Dia terlalu merindui anak kecilnya. Betapa dia menangis hiba dan meratapi perpisahan dengan anaknya itu. Namun, apakan daya, ketika itu Irah tidak punya apa-apa untuk diberi lantaran dirinya juga hidup menumpang. Kini, Irah berpeluang untuk membina hidup baru. Peluang yang diberikan oleh Mustakim ini akan dipergunakan sebaik-baiknya untuk menuntut kembali Is dari Fariz suatu hari nanti.

Sejak perpisahan itu, tidak sekali pun Irah menjenguk Is. Bukan kerana dia membenci. Bukan kerana dia tidak menyayangi. Tuhan sahaja yang tahu betapa deritanya bila terpaksa berpisah dengan si kecil yang amat disayangi. Anak yang dikandung lebih sembilan bulan dibawa pergi sekelip mata. Irah bagaikan mahu gila. Hatinya benar-benar tertekan dan meruntun sayu. Irah mahu menjaga Is. Mahu membelai Is. Mahu menyayangi Is dengan sepenuh hati. Tetapi sekali pun Irah tidak pergi untuk melawatnya walau Fariz membenarkan. Bukan Irah tidak sudi atau sudah berputus harap, tetapi kerana Irah tidak sanggup lagi berpisah dengan Is. Andainya Irah bertemu semula dengan Is, Irah tidak mahu berpisah walau seminit pun. Pasti Irah akan bertindak melarikan Is dari Fariz. Dan itu hanya akan mengeruhkan lagi suasana. Suatu ketika nanti Irah akan datang bertemu Is. Bukan setakat itu, Irah akan menuntut kembali Is dari Fariz. Saat itu, Irah sudah punya segalanya untuk diberi dan Fariz tidak punya sebarang sebab untuk menghalang penyatuan itu. Waktu itu akan tiba juga suatu hari nanti. Is sayang, mama akan datang menjemput Is! Suatu hari nanti bila mama sudah berjaya! Bisik hatinya. Semangat itu tidak pernah pudar dan semakin bersemarak. Bila mana melihatkan keletah anak-anak Mustakim yang masih kecil, hatinya disayat pilu, namun azamnya kian kukuh tersemat di kalbu, menunggu waktu untuk menjemput Is yang dirindu!

SUDAH berkali-kali dia ulang membaca baris yang sama. Kenapa fikirannya buntu semacam? Ada sesuatu yang mengganggu benaknya. Kata-kata perempuan itu terngiang-ngiang di cuping telinga. Shit! Buku setebal hampir dua inci itu dihempasnya.

“Awak sebagai pelajar baru sepatutnya ikut peraturan, mesti menepati masa! Bukannya ikut hal sendiri nak buat apa! Jangan ingat awak dah masuk universiti, boleh buat suka hati awak semua! Ingat awak semua ni lawa sangat macam puteri raja ke nak bersolek berjam-jam, hah?!” Tengkingannya mengecutkan perut beberapa orang siswi freshies yang terlewat berkumpul di car park untuk berbaris ke dewan besar bagi mendengar taklimat orientasi. Memang sepanjang orientasi universiti ini mereka dikawal oleh fasilitator-fasilitator yang dilantik dari kalangan senior-senior mengikut kolej masing-masing. Dan salah seorang yang termasuk dalam golongan yang terlewat itu adalah Irah.

Irah masih berwajah tenang. Mukanya selamba sahaja mendengarkan bebelan dari Hadi, fasilitator disiplin minggu orientasi universiti. Irah tidak mudah melatah. Tidak seperti dulu. Kena tegur sahaja sudah mahu menangis. Kata-kata nasihat dari Mustakim masih segar di ingatan. Irah jangan mudah sangat menangis! Kalau ingin berjaya kita tidak boleh jadi lemah. Irah dah banyak sangat menangis. Jangan biar air mata Irah jadi tidak berharga. Kalau Irah betul-betul nekad mahu ambil balik Is dari Fariz, Irah mesti jadi seorang yang berani, tabah dan kuat. Irah dah banyak hadapi dugaan dalam hidup sebelum ni. Dalam kampus nanti pun, Irah akan berdepan dengan pelbagai cabaran baru. Kuatkan semangat kalau Irah mahu bina hidup baru!

“Awak! Saya bercakap dengan awak. Kenapa tak jawab, hah?!” Sergah Hadi. Tidak puas hati betul dengan tingkah seorang freshies ini. Dari tadi wajahnya bersahaja. Langsung tiada riak takut seperti siswi-siswi lain. Irah tersedar dari lamunannya lantas mengukir senyum.
“Ya, ada apa?” Dia menyoal lembut. Hadi jadi bengang.
“Saya bercakap macam nak pecah anak tekak kat depan ni awak boleh tak dengar?! Keluar ke depan sekarang!” Tengkingnya. Irah terpinga-pinga. Apa halnya dia ni sampai naik angin tak tentu arah? Dahlah tu, tengking orang ikut suka aje! Mahu tidak mahu Irah terpaksa juga keluar ke hadapan perhimpunan pelajar-pelajar baru. Semua mata tertumpu ke arahnya.
“Sekarang, tiup lampu tu sampai padam!” Arah Hadi. Dia tersengih. Rasakan! Bukan niatnya untuk mendera pelajar baru. Memang sudah tercatat dalam Pekeliling Universiti larangan mendera pelajar baru. Dia sekadar menjalankan tugasnya sebagai fasilitator disiplin minggu orientasi universiti. Kalau dibiarkan begitu sahaja, pelajar-pelajar baru ini akan mula buat hal sendiri, besar kepala dan tidak berdisiplin. Mereka harus diajar untuk mengikut peraturan.

Pelajar-pelajar baru sudah mula berbisik-bisik. Ada yang tersengih-sengih menahan gelak manakala fasilitator-fasilitator pula berwajah serius. Irah memandang ke arah lampu kalimantang yang ditunjukkan oleh Hadi. Sejenak dia berfikir. Sengaja nak kenakan aku ni!

“Minta maaf. Boleh tak tukar denda lain. Rasanya kalau denda ni tak mampu saya buat. Lampu tu memang takkan padam kalau saya tiup melainkan ditutup suisnya ataupun black out. Abang sebagai pelajar senior. Tak perlu saya pertikaikan pengetahuan abang tentang tu.” Irah menjawab tenang.

Ewah! Ewah! Sudah pandai nak melawan pulak ye! Banyak cantik!.
“Tak boleh! Itu denda yang saya arahkan. Logik ke tak logik ke awak kena buat jugak!” Marah Hadi.
“Kalau macam tu, saya betul-betul minta maaf sebab saya tak dapat buat denda yang diberikan.” Jawab Irah lagi.
“Awak nak melawan cakap saya?” Herdik Hadi. Belum apa-apa dah mula nak tunjuk pandai! Dia mengutuk di dalam hati.
“Saya bukan nak melawan. Saya mengaku saya salah kerana terlewat. Saya sedia tanggung kesalahan saya. Saya cuma minta tukar denda logik yang boleh saya buat. Terpulanglah kalau abang tak berpuas hati, tapi takkan kerana saya seorang abang nak tahan semua pelajar baru daripada pergi ke dewan besar.” Panas telinga Hadi mendengarkan kata-kata itu sepanas hatinya bila mana kata-kata itu melekat di ingatan dan terngiang berhari-hari lamanya. Masih diingati nama freshies yang petah menjawab itu; Nur Shahirah!

Hujan di luar sana turun mencurah-curah bersama angin menderu kuat. Dia menghela nafas. Mungkin hari ini akan hujan sampai ke petang. Nampaknya, terpaksalah dibatalkan sahaja diskusi pukul 5 nanti. Dikerlingnya pula jam tangan yang melingkari pergelangan tangan kiri. Pukul 4 petang. Dia menggeleng-geleng.

Irah mula menghirup kopi panas yang terhidang di atas meja. Aromanya dari tadi menusuk hidung begitu membangkitkan selera. Sesekali menikmati kopi panas di kala hujan lebat begini seronok juga! Detik hatinya. Hujan di luar sana masih lebat, bahkan makin menggila nampaknya. Suasana di dalam café itu agak lengang. Cuma ada beberapa orang pelajar lain yang duduk dalam satu kumpulan sedang berbincang. Mereka sama-sama terperangkap di situ dek kerana hujan lebat petang itu.

“Assalamualaikum!” Irah terdengar salam diberi lantas dia mengangkat muka, mengalihkan pandangan untuk mengetahui siapakah gerangan yang memberi salam. Perhatiannya terhadap helaian nota-nota kecil yang sedang dibaca terganggu seketika. Matanya tertumpu pada sekujur tubuh yang tegap berdiri di hadapannya. Tubuh itu sedikit lencun. Pasti kerana terkena hujan.

Mood Irah tiba-tiba sahaja berubah. Serta-merta jadi tidak tenang. Melihatkan wajah lelaki itu sudah cukup untuk mengundang seribu satu rasa tidak senang.
Tanpa meminta izin, lelaki itu terus melabuhkan punggung. Irah tidak jadi bersuara. Dibiarkan sahaja. Dia buat tidak endah sambil meneruskan bacaannya. Tak kuasa nak melayan! Bukan kerusi aku punya pun!

“Rajin study nampak?” Hadi menegur. Dilihatnya perempuan tersebut sudah mula mencuka. Mungkin tidak senang dengan kehadirannya di situ. Hadi sedia maklum kenapa. Pertelingkahan mereka sejak dari minggu orientasi yang lalu tidak habis begitu sahaja. Pantang berjumpa di mana-mana, pasti ada sahaja usikan dan perlian yang diterima darinya terhadap Irah. Setiap kali melihat perempuan itu marah-marah, Hadi akan merasa seronok. Puas apabila Irah sakit hati, seolah-olah kemenangan berpihak padanya. Entah apa yang diperjuangkan dia sendiri tidak pasti. Yang nyata, dia tidak mudah melepaskan seseorang yang pernah ‘mengalahkan’nya di khalayak ramai!

“Hai, dah jadi bisu ke? Atau tertelan biji nangka?” Usik Hadi lagi. Tidak berpuas hati apabila Irah bertindak mendiamkan diri. Irah masih membeku. Tidak melayan sedikit pun. Dipekakkan sahaja telinga. Malas hendak bergaduh dengan lelaki itu.

“Baca nota ke baca surat cinta?” Tiba-tiba sepantas kilat Hadi merampas helaian nota di tangannya. Irah terkesima.
“Apa ni?!!!” Tidak semena-mena Irah menjerit kuat. Sekumpulan pelajar lain yang duduk berhampiran mereka terus menoleh. Hadi tergamam seketika.

“Kawal mulut tu sikit boleh tak? Perempuan tak ada lain, nak menjerit aje!” Hadi bersuara keras tetapi agak perlahan. Mungkin mahu mengawal suasana.
“Awak tu yang kena kawal perangai! Tak senonoh. Main rampas barang orang sesuka hati! Awak ingat awak tu siapa? Mengada-ngada!” Irah mendengus marah. Sakit hati betul!
“Eleh! Bukan luak pun. Nah, ambillah balik!” Dicampakkan nota-nota tersebut ke atas meja sambil dia mencebik bibir. Irah pula menggigit bibir kerana marah.
“Apa kena awak ni? Tak menyakitkan hati saya boleh tak? Kenapa awak suka kacau saya? Pergilah kacau orang lain. Tak puas hati lagi ke?” Irah bersuara geram.
“Eh, suka hati sayalah nak kacau siapa. Dah saya nak kacau awak. Saya kacaulah. Apa? Ingat awak tu bagus sangat ke sebab dapat malukan saya masa orientasi hari tu?” Perli Hadi pula.
“Eh, itu cerita lama tau! Saya dah minta maaf tau tak. Janganlah buat perangai macam budak-budak. Nak berperang tak tentu fasal sebab perkara-perkara kecil macam ni.” Irah cuba mengawal perasaan marah.
“Memalukan orang di khalayak ramai perkara kecil awak kata? Satu kolej tengok saya dimalukan awak malam tu tau tak? Tak pernah ada dalam sejarah hidup saya dimalukan sebegitu rupa dan tak pernah ada freshies yang berani melawan saya macam awak!” Hadi pula naik berang. Masih terngiang-ngiang ketawa rakan-rakan menyindirnya atas kejadian itu.
“Suka hati awaklah. Saya dah tak reti nak cakap macam mana. Awak ni kan, cepat betul berkecil hati. Macam manalah awak jadi lelaki. Saya malas nak melayan karenah awak. Awak nak duduk sini, duduklah. Baik saya balik aje dari mengadap muka awak yang menyakitkan hati.” Irah terus mengemaskan buku-buku di atas meja dan memasukkannya ke dalam beg. Hadi terkebil-kebil. Hujan di luar sana masih lebat. Tanpa mempedulikannya, Irah terus keluar dari café itu, meredah hujan lebat untuk pulang ke kolej.

Dua tiga hari ini dia tidak senang duduk. Wajah perempuan itu langsung tidak kelihatan di mana-mana. Di kolej mahupun di kelas. Sebetulnya mereka mengambil satu subjek elektif yang sama. Hadi di semester akhir manakala Irah pula baru di semester pertama. Hadi tidak senang hati bila kelibat perempuan itu langsung tidak kelihatan. Ke mana dia menghilang?

“Kak Moon!” Dia menjerit memanggil seorang siswi berbadan sedikit gempal yang sedang melangkah pantas.
“Oit!” Siswi tersebut mengangkat tangan, memberi isyarat jawapan.
“Napenya? Akak nak cepat ni!” Kak Moon mula bertanya sebaik Hadi muncul di hadapannya. Bintik-bintik peluh jernih mula kelihatan di atas batang hidung. Pipinya merah. Nafasnya pula termengah-mengah.
“Alah, relaxlah kak Moon. Nak kejar apanya? Orang ada hal sikit nak tanya ni.” Hadi mula berbicara. Kelakar pula melibatkan gelagat perempuan itu yang selalu tercungap-cungap bila berjalan pantas.
“Kak Moon ada discussion dengan lecturer ni. Lepas ni ada tutorial lagi. Ada assignment tau tak! Haa… kau nak tanya apa?” Soal kak Moon lagi, tidak mahu membuang masa di situ sedangkan kerjanya masih berlambak-lambak perlu diselesaikan.
“Emm… err… kak Moon ada nampak tak budak tu?” Hadi bertanya acuh tidak acuh. Segan sebenarnya.
“Budak mana? Budak hitam? Budak putih? Mana satu kau nak?” Kak Moon mula membuat lawak.
“Ish akak ni! Bukan budak hitam! Budak putih pun bukan. Alah… budak baru tu. Irah namanya.” Jawab Hadi.
“Irah mana ni? Zahirah? Munirah? Ramai yang nama Irah. Irah mana pulak yang kau berkenan ni?” Kak Moon tidak henti-henti pula bertanya. Sengaja diusik lelaki itu. Memang kak Moon jenis yang suka mengusik. Bekas guru itu merupakan seorang yang periang. Walaupun lebih tua daripada Hadi yang lebih senior di kolej itu, namun kak Moon tidak pernah berlagak sombong apatah lagi membataskan pergaulan. Baginya, senior ataupun junior, siapa sahaja boleh menjadi rakan, asalkan ada rasa hormat-menghormati antara satu sama lain. Hadi merupakan antara salah seorang pelajar senior yang dikenali ketika mula-mula mendaftar masuk ke kolej berkenaan. Sikapnya yang ramah dan prihatin membuatkan hubungan mereka mudah benar terjalin mesra. Cuma semasa orientasi sahaja Hadi bersikap tegas dan garang.

“Nama dia Shahirah. Saya tanya aje. Bukannya ada apa-apa. Dah dua tiga hari tak nampak dia. Kat kelas pun tak ada. Dia ponteng ke?” Hadi cuba meneka. Mulanya dia tidak mahu bertanya. Tetapi rasa gelisah yang membalut jiwa tidak memungkinkannya terus berdiam diri. Manalah tahu kut-kut semasa hari hujan tempoh hari perempuan itu dipanah petir ke… Apa ke… Mujurlah dia rapat dengan kak Moon yang tinggal satu blok dengan Irah. Ada juga tempat bertanya. Kalau disoal pada siswi lain mahu heboh satu kolej menggosip yang bukan-bukan. Dengan kak Moon Hadi agak berani kerana dia tahu perempuan itu bukannya jenis yang suka mencanang cerita ke sana sini walaupun mulutnya sentiasa kecoh bila berbicara.

“Ooo... Budak DBA tu ya. Jiran sebelah bilik akak tu. Haa.. kenapanya dengan dia? Apa yang kau nak tahu pasal dia? Dia demam dua tiga hari ni. Kena hujan katanya. Dapat MC. Korang satu kelas ke?” Kak Moon masih rancak bertanya.
Hadi mengangguk, mengiyakan.
“Ingatkan nak tanya pasal nota kat kelas hari tu. Lupa nak salin. Member cakap dia ada full set. Nak pinjam nota sebenarnya.” Dalih Hadi.
“Iya ke? Hai, takkan dia sorang je yang ada nota full set? Ngko tak salin ke? Tulah! Malas bebenor nak menyalin. Bila nak exam, asyik mengharap nota orang. Macam manalah nak maju cam ni? Dah semester last pun ada perangai malas lagi ke?” Kak Moon sengaja memerli. Bukan hendak menyakitkan hati, cuma ingin menyedarkan Hadi. Selalunya, malah boleh dikatakan hampir kebanyakan pelajar-pelajar lebih mengharapkan nota yang difotostat di kedai daripada menyalin di dalam kelas. Study pun ala-ala sahaja, hanya ketika musim peperiksaan, bukannya kerana minat.

Hadi tersengih mendengarkan teguran itu. Silapnya kerana memberi alasan sedemikian.
“Janganlah marah kak Moon. Nak mintak tolong aje. Teruk ke demamnya?” Hadi masih bertanya tentang Irah. Memang itu tujuan asalnya bertanya.
“Teruk jugaklah akak tengok. Asyik terbaring aje. Suruh makan ubat tak mahu. Degil sungguh budak tu. Suruh balik rumah pun dia tak nak. Tak mahu risaukan keluarga katanya. Akak ingat kalau tak baik jugak esok, akak nak bawak dia jumpa doktor kat hospital. Fasal nota tu, nanti kalau dia dah sembuh kau tanyakan kat dia sendiri. Oklah, akak pergi dulu. Dah lambat ni.” Hadi sekadar mengangguk. Wajahnya mempamerkan kerisauan. Rasa menyesal mula menyelubungi hati. Kalaulah dia tidak cari fasal dengan Irah tempoh hari pasti perempuan itu tidak akan sakit begini...

Irah membuka kelopak mata yang dirasakan sungguh berat. Pandangannya berpinar. Dia cuba mencapai gelas di atas meja. Tekak yang haus ingin dibasahi. Sebaik meneguk minuman, pintu biliknya diketuk orang. Wajah kak Moon, jiran sebelah biliknya terjengul di muka pintu. Perempuan itu tersenyum memandangnya.
“Dah bangun? Macam mana? Sihat sikit hari ni?” Kak Moon bertanya sambil melabuhkan punggung di tepi katil. Telapak tangan kanannya diletakkan di dahi Irah, cuba menyukat suhu tubuh perempuan itu.
“Ok. Dah kurang sikit dari semalam. Esok bolehlah pergi kelas.” Irah menjawab perlahan. Kak Moon menggeleng-geleng.
“Tulah. Sihat-sihat nak bermain hujan. Kan dah demam. Siapa yang susah? Kak Moon jugak. Haa... ni dah tambah sorang lagi yang risaukan Irah.” Kak Moon mula tersenyum-senyum. Ada sesuatu yang disembunyikan di sebalik senyuman itu.
“Maaflah kalau Irah menyusahkan kak Moon. Bukannya Irah nak jatuh sakit. Ikutkan hati, Irah lagi tak mahu sakit. Buat rugi aje tak pergi ke kelas. Ni dah berapa hari tertinggal kuliah ni. Jangan marah ye kak Moon. Kak Moon tak sayang Irah ke?” Usik Irah pula.
“Mana ada marah. Kak Moon sayanglah ni. kalau tak, tak adanya akak datang jenguk Irah. Lagipun, kalau tak jenguk Irah, nanti ada orang meradang pulak!” Kak Moon masih lagi dengan senyumannya. Irah mengerut dahi. Apa pulak maksud dia ni?
“Siapa pulak yang nak meradang ni? Ish! Kak Moon ni. Pandai-pandai pulak buat cerita.” Irah menyangkal.
“Apa pulak buat cerita. Eh, akak bukan minah gosip tau! Akak cakap apa yang betul, apa yang akak nampak dan dari penilaian akak sendiri. Ni haa... ada orang bagi ubat kat Irah. Dia pesan suruh makan. Takut nanti tak ada tenaga nak bergaduh katanya.” Ujar Kak Moon sambil menghulurkan sebungkus plastik berisi sebotol air penyejuk badan dan beberapa biji Panadol. Irah bertambah hairan.
“Siapa yang bagi kak Moon?” Dia bertanya kehairanan. Langsung dia tidak dapat mengagak siapakah gerangan yang bermurah hati memberikannya ubat itu.
“Dia tak bagi cakap. Nanti kalau cakap, Irah demam seminggu lagi. Kak Moon cuma sampaikan aje amanah orang. Terpulang pada Irah nak makan ke tidak. Kalau akaklah kan, rezeki jangan ditolak, musuh kalau nak berbaik lagi bagus!” Irah terpinga-pinga. Tidak mengerti apa yang dimaksudkan.
“Haa... Lupa pulak kak Moon. Dia bagi surat sekali kat Irah.” Kak Moon mula mengeluarkan sehelai sampul surat berwarna coklat dari beg sandangnya lalu dihulurkan kepada perempuan itu. Irah menyambut dengan penuh penuh tanda tanya lalu mula membaca kandungan surat tersebut.

Anak rusa nani,
Lalu kembang ekor,
Janganlah marah lagi,
Saya takut nak tegur.

Irah tergelak kecil. Entah apa-apa! Macam budak-budak. Kak Moon menggeleng-geleng. Hei, budak-budak sekarang! Macam-macam cerita!

KULIAH hari ini agak membosankan. Sepanjang kelas rasa mengantuk sahaja. Tidak disedari di hujung kelas itu ada sepasang mata yang asyik memerhatikannya. Sebaik selesai kuliah, Irah terus melangkah laju untuk ke perpustakaan. Ada buku yang perlu dipulangkan hari ini.

“Irah!” Dia mendengar namanya dipanggil. Segera dia menoleh. Terkejut seketika bila didapati Hadi sedang berlari-lari anak mendapatkannya. Apahalnya pulak mamat ni? Tak habis-habis nak menyakat aku! Nak cari fasal lagi ke?

“Ada apa?” Dia menjawab acuh tidak acuh. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu berbicara panjang dengan Hadi. Lelaki itu bukannya boleh dikira. Entah-entah di tengah khalayak ramai ini dia akan bertindak yang bukan-bukan. Irah menggerutu di dalam hati.
“Awak dah sihat? Saya dengar awak sakit hari tu.” Hadi membuka bicara.
“Ha ah. Memang pun! Sakit hati!” Irah menjeling. Hadi sekadar tersengih.
“Saya minta maaf atas kejadian tempoh hari. Saya tahu saya bersalah. Saya tak berniat nak sakitkan hai awak. Saya harap kita boleh berbaik dan berkenalan lebih lanjut.” Jelas Hadi.

“Bila masa pulak saya bermusuh dengan awak? Awak tu je yang angin tak menentu marah-marahkan saya. Tak payahlah awak nak pura-pura baik dengan saya. Saya tahu awak masih ambil hati fasal cerita lama tu. Dahlah, saya pun tak nak mengacau anak orang. Saya datang sini nak belajar, bukannya nak berkenal-kenalan!” Irah menjawab tegas. Wajah lelaki itu langsung tidak dipandang.

“Jangan macam tu. Tak salah kalau berkenal-kenalan. Takkan Irah tak nak ada kawan. Ke Irah memang spesis yang duduk dalam gua sorang-sorang?” Hadi mula megusik. Irah sudah memuncung. Geli hatinya bila melihat Irah berwajah begitu. Comel pun ada!
“Ha... kan saya dah kata. Belum apa-apa lagi awak dah mula nak mengata. Malaslah nak layan awak!” Irah terus memalingkan tubuh mahu memulakan langkah.
“Eh! Nantilah dulu. Alah, saya bergurau sikit takkan ambil hati kut?! Sorry ok. Saya ikhlas ni. Saya betul-betul nak berkawan dengan awak. Kita lupakan sengketa lama, boleh?” Hadi cepat-cepat memujuk. Irah mula menghela nafas.
“Ikhlas tak ikhlas tak tahulah. Manalah saya reti baca hati orang. Susah saya nak percaya. Lelaki ni kalau memujuk, lembut tulang dari lidah!” Perlinya.

Hadi tersengih-sengih. Pandai pula dia mengata. Sesekali terkeluar juga kata-kata pedas dari bibir kecil itu.
“Saya betul-betullah ni. Tak tipu. Nape? Irah tak percaya ye? Ok, kalau macam tu bagi saya peluang untuk buktikan!” Dia berkata sungguh-sungguh.
“Buktikan apa? Yang awak ikhlas nak berkawan dengan saya? Lupakan!” Bidas perempuan itu, masih meragui kata-katanya.
“Tak percaya? Ok, err.. sebagai tanda persahabatan saya akan berikan awak sesuatu. Awak suka apa? Haa.. perempuan suka bunga kan? Saya bagi awak bunga. Mahu?” Irah menggaru kepala yang tidak gatal. Apalah dia ni! Tak faham-faham ke cakap orang??
“Awak jangan ingat saya ni macam perempuan lain. Bagi bunga sikit dah cair. Tak payahlah nak buat lawak bodoh macam tu kat saya!” Tegas Irah. Rimas dirasakan dengan permintaan lelaki itu.
“Saya cakap betul ni. Satu lori pun saya sanggup bagi kalau Irah sudi berkawan dengan saya!” Irah menggeleng-geleng.
“Siapalah nak percaya cakap awak tu. Tolonglah jangan kacau saya lagi!” Irah mula mengorak langkah, meninggalkan Hadi sendirian.
“Saya tak tipu tau. Awak tengoklah. Hari ni pukul 3 saya akan bagi awak satu lori bunga!” Hadi menjerit dari kejauhan. Iyelah tu.........

Pen ditangannya mula bertukar tugas. Kalau tadi digunakan untuk membuat catatan kini mengetuk meja pula. Bola matanya mengerling ke arah jam di satu sudut di atas meja. Lima minit lagi ke pukul 3. Entah kenapa tiba-tiba dia teringatkan kata-kata Hadi. Betul ke dia nak buat macam tu? Kalau betul, memang bodoh yang teramatlah lelaki tu! Sah, tipu! Siapa nak percaya? Tiba-tiba pintu biliknya diketuk orang.

“Nur Shahirah. Ada orang nak jumpa awak kat bawah.” Seorang siswi menyampaikan pesanan. Mesti Hadi tu. Alahai, malasnya nak turun! Mahu tidak mahu terpaksa dia menurutkan sahaja. Harap-harap lepas ni janganlah lelaki itu mengganggunya lagi.
“Haa... mananya lori awak? Tak nampak pun?” Irah menyindir sebaik muncul di hadapan Hadi. Lelaki itu sekadar tersenyum.
“Kut iya pun senyum le sikit. Senyum tu kan sedekah. Tak elok masam-masamkan muka.” Eii! Geli-geleman aku! Irah mengata di dalam hati.
“Nah! Saya tepati janji saya.” Tiba-tiba Hadi menghulurkan sesuatu. Irah tergamam. Mulutnya seolah terkunci. Terkebil-kebil matanya melihatkan sesuatu yang dihulurkan kepadanya. Sebiji lori mainan kecil dimuatkan dengan kuntuman bunga ros yang diperbuat daripada straw merah. Tiba-tiba sahaja Irah tergelak besar.
“Haa... saya tak tipu tau!” Hadi mempertahankan dirinya. Mata Irah berair dek kerana tawanya.
“Ini lori mainanlah! Bunga pun bunga straw!” Ujar Irah dalam tawanya.
“Lori jugak. Awak tau tak penat saya cari orang ajarkan saya buatkan bunga ni tau. Saya buat sendiri ni.” Jawab Hadi. Irah menahan sisa gelaknya. Lucu ada. Kesian pun ada. Bersungguh-sungguh benar nampaknya. Diperhatikan wajah Hadi yang sedikit lesu. Mungkin kepenatan belajar buat bunga straw kot?! Hatinya digeletek lagi. Ada jugak lelaki macam ni ya?

“Boleh tak?” Hadi bertanya.
“Boleh apanya?” Irah menyoal kembali.
“Nak berkawan dengan Irah?” Mata Hadi tidak lepas-lepas memandangnya. Irah tersenyum. Terpaksa juga dia mengalah. Lagipun, dia tidak mahu bermusuh dengan sesiapa. Apa salahnya kalau menambah kawan?
“Nak berkawan saya tak kisah. Tapi kalau nak menggatal boleh blah!” Hadi tersenyum girang mendengarkan jawapan itu.
“Irah jangan risau. Tak gatalnya. Saya guna MOPIKO!” Ketawa Irah berderai lagi.




---------------- sedutan episod ke 13 -----------------------

“Abang tak tahu apa masalah Irah sampai tuduh abang yang bukan-bukan. Abang bukannya nak sakitkan hati Irah dan abang bukannya seorang yang tak berhati-perut. Kalau abang begitu, buat apa abang nak berjumpa Irah? Fikir dulu sebelum marah. Abang tak berniat nak kenakan Irah atau sesiapa. Abang buat semua ni untuk Is. Abang terkilan dengan sikap Irah. Abang sebenarnya nak jumpa Irah supaya kita dapat selesaikan masalah kita, untuk kebaikan semua terutamanya anak kita.” Irah terdiam. Mati kata dia bila mendengarkan penyataan Fariz itu. Ini dah tentu kerja abang Mus! Mesti dia yang mengada-ngada cerita mengatakan Is sakit tenat supaya Irah dan Fariz akan bertemu. Sah!