IRAH mempercepatkan langkah yang diatur. Habislah kalau Fariz sudah balik ke kondo! Mati aku dikerjakannya! Rasa gusar yang bersarang di lubuk jiwa terpamer di raut wajah. Janganlah Fariz balik lagi….
Tubuh sasa itu mundar-mandir. Risaunya hati tidak terkira. Ke mana dia? Kenapa tak balik lagi? Pesanan pun tidak ditinggalkan kepada Anim. Kalau iya pun nak ke mana-mana bagitaulah dulu! Marah hatinya. Sepatutnya dah sampai ke rumah! Perempuan ni.....
Berkali-kali Fariz menelefon telefon bimbit Shahirah, tetapi tiada jawapan. Nombor itu langsung tidak diaktifkan sejak semalam. Fariz mengetap bibir. Hei!!! Geramnya aku perempuan ni!!! Tiba-tiba dia terdengar kunci diputar dan tombol pintu dipulas. Haa…. Baru balik!
Irah kaget. Habislah…. Dilihatnya Fariz tegak berdiri di ruang tamu. Wajahnya dipalingkan ke arah Shahirah yang berdiri di muka pintu. Irah menelan liur yang dirasakan kelat. Wajah lelaki itu tidak tenang dan lembut seperti selalu. Kelat, masam, geram… semuanya. Renungan matanya bagaikan helang yang ingin menyambar mangsa.
“Kau ke mana?!” Hampir gugur jantung Irah dijerkah begitu. Tubuhnya mula menggigil ketakutan. Fariz seolah-olah ingin menelannya. Kedua-dua belah tangan lelaki itu lekap di dada memeluk tubuh.
“Irah…. Irah bermalam kat rumah Pak Ngah.” Irah menjawab terketar-ketar. Mata Fariz tidak berkelip merenungnya.
“Siapa suruh kau tidur kat sana? Ada aku beri izin kau keluar?!” Saat ini Irah tertunduk. Takut sekali untuk membalas renungan tajam suaminya. Tengkingan itu membuatkannya gementar bercampur sedih. Rasa bagaikan mahu menangis sahaja di situ!
“Lain kali kalau orang dah bagi tempat tinggal elok-elok, duduk ajelah kat rumah. Jangan nak memandai-mandai pulak merayap ke hulu ke hilir! Sedar sikit engkau tu isteri aku! Dahlah handset pun off. Engkau ingat KL ni apa? Perompak, penyamun, perogol berlambak kat luar. Kalau jadi apa-apa macam mana? Menyusahkan aku aje!” Irah rasa terhenyak. Irah ni menyusahkan? Sampai hati….
“Irah tak berniat macam tu. Irah minta maaf. Irah tahu Irah salah.” Dia memberanikan diri meminta maaf.
“Haa… Itu ajelah yang kau pandai! Lain tak ada. Lain kali kalau nak buat apa-apa tu pakai otaklah sikit! Jangan nak main terjah ikut suka! Apasal matikan handset? Banyak kali aku call tau tak?” Keberangan Fariz masih belum berakhir. Irah sudah mula menitiskan air mata. Pertama kali dimarahi suami. Dia terdiam sejenak. Hanya sendunya kedengaran.
“Aku tanya ni! Kenapa tak jawab? Kenapa tak hantar mesej?” Tekan Fariz lagi, sengaja mahu menakutkan Irah.
“Bateri habis.” Irah menjawab dalam tangisnya.
“Dah tu, tak reti nak cas balik? Alasan! Betul kau ke rumah Pakcik Rafiq? Kalau aku dapat tahu kau merayap dengan jantan lain, nahas kau aku kerjakan!” Irah terkejut. Begitu sekali tanggapan Fariz kepadanya. Air mata berderaian lagi.
Fariz menghela nafas. Sebetulnya dia sudah sedia maklum yang isterinya bermalam di rumah Pakcik Rafiq. Lelaki tua itu sudah memberitahu.
Kasihan pula melihatkan Irah yang sudah terhenjut-henjut menangis. Ah! Perempuan tak ada lain. Menangis! Menangis! Menangis! Marah sikit pun nak melalak! Dia cuma mahu menggertak, biar Shahirah sedar kedudukannya sebagai isteri yang harus patuh kepada suami. Bukannya bertindak sesuka hati walaupun dia tidak selalu di sisi isterinya itu. Dibiarkan sahaja Shahirah terus menangis.
“Tu, kat dapur tu, satu apa pun tak ada untuk dimakan. Kau nak biar aku mati kebulur? Mentang-mentang aku jarang balik ke sini!” Marahnya lagi. Irah mengangkat wajah yang sudah basah. Merah matanya digenangi air jernih.
“Irah tak ada duit. Duit belanja yang abang beri dulu dah habis. Sebab tu Irah tak beli apa-apa.” Kali ini Fariz pula terdiam. Kemarahan yang menggunung tadi mula surut. Rasa bersalah pula menjerut hatinya. Memang sudah lama juga dia tidak memberikan duit belanja rumah kepada Irah. Hampir dua bulan! Habis, apa yang Irah makan selama ni? Rasa belas bertalu-talu menghentam kotak fikiran. Dia telah mengabaikan Shahirah! Sesuka hati dia memarahi isterinya atas suatu kesalahan yang kecil sedangkan dia sendiri lupa tanggungjawabnya memberi nafkah kepada isteri.
Fariz menghela nafas lagi. Marahnya sudah hilang.
“Irah dah makan belum?” Nada suaranya sudah tidak tinggi lagi. Kembali lembut seperti selalu tetapi tetap tegas. Irah sedikit tersentuh. Dikesat tangis yang masih bersisa. Gelengannya menjawab soalan itu.
“Pergi bersiap. Kita makan kat luar. Lepas ni kita terus pergi beli barang dapur.” Arah Fariz. Irah hanya mengangguk walaupun tubuhnya sedikit keletihan. Diturutkan sahaja kehendak Fariz asal tidak menggelegakkan hati lelaki itu yang sedia meletup bila-bila masa seperti kawah berapi.
Pertama kali keluar membeli barang dapur bersama Irah, dia sedikit kekok. Apa yang nak dibeli? Dia hanya garu kepala, sedang Irah pula ligat memilih barang. Kadangkala becok bertanya apa yang diingini dan pilihan Fariz.
Manalah aku tahu semua ni! Bukannya aku biasa beli pun. Rembat ajelah mana-mana, kan sama! Hei, perempuan memang leceh! Dahulupun, dia tidak pernah keluar membeli barang dapur bersama Julia. Kak Saba akan menguruskan hal-hal seperti itu, memandangkan Julia juga sibuk bekerja.
Irah akhirnya membisu. Dilihatnya Fariz langsung tidak berminat dengan soalan-soalan yang diutarakan. Main beli aje. Lantak dialah! Yang nak makan pun dia jugak! Kalau tak sedap, jangan nak marah aku pulak! Bebel Irah di dalam hati. Sesekali dia mencuri pandang ke arah Fariz. Hairan! Tiada langsung raut kesedihan di wajah itu. Tenang sahaja. Bukankah Fariz baru sahaja kematian isteri? Ah! Lelaki memang pandai menyembunyikan perasaan. Direnungnya pula mata Fariz. Memang tiada terpancar sinar kegembiraan. Betullah! Fariz memang sayangkan isteri tuanya! Mimik muka boleh disembunyikan, tetapi tidak sinar mata. Kata orang, mata boleh memberitahu segala-galanya, betulkah?
“Kenapa pandang abang macam tu?” Tersentak Irah apabila ditegur. Segera dia tertunduk. Dia perasan ke? Malunya!
“Apa kat muka awak tu?” Irah mengangkat semula wajah yang ditundukkan. Tertanya-tanya kenapa disoal begitu.
“Hmm… Bulu mata jatuh.” Belum sempat Irah berkata apa-apa jari-jemari kasar Fariz sudah menyentuh pipinya, melarikan bulu mata yang gugur. Menyirap darah merah hinggap di muka. Gugup Irah diperlakukan sedemikian.
Ini tak boleh jadi! Memang betullah apa aku nampak hari tu! Tak rabun lagi bijik mata aku! Anim menggigit bibir kemarahan. Memang sah! Direnung tajam pasangan di hadapannya yang sedang bercengkerama sambil bercekak pinggang. Amboi! Romantiknya! Kat pasaraya pun nak berasmara dana ke? Terus langkahnya dihayun mendekati pasangan itu.
Fariz tergamam. Terkejut tatkala mendapati Anim sudah tercegat di depan mata. Entah dari mana dan bila. Ah sudah! Habislah! Mesti Anim fikir yang bukan-bukan!
“Anim!” Kelu lidah Fariz untuk berkata-kata. Hanya nama itu mampu disebut. Irah kehairanan. Kenapa wajah Fariz berubah benar bila nampak perempuan itu? Siapa dia?
“Cantik ‘kawan’ abang! Mudanya! Dah berubah taste nampak?” Perli Anim. Dikerling tajam perempuan di sisi abangnya. Geram betul! Ikutkan hati mahu sahaja dia mencekik batang leher perempuan itu. Sabar! Bodoh kalau bertindak ikut perasaan di depan khalayak ramai! Anim cuba memujuk hati yang sedang bergetar marah.
Anim sudah memusingkan tubuh ingin berlalu. Sakit hati betul tengok abangnya berperangai begitu. Sungguh dia tidak menyangka Fariz sedemikian. Argh! Kalau sudah lelaki namanya memang tidak lari dari sifat gatal! Isteri baru mati, kubur pun masih merah lagi, abang dah mula buang tebiat cari betina lain. Kesian kak Ju. Baru sahaja hampir sebulan pergi, laki dah cari pengganti. Tak tenteram dia kat dunia lain! Hari tu terlentok kat bahu. Hari ni sentuh-sentuh pipi. Geli menengoknya! Menyampah!
“Anim! Tunggu dulu! Biar abang jelaskan!” Tangan gadis itu tiba-tiba disambar oleh Fariz. Irah kaget. Apa sudah jadi? Confuselah!
“Tak payah nak jelaskan apa-apa pada Anim. Anim tak nak dengar. Abang jelaskan sendiri pada mak dan abah!” Anim menarik kasar lengannya. Sakit diperlakukan begitu, tetapi sakit lagi hatinya. Dia berlalu dengan perasaan geram.
MARAHNYA masih berbuku. Ditekan kuat hon kereta mengejutkan pemandu kereta hadapan yang masih belum bergerak walaupun lampu isyarat sudah berwarna hijau. Mabuk ke apa?! Lembab nak mampus! Maki Fariz lagi. Sesekali dia mengetap bibir. Stereng kereta dipulas kasar saat membelok ke Kondominium Sri Damai. Berdecit bunyi tayar membelah kesunyian malam.
Irah menggigit jari. Mimpi apa Fariz tidur di sebelahnya? Tubuh lelaki itu mengadap ke arah yang bertentangan. Wajah Irah langsung tidak dipandang. Apa hal yang tak kena? Balik tadi pun pintu dihempas semahunya. Salam jauh sekali hendak diberi. Nasib baik laki sendiri. Kalau tidak memang sah benjol kepala kena batang senduk!
Mata Fariz masih belum mahu terlelap. Irah langsung tidak dipedulikan. Kini, dia hanya mahu melayan perasaannya. Sedih bercampur geram apabila dituduh melulu. Aku simpan perempuan? Mahu sahaja dilempang mulut Anim yang lancang bersuara. Mujurlah akalnya sebagai lelaki masih waras lagi. Dek rentetan peristiwa siang tadi, dia menerima bahana. Mengamuk Zahidah bila dapat tahu anaknya berkepit dengan perempuan lain sedangkan arwah isteri baru sahaja meninggal. Azri pula tidak henti-henti menyoal. Siapa dia? Apa hubungan dengan perempuan itu? Betul ke tuduhan Anim? Arghh!!!! Pening!
Mahu tidak mahu Fariz terpaksa memberitahu perkara sebenar. Terlopong wajah ibu bapa dan adiknya apabila mengetahui kedudukannya dengan Irah. Zahidah tidak percaya. Cerita Fariz dikatakan tidak masuk akal, langsung tidak boleh diterima. Lantas ditunjukkan surat nikah dan surat pengesahan persetujuan dari Julia untuknya berpoligami. Barulah mereka diam dari menuduh yang bukan-bukan. Alih-alih Zahidah pula menangis. Merajuk kononnya kerana tidak diberitahu sepatah pun tentang perkara itu. Azri pula menyatakan tindakannya mendiamkan perkara itu tidak wajar. Anim menuduhnya sengaja mahu ambil kesempatan dari keadaan Julia yang sakit. Heii!!! Geram betul! Bengang punya fasal, dia ambil keputusan untuk balik ke Kondominium Sri Damai malam itu juga. Terpinga-pinga Irah melihatkannya pulang ke kondo malam itu. Namun isterinya langsung tidak dipedulikan. Malas nak layan! Aku tengah serabut ni tau tak! Terus sahaja dia masuk ke bilik dan merebahkan diri di katil. Pintu bilik pun sempat lagi dihempaskannya.
Lena yang kian diulit mimpi dirasakan terganggu. Ada sesuatu yang mula merayap di sekitar tubuhnya. Irah tidak melayan. Rasa letih dan mengantuk masih menebal.
Ada tangan yang mula melingkari pinggang Irah. Semakin lama semakin kemas dan semakin galak. Dan tangan itu makin bertambah ganas, merayap ke dada dan peha. Irah rasa tidak selesa. Dibuka perlahan mata yang masih kuyu dek rasa mengantuk. Dalam kesuraman suasana bilik, Irah melihat wajah Fariz. Lelaki itu tersenyum. Sebuah senyuman yang menggoda. Senyuman yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.
Kaget Irah apabila pipinya disentuh lembut oleh Fariz. Tubuhnya dirasakan menggigil. Mungkinkah waktu itu telah tiba? Fariz mahukannya? Irah tergamam. Dia tidak mampu melawan belaian itu. Dibiarkan sahaja Fariz membelai dirinya. Pipinya dikucup lembut. Rambutnya dielus perlahan. Sesekali terdengar desahan nafas berat dari Fariz menahan kehendak batin yang bergelora.
“Ju, sayang. Abang rindukan Ju.” Terpana Irah tatkala mendengarkan ayat itu. Ju? Belaian lembut Fariz yang tadinya menggoda kini hilang dari perhatian. Ju? Rupanya Fariz bukan mahukan Irah, tetapi mahukan kak Ju! Hatinya bagai ditusuk panah yang tajam. Saat itu, entah kenapa kemarahan menerpa menujah hati yang kian lama memendam rasa.
“Abang, ini Irah, bukan kak Ju!” Serta-merta tubuh Fariz ditolak kasar. Irah rasa terluka. Rupa-rupanya selama ini dirinya langsung tidak bererti bagi Fariz. Hanya Julia. Hanya Julia di hati Fariz. Hanya Julia yang diinginkan Fariz. Bukan Irah!
“Ju, kenapa buat abang macam ni? Abang sayangkan Ju!” Fariz masih tenggelam dalam badai igauannya. Di ruang matanya hanya wajah Julia yang kelihatan. Menari-nari, mengulit kerinduan dan melemahkan jiwa.
“Abang dah buang tebiat! Ini Irahlah bang! Shahirah! Bukan kak Ju!” Irah bertegas lagi. Ditepis tangan Fariz yang cuba menyentuh tubuhnya. Geram benar dengan perlakuan lelaki itu.
Fariz tersedar dari igauannya. Wajah Julia kini hilang, diganti dengan wajah Irah. Amukan Irah menjadi-jadi. Dipukul semahunya dada Fariz. Serta-merta kedua-dua belah pergelangan tangan perempuan itu digenggamnya erat .
“Lepaskan!” Irah menjerit marah. Entah kenapa air jernih merembes keluar dari birai mata. Fariz benar-benar terpana. Ya ALLAH! Apa yang telah aku lakukan? Nyaris-nyaris dia terlanjur melakukannya dengan Irah, sedangkan di saat itu Julia yang dikhayalkannya.
Irah masih lagi menangis. Tangannya sudah dilepaskan. Terasa sakit. Digosoknya pergelangan tangan yang terasa kebas dek genggaman kuat lelaki itu sebentar tadi. Tika ini dia benar-benar rasa marah pada Fariz.
“Abang minta maaf. Abang tak sengaja.” Hanya kata-kata itu mampu dihamburkan oleh Fariz. Dia rasa bersalah. Irah masih lagi tersedu-sedu.
“Sakit tak?” Dia cuba menyentuh tangan Irah, namun tangannya ditepis kasar. Irah benar-benar marah nampaknya. Irah melangkah turun dari katil dan terus keluar dari bilik tanpa sebarang kata. Fariz tidak mengejar. Dia tahu perempuan itu marah padanya. Tidak sepatutnya dia bertindak demikian, walaupun dia berhak ke atas Irah. Perlahan kedua belah tapak tangan meraup wajah beserta dengan keluhan nafas yang berat, menyesali perbuatan yang telah berlaku.
Irah masih lagi membisu. Peristiwa semalam masih belum luput dari ingatan. Tiba-tiba dia rasa meluat dengan lelaki itu. Irah sedar, dia bukan pilihan hati Fariz. Mungkin Fariz sendiri tidak pernah ingin memperisterikannya. Keadaan yang memaksanya bertindak begitu. Lalu terhasillah satu ikatan tanpa sebuah kasih-sayang. Irah tahu Fariz berhak ke atas dirinya. Namun, Irah sendiri punya harga diri. Siapa yang tidak sakit hati jika suami menyebut nama perempuan lain di saat bermesra dengan isteri. Terasa seolah-olah Irah bagaikan hanya satu alat untuk memuaskan kehendak lelaki itu. Irah benci!
--------------sedutan episod 6 -----------------------
Fariz tergamam tatkala melihat titisan-titisan jernih yang hadir di wajah lembut itu. Sayu pula hatinya melihatkan Irah. Dia tidak menyalahkan isterinya. Kalau Julia, mahu sahaja naik angin bila dituduh yang bukan-bukan. Julia seorang yang tegas. Berani bertindak bila dirasakan dia berdiri di pihak yang benar. Tetapi berlainan pula halnya dengan Irah. Apa sahaja yang dikata, Irah tidak melawan. Jauh sekali hendak meninggikan suara. Bila digertak sahaja sudah mahu menangis. Mudah benar dia menitiskan air mata.
“Jangan macam ni. Abang risau!” Irah merasakan ada jari-jemari yang menyentuh pipinya. Lembut. Dia mengangkat wajah. Fariz begitu hampir. Betul-betul menghadap wajahnya. Air matanya diseka perlahan. Direnung seketika wajah Fariz.