Wednesday, December 2, 2009

Kalau Ada Cinta Part 8

IRAH rasa bagai tidak percaya dengan apa yang berlaku terhadap dirinya. Sukar untuk dia menerima kenyataan itu. Fikirannya buntu. Apa yang harus dilakukan? Irah tidak tahu. Di saat dia ingin membuang lelaki itu dari kehidupannya, tiba-tiba dia terikat pula dengan Fariz. Anak ini akan mengekalkan satu ikatan. Satu ikatan yang ingin dielakkan. Tetapi ia telah berlaku dan tidak boleh diundur lagi. Kenapa harus aku diseksa begini? Dia tidak menyintaiku! Tidak menginginiku! Sedang aku pula mengandungkan benihnya. Salah siapa? Salah takdirkah? Arrghhhh!!!!!

Dia masih lagi teragak-agak. Tinggal di banglo itu membuatkannya terasa begitu asing. Irah rasa tidak layak untuknya menetap disitu. Dia ingin pergi, tapi ke mana? Dia sendiri tidak tahu. Ke rumah Pak Ngah? Nanti apa pula kata orang tua itu. Pasti Pak Ngah akan bersedih kalau mengetahui keadaan dirinya yang sebenar. Pak Ngah akan dihantui rasa bersalah, sedangkan Pak Ngah tidak berniat untuk menghancurkan hidup Irah.
. Tinggal di banglo ini pula makin menjerut perasaan Irah. Menghadap keluarga Fariz yang tiba-tiba berubah mesra terhadapnya. Tambah menyakitkan hati lagi bila terpaksa tinggal sebilik dengan Fariz. Tidak cukup dengan itu, Irah terpaksa pula berlakon di hadapan keluarga Fariz, kononnya tiada masalah yang melanda dalam bahtera perkahwinannya. Sungguh menghenyak jiwa!

Fariz pula bagaikan dalam dilema. Irah mengandung? Tidak karuan dia memikirkan hal itu. Tidak disangka sentuhan kali pertama itu akhirnya membuahkan benih dalam rahim isterinya. Kasihan Irah! Pasti dia rasa terbelenggu. Tetapi ianya telah terjadi dan tak guna disesali. Bukan kehendaknya juga. Sudah takdir TUHAN menentukan. Ah! Kalaulah aku dapat menahan godaan yang mendatang, pasti tidak akan berlaku begini! Desis hatinya. Kasihan pula melihatkan keadaan Irah yang sudah mula menunjukkan tanda-tanda kehamilan. Sering sahaja pening dan keletihan. Masuk bulan ketiga sahaja, Irah sudah mula muntah-muntah. Berkali-kali hingga lesu tubuhnya. Ada sesalan yang terbit di hati Fariz. Jika dia tidak mengambil kesempatan pasti Irah tidak berakhir begini. Mungkin Irah berpeluang mengecap kehidupan yang lebih baik bersama orang lain jika dia tidak merampas kesucian Irah. Malangnya, nasi sudah menjadi bubur. Sudah terlambat untuk mengubah suratan yang telah tertulis. Dan Irah kian membencinya walau sedaya-upaya didekati.

KETUKAN keras dibalik pintu menyedarkan lamunan Fariz yang leka dijirusi air dingin dari shower. Bertalu-talu ketukan itu, membingitkan telinga. Mengganggu aje! Gunalah bilik air lain. Dah tahu orang tengah mandi! Marah hatinya. Ditutup pili air dengan sebelah tangan manakala sebelah tangan lagi mencapai tuala yang tergantung untuk membalut tubuh yang terdedah.

Sebaik dibuka, Irah menyerbu masuk. Tidak dipedulikan tubuh Fariz dihadapannya lantas dia terus ke sinki, memuntahkan segala isi perut yang dari tadi melonjak-lonjak di tekak. Fariz terpana seketika. Irah mengurut dada yang terasa sebak. Air mata menitis keluar serentak bersama muntahan yang benar-benar meloyakan. Matanya merah. Terasa ada tangan yang mengusap belakangnya.

Fariz terus memicit-micit belakang leher isterinya. Termengah-mengah perempuan itu menahan nafas.
“Nak muntah lagi?” Fariz bertanya kerisauan. Geleng. Dibuka paip dan dibasahi wajahnya untuk memberi sedikit kesegaran.
“Boleh jalan tak?” Fariz menyoal lagi bila didapatinya imbangan tubuh Irah yang tidak stabil. Masih lagi terawang dek rasa pening dan loya. Morning sickness!

Irah sekadar mengangguk walaupun hakikatnya dia rasa tidak berdaya. Belum sempat dia melangkah keluar, dia terasa tubuhnya diangkat. Dicempung Fariz ke bilik tidur dan dibaringkan di atas katil. Irah mahu memprotes. Tidak ingin dikatakan terlalu lemah. Namun, rasa pening di kepala yang berat membuatkannya terdiam tanpa kata. Dibiarkan sahaja Fariz memicit dahi. Sedikit-sebanyak rasa pening yang melingkar berkurangan.

Fariz tunduk begitu hampir. Dapat dirasakan hembusan nafas lelaki itu. Irah membuka kelopak mata yang terpejam. Terpana seketika melihatkan dada bidang Fariz yang terdedah dan basah. Seksi! Bergelora hatinya. Cepat-cepat dipadamkan perasaan yang mula menguntum. Ah! Fariz memang kacak! Dengan badan yang tegap dan sasa serta kulit sawo matang itu sudah cukup baginya untuk menundukkan mana-mana perempuan. Mata helangnya, hidung mancungnya, bibir nipisnya. Ah! Boleh jadi gila bayang kalau tengok lama-lama! Sudahnya Irah tidak betah melayan perasaan sendiri.

“Dah ok?” Fariz bersuara selepas beberapa ketika. Dia sekadar mengangguk. Dipalingkan wajah, malu untuk menonton tubuh Fariz yang hanya bertuala separas lutut.

“Irah nak pergi klinik? Abang tak kerja hari ni. Abang temankan ya?” Pujuk Fariz. Belas hatinya melihatkan keadaan Irah yang lemah.
“Tak apa. Irah tak apa-apa. Dah ok.” Jawabnya bersahaja.
“Tapi Irah muntah teruk sangat abang tengok. Badan Irah tak kuat. Abang risau!” Fariz menyatakan kebimbangan. Tiba-tiba Irah tersenyum jengkel, menimbulkan kehairanan di hati lelakinya.
“Abang risaukan Irah ke, abang risaukan anak dalam perut Irah? Abang tak payahlah bimbang. Irah akan jaga anak ni baik-baik. Irah tahu semua orang menaruh harapan terhadap dia. Semua menunggu kelahiran dia. Tak payahlah pura-pura nak risaukan Irah!” Perlinya.
“Apa maksud Irah kata begitu? Abang cakap yang betul! Apa Irah ingat abang cuma nakkan anak ini aje. Irah isteri abang, abang bertanggungjawab pada Irah.” Bangkang Fariz. Rasa tidak puas hati terselit juga dalam nada suaranya. Irah sekadar menjeling. Macamlah aku tak tahu! Kalau bukan kerana aku mengandungkan anak dia, tak mungkin Fariz berubah jadi begitu mesra secara mendadak. Keluarganya pun sama! Dulu aku dicaci dan dihina sesuka hati. Sekarang, bila aku dah mengandung, elok pula nak mengaku menantu. Ingat aku ni apa? Kilang buat anak ke? Benci! Menyampah! Mereka bukannya sayangkan aku! Mereka cuma nakkan anak aku! Ah! Pandainya bermuka-muka!
“Terpulang pada tafsiran abang sendiri. Irah cakap yang betul. Irah bukan bodoh sangat bang! Irah tahu apa yang bermain di fikiran abang dan keluarga abang. Irah sedar siapa diri Irah dan dari ceruk mana asal Irah. Irah tahu Irah tak layak jadi isteri dan menantu dalam keluarga ni. Irah tak bererti. Yang bererti cuma anak dalam kandungan ni, tak begitu?” Sinis sekali sindiran yang ditempelakkannya.
“Irah, sudahlah tu. Jangan dibangkitkan lagi hal yang lepas. Ya, abang yang salah. Abang punca semuanya ni. Abang minta maaf. Tolonglah Irah, jangan bersikap begini. Sampai bila Irah nak mengelak. Kita dah tak boleh berpatah balik. Semuanya dah berlaku.” Fariz melepaskan keluhan. Degil sungguh dia ni! Kedegilan Irah sedikit sebanyak menggugat hati lelakinya. Persepsinya terhadap Irah sudah berubah. Sudah wujud satu perasaan yang aneh. Dia sendiri tidak mengerti. Mungkinkah perasaan aneh itu berputik kerana Irah mengandungkan anaknya?

“Sudahlah bang. Irah dah bosan dengan perkataan maaf abang tu! Asyik-asyik itu aje yang abang sebut. Benci!” Irah mendengus. Dia membelakangkan tubuh Fariz sambil memeluk tubuh.

Wajah Fariz berubah. Terlalu berani dia menuturkan perkataan benci.
“Irah! Jangan cabar kesabaran abang. Abang lelaki! Jangan sampai…,”
“Jangan sampai apa? Abang nak buat apa kat Irah? Nak ceraikan Irah? Lagi bagus bang. Memang itu yang sepatutnya!” Irah benar-benar marah.
Fariz menghampiri. Dicapai tangan Irah dan digenggamnya erat. Tubuh isterinya dipusing, mengadap dirinya. Hampir. Irah tergamam. Ada raut kemarahan di wajah Fariz.
“Cukup Irah! Abang tak nak dengar lagi! Irah dah makin berani sekarang. Irah jangan lupa yang Irah masih isteri abang. Abang dah bosan dengan tuduhan Irah tu semua. Abang tak pernah buat jahat pada Irah. Ada abang kasari Irah? Ada abang paksa Irah? Hmm? Cuba fikir sikit. Kalau Irah tak rela disentuh abang, kenapa tak melawan? Kenapa tak menolak malam tu? Kenapa biarkan? Kita sama-sama mahu. Silapnya abang tak punya perasaan cinta pada Irah masa tu. Sekarang Irah nak letakkan semua kesalahan atas abang?” Tubuh Irah yang digoncang Fariz sedikit kecut. Takut juga bila lelaki itu diamuk marah. Namun, hatinya masih tebal dengan rasa benci dan geram.
“Ah! Abang memang ambil kesempatan! Abang yang mulakan! Kalau tak, semua ni takkan terjadi!” Dia masih berkeras menegakkan hujahnya.
“Ooo… still nak salahkan abang ya? Abang ambil kesempatan? Fine! Sekarang biar abang ambil kesempatan betul-betul!” Jantung Irah mula berdegup kencang. Apa maksud Fariz berkata begitu? Irah cuba menarik tangannya yang dalam genggaman Fariz, tetapi lelaki itu lebih dahulu bertindak. Ditarik tubuh Irah dengan kasar hingga rapat ke tubuhnya dan dirangkul kemas.
“Abang! Apa abang nak buat ni. Lepaskan! Sakit!” Irah meronta, cuba melawan tubuh sasa itu. Fariz mengeratkan lagi pelukannya hingga nafas Irah terasa sesak.
“Abang, Irah jerit nanti!” Ugutnya. Fariz sekadar tersenyum sinis.
“Jeritlah! Jerit kuat-kuat. Biar satu rumah dengar. Abang tak peduli. Abang masih ada hak pada Irah. Irah jangan lupa, kalau suami inginkan isteri, isteri mesti beri. Irah nak tanggung dosa melawan kehendak abang?” Gertak Fariz pula. Irah benar-benar takut. Takut pada perlakuan Fariz yang berubah tiba-tiba. Air mata mula bergenang dan akhirnya tumpah di pipi. Dia tidak rela diperlakukan begini.
“Abang, tolong lepaskan Irah! Jangan bang! Irah mengandung. Irah tak sihat.” Irah mula merayu. Nada suaranya sudah menurun. Gemersik dan lemah pada pendengaran Fariz.

Fariz mula menggila. Tidak dihiraukan rayuan Irah. Tangannya mula mengelus rambut Irah yang panjang. Air mata Irah disapu dan pipi itu diciumnya. Kucupan yang makin mengganas melurut hingga ke bibir dan kemudiannya ke leher. Desahan nafas mula bertukar rentak. Irah makin menangis. Terlalu takut! Fariz menolak batang tubuhnya ke katil.
“Abang, Irah tak mahu! Jangan!” Rontaan Irah makin lemah dalam genggaman Fariz yang kian kuat.
“Diam! Jangan melawan kalau tak mahu sakit!” Kata-kata itu makin menambahkan derita di hatinya. Fariz kejam!

Fariz sudah tidak dapat mengawal diri. Direntap pakaian yang membalut tubuh Irah hingga mendedahkan diri isterinya pada penglihatannya. Fariz tenggelam dalam keseronokkan yang diciptanya sedang Irah menangis menanggung sebuah perasaan duka…

APA lagi yang ada pada sebuah harapan kalau semuanya sudah dihancurkan. Hatinya merintih sayu. Tanpa sekelumit perasaan belas Fariz memperlakukan dirinya begitu sedangkan lelaki itu tahu keadaan dirinya yang sedang berbadan dua. Betapa dia rasa terseksa diperlakukan sedemikian. Langsung tiada tolak ansur dari suaminya. Kenapa Fariz sebegitu kejam? Memperkosa dirinya yang lemah tidak berdaya.

Dia rasa ingin lari sahaja. Tetapi bila mengingatkan keadaan dirinya, Irah terpaksa mengalah. Ke mana harus dia pergi? Dia tidak punya tempat lain untuk dituju. Ke rumah Pak Ngah? Dia tidak mahu menyusahkan lelaki tua itu. Apatah lagi, dia hanya akan membebankan keluarga Pak Ngah dengan kehadirannya. Fariz pasti dapat menjejak kerana keluarga itu sahajalah saudaranya yang tinggal.

PANDANGANNYA menuju ke luar tingkap. Cuba dicari ketenangan dari pemandangan di luar sana, namun gagal. Pelbagai perasaan bercampur-aduk di dalam diri tika ini. Tidak semena-mena wajah perempuan itu terpamer lagi dalam kotak fikirannya. Dia menghela nafas. Keluhan berat membawa bersama perasaan sesal dan bersalah yang membalut hati.

Kenapa aku boleh bertindak sedemikian? Saat ini dirasakan dirinya seorang yang terlalu kejam dan tidak berperikemanusiaan. Dipejamkan matanya rapat, cuba menghilangkan bayangan Irah yang menghantuinya sejak kejadian tempoh hari. Makin cuba ditepis bayangan itu, makin galak ia datang bertandang. Masih terngiang-ngiang tangisan dan rayuan isterinya mohon supaya dilepaskan. Basah wajah Irah dek tangisan atas perbuatan Fariz yang benar-benar melampau itu. Dia sendiri turut menyesali. Namun, segalanya telah terlewat. Entah apa yang merasuk dirinya hingga dia boleh bertindak sebegitu ganas pada Irah, sedangkan dia sendiri sedia maklum dengan keadaan isterinya itu. Ya ALLAH! Apa yang telah aku lakukan?! Dia meraup wajah. Rasanya mahu dia melutut memohon maaf kepada Irah, tetapi ego lelakinya tidak memungkinkan itu berlaku. Sudahnya, Irah ditinggalkan terdampar sendirian setelah dia memuaskan nafsunya.

KETUKAN bertalu-talu di pintu mengejutkan lenanya. Entah bila dia tertidur,dia sendiri tidak pasti. Dia bangun, membetulkan rambut yang kusut masai. Sebaik pintu dibuka, Zahidah sudah sedia terjengul di muka pintu.
“Irah, kenapa ni? Tak sihat ke? Mak panggil dari tadi ajak makan, kenapa tak turun?” Zahidah menyoal risau. Sepanjang hari menantunya itu hanya berkurung di dalam bilik. Kak Saba pun sudah berkali-kali mengetuk bilik tersebut.

Irah menggosok mata terpisat-pisat. Cuba mengingati apa yang telah berlaku. Dan, apabila gambaran kejadian itu menerpa ruang matanya, pelbagai perasaan mula berkecamuk.
“Mak makanlah. Irah tak lapar.” Jawabnya pendek. Zahidah mengerut dahi, tidak setuju dengan jawapan yang diberikan.
“Jangan macam tu. Irah kan mengandung. Tak elok untuk kesihatan. Fikirlah sikit untuk baby tu. Badan Irah pun lemah semacam mak tengok. Kak Saba cakap Irah tak makan apa-apa pun hari ni. Kenapa ni? Irah ada apa-apa masalah ke? Cuba cerita pada mak. Tak baik buat macam ni. Mak nak Irah turun makan dulu. Alas perut tu. Jangan dibiar kosong. Tak elok.” Zahidah sudah mula berucap panjang, memberikan nasihat tentang penjagaan diri ketika mengandung. Irah hanya mendiamkan diri. Apa sahaja yang dikatakan oleh ibu mertuanya itu langsung tidak masuk ke dalam kepala.
“Mak makanlah dulu. Irah tak ada selera. Irah cuma nak berehat dalam bilik aje sekarang. Kalau Irah lapar, Irah ambilkan sendiri nanti.” Dia menjawab acuh tak acuh. Sesungguhnya seleranya langsung mati bila mengingatkan peristiwa yang menyakitkan hati. Dia hanya mahu melayan perasaan sendiri tika ini. Dia mahu sendirian.
Seketika, kedengaran ngauman enjin kereta di perkarangan rumah. Fariz sudah pulang! Perasaan takut menyelubungi dirinya. Lelaki itu! Lelaki yang benar-benar dibenci tika ini.
“Tak apalah. Mak turun dulu. Jangan lupa makan tau.” Pesan Zahidah setelah gagal memujuk menantunya.

Fariz melangkah masuk ke dalam banglo dengan wajah yang letih. Seharian di pejabat benar-benar memerah segala tenaga dan otaknya. Sebaik melepasi ruang makan, Zahidah turun dari anak tangga. Fariz segera mendapatkan ibunya dan tunduk menyalami serta mencium tangan tua itu seperti selalu.

“Abah mana? Tak balik sekali?” Soal Zahidah. Suaminya itu selalu sahaja sibuk sejak kebelakangan ini. Mungkin kerana cawangan perniagaan yang baru dibuka.
“Abah ke Bangsar. Dia jumpa kawan lama. Mungkin sekejap lagi dia sampai.” Jawab Fariz.
“Hmm… abah kamu tu memang. Kalau dah jumpa kawan, tak ingat nak balik rumah. Risau mak dibuatnya.” Zahidah menggeleng-gelengkan kepala.
“Fariz dah makan belum? Kalau belum, mari makan sekali dengan mak. Mak tak makan lagi ni. Tu, si Irah tu. entah apa anginnya hari ini. Satu hari tak jamah apa-apa. Asyik memerap dalam bilik aje. Baby meragam kut. Pergilah tengokkan dia.” Gesa Zahidah pula.
Ada satu perasaan terkesan di hatinya bila mendengar aduan Zahidah itu. Pasti Irah masih marah dengan kejadian semalam.
“Yalah. Mak makanlah dulu. Nanti Fariz turun makan. Fariz nak rehat sekejap ye, mak.” Dia terus berlalu ke tingkat atas sambil membawa bersama briefcasenya.
Pintu bilik yang tidak berkunci dibuka. Irah duduk di birai katil, memeluk kedua belah kepala lututnya. Wajah Fariz langsung tidak dipandang. Lelaki itu tidak berkata apa-apa sebaliknya terus ke bilik air untuk mandi selepas meletakkan briefcasenya ke atas meja.
“Mak ajak makan, kenapa tak turun. Kesian mak makan sorang-sorang. Kenapa tak makan hari ni?” Fariz yang sedang menyalin pakaian bertanya. Tiada jawapan diberikan. Irah masih diam membatu.
“Irah, abang cakap dengan Irah ni.” Diam lagi.
“Abang tahu Irah dengar. Jangan buat-buat tak reti pulak. Kalau iya pun marahkan abang, janganlah cari fasal nak menyakitkan hati mak dan menyusahkan diri sendiri.” Tegas Fariz.
Irah mula mengetap bibir. Kenapa dia pula yang dipersalahkan?
“Irah yang cari fasal? Siapa yang buat hal sebenarnya?” Irah membaling sebiji bantal pada Fariz. Dia memandang suaminya dengan perasaan penuh geram. Lelaki itu diam seketika.

Irah mengalih pandang. Sakit hatinya masih belum reda. Benci sekali bila menatap wajah lelaki itu. Tiba-tiba sahaja Fariz sudah duduk di sisinya. Dia ingin mengelak tetapi tangan lelaki itu pantas menangkap tubuh kecilnya.
“Duduk dulu. Kita bincang baik-baik. Tak elok marah-marah macam ni. Irah kan mengandung.” Fariz cuba memujuk.
“Pergi! Jangan dekat dengan Irah! Irah benci tengok muka abang! Menyampah! Abang keterlaluan! Sampai hati abang buat Irah macam ni! Abang buat Irah macam barang mainan abang! Abang ambil dan campak Irah sesuka hati abang. Abang ingat Irah ni apa bang? Irah malu! Irah malu dengan apa yang abang buat pada Irah! Kenapa abang buat Irah macam ni? Irah bukan perempuan murahan. Bukan sesuka hati abang je nak buat apa-apa!” Belum sempat Fariz mula berbicara, Irah lebih dahulu menghamburkan rasa marahnya.
“Irah, jangan macam ni. Abang tahu abang yang salah dalam perkara ni. Memang abang banyak buat salah pada Irah. Abang minta maaf. Abang tak bermaksud nak menganiayai Irah. Tak boleh ke Irah maafkan abang?” Sayu suara Fariz memohon kemaafan. Dia juga tidak ingin jadi begini. Setiap kali dia cuba berbincang dengan Irah, pasti akan berakhir dengan pergaduhan. Entah di mana silapnya, dia sendiri pun tidak pasti.
“Itu ajelah yang abang tahu. Maaf, maaf, maaf! Irah dah bosan. Irah benci dengan perangai abang! Abang dengan keluarga abang sama saja!” Tinggi sekali suara Irah menjerit marah.
“Irah! Jangan menjerit! Nanti mak dengar. Memang abang yang salah! Jangan nak babitkan orang lain pulak dalam hal ni.” Fariz cuba mengawal rasa marahnya. Memang dia seorang yang panas baran. Sekalipun begitu, dia masih mampu mengawal emosinya. Dia tidak mahu bergaduh dengan Irah.

Irah sudah mula menangis lagi. Bengkak matanya akibat menangis dari semalam masih belum hilang. Begitu juga dengan sakit hatinya.
“Sudahlah! Abang tak payahlah nak berlakon. Bukan sekali abang buat Irah macam ni. Abang hipokrit! Mak dan adik abang pun sama! Mereka bukannya nakkan Irah, tapi nakkan anak dalam perut Irah. Abang pun tak pernah mahukan Irah. Irah benci pada abang! Irah benci pada mak abang! Irah benci pada adik abang! Irah benci semua keluarga abang!” Dia sudah dirasuk amuk. Dibaling semua barang yang dapat dicapai. Hatinya sudah terlalu sakit. Sudah tidak dapat dipujuk dengan rayuan lelaki itu.
Fariz benar-benar terpana. Tindakan Irah diluar jangkauannya. Tidak disangka begitu sekali tindakan yang akan dihadapi.
“Irah! Apa Irah buat ni! Irah jangan melampau!!” Tengking Fariz. Barannya tidak mampu dikawal lagi.
“Abang yang melampau! Abang punca semua ni!! Abang jangan ingat Irah kahwin dengan abang semata-mata kerana nakkan duit abang aje! Irah tak ingin itu semua! Irah tak nak jadi isteri abang! Irah benci! Abang jahat! Keluarga abang pun semuanya jahat!” Pang!! Irah terdorong ke lantai. Pipinya terasa perit. Dirasakan kesakitan yang amat di pipi kirinya.

Fariz tergamam. Tidak disangka perkara itu akan berlaku. Sekelip mata, tangan kasarnya sudah melekat di pipi Irah, ‘menghadiahkan’ satu tamparan yang tidak diduga.
“Irah!” Zahidah menyerbu masuk. Air matanya berlinangan. Seketika tadi, dia terdengar amukan Irah. Segala pergaduhan suami isteri itu sudah didengarnya, menimbulkan rasa pilu dan sakit hati yang amat. Betapa Irah sanggup menuduhnya hipokrit dan jahat.
“Sanggup Irah tuduh mak macam ni! Kenapa mesti Irah buruk sangka pada mak macam tu sekali? Mak jaga Irah dengan baik selama ni. Ini balasan Irah pada mak? Irah sangka mak buat semua ni semata-mata kerana bakal cucu mak sajakah? Irah keterlaluan!” Kali ini Zahidah pula meluahkan perasaannya.
“Mak.... Irah...,” Fariz tidak tahu apa yang harus diucapkan. Buntu!
Zahidah mula menangis lantas berlari-lari anak keluar. Dia benar-benar terluka dengan tuduhan Irah.

Suasana hening seketika. Hanya terdengar esak tangis Irah di ruang kamar itu.
“Irah, abang.... abang tak sengaja!” Tangan Fariz yang dihulurkan ditepis kasar. Irah sudah berpatah hati. Benarlah lelaki itu tidak pernah menyayangi dirinya hingga sanggup menyakitinya berulang kali.
“Sudah! Abang dah buktikan. Semuanya dah jelas sekarang. Irah memang langsung tidak bererti buat abang. Ceraikan Irah bang! Ceraikan Irah sekarang jugak!”
Fariz bagaikan tergigit lidah. Dirasakan dirinya tersepit. Tersepit oleh perbuatannya sendiri.
“Irah. Jangan buat abang macam ni. Abang tak mahu semua ini berlaku. Irah isteri abang. Irah mengandungkan anak abang!”
“Itu ajelah yang abang fikir. Abang langusng tak fikirkan perasaan Irah. Abang betul-betul mahukan anak ni kan? Abang jangan risau! Irah akan serahkan anak ni pada abang bila dia lahir kelak. Itu yang abang mahukan, kan?! Irah tahu Irah tak berpelajaran tinggi dan tak berduit. Irah tak mampu nak jaga anak ni bila dia lahir nanti. Abang tak perlu risau akan kehilangannya. Irah takkan hancurkan harapan abang dan keluarga abang. Irah sedar siapa diri Irah.” Sakit hati yang tidak dapat dibendung membuatkan dia memberi keputusan itu.
“Irah jangan buat benda bodoh Irah.” Fariz bersuara melihatkan Irah yang sudah mula mengeluarkan beg dan mengemaskan barang-barangnya.
“Ya, memang Irah bodoh selama ni. Irah bodoh kerana membiarkan diri Irah dipermainkan abang. Irah akan pergi jauh dari abang. Lebih baik kita berpisah. Irah tak sanggup macam ni lagi. Izinkan Irah pergi.” Irah sudah sedia untuk meninggalkan rumah itu. Dia tidak ingin lagi berada di sisi Fariz. Cukuplah dirinya disakiti.
“Abang tak benarkan Irah buat macam ni!” Fariz pantas memaut pergelangan tangan Irah.
“Kalau abang tak mahu apa-apa terjadi pada anak dalam perut ni, lebih baik abang lepaskan Irah!” Dia mengugut.
Fariz benar-benar dibebani rasa serba-salah. Isterinya sudah nekad dengan keputusan untuk meninggalkannya.
“Irah, jangan buat macam ni....,” Air mata bergenang di kelopak mata Fariz. Pertama kali dia menumpahkan air mata kerana Irah.
“Tak payahlah pujuk Irah lagi. Halalkan makan minum Irah sepanjang Irah menumpang di sini. Maafkan Irah sebab tak dapat jadi isteri yang baik untuk abang. Terima kasih kerana jaga Irah selama ni.” Suara Irah.
“Ke mana Irah nak pergi? Irah sanggup tinggalkan abang?” Bergetar suara Fariz.
“Bumi ALLAH ini luas bang. Tahulah Irah bawa diri. Biarlah Irah cari kebahagiaan di tempat lain kalau di sini hati Irah tak pernah bahagia.” Ucapnya lagi.
Tanpa menyalami tangan Fariz, Irah mula mengorak langkah, meninggalkan keluarga itu tanpa mengetahui kemana haluan yang hendak dituju.


--------------------- sedutan episod ke 9 --------------------------------


“MAK tak setuju! Anak tu bukan anak dia seorang! Anak Fariz juga. Cucu keluarga ni!” Zahidah menghenyakkan punggung ke sofa sambil memeluk tubuh. Wajahnya mencuka. Nada tegasnya meluahkan rasa marah di dalam hati.
“Fariz tahu mak. Tapi, takkan Fariz nak buat begitu sekarang. Anak tu pun anak dia juga.” Fariz bersuara lembut. Tidak mahu mencetuskan pergaduhan dengan ibunya.
“Habis, kita semua ni tak ada hak ke atas baby tu? Dia sorang saja? Kamu tu apa? Tunggul kayu?” Herdik Zahidah. Masih tidak berpuas hati.