Wednesday, December 2, 2009

Kalau Ada Cinta Part 17

KERUTAN di dahi dan wajah yang mencuka sudah cukup untuk menyatakan perasaannya. Tiada secalit pun senyuman di wajah itu. Irah pula menunduk. entah apa yang tidak kena dia tidak tahu. Yang pastinya hatinya marah tika ini. Geram, sakit hati.
“Kenapa cepat benar? Baru tiga hari!” Dia mengeluh. Tiba-tiba sahaja Fariz datang pagi itu untuk mengambil Is. Kata lelaki itu dia ada kerja yang harus disiapkan. Outstation ke Kota Kinabalu.
“Abang kan meeting kat sana? Buat apa nak bawak Is? Tinggal ajelah kat sini. Irah boleh jaga.” Sambung Irah lagi, masih tidak berpuas hati. Dia baru sehari dapat bersama Is setelah tamat peperiksaan semesternya. Cuti pun baru sahaja bermula dan dia punya banyak masa untuk diluangkan bersama si kecil itu.
“Abang nak bawak dia jalan-jalan dengan abang. Habis meeting abang nak melawat dan berehat sekejap kat sana.” Jelas Fariz.
“Habis, masa abang meeting tu, abang nak tinggalkan dia dengan siapa? Nak biar dia kat hotel sorang-sorang? Irah tak bagi. Is pun anak Irah jugak bang.” Ada nada marah terkesan dalam bicaranya.
“Abang boleh bawa nanny!” Sepagi itu mereka bertelingkah lagi. Masing-masing tidak mahu melepaskan Is. Fariz dengan hasrat mahu membawa anaknya ke Kota Kinabalu bersama sedangkan Irah pula mahu Is tinggal bersamanya sepanjang cuti semester.

Rafiq menggeleng-geleng. Nak kata perangai mcam budak-budak, dah besar. Pantang berjumpa, ada aje benda yang nak digaduhkan!
“Susah-susah sangat, bawak aje si Irah tu sekali. Habis cerita! Tak payah nak gaduh-gaduh macam ni. Mak bapak tak elok bergaduh depan anak. Gelap hati budak tu!” Mak Ngah yang sudah tidak tahan mendengar perbalahan mereka menyampuk. Suaranya nyaring dan lantang kedengaran dari ruang dapur. Wanita itu sedang menggoreng nasi untuk sarapan pagi.

Fariz dan Irah sama-sama terdiam. Suasana si ruang tamu sunyi seketika. Cuma kedengaran gelak tawa anak-anak pakcik Rafiq dan Mak Ngah yang leka bermain di luar rumah. Mereka tidak mengerti apa-apa. Tahu-tahu, pagi-pagi buta sudah sibuk hendak turun ke tanah bermain. Makan belum, mandi pun belum!

Lelaki itu masih membisu. Tidak terniat pun di hatinya untuk membawa Irah bersama. Sebetulnya dia marahkan perempuan itu. Kemarahan yang tak sepatutnya timbul. Dia sendiri pun tidak mengerti kenapa. Memang tidak wajar dia datang dan mengambil Is pagi ini walhal dia tahu yang Irah sudah beberapa minggu tidak bersama Is kerana sibuk dengan peperiksaan. Semalaman dia berfikir. Marahnya yang meledak tiba-tiba tidak dapat dibendung. Cemburukah dia? Dia sendiri tidak mengerti. Peristiwa di depan mata beberapa hari itu benar-benar mengusik sanubari.

“JEMPUTLAH naik dulu Fariz. Sekejap lagi Irah sampai. Dia ke rumah kawan dia semalam. Cuaca buruk sangat. Irah bermalam di sana. Naiklah!” Pakcik Rafiq mempelawa. Salam Pakcik Rafiq disambut mesra walaupun antara mereka tidak punya sebarang hubungan kekeluargaan lagi.

“Alah, cayang-cayang nenek. Mari sini comel!” Mak Ngah menyambut tubuh Is yang didukung Fariz. Si kecil itu amat dirinduinya. Tidak susah untuk melayan karenah Is. Mudah sahaja dia berada dalam pelukan sesiapa dan cepat benar ketawa apabila diagah. Pipi gebu Is dicium Mak Ngah semahu-mahunya.

Belum pun panas punggung Fariz duduk di ruang tamu, kedengaran bunyi kenderaan masuk ke perkarangan rumah. Seketika kemudian pula, suara Irah jelas memberi salam. Dua tubuh melangkah masuk ke ruang rumah. Sepasang mata milik seorang jejaka bertentang dengan matanya. Siapakah gerangan lelaki itu? Entah kenapa hatinya berdetik satu macam. Irah tampak mesra benar. Ada apa-apakah di antara mereka? Soal hatinya.

“Ni, Is ya Irah?” Hadi menyoal. Perempuan itu mengangguk sambil tersenyum. Anak kecil yang sudah diambil Irah dari Mak Ngah diagah Hadi. Is ketawa ceria. Nyata Irah benar-benar gembira dapat berjumpa anaknya itu.
“Meh sini saya pegang kejap.” Hadi mencapai tubuh Is.
“Pandai ke pegang budak?” Usik Irah.
“Ni lah nak belajar jadi bapa orang ni.” Ketawa Hadi. Kata-kata itu menerbitkan perasaan tidak senang di hati Fariz. Tambah menggeramkan lagi bila Irah seolah-olah tidak melayannya langsung dan seronok bermain bersama anak dan rakannya. Kelihatannya seperti satu keluarga pula. Sakit hatinya melihatkan Hadi di sisi Irah. Bukan main mesra lagi? Ni tak boleh jadi. Itu anak aku! Bukan anak engkau! Bengkak hatinya melihatkan telatah mereka.

“Dah lama ke abang sampai? Lupa nak perkenalkan. Ni Hadi, kawan sekampus Irah.” Ai, baru perasan aku ada kat sini. Ingatkan aku ni tunggul kayu tadi!
“Hmm… baru je.” Hadi menghulur salam kepadanya. Fariz menyambut malas. Tidak senang benar dia dengan kehadiran lelaki itu. Dia sebenarnya mahu berjumpa Irah. Meluangkan masa besama anaknya dengan Irah. Tapi keinginannya yang satu sudah dirosakkan dek kehadiran lelaki itu.

“Tinggal ajelah Is di sini. Buat apa nak dibawa jauh-jauh. Is kan kecil lagi. Lagipun, Irah kan cuti.” Pujuk Irah, cuba mencari jalan penyelesaian. Fariz yang hanyut dalam khayalan sendiri seolah tersedar. Dia mendengus marah.
“Tak payah. Biar abang yang jaga dia. Selama ni pun abang yang jaga dia. Irah apa tahu? Abang tahulah macam mana nak jaga anak!” Dada Irah bagai disentap apabila terdengar kata-kata sinis itu. Kenapa tiba-tiba Fariz hendak mengungkit kisah lama. Dia tergamam.
“Dahlah! Abang malas nak melayan karenah awak. Abang nak bawak Is balik dengan abang sekarang.” Bulat mata Irah mendengarkan kata-kata Fariz. Lelaki itu tidak menunggu lama. Is yang masih tidur di dalam bilik diambilnya. Pantas dia melangkah keluar dari rumah itu menuju ke kereta.
“Abang tak boleh buat macam ni! Is pun anak Irah! Abang melampau!” Irah mengejar dari belakang. Cuba menghalang. Pakcik Rafiq pula terkesima melihatkan adegan yang berlaku. Apa sudah jadi? Mak Ngah terburu-buru keluar dari dapur.
“Fariz! Bertenang dulu. Bawak berbincang. Apa masalahnya sampai nak bertindak begini?” Pujuk Mak Ngah.
“Betul tu Fariz. Angin tak ada, ribut tak ada. Kenapa nak marah sampai begini. Kalaupun Irah ada buat salah, janganlah bertindak tanpa berfikir.” Rafiq menambah. Irah sudah teresak-esak.
“Abang janji abang takkan rampas Is lagi dari Irah. Abang janji! Sekarang kenapa abang nak buat macam ni? Apa salah Irah?” Tangis perempuan itu. Fariz menarik nafas. Dia sendiri tidak faham kenapa dia boleh bertindak sedemikian. Sungguh tidak wajar dirasakan. Namun, kegeramannya tidak dapat diluputkan bila wajah hadi ertandang di lubuk mata. Apa kena dengan aku ni?

Fariz mengeluh.
“Mak Ngah, pakcik Rafiq. Saya perlu berbincang dengan Irah. Izinkan saya bawa dia keluar. Saya tak boleh berbincang di sini. Tolong jaga Is sekejap. Irah, please. We need to talk.” Akhirnya Fariz bersuara. Irah benar-benar tidak karuan. Tidak faham dia dengan karenah lelaki yang seorang ini. Air laut pun ada pasang surutnya. Sedangkan lelaki itu… sungguh dia tidak mengerti.

“Kenapa abang buat macam ni? Irah tak faham!” Soalan itu dibiarkan tanpa jawapan hinggalah akhirnya kereta yang dipandu Fariz membelok masuk ke satu kawasan taman yang luas.
“Kita perlu berbincang bersendirian Irah. Abang tak sanggup macam ni lagi.” Irah kaget. Apa silapnya?
“Macam apa bang? Selama ni semuanya ok. Tak ada apa-apa masalah. Kenapa tiba-tiba mesti kelam-kabut begini. Irah tak faham!” Marah perempuan itu.
“Irah takkan faham sebab abang pun tak faham.” Luahnya.
“Apa yang abang nak katakan sebenarnya? Kalau abang maksudkan keluarga abang tak benarkan Irah…”
“Diam! Dengar apa abang nak cakap!” Suara Fariz sedikit meninggi. Suasana hening seketika.
“Abang tak suka Irah bersama kawan Irah tu. Abang tahu abang tak patut cakap begini sebab Irah bukan hak abang. Irah bebas untuk memilih dengan siapa Irah nak berkawan. Tapi abang tak dapat terima bila lihat Irah bersama dia dan Is. Abang rasa tercabar Irah. Abang cemburu!” Terlopong mulut Irah mendengarkan penjelasan itu.
“Semalaman abang tak dapat tidur memikirkan hal ini. Abang pening tau tak! Abang tertekan bila lihat Irah bersama orang lain. Abang mahu…. Abang mahu Irah kembali pada abang. Abang cintakan Irah!” dia tidak tahu hendak berkata apa. Dirinya dalam dilema. Permainan apakah ini? Dua lelaki meluahkan kata-kata cinta padanya. Oh Tuhan!

Irah menggeleng-geleng, benar-benar tidak dapat menerima apa yang didengari.
“Irah sendiri pernah cakap yang Irah cintakan abang. Dan sekarang abang pun cintakan Irah. Kembalilah ke pangkuan abang abang, Irah! Abang sayangkan Irah. Kita ada Is. Kita boleh hidup bahagia bersama Irah. Abang bersalah selama ni kerana tak menyedari perasaan sendiri. Abang bersalah kerana melepaskan Irah tanpa berfikir panjang. Give me a second chance Irah. I love you! I love you so much!” Irah menekup kedua-dua telinga. Dia tidak dapat menerimanya.
“Abang melampau! Abang memang melampau buat Irah macam ni!” Irah berlari keluar dari perut kereta.
“Irah!” jeritan Fariz tidak dipedulikan. Kenapa mesti aku diseksa begini. Kakinya terus berlari bersama hati yang lara.


----------- Sedutan episod ke 18 -------------------------

“Kalau Irah masih nak bersama boyfriend Irah tu, Irah teruskanlah. Berbahagialah bersama dia! Tapi jangan ingat Irah akan dapat Is! Is anak abang! Abang takkan benarkan lelaki itu mendekati anak abang. Abang takkan benarkan Irah berjumpa Is lagi. Kalau nak naik court pun, naiklah! Irah jangan lupa, Irah pernah tinggalkan Is dulu. Irah memang tak layak menjadi seorang ibu!” Ugut Fariz.

Mata Irah berkaca-kaca. Ya Allah! Kau turunkan dugaan sebegini berat untukku. Berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi semua ini! Hatinya merintih sayu.