Wednesday, December 2, 2009

Menggapai Kasih Part 8

Nurul ingat, setelah JR menerima pelbagai cercaan, JR akan berhenti dari mengganggunya. Nurul ingat setelah dia mengherdik lelaki itu sepuas-puasnya, JR akan patah hati lalu pergi meninggalkannya. Akan tetapi semua taktiknya ketara cantik di pangkal tetapi dangkal di hujung. Semakin banyak usaha dia aturkan, semakin kerap pula JR membawa pelbagai cerita. Tidak ada satu pun dari cerita-cerita itu enak untuk didengar sebaliknya penuh berisi berita-berita kecurangan. Entah kenapa, mungkin kerana terlalu kerap disogok oleh cerita sedemikian, Nurul akhirnya tergerak untuk mendapatkan kepastian dari mulut Zainol sendiri. Apa yang perlu dibuktikan semasa pertanyaan itu nanti ialah dia bukannya curiga atau bimbang sebaliknya dia hanya mahu menyedapkan hatinya sendiri.
“Jadi Nurul mencurigai kesetiaan Zainol?” Zainol ternyata tenang menyambut persoalan yang sememangnya dijangkakan.
“Nurul minta maaf kerana bertanya begini. Nurul tak bermaksud nak melukakan hati Nol.. tapi..”
“Nol faham. Percintaan memang banyak dugaan..”
“Tapi masakan JR sanggup mereka-reka cerita kalau bukan itu kebenarannya?”
Zainol mengeluh perlahan. Dia menatap jauh ke dalam wajah anak gadis yang berpakaian serba putih itu. Sebagaimana dirinya yang juga berpakaian serba putih, berkemeja jarang dan berseluar slack, mereka senang berduaan di dalam taman yang banyak menyimpan warna-warna hijau. Mereka datang ke mari untuk berbincang, bukannya untuk bertengkar. Sebagai lelaki, dialah yang seharusnya mengawal keadaan, bukannya membiarkan keadaan langsung sahaja mengawal mereka.
“Nol tak kata JR berbohong.” kata Zainol tenang.
“Kalau tak bohong, benarlah semua yang dikatanya?” tingkah Nurul pantas.
“Itu belum tentu, mungkin JR dah lihat orang yang salah. Mungkin orang yang dilihatnya itu mirip-mirip Nol.”
“Maksud Nol, pelanduk dua serupa?”
“Hemm..” angguk Zainol.
“Tapi macam mana kalau pelanduk itu tak wujud?”
Zainol ketawa kecil.
“Nurul, Nurul..” Zainol menggeleng. “Nurul kena percayakan Nol. Cuba Nurul tengok muka Nol ni betul-betul, Nurul ingat Nol ni jahat sangat ke sampai sanggup buat benda-benda macam tu?”
“Err..tak, tak. Nol tak jahat!”
“Ha kalau begitu, Nurul kena percayakan Nol. Jangan biarkan khabar-khabar angin memusnahkan hubungan kita!”
“Iya, betul kata Nol!”
“Kita mesti bertahan!”
“Iya, kita mesti bertahan!”
Perbincangan itu pun berakhir di situ. Segala-galanya kembali pulih seperti sediakala. Laksana tanah sebidang yang ditimpa kemarau, bertahun lamanya terpaksa menanggung kekeringan. Tanam-tanaman yang tumbuh di atasnya banyak yang layu dan banyak juga terpaksa berkubur. Haiwan-haiwan ternakan mati bergelimpangan melihat air sungai yang kekeringan. Tiba-tiba, datang rahmat dari Tuhan, awan bertandang membawa hujan. Hujan yang turun bukan sedikit-sedikit tapi cukup mengalirkan semula air sungai, cukup menghidupkan semula pucuk-pucuk tumbuhan dan cukup juga memberi kesegaran kepada haiwan-haiwan ternakan yang masih bertahan.
Demikianlah keadaannya hati Nurul, dia tidak mungkin percaya lagi kepada khabar-khabar angin. Dia telah menyerahkan seluruh kepercayaannya bulat-bulat kepada Zainol. Biar datang petir, biar datang ribut, hatinya telah menjadi pancang kukuh yang tidak bisa dihanyutkan oleh derasnya gesaan arus. Biar orang hendak berkata apa, biar orang hendak mereka cerita, jiwanya telah menjadi sekeras batu pejal yang tidak mungkin tersanggah oleh kuatnya hempasan ombak.
“Nurul.” tiba-tiba dia terdengar suara ayah memanggil.
Dia berpaling ke belakang dan dilihatnya, ayah baru pulang dari kerja. Ayah tidak terus meletakkan barang-barang mekanik, sebaliknya ayah datang duduk bersama-samanya, pada meja besi di dalam halaman.
“Ayah..” Nurul senyum manis.
“Ada perkara yang hendak ayah bincangkan dengan Nurul..” muka ayah kelihatan serius.
“Apa dia, ayah?” gementar pula dia melihat reaksi ayah sebegitu.
“Berkaitan teman lelaki Nurul..”
“Oh, Zainol..” Nurul senyum bangga.
“Ayah harap Nurul boleh putuskan hubungan Nurul dengan Zainol!”
Nah, bagai ditembak oleh peluru hidup, kata-kata ayah benar-benar menusuk tepat ke dalam jantung. Terkejut besar menerima keputusan itu, air matanya serta-merta jatuh melimpah.
“A..apa maksud ayah?” tanya Nurul dalam sebak suara.
“Ayah tak mahu beri sebarang penjelasan, tapi Nurul kena dengar cakap ayah!”
“Tapi kenapa?”
“Kerana ayah sayangkan Nurul. Ayah tak mahu Nurul dipermainkan oleh orang lain.”
“Sampai hati ayah..”
“Ayah tak pernah halang apa yang Nurul mahu lakukan. Tapi ayah tak boleh biarkan kalau Nurul cuba membinasakan hidup Nurul sendiri..”
Nurul mengetap bibir beberapa kali. Sukar untuk dia terima bahawa orang yang sedang meluahkan kata-kata menghiris itu adalah ayahnya sendiri, seorang lelaki yang sangat dikasihinya!
“Kenapa ayah bencikan sangat Zainol? Apa salah dia, ayah?” bantah Nurul, inginkan penjelasan.
“Ayah dah dengar banyak cerita dan ada sebahagiannya telah ayah saksikan sendiri. Kalau Zainol lah lelaki pilihan Nurul, ayah minta maaf kerana terpaksa mengecewakan Nurul.”
“Ayah tak kenal lagi Zainol yang sebenarnya.. ayah cuma mendengar cerita-cerita JR..”
“Nurul,” mata ayah menikam ke dalam matanya. “Ayah kenal macam-macam jenis orang, ayah dah jumpa pelbagai jenis ragam manusia, dan berdasarkan semua pengalaman itu, ayah dapat membuat kesimpulan bahawa Zainol bukan orang yang sepadan untuk dijadikan teman..”
“Ayah,” panggil Nurul. “Seburuk-buruk Zainol yang ayah sangkakan, dia belum tergamak mengahwini seorang perempuan melalui cara yang kotor!”
“Nurul!” tersentak reaksi ayah mendengar tuduhannya yang bersahaja.
“Mungkin dari dulu lagi, Nurul sepatutnya ikut cakap ibu!”
Dia bangkit dari kerusi lantas berlalu. Ditinggalkan ayahnya sendirian tanpa menghiraukan apa yang sedang lelaki itu rasakan. Terus dia masuk ke dalam bilik dan dihempaskan badannya ke katil. Apabila ternampakkan potret ayah di atas meja, cepat-cepat dia melontarkan potret itu ke lantai. Cerminnya pecah berkecai dan serpihannya bertaburan.
Benci dia melihat wajah ayah! Ayah kejam! Ayah cuba menghalang cintanya!
“Nurul.. ayah sayangkan Nurul..”
“Nurul juga..”
“Nurul lah satu-satunya harapan ayah..”
“Tidak! Tidak!” dia terjerit-jerit marah lalu menonyohkan semula mukanya ke bantal.
Sebentar, dia terdengar bunyi kaki orang melangkah. Kemudian dia mendengar bunyi pintu bilik dibuka orang. Dalam serba curiga, dia menyeka air matanya. Dia sudah bersedia untuk bertindak sekiranya orang yang bertandang itu ialah ayahnya!
“Nurul, ibu ni!” terjerit ibu sebaik sahaja dia meronta-ronta ingin memukul orang yang menggenggam tangannya.
“Oh.. ibu..” Terus dipeluknya tubuh ibu. Air matanya bercucuran dan dadanya berombak-ombak menahan kesedihan.
“Kenapa ni sayang? Cuba cerita kat ibu apa yang dah berlaku?” pujuk ibu lembut tetapi dia tidak menjawabnya. Dia terus menangis di dalam dakapan ibu.
“Nurul bertengkar dengan ayah ya?” ibu membuat telahan.
Angguk.
“Ayah cuba menghalang cinta Nurul?”
Angguk.
“Ayah mahu Nurul putuskan hubungan dengan Zainol?”
Angguk.
“Nurul janganlah bimbang. Bukan kah Nurul ada ibu? Bukankah ibu orang yang paling banyak menyokong Nurul?”
Nurul menangis tersesak-esak. Kata-kata ibu terlalu lembut dan menusuk. Tidak tahan dia mendengarnya.
“Nurul minta maaf ibu..” ucapnya sebak.
“Eh, kenapa pula?”
“Nurul selalu ingkar kata-kata ibu.. tapi rupa-rupanya ibulah orang yang paling baik!”
Ibu senyum keharuan.
“Ibu tak pernah berkecil hati, ibu faham apa yang Nurul rasakan. Nurul keliru antara kasih ibu dan kasih ayah, Nurul tak tahu yang mana satu harus menjadi pilihan.”
“Macam mana ibu boleh tahu?”
“Alah, ibu tahulah.. ini kan ibu Nurul. Ibu yang mengandungkan Nurul, ibu yang membesarkan Nurul. Apa yang tersirat di dalam hati anak ibu, semuanya dalam kocek ibu, tahu tak?”
“Wah, hebatlah ibu.. macam tukang tilik.” puji Nurul bangga selepas tangisannya menjadi agak reda. Direnungnya muka ibu erat-erat, dan pada ketika itulah dia mula merasakan betapa selama ini dia tidak pandai menghargai ibunya.
“Ayah kamu tu cemburukan kamu, Nurul..” beritahu ibu bersahaja.
“Cemburu?” dia bertanya curiga.
“Iya, cemburu..” angguk ibu. “Selama ini kamu selalu menemaninya biarpun ibu tak membenarkannya. Tapi setelah Nurul ada teman lelaki, dia tak dapat lagi hendak bermesra-mesra dengan Nurul seperti selalu.. maka dia cuba menghalang percintaan kamu berdua supaya anak kesayangannya akan kembali dalam dakapannya..”
“Nurul tak fahamlah..” tingkah Nurul bingung. “Maksud ibu, ayah tu..”
Ibu tersenyum sinis.
“Ha, memanglah betul sangkaan kamu..” setuju ibu sambil ketawa.
Dia terpinga-pinga tidak mengerti. Dia belum lagi melanjutkan kata-kata tetapi ibu sudah pun dapat menangkapnya.
“Ayah sayangkan Nurul bukan sebagai seorang anak. Tapi dia sayangkan Nurul sebagai kekasihnya!”
“Ha?” terkejut benar Nurul mendengar. Hampir terlentang tubuhnya ke belakang kerana tamparan emosi yang sebegitu besar. Mujurnya ibu cepat mengambil langkah awal. Tangan yang di ambang kecundangan dapat ibu paut lalu ibu tarik maju ke hadapan. Terselamatlah dia dari jatuh bergolekan ke permaidani.
“Nurul jangan terkejut..” lanjut ibu setelah dia berdiam agak lama. “Ayah kamu tu gersang! Dah enam belas tahun berkahwin, tapi hidup macam lelaki bujang. Ada isteri tapi tak pernah bersentuh kulit. Jadi tak hairanlah selepas melalui semua itu, ayah kamu menganggap Nurul sebagai teman wanitanya...”
Nurul tergamam. Bingung, keliru, runsing, setiap patah ucapan ibunya merupakan tikaman-tikaman pedang yang tajam.
“A..apa betulkah ayah begitu?”
“Nurul.. itulah sebabnya ibu melarang Nurul dari berkawan rapat dengan ayah. Ibu tak mahu sesuatu yang buruk berlaku.”
“T..tapi t..tak mungkin..”
Ibu berganjak semakin hampir. Ibu pegang mukanya dan ibu tentang matanya. Dia tidak terdaya hendak membalas. Pandangannya jatuh ke permukaan ranjang.
“Nurul kena terima semua ini sebagai takdir. Nurul kena teruskan juga perhubungan Nurul bersama Zainol. Jangan pedulikan amaran-amaran ayah. Biarkan ayah cemburu, biarkan ayah curiga. Jika Nurul mengalah, kelak Nurul juga yang kalah..”
“Nurul tak sangka ayah anggap Nurul begitu..” air mata Nurul bercucuran.
“Sabar sayang,” pujuk ibu. “Ibu akan sentiasa berada di pihak Nurul. Selagi ibu hidup, ibu tak akan biarkan sesiapa mencederakan anak ibu!”
“Terima kasih, ibu.”
Dua beranak itu pun berpelukan. Bersama tangisan, bersama hirisan perasaan, Nurul tenang dibelai tangan yang sangat meyakinkan. Dia sedar kini, ayahnya tidak mungkin akan mendapat tempat lagi di hatinya. Setelah sebegitu dalam kepercayaan dia berikan, tetapi kepercayaan itu dipermainkan pula oleh ayah, kini tempat itu diisikan sepenuhnya untuk ibu tersayang.
Berat dia membuat keputusan itu, sepanjang-panjang malam tidak lena tidurnya kerana memikirkan. Esoknya, setelah mentari terbit bersama sinarnya yang terang, dia bangun membawa satu semangat baru. Dia telah berjanji kepada dirinya bahawa ayahnya terpaksa dilupakan. Tidak akan ada lagi kesedihan, cukuplah dia meneruskan sisa-sisa hayatnya bersama ibu yang penyayang.
Semasa dia turun ke bawah, dia mendapati ayah sedang menunggunya di sofa. Tanpa menghiraukan kehadiran lelaki itu, dia terus mengorak langkah, hendak menuju ke luar rumah.
“Nurul!” panggil ayah.
Langkahnya mati.
“Ayah nak minta maaf.” ucap ayah perlahan.
Tiada sebarang reaksi. Tiada juga sebarang gerak-geri. Nurul senang membelakangi ayah. Dia tahu jika dia berpaling dia akan segera mengalah kerana tidak tertahan melihat wajah ayah yang hiba.
“Ayah nak minta maaf kepada Nurul tentang semalam.”
Tiada balasan.
“Ayah mengaku yang ayah keterlaluan. Ayah minta maaf atas semua yang berlaku.”
Tiada balasan.
Ayah melangkah rapat menghampiri Nurul. Ayah cuba pujuk Nurul melalui sentuhan lembut, suatu perlakuan yang biasa dilakukannya setiap kali Nurul berkecil hati ataupun merajuk. Akan tetapi, tidak pula disangkanya, tingkahlakunya pada kali itu telah mengundang kemarahan yang sungguh luarbiasa dari sisi anak gadisnya.
“Ayah jangan berani nak sentuh Nurul!” sergah Nurul memberi amaran.
Terpinga-pinga tidak mengerti, ayah pantas menjauhkan tangannya seperti yang diarahkan.
“Kenapa Nurul?”tanya ayah, bimbang.
“Tak ada apa-apa..” balas Nurul bersahaja.
“Tolonglah Nurul, maafkanlah ayah..” rayu ayah lagi.
Dia berpaling melihat ayahnya. Segala kekuatan telah dikumpulkan dan kini dia bersedia untuk membuat perhitungan.
“Sudahlah ayah..” gerutu Nurul, sinis. “Nurul dah kenal siapa ayah yang sebenar. Hentikanlah lakonan ayah tu.. Ia tak akan merubah apa-apa.”
Ayah terdiam mendengar.
“Nurul dah tak mahu berhubungan dengan ayah lagi. Anggaplah apa yang berlaku antara kita selama ini hanya mimpi di siang hari!”
“Tapi kenapa sampai begini sekali Nurul melayan ayah?”
“Kerana Nurul dah bencikan ayah!” tingkahnya.
“Jangan buat ayah macam ni, Nurul..” rayu ayah dalam sebak suara. “Nurul kan tahu yang ayah hanya ada Nurul sahaja dalam hidup ayah?”
“Itu bukan masalah Nurul!” bentak Nurul angkuh sekali. Kebetulannya pada ketika itu dia ternampak kelibat ibunya turun. Lalu, kesempatan yang sedia terbuka itu segera diambilnya untuk mengakhiri perbualan yang kiranya tidak mendatangkan apa-apa.
“Nurul…” rayu ayah sekali lagi tetapi Nurul sudah pun pergi ditelan kereta mercedez bersama ibunya.
Langit ada panas hujannya. Pantai ada pasang surutnya. Hari juga ada siang malamnya. Begitulah hidup manusia yang serba lemah. Sedih dan gembira sering bertukar ganti. Hubungan Nurul dan ayah tidak lagi seperti dahulu. Antara mereka sudah ada jurang yang besar yang tidak mungkin dapat dihubungkan oleh jambatan paling kukuh di dunia. Setiap kali melihat ayahnya dia akan seram sejuk. Setiap kali bertembung muka, bulu romanya akan meremang. Teringatkan kata-kata ibu, dia jijik diperlakukan bagai perempuan simpanan. Biarpun di hati kadangkala terbetik rasa kasihan tetapi apa yang telah ayah lakukan sukar sekali diberi kemaafan.
Selalunya dia ternampak ayah tidur di sofa. Sunyi dan keseorangan. Selalunya dia ternampak ayah bermenung di dalam halaman, Resah dan tidak keruan. Ayah memang selalu sedih. Tidak ada apa yang hendak dihairankan kalau melihat ayah bersedih begitu. Tetapi, sejak mereka tidak bertegur sapa, kesedihan ayah kelihatan semakin ketara. Tubuh ayah semakin susut. Dahi ayah semakin berkerut. Bila diajukan perihal itu kepada ibu, bermacam andaian dan telahan ibu berikan. Ibu telah menanamkan benih-benih kebencian yang sebegitu mendalam di sanubari ini sehingga hilanglah rasa kemanusiaannya untuk meladeni ayah sebagaimana yang sepatutnya.
“Kamu kena ingat, ayah kamu tu gersang!”
“Gersang!”
“Dia buat kamu macam perempuan simpanan!”
Kata-kata itulah yang sering-sering terngiang di telinganya. Dan setiap kali dia dipujuk oleh kata-kata yang meyakinkan, dia semakin takut mendekati ayah. Melihat muka ayah pun sudah cukup untuk membuatkan dia bagai dikunjungi perogol bersiri.
Tidak ada apa yang harus dia kesalkan. Tidak ada apa yang hendak dia tangiskan. Di sekelilingnya kini, dia ditemani oleh orang-orang yang dapat membuatkan dia berasa bahagia. Hilang kesunyiannya apabila Zainol datang berkunjungan. Membawanya pergi bersiar-siar sambil menaiki motosikal kebanggaan, menyusuri taman-taman yang penuh bunga-bungaan. Zainol sangat memahaminya dan Zainol sangat mengasihinya.
Jika dahulu, JR menjadi tempat dia meluahkan perasaan. Kini, Zainol sudah mengambil tempat itu. Jika dahulu JR menjadi tongkat yang membantu dia berdiri, kini Zainol telah menggantikan apa yang dia kehilangan. Zainol tidak kisah apa tanggapan ayah terhadap dirinya. Apabila terlangsung bicara-bicara yang sedemikian, Zainol bijak menenangkan keadaan. Pelbagai nasihat dan pesanan Zainol sisipkan. Tidak pernah terbit kata-kata hasutan, sebaliknya kalimah-kalimah dorongan, itulah yang Zainol hadiahkan buat menyirami sebuah hati yang sering kekeringan.
Sehingga tiba di suatu tahap, Nurul merasakan Zainol lebih bererti dari segala-galanya! Zainol terlalu mulia dan Zainollah tangkai pada bunga hatinya!
Ibu pun demikian juga. Salah tanggapannya tentang ibu selama ini. Ibu yang disangkanya racun yang sering merusuhkan jambangan perasaan, rupa-rupanya adalah madu yang mengubati penyakit paling sukar diubati di muka bumi, iaitu derita. Layanan dan sokongan ibu bagai air mengaliri kebun-kebun keresahan. Belaian-belaian ibu umpama mutiara yang menghiasi lautan kebuntuan. Dan kesungguhan-kesugguhan ibu mengajarnya tentang kehidupan saling tak tumpah bagai matahari yang menjadi sumber tenaga kepada sekalian alam.
Biarpun ibu sering sibuk di pejabat, dan dia sendiri sibuk mengulangkaji pelajaran, namun itu semua bukan penghalang untuk mereka mengibarkan bendera kemesraan. Setiap kelapangan yang terbuka, contohnya di hujung minggu, ibu akan meluangkan masa bersamanya. Mereka akan pergi menontong wayang bersama atau setidak-tidaknya mereka akan singgah di pusat membeli-belah untuk membeli barangan-barangan kecantikan.
Jika Zainol adalah pohonan, ibu pula merupakan dahan-dahan dan daunan yang menjadi tempat dia berteduh. Jika Zainol adalah pakaian, ibu pula adalah butir-butir mutiara yang menambahkan kecantikan kepada sebuah pakaian. Sama-sama penting dan sama-sama berharga, nama ayah semakin luput dari hatinya. Ibarat gunung yang sudah ditarah, tidak mungkin kembali ke asalnya, begitulah tanggapan peribadinya terhadap ayah.
Ayah memang wajar menanggung segala kesunyian kerana sikap ayah yang keterlaluan. Ayah sedang menerima hukuman di atas dosa-dosa yang dilakukan. Dan dirinya sebagai anak, tidak mungkin berganjak dari apa yang telah diputuskannya sebelum ini. Hubungannya dengan ayah hanyalah mimpi di siang hari! Manakan mimpi diharap bertukar menjadi nyata seandainya mimpi itu adalah mimpi yang paling ngeri!