WAJARKAH dia mengungkit kisah lama andainya ia telah pun berlalu? Jadi satu kerja gila kiranya Irah mengaku bahawa dia adalah bekas isteri kepada Fariz Hilmi bin Mohd Azri, seorang ahli perniagaan yang berjaya, mewarisi empayar perniagaan yang terkemuka di Kuala Lumpur dari ayahnya. Lelaki itu punya nama, punya harta dan punya segalanya. Mereka umpama langit dan bumi. Mungkin kerana itu mereka tidak ditakdirkan untuk bersama akhirnya. Sudah suratan! Biarlah segalanya terkubur begitu sahaja tanpa diimbas kembali. Irah tidak mungkin mengaku bahawa dirinya pernah menjadi isteri kepada lelaki itu setelah apa yang berlaku. Mungkin tiada siapa yang akan mempercayai ceritanya. Biarkanlah!
“ABANG, Zah tanya sikit boleh?” Anizah bersuara dengan nada tidak puas hati pada suatu hari. Mustakim menjeling. Adalah tu yang tak kena. Ada-ada saja ragamnya bini aku ni!
“Apanya?” Wajah isterinya tidak seperti selalu. Masam mencuka sejak pulang dari pejabat tadi. Langsung tiada senyum manis yang menyambut kepulangannya hari ini. Pasti ada sesuatu yang tidak kena.
“Abang ada apa-apa ke dengan budak baru tu? Zah dengar macam-macam cerita abang sejak akhir-akhir ni.“ Anizah menjeling, cuba menduga hati si suami. Tidak sedap benar hatinya sejak akhir-akhir ini. Pelbagai gosip yang menghangatkan rasa amarah sampai ke pendengarannya. Mula-mula dibiarkan sahaja. Namun, kalau sudah panas telinga mendengar desas-desus yang menyakitkan hati, dia jadi tidak senang duduk. Kalau tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang!
“Budak baru mana pulak ni? Dari mana pulak awak dengar cerita? Awak ni tak ada lain. Asyik dengar cakap orang saja.” Mustakim mendengus, kurang senang dengan tingkahlaku isterinya yang suka mendengar cakap-cakap orang di sana sini.
“Orang takkan bercakap bang kalau tak ada cerita. Zah dengar abang bukan main lagi dengan budak baru kat office abang tu? Siapa nama dia? Izah? Irah? Hai, abang jangan nak buat perangai bang!” Anizah seolah-olah mengugut.
“Apa awak cakap ni? Takkanlah saya nak kat budak tu. Awak sorang pun tak terlarat saya nak jaga. Cuba jangan dengar sangat gosip-gosip tu semua. Saya bukannya ada apa-apa dengan dia. Kalau saya nak menikah lain, saya cari yang lagi cantik dari tu!” Mustakim menjawab. Sengaja disakitkan hati isterinya. Tidak semena-mena satu cubitan pantas mengenai pinggangnya membuatkannya terjerit.
“Dah tu, Zah dengar diorang bercerita....,”
“Alah awak ni. Tak adanya abang nak cari lain. Awak tu dah cukup semua. Cantik, lawa, baik. Gila abang nak buat perangai. Nanti anak-anak abang semua awak bawa lari.” Mustakim lebih dahulu memintas cakap isterinya. Anizah diam seketika. Hatinya masih tidak tenang. Ah! Lelaki, bukannya boleh percaya! Ibarat kucing, kalau ikan terhidang depan mata, perut sudah kenyang pun disambar juga!
“Kalau awak nak tahu, dia tu dah kahwin. Dah ada anak pun.” Sambung Mustakim lagi. Air muka Anizah berubah.
“Dah kahwin? Dah ada anak?” Mustakim mengangguk.
“Dah bercerai. Kesian betul saya tengok dia. Kahwin masa umur 18. Tak sampai setahun, bercerai-berai. Anak pula diambil lakinya. Mak dan ayah dah lama meninggal. Budaknya pandai. Keputusan SPM pun cemerlang. Tapi, tak boleh sambung belajar sebab nak jaga bapa saudaranya yang tengah sakit. Sayang, dah jadi macam gini.” Mustakim mengeluh.
“Kasihan ke, kasih bang? Entah-entah abang dah berkenan pada dia, ye tak?” Usik Anizah pula.
“Ish! Apa awak mengarut ni? Saya tak ada apa-apalah dengan dia. Cuma bila tengokkan dia, saya teringatkan arwah Su. Perangai pun lebih kurang sama, pendiam.” Anizah membisu seketika. Sudah lama juga Mustakim tidak menyebut nama itu. Wajah suaminya bertukar sedih. Peristiwa lama!
“Abang, janganlah diingat-ingatkan peristiwa lama tu. Dah kehendak TUHAN semuanya berlaku. Bukannya kita mintak. Abang pun tak merancang jadi begitu.” Mustakim mengangguk perlahan. Kalau dulu sukar untuk dia menerima apa yang telah terjadi. Bertahun dia menyalahkan diri atas peristiwa yang berlaku. Mujurlah Anizah setia memberi perhatian dan sokongan padanya. Namun, peristiwa itu tidak mungkin luput dari ingatan. Mana mungkin dia melupakan kejadian yang meragut nyawa adik bongsunya, Suriani.
Peristiwa hampir dua tahun lalu itu masih segar di ingatan. Dia mahu ke Ipoh atas urusan perniagaan. Ketika itu, syarikat yang baru dibuka masih bertatih dan perlukan sokongan untuk mula berdiri. Kerana itu dia sibuk sepanjang waktu. Suriani mula merajuk. Kononnya tidak diberi perhatian oleh abangnya. Memang sejak dari zaman kanak-kanak lagi hubungan mereka amat mesra. Dek kerana menurutkan hajat terakhir Suriani untuk ikut sekali ke Ipoh, tidak semena-mena mereka terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Suriani meninggal serta-merta sementara kereta Proton Wira yang dirempuhnya hancur remuk setelah terbabas ke bahu jalan. Ketiga-tiga penumpang kenderaan tersebut turut meninggal dalam perjalanan ke hospital.
“Bang.” Tangan Anizah menyentuh bahu suaminya. Terpamer kesedihan di wajah Mustakim. Peristiwa itu masih belum luput dari ingatan. Mustakim tersenyum, cuba menyembunyikan kesedihan yang dirasai.
“Jadi ke kita Jumaat nanti?” Dia mengubah topik.
“Apa dia?” Anizah bertanya kehairanan. Dia tidak dapat menangkap maksud soalan tersebut.
“Kan hari tu rancang nak buat kenduri arwah Su.” Anizah menepuk dahi. Hampir dia terlupa kalau tidak Mustakim memperingatkannya.
KALAU rapat dengan majikan, ada-ada sahajalah cerita-cerita yang tidak elok berkumandang. Belum pun apa-apa, gosip sudah meliar di sana sini kononnya Irah ada hati pada Encik Mustakim. Gila diorang ni! Marah hatinya. Sudahnya dibiarkan begitu sahaja. Mulut orang memang sedap mengata. Biasalah kalau mengumpat tak ingat dunia! Irah malas hendak melayan. Biarlah apa orang nak kata. Yang penting, dia tidak buat perkara begitu. Dah penat nanti, diamlah mereka. Pujuk hatinya. Baginya Encik Mustakim seorang majikan yang baik dan prihatin. Tidak pernah berat sebelah pada mana-mana pekerja termasuklah dirinya. Lelaki itu selalu memberi kata-kata nasihat dan dorongan kepadanya. Irah menghormati Mustakim tidak lebih dari rasa seorang pekerja terhadap majikannya.
“Jemputlah datang ke rumah. Saya buat kenduri tahlil Jumaat ni.” Ujar Mustakim kepada Irah sebelum pulang hari itu.
“Saya ada dengar encik. Notis pun ada tampal. Insya-ALLAH, kalau sempat. Saya tak boleh janji sebab saya ingat nak balik kampung. Nak melawat kubur keluarga saya. Dah lama saya tak menjengah. Bulan ni tak pergi sekali pun lagi.” Jawab Irah.
“Kampung awak kat mana? Ada sedara-mara lagi ke kat sana?” Soal Mustakim ingin tahu.
“Dekat Perak. Sedara-mara tak ada. Bapa saudara saya ajelah yang tinggal. Adik bongsu arwah ayah pun dah meninggal. Kaum kerabat mak pula jauh di Sabah, tak pernah kirim berita. Saya pun tak kenal. Encik buat kenduri tahlil untuk siapa?” Dia menyoal pula.
“Untuk arwah adik saya. Ahad ni genaplah dua tahun dia meninggal. Kami terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Tak sangka dia nak pergi dulu.” Suara Mustakim sedikit perlahan.
“Kebetulan, keluarga saya pun meninggal pada tarikh yang sama dengan adik encik. Pun kemalangan jalan raya jugak, dalam perjalanan ke Ipoh. Masa tu, mereka dalam perjalanan nak hantar adik saya ke sekolah berasrama penuh. Kereta terbabas ke bahu jalan selepas kena rempuh dengan sebuah kereta lain. Dah kehendak TUHAN saya tak dapat jumpa mereka lagi.” Irah pula bersuara sedih.
“Ipoh? Saya accident dekat area sana jugak masa tu. Kebetulan, kereta yang saya langgar pun terbabas ke bahu jalan. Penumpangnya semua meninggal dalam perjalanan ke hospital.” Kata-kata Irah menarik perhatiannya. Banyaknya kebetulan? Kenapa cerita sedih mereka lebih kurang sama?
“Jalan mana? Pukul berapa?” Irah sudah mengesyakki sesuatu. Jangan-jangan........ Tak mungkin!
“Pagi. Dalam pukul 10.30 macam tu. Nama jalan...... saya kurang pasti. Sebab masa tu saya alami concussion selama lebih kurang 2 minggu.” Jawab Mustakim.
“Saya masih lagi simpan keratan akhbar fasal kejadian tu. Ada di rumah saya. Mungkin secara kebetulan jugak encik accident pada tarikh dan waktu yang sama.” Irah tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan.
“Mungkin juga......,” Mustakim mengakhiri perbualan.
MUSTAKIM termenung lama. Anizah di sisi yang sedang mengawal telatah anak-anak kecilnya yang cuba berjalan ke sana ke mari juga berwajah murung. Kenapa jadi begini? Irah masih menangis tersedu-sedu. Rafiq pula tidak bersuara. Tidak tahu hendak berkata apa.
Kecilnya dunia ini. Siapa sangka, Mustakimlah orangnya yang menyebabkan Irah kehilangan keluarga dua tahun dahulu. Rupa-rupanya lelaki itu dan keluarga Irah terlibat dalam kemalangan yang sama. Perasaan tidak senang hati dan rasa ingin tahu yang meluap-luap di sanubari Mustakim membawa mereka sekeluarga ke rumah Irah pada suatu hujung minggu. Segalanya jelas terungkai bila keratan akhbar tersebut diberikan padanya. Sangkaan buruk benar-benar terjadi.
“Saya tak sangka jadi macam ni.” Mustakim bersuara selepas membisu beberapa ketika. Dia rasa benar-benar bersalah. Meragut segala kebahagiaan Irah sekelip mata. Dan dia juga turut kehilangan Suriani, adik perempuan yang lebih kurang sebaya dengan Irah dalam kemalangan yang sama.
“Mungkin ini dah takdir TUHAN. Perkara ini bukan dirancang.” Rafiq bersuara. Irah masih diam membisu. Hanya sesekali terdengar esak tangisnya menahan sendu.
“Saya minta maaf Irah. Saya bersalah pada Irah. Sayalah punca segala yang berlaku. Kalu tidak atas kecuaian saya, semua ini takkan terjadi.” Dia mengeluh kesal. Diperhatikan diri Irah yang duduk terjelepuk di lantai, terkejut setelah mengetahui kedudukan sebenar.
“Memang abang Mus bersalah pada Irah. Kami minta maaf atas apa yang terjadi. Nyawa orang yang dah pergi takkan dapat dibayar dengan apa-apa pun. Irah, maafkanlah abang Mus. Kami pun tak ingin jadi begini. Percayalah, kami pun turut kehilangan orang yang disayangi.” Anizah cuba memujuk Irah yang masih terkejut.
“Saya rasa bertanggungjawab atas apa yang berlaku pada Irah selepas kejadian tersebut. Kalaulah mak dan ayah Irah masih hidup, mungkin Irah tak hidup begini.” Mustakim masih menyalahkan diri sendiri.
“Tuhan bawa pergi Suriani dari hidup kami, dan kini Dia pertemukan kita. Mungkin ini juga satu hikmah. Mungkin sebab itu juga bila abang Mus lihat Irah, abang Mus teringatkan Suriani. Mungkin Irah pengganti Suriani kami.” Kata-kata Anizah buat Irah jadi gelisah. Hatinya tidak tenteram.
“Irah bukan Suriani. Irah bukan pengganti siapa-siapa! Irah tak nak jadi pengganti!” Tiba-tiba Irah bersuara marah. Pantas dia bingkas dan berlari masuk ke bilik. Hatinya terasa sakit bila mana setiap kali orang hanya menganggap dirinya sebagai pengganti atau sandaran sahaja. Termasuklah Fariz!
Mustakim tergamam. Kenapa begitu sekali reaksi Irah? Mungkinkah perempuan itu tidak dapat memaafkannya? Bencikah Irah padanya? Memang patut pun....
“Encik Mustakim jangan beranggapan yang bukan-bukan. Irah sebenarnya bukan marahkan encik dan isteri. Dia sebenarnya masih dalam dilema. Banyak perkara yang berlaku pada dirinya sejak kematian keluarga.” Rafiq cepat-cepat bersuara bila dilihatnya wajah Anizah yang terkulat-kulat.
“Dia ada masalah ke pakcik? Saya ada dengar serba-sedikit fasal dia. Ceritalah. Saya pun ingin tahu. Bukannya saya ingin menyibuk. Tapi, rasanya saya juga bertanggungjawab kepada dia. Berilah saya peluang sekali ini untuk menebus kesalahan saya pada dia.” Ujar Mustakim penuh harap. Rafiq tertunduk.
------------ sedutan episod 12 ---------------------------------
“Awak! Saya bercakap dengan awak. Kenapa tak jawab, hah?!” Sergah Hadi. Tidak puas hati betul dengan tingkah seorang freshies ini. Dari tadi wajahnya bersahaja. Langsung tiada riak takut seperti siswi-siswi lain. Irah tersedar dari lamunannya lantas mengukir senyum.
“Ya, ada apa?” Dia menyoal lembut. Hadi jadi bengang.
“Saya bercakap macam nak pecah anak tekak kat depan ni awak boleh tak dengar?! Keluar ke depan sekarang!” Tengkingnya. Irah terpinga-pinga. Apa halnya dia ni sampai naik angin tak tentu arah? Dahlah tu, tengking orang ikut suka aje! Mahu tidak mahu Irah terpaksa juga keluar ke hadapan perhimpunan pelajar-pelajar baru. Semua mata tertumpu ke arahnya.