Melihat Nurul meminggirkannya setelah mendapat seorang jejaka yang lebih menawan, dia berasa tersangat kecil diri. Dia sedar, dia tidak setampan Zainol. Dia juga tidak gagah apalagi mempunyai keberanian seperti Zainol untuk menumpaskan lawan. Namun, dia masih punya perasaan. Dia masih lagi seorang manusia yang berhati perut. Dia bukannya barang makanan yang boleh dibuang apabila tidak lagi diperlukan. Atau bukan pula barang perhiasan yang apabila jemu mata memandang, maka boleh diganti dengan yang lebih terkini.
Apa sudah lupakah Nurul bahawa mereka pernah menangis bersama ketika Nurul asyik bercerita tentang kisah ayah dan ibunya? Apa sudah lupakah Nurul siapakah gerangan yang memujuknya setiap kali kesedihan datang bertindan-tindan?
“Cinta?” Nurul tergelak manja apabila dia cuba menguji sejauh mana hubungan gadis itu dengan Zainol pada suatu petang. Ketika itu angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, dan mereka, sekadar berdua, duduk di bawah pohon rendang di tepi padang, memerhatikan pelajar-pelajar membuat latihan olahraga.
Pada masa yang sama juga, beberapa orang pelajar lelaki, (termasuk Zainol) sedang tekun membuat aksi regangan di atas trek barlapan. Cukup bersinglet dan berseluar pendek yang mendedahkan otot-otot di badan, gaya mereka bisa memukau sesiapa sahaja dara memandang.
“Tak mungkinlah aku jatuh cinta dengan dia..” lanjut Nurul lagi sambil menjeling sekilas kepada Zainol nun jauh di sana.
“Tapi kau orang berdua nampak macam mesra sangat..” duga JR makin mendalam.
“Alah.. aku nak menebus layanan buruk aku terhadap dia .. Aku dah banyak bersangka yang bukan-bukan. Lagipun tak salahkan jika aku berniat jujur terhadapnya?”
“Tak.. tindakan kau tak salah..”
“Habis tu, kenapa kau macam mencurigai perasaan aku?”
“Aku nak buat spotcheck, manalah tahu kalau-kalau cempedak dah bertukar menjadi nangka!” usik JR seakan berjenaka, sengaja ingin menyurutkan ketegangan.
“Issh.. kau ni ada-ada sajalah!” Nurul ketawa manja. Dia ikut ketawa tetapi hatinya tidak dapat merasai kemanisannya.
Sebentar, acara lumba lari pun dimulakan. Perhatian mereka berpindah dari apa yang sedang dicakapkan, langsung ke kawasan di tengah padang. Lapan orang pelajar lelaki yang berlainan susuk badannya, sedang sibuk berlari-larian, kejar-mengejar hendak mendahului lawan masing-masing. Pada suatu sudut yang lain pula, kelihatan sorak-sorai pelajar-pelajar perempuan sedang menjerit memberikan sokongan.
Nurul sendiri tidak terlepas dari melaungkan kata-kata dorongan. Yang lebih pahit untuk JR dengari ialah nama Zainol acap kali diulang-ulangkan. Dan apabila pemenangnya juga adalah orang yang sama, hati JR menjadi semakin pedih. Puji-pujian Nurul kepada Zainol semakin ketara menyakitkan. Betapa sukanya gadis itu melihat Zainol menang! Betapa gembiranya dia!
Zainol berlari-lari anak mendapatkan Nurul selepas tamat sesi latihan. Dia menyambut tuala bersih dan air mineral yang Nurul berikan lalu duduk ke atas tanah sambil melepaskan mengah.
“Hebatlah Nol!” ucap Nurul bangga.
“Alah.. sepatutnya Nol boleh sampai lebih cepat kalau tak sangkut di permulaan tadi!” balasnya megah dan bersahaja.
“Tapi Nol kan dah menang? Ini bukannya pertandingan, buat apa nak lari bersungguh-sungguh.”
“Nol nak baiki prestasi Nol supaya dapat pergi ke peringkat kebangsaan..”
“Wah.. dahsyatlah..” Nurul bertepuk tangan.
“Eh, kenapa dengan muka Nurul?”
“Apanya?” Nurul berkerut curiga.
“Muka Nurul nampak macam ada debu.”
“Debu, kat mana?”
“Ni, kat hidung ni..” dia menghulurkan jarinya ke muka Nurul. Kononnya hendak membantu membuang debu tetapi lain pula yang dilakukannya. Dia telah mencubit hidung gadis itu dengan sengaja!
“Eii..apa ni picit hidung orang!”
“Padan muka! Dapat kenakan dia!”
“Nol jahat!”
“Nurullah jahat!”
Terkedu JR perhatikan pasangan itu bergurau senda. Biarpun kedudukan JR sekadar sedepa dari tempat mereka berada, namun dirinya saling tak tumpah bagai pohon-pohon rendang yang tumbuh beraturan di sekeliling padang. Pohon-pohon itu tampaknya rendang memayungi orang-orang yang datang berteduh tetapi apakah pula yang dilakukan oleh orang-orang datang berteduh itu? Mereka bukan sahaja tidak tahu berterima kasih malah mereka juga tidak sudi untuk mempedulikannya!
Akhirnya JR pun membuat keputusan untuk menjauhkan diri.
Dia terus berpegang dengan keputusannya itu serta berjanji tidak akan berubah sehinggalah beberapa minggu telah berlalu, dia masih juga begitu. Bersendirian dan kesunyian tetapi akhirnya dapat membiasakan diri.
Pada hari minggu yang mendatang, JR keluar bersiar-siar seorang diri di tengah-tengah kota bagi menghiburkan hatinya. Sambil menyusuri persisiran pusat membeli belah dua tingkat di hadapannya, sambil dia memandang-mandang ke persekitaran.
Agak lama juga dia terperap di rumah sehinggakan tidak disedarinya, kompleks ini telah banyak mengalami perubahan. Dia tidak perasan bila kiranya air pancut berbentuk ikan lumba-lumba itu dibina di hadapan pintu gerbang utama. Dia juga tidak perasan sejak bila kawasan kaki lima kompleks itu penuh dengan restoran-restoran mewah.
Sangkanya hati manusia sahaja cepat berubah, rupanya suasana di kotaraya pun begitu juga!
Tersenyum sendirian, dia tergerak hendak mencari kedai minuman. Diarahkan kakinya mengikut gerak hati, dia akhirnya tiba ke sebuah kedai kopi bertaraf antarabangsa. Selepas memesan secawan Cappuchino, dia duduk pada sebuah meja di tepi tingkap. Dilemparkan pandangannya ke luar jendela dan apa yang dapat dilihatnya ialah suasana sebuah pesiaran pejalan kaki yang sibuk!
Orang tidak putus-putus berkeliaran. Dari golongan muda, kepada yang sudah berkeluarga, semuanya berjurus-jurus melintas. Pelbagai ragam dan karenah dapat disaksikan. Ada yang marah, ada yang ketawa, ada yang keresahan, ada yang tidak berperasaan dan ada juga yang tidak siuman.
Tiba-tiba pandangan JR terarah kepada kelibat seorang remaja lelaki berseluar Bermuda dan berbaju dua lapis yang sedang berpeleseran tanpa haluan tertentu bersama teman wanitanya. Biarpun bertopi dan berkaca mata, JR masih dapat mengenali siapa gerangan empunya badan. Di sampingnya pula, ada seorang gadis muda berambut merah, berkulit cerah dan berbaju singkat, sesingkat skirt yang dikenakan, merangkul erat tangan sang arjuna, sambil berpimpinan berdua bagai orang sedang asyik dibuai asmara.
Kedua-duanya duduk di atas bangku di pinggir jalan. Tidak sedar yang diri mereka diperhatikan, tangan si lelaki selamba merayap liar ke pinggul si gadis, kemudian ke bahagian peha dan kemudiannya ke bahagian anggota yang paling berbahaya. Si gadis pula seolah merelakan, turut sama menikmati belaian-belaian yang lembut dan mempesonakan.
Beristighfar JR menyaksikannya. Dia kenal benar akan pemuda berkaca mata itu biarpun gerangan gadis di sisi tidaklah tersenarai dalam teman yang pernah dia temui. JR tidak menduga bahawa dia akan menyaksikan kelakuan Zainol yang begitu tercela. Bukan sengaja dia ingin mencari keburukan Zainol, tetapi peristiwa hari ini telah membuktikan segala-galanya.
Zainol bukanlah sebaik bagai disangka. Zainol sebenarnya pemuda bermuka dua. Di sebalik senyuman dan wajah yang menenangkan, tersembunyi sifat kotor dan jijik, sifat suka mempersendakan jiwa manusia, sifat yang sukar dilihat tetapi bisa dikenalpasti oleh insan-insan tertentu yang telah dibukakan hatinya untuk melihat kebenaran.
Alangkah malang Nurul sekiranya perhubungan antara kedua mereka tidak segera dihentikan. JR tahu, seandainya berita ini dikhabarkan nanti, dia tentunya akan menerima sedikit tentangan dari Nurul. Memang lumrah orang bercinta, apabila dikhabarkan berita-berita sebegini, sukar untuk mempercayainya. Cinta mereka, kasih sayang mereka yang terbina dari sudut yang paling dalam telah mengaburi mata mereka dari melihat kebenaran.
Namun itu tidak bermakna dia harus berdiam diri. Sebagai seorang kawan dia kena bertanggungjawab menghentikan segala-galanya sebelum keadaan menjadi kian buruk. Selagi Nurul dapat diselamatkannya, selagi itulah dia akan terus mencuba. Dan apa yang paling meraih cita-citanya ialah doanya semoga Nurul rela menghadapi bersama hati terbuka.
Petang esoknya, semasa waktu rehat, JR pun pergi mendapatkan Nurul. Kebetulannya Zainol bercuti hari itu kerana mewakili sekolah ke pertandingan olah raga peringkat daerah, jadi kesempatan yang sedia terbuka itu dapatlah JR gunakan dengan sebaiknya untuk berterus-terang.
Nurul nampak terganggu semasa JR datang menyapanya di bawah pondok cendawan.
“Ada apa?” tanya Nurul seakan tidak berminat.
“Aku harap aku tak mengganggu kau..”ucap JR perlahan.
“Katakan aja apa yang hendak kau katakan.. aku tengah sibuk membaca ni.”
JR senyum kelat. Angkuh sekali layanan yang diterimanya.
“Aku nak beritahu kau sesuatu yang penting.” Ucap JR. “Dan ia berkaitan Zainol.”.
Tertarik mendengar nama Zainol, serta-merta Nurul mengangkat kepala. Direnungnya tubuh JR yang keding dan diamat-amatinya gerak mata seorang jejaka di sebalik kaca mata berbingkai tebal.
“Ada apa yang hendak kau cakapkan pasal Zainol?”
“Aku nak ingatkan kau supaya berhati-hati mendampingi Zainol. Dia bukanlah lelaki baik sepertimana yang kau sangkakan..”
Terpukul oleh kata-kata yang menghiris, Nurul segera menunjukkan kemarahannya.
“Sejak bila kau pandai memburuk-burukkan orang ni ?”
“Sejak aku melihat apa yang tidak dapat engkau saksikan..”
“Hah, iyalah tu!” tempelak Nurul, sinis. “Macamlah engkau tu budiman sangat!”
“Aku tahu, aku bukan orang yang baik. Tapi seburuk-buruk dan selemah-lemah aku, aku belum tergamak mengkhianati kawan sendiri..”
Nurul rasa tercabar. Keegoannya tergugat dan nama orang kesayangannya cuba dicemarkan. Sebagai seorang kekasih yang sangat mempercayai orang yang dikasihinya, tidak mungkin dia membiarkan penghinaan ini berterusan. Dia perlu bangkit membela diri.
“Aku mengenali Zainol lebih dari kau!” tegas Nurul. “Dan aku tak perlukan sesiapa untuk menunjukkan aku yang mana betul dan yang mana salah!”
“Nurul, aku tak mahu kau terluka. Bukan niat aku nak memburuk-burukkan Zainol, tapi aku dah lihat dengan mata aku sendiri, dia berdua-duaan di samping gadis lain.”
“Kenapa aku kena percayakan kau?”
“Kerana kita pernah menjadi kawan..”
“Lalu kau bebas merosakkan hubungan aku dan Zainol?”
“Nurul..” JR mendengus kesal. “Kau harus percayakan aku!”
“Aku tahu kau cemburu..”
“Cemburu? Apa maksud kau?” JR berkerut hairan.
“Kau cemburu kerana melihat kami berdua..” Nurul senyum sinis. Dia bangkit bersama lagaknya, lalu dia bisikkan lagi kalimah yang serupa ke telinga JR.
“Kau cemburu kerana aku tidak lagi mempedulikan kau. Lalu kau pun mereka-reka cerita supaya aku dapat kembali ke pangkuan kau..”
“Nurul..” JR mengetap bibir. Tubuhnya menggigil menahan cercaan.
“Sudahlah JR.. jika kau fikir aku boleh dipengaruhi cerita-cerita purba seumpama ini, kau dah jumpa orang yang silap!”
“Nurul..” JR memejamkan mata.
“Kau perlu belajar menerima hakikat bahawa aku telah jatuh cinta kepada Zainol!”
Nurul menamatkan perbualannya di situ, muktamad. Dia terus melangkah pergi tanpa mempedulikan betapa teruknya kehancuran yang telah dia tinggalkan di sudut hati JR. Dia tahu, tindakannya agak keterlaluan tetapi bukan niatnya sengaja berlaku kejam. Tingkahlaku JR memfitnah Zainol adalah sebuah kesalahan yang tidak seharusnya diberi kemaafan. Memang Zainol sebelum ini terkenal dengan sifat buayanya. Memang Zainol sebelum ini gemilang dengan cerita-cerita negatifnya. Tetapi sekarang, setelah mengenali hatinya yang baik, Nurul tidak mampu untuk kembali mencurigainya! Bagaimanalah tergamak dia hendak melukai hati seorang lelaki yang telah berkorban nyawa menyelamatkannya dari terjerumus ke lembah binasa?