Nurul kancing gigi kuat-kuat. Takut, jijik dan gementar, dan seribu macam perasaan lagi dirasakan.
“Sayang..” rengek lelaki itu.
“Eh, encik.. apa ni?” ditepisnya tangan pemandu teksi.
“Alah.. janganlah takut sayang..” pujuk pemandu teksi itu. “Abang nak ajak kita main-main..”
“Jangan encik.. jangan..”
Nurul meronta-ronta tetapi pemandu teksi itu tidak menghiraukannya.
“Jangan encik.. saya ni pelajar encik..” rayu Nurul lagi.
“Pelajar pun apa kurangnya..Ayam muda, lebih lembut isinya.. kalau dinikmati, tentu lebih enak rasanya..”
“Tolonglah encik, janganlah buat saya macam ni..”
Sia-sia rayuan Nurul. Dia tahu usahanya merintih tidak akan diendahkan. Dia kena mencari ikhtiar lain. Pintu teksi perlu dibukanya supaya dia dapat lari. Akan tetapi di manakah pula picu pembukanya?
Akhirnya dia dapat juga membuka pintu teksi setelah bergelut buat seberapa lama. Cepat-cepat dia turun, cepat-cepat juga dia hendak lari tetapi kali ini tali begnya tiba-tiba dapat diragut oleh sang pemandu teksi. Hilang keseimbangan tubuh, Nurul jatuh tersungkur menyembah tanah. Kakinya luka dan lututnya berdarah.
“Nak lari ke mana sayang?” getus pemandu teksi kian manja. Diterkamnya Nurul yang bergelimpangan, dan digomol-gomolnya Nurul bagai haiwan mendapat sasaran.
“Marilah kita berasmaradana..”
“Jangan! Jangan!” jerit Nurul. Bermacam-macam sangkaan bermain di ingatannya. Serta-merta terbayang babak ngeri yang pernah dia saksikan di kaca tv. Juga terngiang-ngiang berita perkosaan dari corong berita yang saban hari diwarwarkan melalui media massa.
Apakah pada hari ini dia juga akan menjadi salah seorang dari mereka ? Apakah hari ini namanya akan terpapar di dada akhbar sebagai salah seorang lagi mangsa kepada binatang bertopengkan manusia? Dan bagaimanakah nasibnya nanti, entahkan hidup entahkan mati.
“Apa yang kau fikirkan tu sayang?” suara pemandu teksi kembali menggamit.
Nurul tidak menjawab. Nafasnya sesak dan bahunya dihenyak. Dua belah kakinya ditindih ketat ke permukaan bumi. Pergerakannya jelas terkunci.
“Tolong encik.. jangan buat saya begini.. kasihanilah saya..” rayu Nurul sekali lagi.
“Alah sayang.. kau ini terlalu cantik.. tak tahan aku melihatnya..”
“Tolong encik.. tolonglah..” air matanya jatuh berguguran.
“Janganlah menangis sayang.. marilah kita menikmati permainan ini bersama..”
Baju kurungnya dirobek. Dadanya digomoli dan lidah sang durjana merayap liar ke sekitar tengkuknya, saling tak tumpah bagai ular sawa menjamah denak.
Sejuk tubuhnya. Gementar dadanya. Dia tidak tahan dilanyak begitu. Pandangan mata kian gelap dan hidup ini bagai sudah tiada bererti.
Tiba-tiba ada terdengar bunyi kereta menyusup masuk ke kawasan itu. Arahnya tidak dapat Nurul pastikan tetapi dia tersangat berharap bahawa pada saat-saat yang sebegitu genting, pada saat-saat hidup dan matinya itu, akan muncullah seorang wira yang secara tiba-tiba menjelma lalu segera datang menyelamatkan dirinya.
Bersama berbunganya harapan Nurul, terbitlah juga kebimbangan di hati pemandu teksi. Enggan ada orang mengacau daun, pemandu teksi terpaksa meninggalkan hidangan di depan mata buat sementara agar misi dapat dilaksanakan tanpa malapetaka.
Belum pun sempat pemandu teksi hendak membuat tinjauan, tiba-tiba satu lembaga hitam menjelma di ruang mata. Serentak itu, satu tendangan yang maha keras melayang hinggap ke muka. Tercampaklah pemandu teksi ke tanah bagai nangka busuk gugur.
Tidak cukup dengan itu, hujan-hujan penumbuk singgah ke segenap anggota. Ditambah pula pelbagai lagi bentuk tendangan dari pelbagai arah. Pemandu teksi meronta-ronta tetapi penyerangnya tetap juga mengajukan serangan.
“Ayah?” tergamam Nurul melihat ayahnya datang.
“Nurul, lari Nurul!” perintah ayah tanpa mempedulikan panggilannya.
Nurul tersentak. Muka ayah kena tumbuk.
“Pergi selamatkan diri nak! Telefon polis dan telefon ibu!” perintah ayah lagi sambil bergelut dengan musuh yang sedang dihadapinya.
Nurul mengangguk-angguk mengerti. Biarpun berat hatinya untuk meninggalkan ayah bertarung bersendirian, namun dia sedar, dia tidak dapat berbuat apa-apa. Dia harus pergi mendapatkan pertolongan.
Beberapa ketika sahaja, selepas Nurul membuat panggilan melalui telefon selular, dua buah kereta polis tiba ke tempat kejadian. Ibu juga turut tiba kemudiannya, bersama kereta mercedez lapan sirinya yang diletakkan tidak jauh dari kereta-kereta yang lain.
“Nurul tak apa-apa nak?” tanya ibu sebaik sahaja dia tersedu-sedan dalam pelukan ibunya.
“Nurul tak ada apa-apa ibu..” jawab Nurul perlahan.
“Baguslah..” ibu menarik nafas lega. “Ibu minta maaf sebab tak jemput Nurul.. ibu memang teruk sebab lebih mementingkan kerja ibu dari anak ibu sendiri..”
“Tak apa ibu.. ayah dah selamatkan Nurul..”
Mendengarkan itu, ibu terus terdiam.
Beberapa orang pegawai polis menggari pemandu teksi tadi lalu memasukkannya ke dalam kereta. Ayah muncul dari celah-celah orang ramai. Muka ayah tampak letih dan bibir ayah terluka. Badan ayah juga calar balar.
“Nurul dah okey?” tanya ayah lembut.
Nurul mengangguk.
“Terima kasih ayah.. ayahlah wira kebanggaan Nurul..” Nurul senyum keharuan.
Ibu memandang ke arah lain. Wajah ibu mencuka. Ibu seperti tidak gembira dengan apa yang berlaku.
“Kamu jangan ingat yang aku akan berterima kasih dengan semua ni..” ucap ibu beberapa ketika selepasnya.
Sepertimana terkejutnya Nurul mendengar luahan ibu, ayah turut sama diseret ke kancah kejutan. Penjelasan ibu membuatkan air muka ayah berubah. Pandangan ayah yang sebelumnya jernih kelihatan, kini jatuh tertunduk ke tanah.
“Ia tak akan merubah apa-apa antara kita..” lanjut ibu lagi seperti memberikan amaran.
“Abang faham..” akhirnya ayah membalas, akur.
“Jangan cuba mendekati Nurul, dia anak aku..”
Angguk.
“Mari kita balik..” kata ibu kepada anaknya. Nurul menurut hampa. Dia benar-benar tidak mengerti dengan sikap ibu. Mengapa setelah sebegini besar bakti yang ayah berikan kepada mereka, ibu masih enggan memaafkan ayah? Tidakkah ibu tahu bahawa sekiranya ayah tidak mengekori teksi yang dia naiki tadi, ibu mungkin tidak akan dapat melihat anaknya lagi?
Benarkah kata pepatah, hati wanita itu keras bak kerak nasi? Kalau benarlah ungkapan itu, mengapakah hati ibu belum juga mahu lembut biarpun bermacam jenis air telah ayah curah demi meleburkan dendam seorang wanita? Mengapa? Mengapa ibu sekeras itu?
Tiba di rumah, Nurul menghenyakkan dirinya ke sofa. Ibu membawa secawan kopi untuknya. Ibu duduk betul-betul di sebelah Nurul.
“Kenapa ibu buat ayah macam tu?” Nurul memberanikan diri bertanya.
“Berapa kali ibu nak jelaskan?” jawab ibu dengan pertanyaan juga.
“Tapi ia hanya akan memburukkan keadaan..”
“Huh,” ibu mendengus. “Ibu tak mahu bincang lagi pasal perkara ni..”
“Tapi..”
“Apa yang sepatutnya Nurul tahu dah pun ibu beritahu.. tak ada apa lagi hendak diperkatakan..”
“Ibu..”
“Sudah, mulai esok ibu akan menjemput kamu pulang setiap hari.. usahlah Nurul bimbang tentang keselamatan Nurul nanti..”
Nurul melihat ibunya bangkit. Dia ditinggalkan keseorangan menghirup kopi. Peristiwa-peristiwa hitam yang berlaku sebelumnya menjelma semula di ruang ingatan. Menjadi turutan-turutan seluloid yang dimainkan orang di layar pawagam.
Ayah? Bagaimanakah keadaan ayah?
Sepanjang-panjang malam Nurul resah di ranjang. Banyak perkara yang mengganggu, dia sukar untuk beradu. Tubuhnya telah dibersihkan. Luka-luka pada badannya telah ibu sapukan dengan ubat. Apa yang merisaukannya kini adalah matanya tidak dapat dilelapkan.
Dia terkenangkan ayah. Dia rindukan ayah. Ayah sakit tetapi masih lagi mahu bertarung.
Perlahan-lahan, Nurul keluar dari bilik. Dia turun ke bawah, ke ruang tamu. Dia tahu ayahnya selalu tidur di situ. Dan dia ingin meninjau keadaan ayahnya selepas pertarungan yang sungguh dahsyat awal senja tadi.
Dilihatnya, ayah terbaring lesu di sofa. Mata kuyu ayah, terpejam rapat. Wajah pengasih ayah berkerut-kerut. Biarpun sedang tidur, muka ayah tetap kelihatan seperti orang di dalam kesusahan.
Nurul dicambuk oleh kesedihan yang datang secara tiba-tiba. Dia capai gebar ayahnya yang menggelongsor. Dia selimutkan tubuh ayah dan dia berikan juga sebuah kucupan kasih pada dahi ayah.
Air mata Nurul berlinangan. Bagaimanalah dapat dia membenci seorang lelaki yang sebegitu baik seperti ayah sedangkan dirinya sendiri tidak sudah-sudah terhutang budi kepada pengorbanan ayahnya. Permintaan ibu terlalu mustahil untuk dia tunaikan. Dia tidak mungkin mampu melakukan semua itu biarpun pada suatu masa nanti ibu akan meminta dia membuat pilihan antara kasih kedua mereka.
Zahirnya, dia boleh berlagak menjauhi ayah tetapi hakikatnya, perasaan ini telah lama diserahkan seluruhnya kepada ayahnya.
Alangkah bagus andai ibu dan ayah menjadi pasangan bahagia, sama seperti pasangan-pasangan keluarga yang lain. Tentu hidup mereka tidaklah seburuk ini. Tentulah ayah tidak lagi perlu tidur di sofa dan dia sendiri tidak perlu berkira untuk bertemu dengan ayahnya.
Oh, ayahku sayang..