Wednesday, December 2, 2009

Kalau Ada Cinta Part 19 (Pre Final)

MUSTAKIM melangkah laju. Kerisauan jelas terpamer di ruang wajahnya. Ruang koridor hospital yang sibuk dengan pelbagai karenah manusia dilaluinya menju ke wad kecemasan. Sesampainya di situ, kelihatan isterinya, Anizah sugul menanti di satu sudut. Keluarga Fariz turut berada di ruang menunggu. Semuanya berwajah suram bagaikan awan mendung berarak petang.

“Abang!” Anizah segera mendapatkan suaminya. Air matanya tumpah lagi. Matanya sudah bengkak dan merah kerana terlalu banyak menangis. Lelaki itu memeluk isterinya, cuba menenangkan Anizah yang dirundung hiba.
“Bagaimana dengan dia?” Mustakim bertanya apabila Anizah sedikit tenang.
“Doktor tak cakap apa-apa. Dah sejam lebih dia di dalam. Zah risau bang! Zah takut kalau-kalau….,”
“Jangan fikir yang bukan-bukan Zah! Berserah kepada Tuhan. Istighfar banyak-banyak. Insya-Allah semuanya selamat.” Pintas Mustakim, mematikan jangkaan buruk isterinya. Wanita itu mengangguk sayu.

Sebaik pintu kecemasan dibuka, seorang doktor dan beberapa orang jururawat keluar.

“Doktor, bagaimana dengan dia?” Fariz pantas meluru mendapatkan doktor berkenaan. Mustakim juga tidak lepas peluang untuk mengetahui perkembangan terkini Irah.
“Dia kehilangan banyak darah. Dia mengalami kecederaan di kepala. Sekarang pesakit masih tidak sedarkan diri.” Jelas doktor tersebut.
“Dia akan selamatkah doktor?” Soal Mustakim pula.
“Saya tak dapat beri jaminan. Patient masih lagi kritikal. Kami akan letak dia dalam unit rawatan rapi. Saya harap family patient bersedia untuk sebarang kemungkinan.” Hati Fariz bagai remuk mendengarkan penjelasan itu. Dia terduduk. Pandangannya nanar. Kejadian kemalangan tadi teimbas di kotak fikiran, bagaikan wayang yang diulang-tayang tanpa hentinya. Saat dia melihat tubuh Irah terhumban ke bumi, dia jadi kelu. Darah merah yang mengalir dri tubuh perempuan itu makin membuatkannya tidak menentu. Seperti orang gila dia menggoncang tubuh Irah, namun tiada langsung reaksi.

ZAHIDAH mengesat air mata yang menitis. Surah Yasin yang baru selesai dibaca diletakkan kembali ke rak tidak jauh dari sisinya. Seketika dia duduk berteleku di atas sejadah itu. Mengenangkan peristiwa yang berlaku, air matanya menitis lagi. Terasa kini, betapa kejam dan bodohnya dia atas perbuatan yang pernah dilakukan terhadap perempuan itu.

Azri menyentuh belakang isterinya. Terus sahaja Zahidah berpaling. Wajahnya basah dek limpahan air jernih yang bergenang di kelopak mata.
“Abang…,” Sayu suara wanita itu.
“Ampunkan Ida sebab tak dengar cakap abang selama ini. Ampunkan Ida sebab Ida terlalu menurut kata hati sendiri sampai tidak mempedulikan perasaan orang lain. Ida bersalah bang! Ida kejam! Ida musnahkan hidup Irah bang!” bahu Zahidah tersengguk-sengguk menahan sendu.
“Sudahlah tu Ida. Semua ni kehendak Tuhan. Banyakkanlah bertaubat. Jadikan ini pengajaran. Belajar dari kesilapan. Abang harap Ida dah dapat membezakan mana yang baik dan buruk. Kita sama-sama cuba perbetulkan kesalahan.” Pujuk Azri. Isterinya masih menangis lagi, menyesali kejadian yang berlaku.
“Kalau apa-apa terjadi pada Irah, Ida tak dapat maafkan diri sendiri bang! Irah malu! Semuanya berpunca dari Ida. Ida hancurkan rumah tangga Fariz, Ida pisahkan Irah dari anaknya.” Zahidah mengongoi lagi. Pantas Azri memeluk bahu wanita itu. Memang dia akui Zahidah antara punca keretakan yang berlaku. Pergaduhan yang pernah berlaku antara bekas menantu dan isterinya suatu ketika dahulu menjadikan wanita itu menyimpan dendam terhadap Irah. Sejak tu jugalah amarahnya tidak pernah sejuk dan reda. Apa-apa sahaja yang berkaitan dengan bekas menantunya memang dibenci hinggakan Is tidak sekali diizinkan bertemu dengan ibu kandung sendiri. Namun, Zahidah tetap isterinya. Mereka telah berpuluh-puluh tahun bersama. Tidak jemu-jemu dia menasihati isterinya itu walaupun Zahidah sentiasa buat tidak tahu. Kepada Tuhan Azri berserah, mohon diberikan petunjuk kepada isterinya itu.

Peristiwa yang berlaku benar-benar memberi pengajaran kepada Zahidah. Irah bergadai nyawa menyelamatkannya dari kemalangan tempoh hari. Barulah dia sedar betapa sucinya hati perempuan itu. Kalau punya rasa benci, pasti Irah akan membiarkan sahaja dia digilis kereta tersebut. Dia insaf atas kesalahan yang telah dilakukan. Namun, masihkah sempat untuknya memohon maaf dari Irah? Dia tidak tahu. Hanya kepada Tuhan dia berdoa agar diberi kesempatan untuknya memohon ampun dari perempuan itu sebelum terlewat waktu!

HADI merenung batang tubuh yang berselimutkan kain putih itu. Wayar alat sokongan dan tiub pernafasan berselirat di tubuh itu. Kepala perempuan itu dibalut tebal untuk mengelakkan pendarahan berlaku lagi kesan hentakan di kepala. Kecderaan Irah begitu serius. Hatinya tersentuh. Melihatkan perempuan yang disayangi terkujur begitu mebuatkan hatinya merintih sayu. Dia mahu marah. Tetapi kepada siapa? Kepada Farizkah? Kalau dibelasah lelaki itu sekalipun, tidak akan mengembalikan Irah seperti sediakala. Kemalangan tersebut menyebabkan Irah berada di dalam keadaan koma. Doktor sendiri tidak dapat memberi jawapan sama ada perempuan itu akan sedar semula. Sehingga bila Irah dapat bertahan pun tidak dapat dipastikan. Kini dia hanya mampu berdoa agar Irah sedar semula. Saat dia menerima berita itu, terasa bagaikan jantungnya gugur ke bumi. Sungguh hatinya pilu melihatkan Irah begini.

Sebaik melangkah keluar dari wad kecemasan itu, Hadi bertembung dengan seseorang yang amat dikenali. Direnung lelaki itu sedalam-dalamnya. Matanya tajam bagaikan si helang yang sedang merenung mangsa.

Fariz tertunduk. Dia sedia maklum kenapa. Memang tika ini semua orang akan membencinya. Marahlah aku! Memang aku yang tak guna! Sudah puas dia memarahi diri sendiri. Namun, itu tidak cukup untuk mengurangkan rasa bersalah yang menghantui.

Hadi tidak berkata apa sebaliknya terus berlalu. Fariz tidak langsung disapa. Lelaki itu pun tidak membuka mulut. Fariz tidak menunggu lama lantas terus masuk ke wad berkenaan.

Di luar sana hujan turun renyai-renyai. Kedinginan di dalam bilik itu sedikit terasa. Fariz mendekati tubuh Irah yang terbaring lesu. Ditarik sedikit selimut untuk membalut tubuh perempuan itu. Tangan Irah yang pucat dicapai dan diramasnya.
Irah sayang! Bangunlah. Jangan tinggalkan abang! Abang cintakan Irah! Suara hatinya berkumandang lagi. Dipejam rapat kedua belah matanya sambil tangan itu dibawa ke bibirnya dan dikucup.
Maafkan abang Irah! Maafkan abang! Bangunlah Irah. Kalau Irah mahu pukul abang pun, Irah pukullah. Irah makilah sesuka hati Irah, tapi jangan hukum abang begini. Sedarlah Irah. Abang perlukan Irah. Is pun perlukan Irah. Bangunlah sayang!


“BANG, cubalah pujuk dia tu. Kesian Zah tengok.” Suara Anizah.
“Abang dah cakap. Tapi dia tak nak dengar. Katanya dia yang bersalah. Jadi, dia mesti menerima hukumannya. Dia nak jaga Irah sampai Irah sedar.” Jawab Mustakim. Anizah menggeleng. Melihatkan keadaan Fariz yang kusut-masai cukup merimaskan. Siang, malam, pagi, petang ada sahaja lelaki itu di situ. Sudah kelihatan seperti orang yang hilang pertimbangan lagaknya.

Anizah menarik nafas. kalau dibiarkan, silap haribulan lagi seorang masuk hospital. Kalau iya pun sayang, fikirkanlah tentang diri sendiri dan keluarga. Fariz masih punya seorang anak untuk dijaga. Keadaan Irah pula sudah stabil, namun tidak dapat dipastikan bila dia akan sedar. Mungkin esok, lusa. Mungkin bulan depan atau mungkin tidak akan sedar untuk selama-lamanya. Dan itulah yang melemahkan semangat Fariz.

Hari-hari yang berlalu kian menghimpunkan harapan baginya. Harapan untuk Irah sedar kembali. Kalaupun perempuan itu sudah tidak sudi melihatnya lagi, dia rela. Asalkan Irah tidak berakhir begini selamanya.

“Fariz, baliklah dulu. Keluarga Fariz perlukan Fariz. Anak Fariz perlukan ayahnya. Jangan bersikap macam ni. Irah takkan sedar walaupun Fariz bertindak begini.” Nasihat Anizah. Sudah dua bulan Irah terlantar tidak sedarkan diri di hospital. Dan sepanjang waktu itulah Fariz yang menjaganya saban hari sehingga sudah tidak mempedulikan diri sendiri. Soal syarikat atau keluarganya, Fariz tidak mahu ambil tahu. Yang dia kisah, hanya Irah semata. Di saat Irah membuka mata, dia mahu jadi orang pertama yang berada di sisi perempuan itu.
“Tak apalah Zah. Saya nak jaga dia. Irah perlukan saya. Dulu saya abaikan dia. Sekarang, biarlah saya yang menjaganya.” Anizah menggigit bibir.
“Fariz, cuba bawa bertenang dan berfikir sejenak. Kalau ditakdirkan Irah tidak sedar sampai bila-bila Fariz nak berakhir beginikah? Zah bukan suruh Fariz tinggalkan Irah. Fariz nak jaga dia, Fariz jagalah. Tapi dalam masa yang sama, orang lain pun perlukan Fariz jugak, terutamanya Is. Zah kenal Irah. Kalau Irah tahu Fariz berkeadaan begini pun dia takkan suka. Jangan abaikan tanggungjawab Fariz terhadap Is. Irah berusaha untuk dapatkan Is dari Fariz dulu kerana rasa tanggungjawab dan kasih-sayang tetapi tidak berpeluang untuk mencurahkannya. Fariz punyai peluang itu tapi mempersia-siakannya. Sedarlah Fariz.” Panjang lebar nasihat Anizah.

Lelaki itu menunduk. hatinya tidak menentu.
“Saya sayangkan Is. Saya sayangkan keluarga. Tapi saya takut. Saya takut akan kehilangan Irah kalau saya berganjak dari sini. Saya tak mahu kehilangan dia sekali lagi.” Rintih Fariz.
“Kita semua sayangkan dia Fariz. Berserahlah kepada kuasa Tuhan. Banyakkan bertawakkal. Insya-Allah, Tuhan tidak akan menghampakan hamba-Nya.” Celah Mustakim pula.


----------------- sedutan episod 20 (akhir) ------------------------

“Irah panggil abang?” Fariz kian mendekati. Irah masih lagi menunduk, cuba mengumpul segala kudrat yang ada. Perlahan dia mengangguk.

Suasana sunyi seketika. Kedua-duanya membisu tanpa kata. Fariz menunggu bicara darinya sedang Irah pula kematian kata. Sukarnya untuk meluahkan rasa hati ini.

“Biarlah Irah berterus-terang.” Irah mengepal kedua tangannya. Terasa tubuhnya mengigil. Lelaki itu masih menanti jawapan.