Wednesday, December 2, 2009

Menggapai Kasih Part 12

Zikri sedang asyik menulis sesuatu di dalam buku notanya, kebetulannya pada ketika itu Azizi baru pulang dari kuliah petang. Tidak sempat hendak dia sembunyikan apa yang sedang dicatitnya, Azizi lebih dahulu bersegera merampasnya.
“Hoi, apa kau tulis ni?” usik Azizi sambil mengangkat bukunya tinggi-tinggi. Dia cuba merampas kembali buku itu tetapi Azizi ternyata pantas mengelak. Makin galak dia menghulurkan tangan hendak menggapai, makin galak pula Azizi menyorong badan ke sana ke mari.
“Bagi balik buku aku tu!” pintanya separa meninggi.
“Kejaplah.. aku nak check apa kau tulis ni..” Azizi terkikih-kikih ketawa sambil membolak-balikkan buku di tangannya.
“Tulisan aku tu peribadi.. kau tak boleh baca:-“
Tetapi Azizi sudah pun membacanya.
“Alamak! Puisi lah.. jiwang siot, kawan aku sorang ni!” ajuk Azizi dalam kikih ketawanya.
Zikri berpeluk tubuh bengang.
“Dah lah. Kalau dah habis gelakkan aku.. boleh tak pulangkan buku tu semula?”
“Kedekut siot! Sabarlah, aku tengah nak menghayatinya..” Azizi pun membaca setiap patah madah yang tertulis (sajak memuji seorang wanita) dalam gaya yang bersahaja tetapi cukup untuk menambahkan sakit hati Zikri.
Selepas penat mengusik, Azizi duduk di katil melepaskan mengah. Dia pulangkan buku itu kepada tuannya dan kemudiannya memandang tepat ke muka Zikri.
“Apa?” tanya Zikri resah bila dipandang sedemikian. Dia tahu Azizi sedang menduga sesuatu tetapi sengaja dia berpura-pura tidak mengerti.
“Sajak tadi kau tulis untuk sapa?” terluah juga kemusykilan itu dari mulut Azizi.
“Tak ada untuk sesiapa..” dalihnya.
“Ek eleh.. macamlah aku tak tahu..” Azizi sengih menyeringai.
“Tahu apa?”
“Yang kau tu syok kat Salina!”
“Issy.. mengarutlah..” sekali lagi dia berusaha menafikan.
“Kau jangan nak klentong akulah.. kau tu room mate aku, perangai kau tu semua aku dah masak. Macamlah aku tak nampak kau selalu jeling-jeling Salina dalam kelas..” lanjut Azizi galak.
Zikri menyimpan bukunya ke dalam laci. Ditinggalkan Azizi menelentang di atas katil, sebaliknya dirinya sendiri duduk selesa pada meja studi, mengaturkan beberapa helaian notanya yang ditinggalkan sebelum ini kerana terdorong menulis sajak.
“Hoi!” panggil Azizi apabila celotehnya tidak bersambut.
“Kau nak apa lagi?” balas Zikri tanpa memalingkan mukanya.
“Kalau kau betul syok kat Salina, aku boleh tolong!” ucap Azizi separuh berbisik.
Zikri terdiam. Entah kenapa dia seperti tertarik dengan cadangan yang ditawarkan. Sepanjang pengamatannya, Azizi memang rapat dan selalu punya kesempatan bertemu dengan Salina. Di samping bersifat ramah dan bijak menarik perhatian wanita, Azizi juga kebetulannya merupakan rakan sekumpulan Salina dalam beberapa kerja kursus yang diberikan oleh pensyarah mereka bagi semester ini. Munasabah juga sekiranya dia menerima pelawaan kawannya itu kalau benarlah Azizi sungguh-sungguh mahu membantu.
“Ha, macam mana?” suara Azizi kembali menggamit dalam pada dia masih lagi mencampur tolak langkah apa yang harus dia ambil.
“Eh, bagus jugak cadangan kau tu..” akhirnya dia menyatakan persetujuan. Persetujuan yang secara langsung menandakan pengakuannya tentang kesukaannya kepada Salina.
“Ha, macam ni barulah gentlemen namanya..” puji Azizi. Dia bangkit dari pembaringannya, terus menunjukkan barisan giginya yang tersusun itu buat tatapan Zikri.
“Habis, apa plan kau nak buat?” Zikri mula menunjukkan minat.
“Itu kau jangan bimbang, serahkan semua sajak-sajak kau kepada aku. Yang lain tu, pandailah aku menguruskannya!”
“Semudah itu?” tanya Zikri kurang percaya.
“Itu pun kalau kau mahu percayakan aku..” balasnya sinis.
“Okey, okey.. aku percayakan kau. Kita kan kawan?” Zikri menghulurkan tangannya. Pantas disambut oleh Azizi, mereka terlangsung berdakapan.
“Yeah, kita kan kawan!” teriak Azizi mudah.
Beberapa hari kemudian, seperti yang dirancangkan, Zikri menyerahkan semua surat-surat yang ditulisnya, surat-surat yang berisi sajak-sajak gubahannya dan kata-kata tersirat tentang minatnya kepada Salina, dan Azizi terima semua itu dengan senang hati. Kata Azizi, dia akan serahkan surat-surat itu satu-persatu mengikut turutan, khas untuk dinilaikan oleh Salina, semasa waktu-waktu perbincangan kerja kursus mereka nanti.
Seawal pagi, selepas berlakunya penyerahan beberapa keping surat dari Azizi kepada Salina, Zikri lantas mendapatkan kawannya semasa mereka berhenti mengisi perut di kafetaria berhampiran bangunan kuliah. Terdorong oleh rasa ingin tahu yang membuak-buak, dia pun bertanya apa perkembangan berjaya dicapai setakat ini.
“Eleh.. rileks lah Zikri, kau ni gelabah sangatlah!” gerutu Azizi sambil menyumbat sekeping karipap ke dalam mulut.
“Tapi takkanlah dia tak cakap apa-apa?” tanya Zikri kian gemuruh.
“Apa, kau ingat nak mengurat perempuan ni macam nak beli ikan kat pasar? Sekali bayar dah boleh dapat?”
“Itu aku tahu..”
“Rileks beb, kita nak mengurat perempuan ni kena slow-slow.. kena cool. Perempuan tak suka lelaki yang gelojoh. Perempuan sukakan lelaki yang maintain macho, tak terlalu jual mahal dan tak terlalu murah..” jelas Azizi dalam lagaknya yang mengalahkan seorang ahli falsafah.
Zikri terkebil-kebil memberikan perhatian. Pesanan-pesanan demikian biarpun bunyinya macam gurauan tetapi bagi dirinya, seorang yang kurang arif tentang karenah manusia, pesanan-pesanan seumpama itu tetap juga diambilnya sebagai panduan yang sangat berguna.
“Sekarang kau dah faham kan? Kau kena banyak bersabar..” kata Azizi mengingatkan.
Angguk.
“So, sebagai balasan atas ceramah percuma aku, apa kata kau tolong bayarkan kuih karipap dan air teh ni?”
“Ha?” dia terkejut.
“Aik, takkan tak boleh nak belanja member kot? Berapa sen aja ni?”
“Err.. boleh-boleh..” dia menyatakan persetujuannya. Dikeluarkan dompet dari saku seluar jeansnya dan dibelek tiga helaian wang kertas yang tinggal yang sepatutnya disimpannya untuk makan malam tetapi nampak gayanya terpaksa jua dibelanjakan kerana mahu menjaga hati Azizi.
Seterusnya, beberapa helaian warkah berbahasa dilayangkan sebagai susulan warkah yang terdahulu. Kali ini, harapnya biarlah dia mendapat sebarang tindakbalas yang menyenangkan dari Salina, atau setidaktidaknya adalah maklumat terkini akan Azizi sampaikan padanya sebaik sahaja pulang dari bermain hoki di padang.
Puas dia menunggu Azizi selesai bermain, puas juga dia menunggu pintu biliknya lekas-lekas dibuka oleh Azizi. Sebaik sahaja Azizi pulang bersama wajah yang keletihan, dia terus menerpa mendapatkan kawannya itu di pintu.
“Apa?” tanya Azizi agak bengang.
“Aku nak tahu pasal surat yang kau berikan semalam.. macam mana?”
“Issh kau ni.. kalau ya, pun. Biarlah aku bukak kasut ni dahulu!”
Kembali ke katil, Zikri mengawal dirinya dari menjadi orang yang terburu-buru. Dia memerhatikan setiap satu gerak-geri Azizi, mula-mulanya menanggalkan baju, berlenging di bawah kipas, diikuti tegukan air mineral sebanyak separuh botol, seterusnya menukar tuala, seterusnya pergi mandi, seterusnya menyalin pakaian santai, dan akhir sekali sesudah terlaksana solat maghrib, Zikri pun memberanikan diri untuk bertanya semula.
“Macam mana Ziz?” tanyanya dalam semangat yang hampir pudar.
“Aku laparlah.. aku ingat nak pergi makan dulu!”
“Ziz!”
Dia cuba menahan tetapi Azizi sudah pun melangkah keluar. Demikianlah perlakuan Azizi sehari-hari berlalu. Dari seminggu sehinggalah ke sebulan, sehinggalah genap empat bulan. Dan dari sepucuk surat, kini genap tiga puluh surat, reaksi Azizi yang bagaikan cuba melarikan diri dari ditanyai perkara berkaitan Salina, kemuncaknya menimbulkan kesangsian di sanubari Zikri.
Menduga ada permainan menipu daya sedang bersultan di mata, beraja di hati, Zikri terpaksa menyiasat sendiri apakah sebenarnya yang telah tersirat di sebalik segala yang tersurat. Dan akhirnya, penyiasatannya telah menemukan dia dengan sebuah hakikat yang sangat memedihkan iaitu dia telah pun diperbudak-budakkan oleh sahabatnya sendiri.
Semuanya itu disedarinya tatkala dia sedang mencari beberapa kepingan buku di perpustakaan. Tidak disangkanya, menerusi ruang-ruang antara buku-buku di rak, dia dapat menyaksikan dua susuk tubuh sedang berbisik-bisik ketawa, bergurau senda pada sebelah bahagian rak yang lain. Tidak disangkanya juga, dalam perlembagaan perpustakaan yang sepatutnya tiada pihak dibenarkan mengeluarkan suara, rupa-rupanya ada juga dua susuk tubuh yang berani mencabar kanun tersebut.
Dia yang sebolehnya mahu menghindarkan diri dari mengikuti perbualan mereka tiba-tiba tergerak memasang telinga, apabila disedarinya bahawa mereka itu bukannya orang asing tetapi adalah Azizi dan Salina sendiri.
“Ziz, sajak-sajak Ziz tu hebat sekali! Kawan-kawan Ina semua memuji-muji kehandalan Ziz bermain kata-kata!” puji Salina dalam gelak ketawa.
“Sungguh?” Azizi meminta kepastian.
“Sungguh.. asyik Ina membaca, sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi..”
“Tak mungkin ilham dapat Ziz gapai jika tak kerana memandang kecantikan wajah Ina!”
“Ziz ni, puji kita lebih-lebih pulak!”
Dua pasangan itu pun makin galak ketawa. Ketawa yang sangat menggembirakan tetapi sebenarnya merupakan torehan pisau yang paling dalam menembusi benak Zikri. Menyedari bahawa dirinya telah dipergunakan untuk kepentingan peribadi Azizi, sedarlah dia kini siapa gerangan orangnya yang telah sebilik dengannya buat sekian lamanya. Dia adalah seorang petani yang mana hasil-hasil tanamannya telah dimakan oleh pagar-pagar pengharapannya sendiri!
“Kenapa kau buat aku macam ni Ziz?” keluhnya kepada Azizi setelah tidak tertahan rasanya membiarkan temannya itu berterusan hidup dalam kepura-puraan.
“Aku minta maaf Zikr..” ucap Azizi, kesal. “Aku tak sangka dalam niat aku nak menolong kau, akhirnya aku sendiri terpikat kepada Salina..”
“Bukan itu maksud aku.. aku cuma nak tahu kenapa kau gunakan sajak-sajak aku untuk kepentingan peribadi kau sendiri?”
“Alah Zikr, kau janganlah ambil hati.. sajak-sajak kau tu begitu menarik. Bukan setakat Salina malah gadis-gadis lain pun tak boleh mengelak diri dari terpikat sebaik sahaja membaca sajak-sajak kau..”
“Tapi itu kan berbohong namanya..” bantah Zikri.
“Berbohong untuk kebaikan apa salahnya..”
“Tiada istilah bohong untuk kebaikan dalam islam..”
“Lecehlah kau ni Zikr, warak sangat! Sebab tu lah senang kena main dengan orang!”
Zikri terdiam memerhati. Tidak ada gunanya dia terus berkata-kata kalau Azizi tidak mahu membuka hati sendiri. Teguran hanya pemangkin kepada perhubungan yang lebih tegang, maka dia mengambil jalan mudah iaitu belajar memaafkan orang lain.
Azizi senyum sendirian tanpa sedikit pun ada serba salah di hatinya atas perbuatan yang keterlaluan. Dia telah lengkap berkemeja dan berseluar khakis, dan sedia pula menyisir rambutnya, selamba berpaling menggayakan penampilannya di hadapan Zikri.
“Macam mana rupa aku? Okey tak? Aku ada date dengan Ina nih..” beritahu Azizi menyeringai.
“Okey..dah smart tu..” balas Zikri lemah.
“Heheh.. terima kasih. Kau tak marah kat aku kan?”
“Tak.”
“Kau restui cinta aku dengan Salina?”
Angguk.
“Kau janji tak akan beritahu Salina perkara sebenar?”
Angguk.
“Kau memang kawan aku yang paling baik!” Azizi menumbuk dada Zikri lembut sebelum melangkah kemas meninggalkan bilik, menghadiri sebuah temujanji antara dua jiwa yang sedang berkasihan, sungguhpun temujanji itu pada dasarnya sudah dirampas dari orang yang berhak menghadirinya.
Kecewa Zikri tiada siapa pun mempedulikan. Di sana sini orang kecoh bercerita-cerita tentang percintaan hebat antara Azizi dan Salina. Di sana sini Salina galak menjaja sajak Azizi kepada kawan-kawan rapatnya. Terhiris sungguh hati Zikri mendengar kata-kata memuji Azizi, pedih lagi jiwanya menyaksikan kemesraan dua insan itu yang bagaikan sengaja dilebih-lebihkan setiap kali berlaku pertembungan di mana-mana.
Di dewan kuliah, di kafetaria, di perpustakaan, di kompleks sukan dan juga di dalam taman, di segenap pelusuk pun kelibat Salina dan Azizi sering kelihatan. Berduaan, berpelukan, ketawa dan berpimpin tangan adalah perilaku biasa yang tiada apa hendak dihairankan. Lumrah kebanyakan muda-mudi sezaman, memang begitulah cara mereka bercinta biarpun ternyata melampaui batas-batas agama.
Apabila tuntutan batin dan gesaan nafsu mengalahkan pertimbangan akal dan keteguhan iman, maka luputlah rasa gentar kepada Tuhan sebagaimana luputnya susila adat yang telah ditanamkan sejak kecil lagi oleh ibu bapa masing-masing.
“Karina!” Azizi memanggil Karina tiba-tiba sebaik sahaja tamat kuliah kedua untuk hari itu. Karina, gadis kacukan inggeris dan melayu, yang terkenal dengan kecantikannya itu, dan sedia difahami pula sebagai teman sebilik Salina yang paling intim, pantas mematikan langkah apabila terdengar suara Azizi menyapa.
Bersama lirikan mata yang lembut dan hayunan badan yang menawan, Karina berpaling mendapatkan Azizi di tepi koridor.
“Yes? Ada apa yang boleh hamba tolong, wahai penyair muda?” tanya Karina dalam senyum mengusik.
“Issh.. penyair apanya!” tingkahnya serius. “Aku nak tanya, kenapa Salina tak datang kelas hari ni?”
“Dia tak sihat..”jawab Karina bersahaja.
“Tak sihat? Demam ke?”
“Bukan..”
“Habis tu?”
“Alah kau ni.. buat tak tahu pula..” Karina menjeling sekilas. “Dah pandai menabur benih, pandai-pandailah juga hendak menjaga pucuknya..”
“Apa kau cakap ni? Aku tak fahamlah..” gerutu Azizi bengang.
“Aik? Aku ingat penyair macam kau taklah susah nak menangkap apa yang aku maksudkan..” sindir Karina sambil bermain-main dengan hujung kukunya yang merah.
“Cuba kau terus terang, kan senang!”
“Kalau kau pandai bermain kata-kata, aku juga berminat nak turut serta!”
“Kau ni Karina..” keluh Azizi. “Jangan merumitkan benda yang tak rumit. Nanti kau sendiri juga yang terbelit-belit..”
“Wow!” gadis itu ketawa manja. “I like that words, jangan buat rumit, nanti terbelit, sound like a poem!”
“Karina!” Azizi menekan suaranya, separa menjerit.
“Okey, okey.. aku serius sekarang..” akhirnya Karina menunjukkan kesungguhan selepas hilang segala tawa, berubah pula kepada raut wajah yang tegas.
“Hah, cakaplah..” gesanya kepada Karina.
“Kita tak boleh cakap kat sini.. tempat ni terlalu terbuka, kena cari yang tempat yang sunyi sikit!”
Karina terus menarik tangannya sebelum sempat dia memberi apa-apa reaksi. Kira-kira seratus meter dari bangunan kuliah, terdapat sebuah kawasan taman yang ditumbuhi pelbagai pokok hiasan, terutamanya dari jenis api-api dan balung ayam. Di dalamnya, ada beberapa buah pondok rehat didirikan, berbentuk seperti istana melayu lama, menghadap kepada sungai buatan yang tidak sejernih mana airnya. Di situlah Karina membawa Azizi, dan di bawah pondok itulah Karina mula memberitahunya sebuah berita yang sangat mengejutkan.
“Salina dah mengandung..” beritahu Karina sejurus.
“Hah?” dia nyata tidak dapat mengawal rasa kagetnya.
“Beberapa hari sebelum ni, badan Salina tak berapa sedap. Dia muntah dan pening-pening. Aku pun cadangkan dia pergi berjumpa doktor. Tak tahu pula yang kawan aku tu rupanya hamil.”
Diam cemas. Manik-manik peluh terbit di permukaan dahi, berkilau-kilau warnanya disimbah oleh sinar mentari.
“Apa yang kau dah buat dengan dia, ha?”
Diam lagi.
“Kau dah tidur dengan dia ya?” duga Karina pantas.
“Err.. aku..aku..” dia gugup mencari kata-kata.
“Kau ni Ziz!” dengus Karina. “Liar sangat, habis semua benda kau nak jamah!”
“Aku tak dapat kawal diri aku masa tu..”
“Sudah! Aku tak nak dengar apa-apa penjelasan. Sekarang, aku nak tahu, apa kau nak buat sekarang?” mata Karina menikam tepat ke dalam matanya.
“Aku tak tahu..”
“Mana boleh tak tahu. Dah pandai buat, pandailah bertanggungjawab!”
“Tapi aku belum bersedia nak jadi ayah lagi!” bantahnya.
“Ziz, takkan aku nak biarkan kau mencederakan hati kawan aku sendiri?”
“Kau kena tolong aku Karina.. kalau tak matilah aku..” rayunya penuh pengharapan.
Karina menjadi serba-salah. Berbaur-baur perasaan simpati terhadap Azizi dan rasa tanggungjawabnya supaya membela Salina, dia tidak tahu apakah langkah terbaik yang harus diambil.
“Aku janji Karina.. kalau kau tolong aku, aku akan selesaikan semua masalah kewangan kau.” Rayu Azizi lagi, kian lembut dan kian mengharap.
Karina terdiam mendengar. Tawaran Azizi tentang ‘menyelesaikan masalah kewangan’ berjaya menggamit perhatiannya. Serta-merta terbayang dalam layar mindanya kepada perniagaan ayahnya yang hampir muflis, ibunya yang banyak berhutang membeli barang-barang, adiknya yang masih menuntut di luar negara, dan dia sendiri yang terpaksa bertarung mencari pendapatan sampingan bagi membayar bebanan kos pengajiannya, dan dalam masa yang sama terpaksa pula menjelaskan duit telefon bimbit, bil kereta dan beberapa keperluan peribadinya yang lain.
“Macam mana? Kau setuju?” Azizi kembali menagih simpatinya.
“Apa yang kau nak aku lakukan?” akhirnya Karina memberikan persetujuan walaupun hatinya yang sebenar berat sekali untuk melakukan.
“Begini..” Azizi mula membisikkan sesuatu ke dalam telinganya, sebuah muslihat yang tersangat licik dan kejam yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang manusia yang berpijak atas landasan agama. Namun, tatkala dia terkenangkan masalah kewangannya yang makin meruncing, yang memungkinkan dia terpaksa meninggalkan pengajiannya, meninggalkan kereta kelisanya, meninggalkan telefon bimbitnya, terpaksa juga dia akhirnya meneruskan apa yang tidak sama sekali dia relakan.
Menjelang malam, dia pulang ke bilik, mendapatkan Salina yang sedang menonton television.
“Hai,” sapa Salina, tersenyum. “Nak?” sekotak pop corn dihulurkan kepadanya.
Geleng.
“Kau dari mana? Lewat baru balik, dating ya?” lanjut Salina galak.
“Tak, aku ada hal sikit dengan member..” jawabnya memberikan alasan. Di atas katil bercadar bunga-bunga besar, dia melabuhkan punggungnya. Dia tercari kata-kata, di mana hendak dia mulakan dan sanggupkah dia memulakan agenda kotornya.
“Ina!” terluah juga nama itu dari bibirnya.
“Hemm?” Salina berpaling.
“Hari Ahad ni kau free tak?”
Angguk.
“Aku nak ajak kau pegi parti..”
“Parti?” Salina senyum berminat.
“Hemm.. kolej kediaman putera ada anjurkan parti tahunan. Zikri dan Azizi ajak kita datang..”
“Menarik tuh, tapi kenapa Azizi tak ajak aku sendiri?”
“Alah.. dia suruh aku tolong sampaikan..”
Bingkas dan gembira, Salina meninggalkan kaca televison. Ruang kosong di sebelah Karina diisinya dan lantas dipeluk kawannya itu.
“Aku tak sabar-sabarlah Carrie..” ucapnya bersahaja. “Aku nak Azizi tahu tentang kandungan aku, ni..” sambungnya sambil meraba-raba perutnya yang rata.
Karina diam tanpa reaksi.
“Tentu Azizi suka bila dapat tahu aku dah mengandungkan anaknya..”
Diam lagi tetapi batin Karina kian tertusuk.
“Anak ini akan menjadi bukti kasih sayang kami berdua..”
“Kenapa kau begitu pasti Azizi akan suka dengan kandungan tu?” celah Karina spontan.
Terkejut dia diajukan oleh pendapat yang mencabar .
“Aku pasti sebab aku kenal siapa orangnya Azizi..” dia cuba mempertahankan pendiriannya. “Azizi seorang lelaki yang bertanggungjawab, dan dia juga seorang lelaki yang sangat baik!”
“Aku cadangkan kau rahsiakan dulu kandungan tu dari pengetahuan Azizi..” bantah Karina.
“Aku tak mengerti..”
“Iyalah.. tak lama lagi tiba musim peperiksaan. Aku takut berita ini akan mengganggu tumpuan kalian berdua dalam pelajaran.”
Karina berusaha meyakinkan Salina. Cara dia meluahkan kata-katanya buat pertimbangan Salina, cara dia menunjukkan air mukanya, cara dia mengawal nafasnya, semuanya adalah topengan yang menghukum jiwanya sendiri. Lebih-lebih lagi apabila Salina menerima cadangannya, riak gembira yang patut dirasakannya kerana berjaya memujuk telah digantikan oleh rasa berdosa yang amat sangat.
Hari-hari yang berkunjung selepas perginya hari-hari yang telah hilang, dia menyaksikan Salina ghairah membuat persediaan menyambut parti keraian. Sehelai gaun kain nipis telah pun Salina beli untuk diperagakan pada hari itu nanti. Selain dari galak bercerita tentang hubungan-hubungan intim terhadap Azizi, Salina juga rancak mempersiapkan diri untuk menjadi seorang ibu mengandung yang sihat dan bersemangat.
Jika Karina seorang pelakon, tentu sahaja dia mendapat anugerah aktres terbaik kerana kemampuannya mempamerkan lakonan yang berkesan. Hanya sekadar beberapa rangkap kata menipu dan ekspresi yang seakan benar, dia terus menenggelamkan Salina di dalam lautan muslihat, yang mana pada penghujungnya, kawannya itu akan berhadapan dengan jurang bencana yang maha dahsyat lagi mengaibkan.
Karina memejamkan mata gelisah. Bagaimana caranya baru kerumitan ini dapat diselesaikan? Bagaimanakah dia dapat menghentikan penipuannya dan dalam masa masa yang sama masalah kewangannya juga dapat diatasi?
“Nah, ini pendahuluan untuk kau.. dua ribu!” Azizi meletakkan sekeping cek di atas meja, pada satu pertemuan sulit mereka di bawah pondok rehat di pinggir sungai, di kala petang baru menjelang.
Karina mengambil cek itu lalu menatap nilainya namun rasa tidak tenteram terlebih dahulu telah menguasainya.
“Aku tak boleh terima cek ini..” tingkahnya sambil cuba memulangkan apa yang sedang tergenggam di dalam tangan kanannya.
“Hei, kenapa? Bukankah kau perlukan duit ni?” Azizi berkerut hairan.
“Aku tak boleh teruskan rancangan kita.. aku tak sampai hati.”
“Mana boleh, kau sudah berjanji!” bantah Azizi.
“Tapi rancangan kita terlalu kejam..”
“Okey, mari kita tengok rancangan kita dari sudut yang positif..” Azizi merendahkan suaranya cuba memujuk Karina. Selama beberapa hari ini, semua perancangan mereka telah berjalan sempurna bagai dicita. Salina kian hampir ke lubang perangkap dan Zikri pula sedang menunggu masa untuk dijerat. Sayangnya, semua agenda ini tidak mungkin berjaya dilaksanakan kalau Karina enggan memberi kerjasama.
“Aku takut Ziz..” tingkah Karina dalam kerutan muka.
“Aku faham.. tapi cuba kau dengar dulu apa yang aku nak beritahu!”
“Apanya?”
“Begini..” dia memulakan penjelasannya. “Selama ini Zikri memang dah lama sukakan Salina. Sajak-sajak yang aku berikan dulu pun sebenarnya ditulis oleh Zikri cuma aku yang mengubahnya kepada nama aku..”
Karina terkebil-kebil mendengar. Sekejap terkejut dan sekejap lagi mendengus. Setiap cerita yang disampaikan benar-benar di luar jangkaannya. Apalah gunanya menjadi seorang intelek kalau sahsiah peribadi jauh tersasar dari mempraktikkan nilai-nilai murni. Apalah gunanya belajar melangit tinggi kalau akhirnya berkesudahan menjadi manusia buruk seperti Azizi!
“Aku tahu apa yang aku lakukan ni teruk..” ucap Azizi mengakhiri pengakuannya. “Tapi apa salahnya kalau kita sama-sama temukan Zikri dan Salina semula melalui apa yang sudah kita rancangkan..”
“Tapi itu bukan caranya.. Zikri lelaki yang baik. Tak patut kita biarkan mereka berdua ditangkap basah..” bantah Karina.
“Sekurang-kurangnya mereka dapat bersama akhirnya. Dan setiap kita dapat dapat bahagian masing-masing. Zikri, dapat berkahwin dengan gadis kesukaannya, Salina dapat memiliki seorang lelaki yang sepatutnya dia cintai, kau dapat menyelesaikan masalah kewangan kau, dan aku pula dapat melepaskan diri!” mudah Azizi membuat andaian.
Karina tercampak ke lembah serba-salah. Kesimpulan Azizi serba sedikit berjaya mempengaruhi fikirannya yang sememangnya terdesak mencari keputusan. Antara maruah seorang kawan dan masalah kewangan, yang mana satukah harus dia dahulukan?
“Karina.. kamu kena tamatkan pengajian kamu, nak!” tiba-tiba terdengar suara ibunya mengisi persekitaran yang kosong.
“Tapi kita sudah tak punya duit, ibu!” bantahnya di dalam hati.
“Hanya dengan segulung ijazah kamu akan dapat kerja yang baik. Dari kerja yang baik, kamu akan punya wang yang banyak untuk menyara pelajaran adik kamu di luar negeri. Seterusnya kamu dapat menebus semula perniagaan ayah kamu yang hampir tergadai!”
“Tidak ibu!”
“Sanggupkah kamu melihat ibu, ayah dan adik kamu mengemis di pinggir-pinggir jalan?”
“Tidak!”
“Sanggupkah kamu melihat rumah dan kereta kita yang besar ditarik oleh pihak berkuasa dan jiran-jiran pula mencerca kita!”
“Tidak!”
“Sanggupkah kamu hidup susah sayang, sedangkan selama ini kamu tak pernah kenal erti kemiskinan? Kemiskinan itu adalah kehidupan yang teruk sayang, lebih teruk dari menghadapi kematian!”
“Tidak!”
“Karina!”
“Tidak!”
“Karina!”
“Hah,” dia tersentak.
“Apa buah fikiran kau?” Azizi kembali menagih kepastian dari dirinya.
“Err.. aku ingat aku ikut sajalah..”
Dan Azizi pun tersenyum puas menyambut kerelaan itu.
Datanglah malam pesta keraian bagai dijanjikan. Datanglah malam yang menyimpan banyak kejahatan dan malam yang menyembunyikan muslihat kotor dua orang sahabat yang saling menikam sahabat masing-masing. Dalam gelak ketawa orang menari dan alunan muzik menggegar suasana, Salina dan Zikri menyambut dua biji gelas yang dihulurkan oleh Azizi dan Karina, tanpa menyedari bahawa air sirap di dalam gelas masing-masing sedia terkandung ubat tidur yang sengaja diletakkan bagi menidurkan mereka berdua.
Tok! Tok! Tok!
Kedengaran bunyi pintu bilik diketuk dengan kencang dari luar. Ketukan yang lebih kuat akhirnya berjaya membangunkan Zikri dari lenanya. Sambil membuka mata perlahan-lahan, dia cuba hendak bingkas tetapi kepalanya masih pening. Dia terbaring semula ke bantal. Entah apalah yang telah dimakannya malam tadi sehinggakan badannya menjadi seletih ini.
Bunyi ketukan pintu bergema lagi. Bagaikan suara tegas memberi arahan supaya dia segera berdiri membuka pintu. Diselaknya gebar yang menyelimuti tubuh dan digagahkan badannya duduk. Dia berpaling ke samping.
Tiba-tiba mata kuyunya serta-merta terbeliak besar apabila menyaksikan seorang gadis ayu dalam pakaian tidur warna jingga sedang terbaring tenang di sebelahnya. Kain tidur si gadis yang nipis dan jarang telah menyerlahkan sebahagian besar fragmen anggota badan yang tidak sepatutnya diperhatikan oleh lelaki sepertinya. Bentuk tubuh yang langsing, dada yang ranum dan peha yang mongel adalah satu anugerah yang sangat indah pada seorang perempuan. Belum terdaya dia hendak mengalihkan pandangan, tiba-tiba gadis itu lebih dahulu telah tersedar dari peraduannya.
Bergemalah jeritan Salina apabila terpandangkan seorang lelaki sedang duduk sekatil dengannya, dan keadaan lelaki itu pula jauh daripada kesopanan yang sepatutnya membatasi hubungan antara dua jantina. Cepat-cepat dia mencapai gebar di atas katil, cepat-cepat juga dia membaluti tubuhnya dari terus menjadi tatapan oleh mata yang tidak halal.
“A..apa kau buat kat sini?” tanyanya agak cemas pada mulanya.
“Z.Zik tak tahu..” jawab Zikri dalam kekalutan.
“Apa kau dah buat dengan aku, binatang?”
“Zik tak tahu.”
“Kau dah kenakan aku, ya?”
“Ia tak seperti yang Ina sangkakan!”
“Jantan sial!”
Salina mengetap gigi kemarahan. Terganggu hasratnya hendak terus memaki hamun sebaik sahaja ketukan dari pintu tiba-tiba meraih perhatian. Hilang rasa marah, timbul pula rasa cemas.
Dia dan Zikri saling berpandangan. Dalam fikiran mereka ada satu soalan yang serupa; iaitu siapakah gerangannya yang datang bertandang?
Melangkah sangsi menuju ke pintu, Zikri memberanikan diri memulas tombol lantas membuka.
Terdirilah di hadapan mereka tiga orang lelaki berpakaian serba kemas. Seorang berbaju melayu dan kopiah, seorang memakai bush jaket dan seorang lagi lengkap berbaju kemeja dan seluar slack. Biarpun belum memperkenalkan diri, mereka sudah dapat mengagak apa tujuan kunjungan lelaki bertiga itu.
“Kalian berdua didapati telah bersekedudukan dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah. Sila berikan kad pengenalan masing-masing?” umum lelaki pertama sambil menunjukkan lesen kuasanya.
“Hah?”
Zikri dan Salina bertukar pandangan.