TANGISAN yang tersedu-sedu tidak dapat mengubah apa yang telah berlaku. Sudah tersurat mereka berpisah juga akhirnya. Bangunan Pejabat Kadi itu menjadi saksi perpisahan mereka. Namun, bukan itu yang meruntun hatinya. Dia redha dengan perpisahan ini. Mungkin Fariz dicipta bukan untuknya dan begitulah sebaliknya juga. Tangisan ini bukan untuk Fariz, tetapi untuk suatu nama. Nama seorang insan yang kini paling dikasihinya; Redzuan Iskandar bin Fariz Hilmi!
Dia menangis hiba saat anak kecil itu diserahkan kepada Fariz. Zahidah tersenyum gembira. Keluarga Fariz turut serta ke pejabat Kadi pagi itu untuk menyelesaikan perceraian antara Fariz dan Irah.
Terasa bagaikan mahu hancur luluh segala tulang-temulang bila kereta keluarga bekas mertuanya meninggalkan perkarangan pejabat Kadi tersebut. Is pergi meninggalkannya! Dia mahu menjerit, menidakkan apa yang terjadi. Irah mahukan Is. Dia anak Irah! Buah hati mama! Namun, Irah tidak mampu meluahkannya. Betapa sukar dia menerima hakikat akan berpisah dengan Is, anak yang dikandung lebih sembilan bulan. Betapa juga dia mendambakan kasih-sayang dari anak kecil itu. Namun, apa yang Irah ada untuk diberi kepada Is? Teratak buruk? Mana mungkin anak itu akan membesar dengan sempurna andainya Irah hanya mampu menyediakan sebuah kehidupan yang cukup sederhana dan ala kadar. Sedangkan Fariz, jauh berbeza. Fariz mampu menyediakan segalanya. Mampu memberikan sebuah kehidupan yang jauh lebih baik dan sempurna. Fariz punya segalanya untuk diberi kepada Is. Irah cuma punya kasih-sayang seorang ibu. Kasih sayang sahaja tidak cukup untuk membesarkan seorang anak. Lantas, dalam kepahitan dan keperitan yang amat, Irah terpaksa mengambil keputusan sedemikian. Is, mama sayangkan Is! Mama terpaksa buat begini sayang. Hati kecilnya merintih. Mungkin satu dunia akan mengecam perbuatannya, sanggup menyerahkan anak yang masih kecil pergi jauh tanpa dibesarkan dengan kasih-sayang seorang ibu. Biarlah! Andainya masa depan Is akan lebih cerah bersama Fariz. Jauh di lubuk hati, Irah memendam azam. Suatu hari nanti, bila mama sudah punya segalanya untuk diberi, mama akan tuntut kembali Is!
“AWAK lagi?” Mustakim mengangkat kening. Masih diingati wajah itu. Wajah gadis yang pernah menangis di pejabatnya suatu masa dahulu. Irah tertunduk, mengigit bibir. Seboleh-bolehnya dia tidak ingin datang kemari. Tapi, apakan daya. Dia tidak punya pilihan. Irah perlukan wang. Perniagaan Rafiq mengalami kerugian kerana disabotaj oleh pesaingnya. Sejak itu juga, lelaki tua tersebut selalu sakit-sakit. Kehidupan yang dilalui ketika ini begitu menyesakkan. Berkali-kali dia terpaksa turun naik pejabat di sana sini semata-mata untuk mencari pekerjaan bagi mengurangkan kesempitan hidup. Semua permohonannya ditolak hinggalah dia terpaksa menjejakkan kaki semula ke tempat kerja lama. Sesuatu yang tidak patut terjadi pada hematnya tetapi terpaksa dilakukan demi mencari sesuap nasi.
Mustakim memerhatikan lagi resume yang diberikan kepadanya. Kelulusan setakat SPM. Diselidiki pula salinan sijil SPM yang dilampirkan bersama. Dahinya berkerut.
“Sebelum ni macam mana awak dapat kerja kat sini?” Dia menyoal.
“Sebaik habis SPM, saya terus apply kat sini. Masa tu sijil SPM saya belum keluar lagi. Jadi, saya cuma bekerja sebagai kerani sementara sahaja.” Irah menjawab jujur. Mustakim mengangguk-angguk. Mungkin ketika itu dia outstation. Selalunya, bahagian personel akan menguruskan pengambilan pekerja-pekerja baru dan sessi temuduga. Kali ini dia pula ingin mengendalikannya sendiri.
“Dengan kelulusan awak ni, saya rasa awak tak sesuai memohon jawatan di sini. Kami hanya menawarkan jawatan ini kepada calon yang mempunyai kelulusan yang berpadanan. Keputusan SPM awak cemerlang. Lebih baik awak sambung belajar di IPT. Awak berpotensi untuk mencapai tahap yang lebih baik atau mendapat pekerjaan yang lebih layak dari apa yang kami tawarkan.” Jelas Mustakim tanpa berselindung. Sayang sekali kalau anak Melayu yang cemerlang seperti Irah tidak melanjutkan pelajaran ke mana-mana. Terlalu rugi!
“Saya bukan tak mahu Encik Mustakim. Memang saya berhasrat begitu, itupun kalau saya mampu. Malangnya, saya tak cukup duit untuk sambung belajar. Keluarga saya pulak perlukan bantuan saya sekarang. Besar harapan saya untuk bekerja di sini untuk bantu keluarga saya.” Irah memandang penuh harap.
“Takkan keluarga awak sanggup korbankan masa depan awak macam tu saja? Tak rasa rugi ke? Apa kata mak bapak awak? Saya rasa kalau awak sambung belajar lagi bagus. Sia-siakan masa saja awak kerja di sini. Awak punya peluang yang lebih baik. Takkan mak bapak awak sanggup tengok awak macam ni. Di takuk lama tanpa sebarang kemajuan. Tidak ke manalah awak jawabnya.” Mustakim menghela nafas. Dia menggeleng-geleng. Mengapa anak Melayu sekarang tidak giat berusaha untuk memajukan diri sedangkan banyak peluang diberikan kepada mereka. Inilah salah satu punca kegagalan bangsa kita! Sudah mengalah sebelum mencuba! Keluhnya.
“Encik, mak dan ayah saya dah lama meninggal. Saya cuma ada keluarga bapa saudara saya saja. Saya juga punya cita-cita untuk berjaya. Dengan keadaan bapa saudara saya yang sakit sekarang, saya tak boleh mengabaikan mereka. Mereka perlukan saya. Sepupu-sepupu saya semuanya masih kecil. Takkanlah saya nak pentingkan diri sendiri. Saya pun perlu menimbangkan semua perkara sebelum buat keputusan.” Ujar Irah. Memang dia juga ingin merasa keseronokkan alam pembelajaran di menara gading. Dipenuhi dengan buku-buku dan menimba pelbagai ilmu baru. Irah memang minat belajar sejak dari bangku sekolah lagi. Cuma mungkin rezekinya masih belum ada. Perkara itu tidak mungkin tercapai tanpa berusaha. Pastinya tidak di ketika ini.
“Terus terang saya katakan ada ramai lagi calon lain yang menanti. Saya tidak boleh mengulas panjang. Apapun, awak tunggu panggilan dari syarikat kami. Semoga berjaya.” Mustakim bersuara setelah selesai menemuduga Irah. Pelbagai soalan diajukan dan setiap satu dijawab oleh perempuan itu dengan tenang. Irah hanya mampu berdoa. Kalau ada rezekinya kali ini, adalah....
SUDAH masuk minggu ketiga Irah bekerja di situ. Ternyata usahanya selama ini membuahkan hasil. Tidak sia-sia dia menghadiri temuduga tersebut tempoh hari. Mujurlah. Jika tidak, terpaksalah dia bekerja kilang sahaja. Irah tidak kisah di mana-mana, asalkan dia dapat mencari rezeki. Kalau diikut-ikutkan, kerja kilang pun boleh tahan juga gajinya, cuma Mak Ngah sahaja yang bising-bising, tidak membenarkan sama sekali. Risau kalau terjadi apa-apa pada Irah. Tambahan pula, kilang yang ada terletak jauh dari tempat tinggal mereka.
Irah duduk termangu. Rasa rindu yang sekian lama terpalit di hati terdetik lagi. Direnung gambar yang sentiasa dibawa dalam pursenya. Gambar Is yang sedang lena. Ketika itu bayi tersebut berusia 7 hari. Comel!
Tiba-tiba hatinya jadi sayu. Entah bagaimana Is sekarang? Sihatkah? Makan minumnya terjagakah? Dia benar-benar rindu! Memang Fariz tidak pernah menghalang jika Irah ingin melawatnya. Itu sudah termaktub dalam perjanjian mereka. Bukannya Irah tidak ingin menjenguk anaknya itu. Ibu mana yang tidak kasihkan anak. Tapi...... Irah tertunduk. Hiba dirasakan. Dia tahu, andainya dia bertemu dengan si kecil itu di ketika ini pasti dia akan melanggar segala perjanjian yang telah dibuat. Sudah tentu Is akan dibawanya lari kerana dia tidak sanggup melepaskan anak itu jika sudah berada dalam pelukannya. Irah akan jadi gila kalau terpaksa berpisah lagi dengan Is lagi. Biarlah pertemuan yang seterusnya menjadi pertemuan yang paling bermakna. Pertemuan di mana dua jiwa itu dapat bersatu kembali dan Is tidak akan dipisahkan lagi dari Irah. Dan, dalam menunggu pertemuan itu, Irah harus bersabar. Kumpul segala kudrat yang ada dan tekun berusaha. Bila sampai masanya kita akan bersama!
“Awak ni kenapa?” Satu suara menyergahnya dari belakang. Irah terkejut. Segera dipalingkan wajah. Terpana seketika melihatkan Encik Mustakim sudah tercegat di depan mata. Lelaki itu menggeleng-gelengkan kepala.
“Dulu pun menangis! Sekarang pun menangis! Asyik menangis aje. Kenapa dengan awak ni? Ada masalah?” Tegurnya lagi. Irah terdiam. Dia ingat lagi peristiwa lama!
“Minta maaf Encik Mustakim. Saya...,” Belum sempat dia menghabiskan ayatnya lelaki itu terus memotong.
“Saya bukan suruh minta maaf. Saya tanya awak ada masalah ke? Selalu sangat saya tengok awak ni monyok semacam. Saya tak naklah nanti orang kata saya dera awak bekerja kat sini. Kena tinggal ngan boyfriend ke?” Mustakim menduga bila Irah cepat-cepat memasukkan pursenya ke dalam beg. Budak sekarang, tak ada kerja lain! Belajar entah ke mana, asyik nak bercinta aje! Huh!
“Tak. Tak ada apa-apa encik. Mmm.... saya... mmm..,” Tergagap-gagap Irah jadinya. Tidak karuan bila Mustakim merenungnya dengan sinar mata yang tajam.
“Masuk bilik saya sekejap!” Arah Mustakim. Kecut perut Irah mendengar arahan itu. Staff-staff lain mula menjeling. Pasti jadi bahan cerita hangat selepas ini.
“Awak kalau nak bercinta pun jangan masa office hour. Dah habis waktu kerja suka hati awaklah nak buat apa. Tapi time ni jangan nak jiwang-jiwang. Saya tak suka! Saya bagi peluang awak kerja kat sini, jangan ingat awak dah boleh duduk senang-lenang. Awak tu belum confirm lagi tau. Bila-bila masa aje saya boleh terminate awak. Kalau nak bercintu-cintan, nak feeling tengok gambar boyfriend ke apa ke, lepas habis waktu kerja, faham!” Tegas Mustakim.
“Tapi encik, saya bukannya tengok gambar boyfriend.“ Jawab Irah membela dirinya.
“Habis tadi tu apa? Jangan nak kelentong dengan saya. Saya tahu sangat perangai budak-budak muda sekarang ni. Itulah, belum apa-apa dah sibuk nak bercinta. Esok-esok kahwin bercerai-berai. Menyusahkan diri sendiri.” Irah rasa tertusuk dengan kata-kata itu. Aduh! Bisanya.
“Haa... tengok tu. Baru saya tegur sikit, nak menangis lagi. Apa ni? Sikit-sikit nak menangis.” Mustakim menarik muka bila dilihatnya ada air mata yang cuba ditahan dari menitis di birai mata perempuan itu. Alahai, murahnya air mata!
“Encik salah faham. Saya bukannya berniat nak curi tulang atau apa yang encik katakan tu. Saya sebenarnya rindukan anak saya!” Hah, anak?! Aku silap dengar ke?
“Anak? Awak dah kahwin?” Mustakim membulatkan matanya.
“Saya dah bercerai.” Jawapan itu mengejutkannya.
“Kenapa awak tak cakap awal-awal yang awak dah kahwin masa interview dulu?” Dia menyoal lagi.
“Sebab saya isteri kedua.” Mustakim menepuk dahi. ALLAH! Sudah jadi drama swastalah pula.....
----------------------- sedutan episod ke 11 ----------------------------------
“Saya rasa bertanggungjawab atas apa yang berlaku pada Irah selepas kejadian tersebut. Kalaulah mak dan ayah Irah masih hidup, mungkin Irah tak hidup begini.” Mustakim masih menyalahkan diri sendiri.
“Tuhan bawa pergi Suriani dari hidup kami, dan kini Dia pertemukan kita. Mungkin ini juga satu hikmah. Mungkin sebab itu juga bila abang Mus lihat Irah, abang Mus teringatkan Suriani. Mungkin Irah pengganti Suriani kami.” Kata-kata Anizah buat Irah jadi gelisah. Hatinya tidak tenteram.
“Irah bukan Suriani. Irah bukan pengganti siapa-siapa! Irah tak nak jadi pengganti!” Tiba-tiba Irah bersuara marah. Pantas dia bingkas dan berlari masuk ke bilik. Hatinya terasa sakit bila mana setiap kali orang hanya menganggap dirinya sebagai pengganti atau sandaran sahaja. Termasuklah Fariz!