“Nurul!” entah dari mana tiba-tiba dia ternampakkan muka JR. JR berlari-lari anak mengekorinya dari belakang, dan dia begitu rimas menyaksikan tingkahlaku yang sangat menjengkelkan. Di hatinya dia menduga, JR tentu hendak mengkhabarkan pelbagai lagi cerita-cerita dongengan.
“Apa yang kau mahukan?” bentak Nurul, marah.
“Kau janganlah sombong sangat dengan aku, Nurul.” harap JR lemah sebaik sahaja berjaya menyainginya.
“Macam mana aku tak sombong kalau kau asyik bawa cerita-cerita murahan?”
“Kau boleh buat apa sahaja tanggapan terhadap aku. Tapi aku tak akan biarkan kau memusnahkan masa depan kau sendiri.” Nasihat JR, tenang.
“Apa yang kau cakapkan ni? Aku bukannya budak-budak yang boleh ditunjuk-tunjuk. Aku dah dewasa, aku tahu apa yang aku lakukan.”
“Sebab dah dewasalah aku terpaksa menunjukkan jalan. Kalau budak-budak, awal-awal aku dah piat telinga supaya cepat mendengar kata.”
Nurul mendengus bengang. Dialihkan pandangannya dari merenung muka yang menyakitkan, dia memandang pula kawasan taman sains sekolah yang kiranya lebih menenangkan.
“Beritahulah cerita apa yang kau nak sampaikan kali ini..” akhirnya Nurul mengalah. Suaranya semakin rendah dan dia berjaya mengawal kemarahannya.
“Aku harap peluang ini dapat puaskan hati kau..” lanjutnya sambil tersenyum sinis.
JR menarik nafas dalam-dalam. Dikuatkan segala sendi-sendinya dan dia sudah bersedia andai kata-katanya nanti bakal mendapat tentangan.
“Aku dah intip Zainol dua hari lepas, dan aku dapat kumpulkan bukti bahawa dia memang ada teman wanita lain. Bukan satu atau dua, malah sering bertukar ganti..”
Nurul mendengar endah tak endah.
“Dia memang ada hajat nak mempermainkan kau, Nurul. Kau kena tinggalkan dia. Jika tak, kau sendiri yang akan binasa!” ucap JR mengakhiri kata-kata.
“Dah sudah?” tanya Nurul mencebik.
Angguk.
“Hmm.. kalau begitu aku nak pergi!” Nurul terus membuka langkahnya mara.
“Nurul!” panggil JR semula.
Langkah Nurul terhenti. Serta-merta terbit rasa meluat yang bukan kepalang di hatinya. Apa lagi yang hendak budak seorang ini khabarkan? Masih belum selesaikah episod cerita-ceritanya tadi?
“Kalau kau tak percaya kata-kata aku, kau boleh tunggu dia di belakang sekolah, petang ni!” tingkah JR mengingatkan.
Kata-kata itu pun tamat sepertimana tamatnya perbincangan mereka. Habis waktu rehat, Nurul masuk ke dalam kelas. Dia duduk pada tempatnya dan dia ternampak Zainol muncul, masuk dari bahagian hadapan kelas. Zainol rancak berbincang sesuatu di samping rakan-rakan sukannya dan kemudian lelaki itu duduk tekun di bangku belajar.
Nurul cuba lari dari berasa curiga. Nurul cuba lari dari menyimpan sebarang prasangka tetapi kata-kata JR sebelumnya telah menghantui dirinya. Kawasan belakang sekolah yang bersemak-samun itu pun terbayang dalam mindanya. Suasana sekelilingnya yang sunyi dan terasing sangat serasi untuk kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral. Kalau ada pelajar hendak ponteng kelas atau sembunyi-sembunyi merokok, di situlah tempat mereka berkumpul. Kalau ada pelajar yang hendak bercengkerama, di situlah juga mereka akan berkunjung. Dan pernah suatu ketika, semasa dia di tingkatan dua, ada orang terjumpa mayat wanita di situ. Kononnya wanita itu selepas dirogol oleh kekasihnya, dibunuh pula dengan kejam sekali.
Meremang bulu roma Nurul membayangkan itu semua. Tidak dapat digambarkan apakah perasaannya nanti sekiranya Zainol yang sebegitu baik tiba-tiba diketahuinya sebagai seorang penjenayah!
Tidak! Tidak! Tidak mungkin Zainol sanggup membohongi sedalam itu. Kalaulah Zainol berniat jahat, kenapa tidak dari dulu lagi, semasa mereka berdua-dua di tempat yang sunyi, kemudian terbuka peluang-peluang untuk melaksanakan agenda, tetapi Zainol tidak pula mengambil kesempatan terhadapnya? Kalau benar Zainol berniat serong, mengapa tidak awal-awal lagi Zainol menunjukkan belang yang sebenar? Mengapa Zainol rela berkorban pelbagai perkara dan sama-sama menanggung derita hanya kerana sebuah niat jahat yang menunggu masa untuk dipersembahkan?
Itu adalah kerana Zainol sememangnya seorang yang baik. Zainol memang seroang yang jujur dan budiman. Zainol tidak tergamak melukakan perasaannya!
Dan dengan itu Nurul pun kembali menjadi yakin.
Terpandangkan Zainol di bangku yang sedang tekun mengulangkaji pelajaran, terpujuk hatinya membisikkan itulah orang yang paling sesuai untuk dijadikan teman kehidupan!
Petang pun tiba mengikut hukumnya. Menyedari cuaca akan hujan, Nurul bergegas keluar ke pintu pagar, menunggu ibu datang membawanya pulang. Banyak kereta sudah memenuhi perkarangan sekolah tetapi tidak ada satu pun di antara kereta-kereta itu menyerupai kereta ibunya.
Baru dia hendak melangkah, tiba-tiba kata-kata JR menghantuinya semula.
“Kalau kau tak percaya kata-kata aku, kau boleh tunggu dia di belakang sekolah, petang ni!”
Tiba-tiba dia berasa seram sejuk. Tiba-tiba terlintas di hati apalah salahnya jika dia pergi ke belakang sekolah seperti yang diarahkan? Dia bukannya akan kerugian apa-apa selain dapat menghapuskan keraguan sendiri. Tetapi bagaimanakah kalau Zainol mendapat tahu yang dia datang mengintipnya? Tentu lelaki itu akan kecewa dan seterusnya bertindak memutuskan hubungan mereka.
Sanggupkah dia kehilangan seorang lelaki yang telah bersatu dengan nafasnya? Tidak! Tidak! Benaknya menjerit menafikan. Dia tidak sanggup kehilangan Zainol.
Tetapi bagaimana pula sekiranya kata-kata JR memang betul? Bagaimana sekiranya Zainol memang orang yang jahat sedang dia pula tidak menyedari?
Nurul masih lagi berkira-kira dengan apa yang hendak dilakukan tetapi dalam masa yang sama kakinya sudah pun didepangkan ke belakang sekolah.
Hati, kuatkanlah semangat!
Kaki, teruskanlah melangkah dengan yakin dan pasti!
Akhirnya dia berhenti di sebalik sebatang pokok ketapang yang rendang dan penuh dengan daun-daun lebat. Dia menarik nafas tercungap-cungap. Dia jengulkan kepalanya perlahan-lahan sambil matanya ligat menerokai ke persekitaran.
Tiba-tiba dia ternampak kelibat seorang lelaki tercegat membelakanginya, berdiri kira-kira sepuluh meter dari tempat dia bersembunyi. Lelaki itu berseragam sekolah dan kelihatannya seperti sedang menunggu seseorang.
Beberapa ketika menunggu, muncul pula tiga lelaki lain dari arah bertentangan mendapatkan lelaki pertama. Selepas memerhati kelompok itu berbual agak lama, barulah Nurul menyedari bahawa lelaki-lelaki yang datang tadi adalah merupakan lelaki-lelaki yang pernah menyerangnya tempoh hari.
Serta-merta hati Nurul diserang curiga.
Apa yang dibuat Zainol bersama samseng-samseng durjana itu? Betapa mesranya mereka berbual, betapa ramahnya mereka bergurau senda? Apakah hubungan mereka sehingga ikatan yang sewajarnya berbentuk permusuhan tetapi telah kelihatan sebagai persahabatan?
Nurul terdengar Zainol ketawa. Diikuti hilai girang dari orang-orang di sekelilingnya. Nurul mendekatkan telinganya sehampir mungkin supaya dapat dia mengikuti perbualan mereka. Hilang rasa takut, terbit pula rasa ingin tahu.
“Hei Nol, bila lagi kau nak baham tubuh budak perempuan tu?” tanya seorang lelaki yang tubuhnya paling tegap berbanding yang lain.
“Sabarlah Sin! Aku nak bagi dia feeling lebih. Lepas tu bila dia dah mabuk sakan, barulah aku ratah tubuh dia, lepas tu tinggalkan dia!”
Ketawa kesemua mereka oleh kata-kata yang bersahaja.
“Aku tak sangka yang kau ni sebegitu hebat, perempuan liat macam Nurul tu pun kau boleh tawan.”
“Ini Zainollah, pemuda idaman dara! Cakap aja, perempuan mana yang tak tergoda melihat aku? Muka handsome, tubuh kekar, sekali petik sepuluh yang datang!”
“Eleh, aku tahu kau ada rupa.. tapi duit kami ni bila kau nak bayar?”
“Sabarlah.. aku tengah bertaruh dengan member-member kelas aku, mereka bilang kalau aku dapat tidur dengan Nurul, mereka nak bayar dua kali ganda!”
“Okey.. bertaruh pun bertaruh juga.. duit kami bergaduh hari tu jangan lupa bayar!”
“Rilekslah beb, aku bukan spesis yang makan kawan!”
“Iyalah, awek sendiri sanggup kau jaja, ini pulak kami bertiga!”
Pecah lagi gelak hilai ketawa. Tertindih Nurul mendengarnya. Tidak dia sangka rupanya Zainol sebegitu jenis orangnya. Di sebalik senyum mesra dan wajah yang meminta belas kasihan, rupa-rupanya tersembunyi wajah haiwan yang kejam . Dibuai oleh kata-kata menggoda, dia akhirnya terpedaya. Alangkah bodohnya dia kerana mempercayai binatang seperti Zainol. Mengapa dalam banyak-banyak lelaki di dunia ini, lelaki seperti Zainol itu yang harus dicintainya?
Air mata Nurul berlinangan. Dia tekup mulutnya erat-erat sehingga tidak disedarinya, esakannya telah meraih perhatian orang berhampiran.
“Eh, Nurul..” sapa Zainol agak terkejut. Dia tidak sedar sejak bila Nurul duduk bersembunyi di situ.
“Apa yang Nurul buat kat sini?” tanya Zainol lagi, lebih lembut dan mendatar tetapi tidak semesra selalu.
Tiada balasan dari pihak Nurul. Dia lebih senang tunduk memandang tanah.
“Nurul mengintai Nol ya?” duga Zainol bersahaja.
Sepi.
“Nurul dah dengar semua perbualan Nol?”
Angguk.
“Jadi Nurul dah kenal siapa Nol?”
Angguk.
“Jahat tak Nol?” terus Zainol ketawa seperti ada sesuatu yang melucukan.
Terhiris sungguh perasaan Nurul menghadapinya. Bukan simpati atau serba salah hendak diberikan, sebaliknya Zainol menambah pula garam kepada luka yang telah sedia bernanah di hatinya.
“Sampai hati Nol buat Nurul macam ni..” rintih Nurul hiba.
“Nurul sombong sangat.” cemuh Zainol. “Orang yang sombong macam Nurul memang patut diajar supaya sedar diri.”
“Kenapalah Nurul terlalu bodoh percayakan Nol?”
“Nurul memang bodoh..”
“Nurul percayakan Nol bagai nak mati.. Nurul sanggup lukakan hati semua orang semata-mata kerana Nurul percayakan Nol.”
Ketawa Zainol kian galak.
“Sebab tu lah Nol kata Nurul memang bodoh. Lain kali sebelum nak bercinta tanyalah diri sendiri dulu. Ada ke lelaki yang sanggup nak berkahwin dengan anak luar nikah? Lepas tu, cermin pula muka, jangan ingat yang awak tu cantik sangat!”
“Nol!”
Menggeletar tubuh Nurul menerima penghinaan.
“Padan muka! Perempuan murah!” Zainol pun berlalu meninggalkannya. Terperosok Nurul di balik pokok, hujan mulai turun membasahi bumi. Bersertakan gema guruh dan kilauan kilat, langit seolah-olah turut menangisi kehampaan hatinya. Menyedari tiada guna dia terus menyesali, akhrinya Nurul bangkit perlahan-lahan membawa tubuh yang telah basah. Dikuatkan kakinya mengorak tapak, air mata berhamburan sealiran titisan hujan.
Tiba di perkarangan sekolah, dia ternampak ibu sedang menunggu di luar kereta. Gelisah. Ibu berlari-lari mendapatkannya sambil membawa sekaki payung.
“Nurul!” panggil ibu tetapi dia tidak mempedulikannya. Dia terus melangkah menuju ke suatu arah yang tidak dapat dipastikan.
“Sayang ibu, kenapa ni nak?” ibu datang memeluknya.
Dia menolak ibu ke samping. Ibu tercengang-cengang tidak mengerti.
“Sayang, apa yang dah berlaku?”
“Ibu pergi! Nurul tak mahu tengok muka ibu!” jerit Nurul lemah, bagai orang yang sudah patah hatinya.
“Apa yang ibu dah buat sayang?” ibu terus cuba memujuknya.
“Nurul dah tak mahu dengar cakap ibu! Ibu dah musnahkan hidup Nurul!”
“Sayang, cuba jelaskan pada ibu, apa yang dah berlaku?”
“Zainol dah mempermainkan Nurul..”
Ibu terkejut mendengar.
“Tak pernah Nurul mendapat penghinaan sebesar ini..” lanjutnya lagi lalu jatuh terjelepuk di atas tanah.
“Maafkan ibu sayang, ibu tak tahu keadaan akan jadi begini..” ucap ibu kesal.
“Semua salah ibu, Nurul tak mahu bercinta tapi ibu paksa juga Nurul bercinta, sekarang bila dah jadi begini, siapa yang terpaksa menanggung akibatnya?”
“Nurul..” ibu tidak dapat mencari kata-kata.
“Ibu dah musnahkan hidup Nurul!”
“Tidak sayang, hidup Nurul belum musnah!”
Ibu mendakap tubuhnya makin erat. Dia meronta-ronta hendak melepaskan diri.
“Nasib Nurul malang, ibu..”
“Eh, nasib Nurul tak malang sayang..”
Ditepisnya sentuhan ibu. Dicemuh simpati ibunya, dia pun bangkit semula, tegak berdiri.
“Nurul dah tak percayakan ibu!” tempik Nurul. “Nurul silap kerana tak dengar cakap ayah awal-awal lagi. Kalaulah Nurul ikut semua kata-katanya, tentu keadaan tak jadi begini!”
Ibu tersentak. Air muka ibu berubah.
“Apa yang Nurul cakapkan ni, nak?”
“Nurul dah tahu sekarang, ibu sengaja menghasut Nurul supaya bencikan ayah. Sebenarnya ibu yang cemburu lihat Nurul mesra dengan ayah!”
“Ia tak seperti yang Nurul sangkakan..”
“Ibu jahat! Ibu pentingkan diri sendiri!”
“Nurul dah salah sangka..”
“Tidak!”
“Mari kita balik nak..”
“Tak mahu!”
Nurul terus berlari-lari meninggalkan ibu. Dalam kebasahan, ibu terduduk bingung di atas jalan. Memikirkan apa yang telah berlaku dan apa yang tidak sepatutnya berlaku. Segala-galanya tampak semakin kesamaran dan ibu dapat menduga bahawa dia sudah pun kehilangan anaknya!
Di kala hujan masih membasahi bumi, senja mula beransur-ansur tiba. Datanglah malam dan datanglah kegelapan. Bawalah pergi siang yang duka! Hilangkanlah hati yang lara! Jemputlah kebahagiaan menghiasi semula suasana persekitaran.
Nurul tidak membilang berapa jauh dia berjalan. Biar kaki berasa lenguh dia tetap juga melangkah. Kepenatan bukan lagi perhitungan tatkala perasaan dan akal fikiran dikuasai kesedihan. Bayang-bayangnya jatuh hampir sahaja sama panjang dengan langkahnya sendiri semasa dia melewati beberapa deretan restoran yang riuh rendah itu. Tanpa menghiraukan berapa banyak mata memandang dan berapa macam pula sangkaan-sangkaan mereka, dia terus menyeret kakinya perlahan-lahan. Hujan telah lama reda dan sisanya tertinggal pada lopak-lopak air di muka jalan.
Sebentar, dia tiba ke sebuah bengkel satu tingkat yang sudah hampir ditutup oleh pemiliknya. Seorang lelaki keluar dari bawah pintu Shuttle dan kemudian menjatuhkan daunnya ke bawah. Badan lelaki itu sederhana tinggi tetapi tubuhnya comot oleh palitan minyak. T-Shirt biru muda yang dikenakannya tidak jauh berbeza dari kain-kain buruk yang tersidai pada jeriji-jeriji kedai. Kebanyakannya ketara menyerlahkan warna hitam lebih dari warna fabrik yang asal.
Selepas menghabiskan kerja, lelaki itu bergegas hendak berlalu. Tetapi dia tidak jadi melangkah apabila terpandangkan Nurul tercegat kira-kira dua depa dari tempat dia berdiri. Rasa kejutan menyaksikan wajah Nurul yang bungkam telah mengatasi rasa kejutannya melihat keberadaan Nurul di situ.
“Nurul?” tanya ayah kaget.
Terus Nurul berlarian memeluk ayahnya.
“Maafkan Nurul, ayah..” ucap Nurul dalam sebak suara.
Ayah yang kebingungan, dilingkungi oleh pelbagai persoalan, segera dapat mengawal keadaan. Kepakaran ayah dalam mengendalikan jiwa manusia memang mengkagumkan. Ayah tidak terlangsung bertanya apabila melihat anaknya begitu. Usapan-usapan lembut ayah pada belakang badannya lebih bermakna dari sebarang kata-kata memujuk.
“Maafkan Nurul ayah..” ulang Nurul lagi. Kali ini disertai hamburan air mata. “Nurul dah salah sangka terhadap ayah. Nurul dah berdosa terhadap ayah.”
Nurul terus ditenangkan oleh usapan-usapan yang lembut dan meyakinkan. Hangat tubuh ayah, hamis minyak pelincir pada baju ayah, bau peluh ayah, semuanya merupakan komposisi aroma paling mendamaikan. Aroma yang tidak bisa ditandingi oleh mana-mana aroma terapi paling unggul di dunia.
“Apa yang dah berlaku, Nurul?”
Baru ketika itulah ayah bertanya setelah dia menunjukkan wajah sugul semasa mereka singgah menjamu selera di sebuah restoran mamak. Tidak ada selera menjamah, nasi putih di pinggan dikacau-kacaunya dengan hujung jari.
“Nurul tak perlu beritahu apa-apa kalau Nurul keberatan.” Sambung ayah lagi bila tiada jawapan dari sisinya.
“Nurul dah kecewa dalam cinta, ayah.” Akhirnya terluah juga pengakuan itu. “Zainol dah permainkan Nurul ayah..” lanjutnya lagi, hiba.
Tanpa reaksi terkejut ataupun curiga, ayah tenang mendengar segala luahan anak gadisnya. Terungkap kini segala cerita dan tersingkaplah apa yang sangat sakit untuk Nurul ucapkan. Semua aksi di belakang sekolah kembali berputar dan satu-persatu kata-kata menikam kembali terngiang-ngiang.
Ayah yang sedia mengerti keadaan itu, tidak jemu-jemu memberikan perhatian. Kadangkala reaksi yang ditunjukkannya, kesedihannya, simpatinya dan dengus hampanya bagai seorang penyair yang lara hatinya.
“Nurul dah terima hukuman sebab ingkar amaran ayah..” begitu Nurul menyimpulkan sebaik sahaja dia mengakhiri cerita. Ayah melepaskan keluhan berat. Kerutan-kerutan resah terserlah pada mukanya.
“Setiap yang berlaku ada hikmahnya Nurul.” nasihat ayah. “Ayah bersyukur Nurul belum jauh tersasar, Nurul masih sempat pulang ke pangkal jalan. Cukuplah semua ini menjadi pengajaran kepada kita supaya lebih berhati-hati membuat keputusan.”
“Nurul faham ayah.”
“Dan Nurul jangan pula salahkan ibu atas apa yang berlaku..”
“Tapi ayah..”
“Ibu juga manusia yang tidak dapat lari dari kesilapan. Dia tidak menyangka keadaan akan jadi begini. Kalau dia tahu, seperti ayah, dia juga akan menghalang Nurul bercinta.”
Nurul diam terharu. Itulah ucapan ayah paling lembut pernah didengarnya. Tersentuh hatinya oleh sikap ayah yang mulia. Ayah tidak seperti ibu. Ayah tidak menggunakan kesempatan yang terbuka luas seperti sekarang untuk melebarkan lagi jurang antara dia dan ibu, sebaliknya ayah telah menggunakan kesempatan itu untuk menjadi pendamai bagi dua pihak yang bertelagah.
Betapa murninya dia! Betapa suci hatinya!
“Ayah,” panggil Nurul kemudiannya.
Ayah mendongak memandang.
“Kenapa ayah baik sangat?” tiba-tiba Nurul bertanya.
“Ha?” ayah ketara kaget.
“Ibu dah banyak sakitkan hati ayah tapi ayah tetap juga nak berbuat baik kepada ibu.”
Tiada jawapan. Serta-merta suasana bertukar sunyi. Wajah ayah muram dan kerut-kerut di dahi ayah makin jelas kelihatan.
“Kenapa ayah diam?” tanya Nurul semula bila melihat ayahnya seperti sedang berat memikirkan sesuatu.
“Tak ada apa Nurul..” dalih ayah. “Nurul makanlah, lepas ni kita pulang.”
Nurul mengangguk akur biarpun sebenarnya ada banyak hendak ditanyakan lagi. Kelembutan ayah, kerut muka ayah, getar-getar kerongkong ayah, semuanya menyelindungkan suatu hakikat yang teringin sekali dia terokai.
Sejarah hidup ayah terlalu misteri. Kisah silam hidup ayah tidak banyak yang diketahuinya. Melainkan apa yang telah diperolehi dari ibu, ayah sendiri tidak pernah membuka ruang cerita kepadanya. Bagaikan ada sesuatu tersirat yang sukar untuk diluahkan, kisah hidup ayah terus menjadi misteri yang tidak bisa terungkai oleh modennya arus pembangunan.
Malam itu pun berlalu kosong. Diikuti oleh beberapa lagi hari yang kosong. Kehidupan Nurul kembali kepada sediakala. Dia kembali menjadi seorang anak gadis yang suka mengasingkan diri. Selain dari JR (mereka telah pun bermaafan), tidak banyak yang dibualkannya bersama kawan-kawan yang lain. Kalau ada waktu terlapang, dia akan pergi ke perpustakaan. Kadang-kadang dia duduk di bawah pondok cendawan. Pada kesempatan yang lain, dia akan menghabiskan masanya di kafetaria. Mendengar JR bercerita-cerita tentang bintang ataupun tentang hiburan.
Bila tiba hujung minggu, dia senang sekali lepak di rumah. Menonton filem-filem terkini di kaca tv. Kalau JR mengajaknya keluar, dia akan keluar. Selalunya mereka tidak keluar lama. Selepas membeli beberapa naskhah majalah dan makanan ringan, mereka pulang ke rumah masing-masing. Kemudian, pada hujung minggu yang lain pula, mereka akan pergi berbasikal di taman berhampiran. Atau bergayut lamanya di kafe siber. Dan sepanjang-panjang pertemuan itu, JR telah menjadi pembicara yang cukup menarik dan bersahaja!
Kalau sebelum ini, pertemuan Nurul dan ayah hanya berlaku di luar pandangan ibu, tetapi kini dia sudah berani bersemuka terang-terangan. Entah kerana membalas dendam atau mahu menebus kesilapan, Nurul sengaja menunjukkan kemanjaannya kepada ayah. Ibu yang terperangkap oleh kesilapan semalam, terkelu memandang, menjadi patung mannequin yang cantik tetapi tidak mampu menghalang.
Rengganglah hubungan Nurul terhadap ibu seiring akrabnya perhubungan yang terjalin antara dia dan ayah. Sedangkan pantai lagi berubah, inikan hati pula hati seorang anak muda yang masih tercari-cari sumbu yang mana harus dinyalakan untuk menerangi kehidupan. Pada sisi Nurul, orang yang baik ialah orang yang paling banyak menyokongnya. Dan orang yang jahat pula ialah orang yang paling banyak menentangnya. Pada masa ini, ayah merupakan orang dalam kategori pertama dan ibu pula dalam kategori kedua. Jadi tidak hairanlah kira tumpuannya lebih fokus kepada ayah berbanding kepada ibu yang telah banyak menghiris perasaannya.
Pernah pada suatu pertemuan di restoran, ayah bertanyakan tentang perubahan sikapnya itu. Dia yang memang telah menjangkakan isu itu bakal dibangkitkan bijak pula memberi alasan.
“Kenapa? Ayah tak suka kita rapat begini?” tanya Nurul bersahaja. “Bukankah ini yang ayah mahukan?”
Angguk lemah.
“Memang ayah suka dapat berada di samping Nurul, tapi..”
“Ayah kasihankan ibu?” pintas Nurul pantas.
Angguk.
“Ayah,” panggil Nurul perlahan. “Ayah terlalu banyak kasihankan orang lain. Cubalah sekali-sekala ayah belajar kasihankan diri sendiri.”
Maka dengan itu ayah pun tidak bertanya lagi.
Pernah pada suatu hari yang lain, ibu pula datang menegurnya dalam sebak suara, semasa dia baru pulang dari tuisyen dan terduduk keletihan di sofa.
“Nurul..” ibu menggamit tangannya.
Nurul diam. Buat endah tak endah.
“Kenapa Nurul buat ibu begini, sayang? Nurul dah bencikan ibu?”
“Ibu..” Nurul menatap mata ibu yang bergenangan. “Nurul tak mahu mendengar hasutan ibu lagi. Cukuplah Nurul ditipu selama ini dan Nurul tak mahu mengambil langkah yang salah semata-mata kerana kisah silam ibu.”
“Nurul..” ibu tunduk kecewa. “Ibu sedar ibu dah banyak melukai hati Nurul. Ibu juga dah silap buat interpretasi terhadap Zainol. Tapi ibu tak akan silap tentang tanggapan terhadap ayah. Ibu dah kenal dia lebih dari dua puluh tahun, Nurul. Dia bukanlah jenis lelaki yang harus didekati.”
“Tengoklah ibu..” Nurul melenting marah. “Asyik-asyik ulang perkara yang sama. Asyik-asyik ayah tu, asyik-asyik ayah ni! Ibu sengaja nak pisahkan kami berdua.”
“Nurul tak faham, sayang!”
“Nurul dah bosan ibu!”
Dia pun bangkit meninggalkan ibu.
Sedu-sedan wanita itu menangis sendirian. Air mata hanya menambah derita tetapi anaknya tidak lagi menghiraukannya. Inilah kekalahan terbesar dalam hidupnya apabila anak yang diharapkannya, satu-satunya sumber kekuatan yang tinggal tetapi anak itu telah membuangkannya. Lebih menyakitkan, dia disingkirkan hanya kerana seorang lelaki yang telah memusnahkan kebahagiaannya sepanjang-panjang tujuh belas tahun yang lampau!