Wednesday, December 2, 2009

Menggapai Kasih Part 15 (Tamat)

Lima belas tahun kemudian.
Seorang wanita tua termenung panjang menghadap halaman anjung panjang kawasan rumah asrama dua tingkat itu. Di atas kerusi malas yang sengaja dibuai-buaikan beberapa kali, air matanya berlinangan setelah mendengar sebuah cerita yang sangat mengusik kalbu, dari seorang doktor perempuan muda, yang dari tadinya tegak berdiri menentang kawasan taman yang ditumbuhi oleh pelbagai daun puding beraneka warna.
Angin pagi itu dingin sekali tiupannya. Berbeza dengan pemandangan langit yang terang disimbahi cahaya mentari, di bawah sini, di sekeliling asrama yang diteduhi oleh banyak pokok kayu merendang, suasananya amat tenang dan sejuk mata memandang. Tiada apa yang lebih mengasyikkan selain dari mendengar kicauan burung-burung terbang dan desiran daunan bergesel disapa angin.
“Begitulah cerita saya makcik..” kata Nurul perlahan, sebaik sahaja menamatkan cerita silamnya yang belum pernah terluput walau sekelumit dek derasnya pergerakan masa.
“Makcik kagum..” balas wanita tua di hadapannya, dalam suara yang terketar-ketar. “Usia anak masih muda. Tapi sudah menempuhi cabaran hidup yang sangat besar. Malah, anak tak menjadikan cabaran itu sebagai batu penghalang untuk anak mencapai kejayaan. Lihatlah anak sekarang, seorang doktor yang cantik, muda dan tabah!”
Nurul tersenyum pahit.
“Inilah cinta-cita saya selama ni makcik. Saya ingin menjadi seorang doktor yang sedia berkhidmat untuk golongan warga emas. Biarpun tak dapat nak tebus kesalahan saya terhadap ayah, tapi sekurang-kurangnya melalui cara ini saya dapat mendekati mereka-mereka yang hidup sezaman bersama ayah.”
“Ayah anak beruntung sebab punyai seorang anak gadis yang mulia.” Puji makcik itu bangga.
“Tak makcik” bantahnya. “Sebenarnya ayah saya sangat malang mempunyai seorang anak seperti saya. Saya tak pernah menghargai pengorbanannya terhadap saya, dan lebih malang lagi saya mula menyedarinya apabila semuanya sudah terlambat.”
“Sampai sekarang anak tak jumpa dengan ayah anak?”
“Itulah yang sangat saya kesalkan. Ayah hilang tanpa berita. Puas saya carinya di merata-rata. Sudah saya iklankan di akhbar mahupun di laman komputer, namun usaha saya masih tak membuahkan hasil.”
“Sabar nak.” Pujuk makcik itu. “Makcik percaya usaha anak tu tak akan Tuhan sia-siakan. Makcik akan turut sama mendoakan semoga anak akan jumpa juga dengan ayah anak, suatu hari nanti.”
“Saya pun harap begitulah juga..” tawar sahaja bibirnya meluahkan.
Menjelang tengah hari, semua urusan berkaitan hal-ehwal kesihatan warga emas di blok asrama itu berjaya dia selesaikan. Singgah sebentar di bilik kerja, dia membelek beberapa helai dokumen berisi laporan pesakit yang diletakkan di bawah penjagaannya. Dibeleknya juga senarai ubat-ubatan yang akan diserahkan kepada kakitangan bertugas untuk rawatan lanjut pada keesokkan hari. Setelah memastikan semua maklumat ditulis terperinci dan mengikut panduan yang telah digariskan, dia pun menyimpan dokumen-dokumen itu ke dalam fail kuning berlabel SULIT, dan kemudian memasukkannya semula ke tempat ia diambil, iaitu di dalam kabinet besi berwarna kelabu di tepi dinding.
Tiba-tiba dia terdengar pintu biliknya diketuk orang.
“Masuk!” arahnya spontan.
Mendapat tindakbalas dari luar, seorang lelaki membuka pintu lalu masuk ke dalam. Bertubuh tinggi lampai dan memakai kemeja putih, berjalur biru menegak, bertali leher merah dan berseluar hitam, lelaki itu terus menggamit perhatian Nurul.
“Hairi?” sapa Nurul dalam senyuman nipis.
“Nurul teka apa yang I bawa untuk you, hari ni?” balas Hairi, bersertakan renungan mengusik, dan dua tangan yang sengaja disorokkan ke belakang, seperti sedang menyelindungkan sesuatu.
“Let me guess..” Nurul mula membuat telahan. “Bunga?” tekanya.
Geleng.
“Hmmm..Makan tengah hari?”
“Salah!”
“Rantai berlian?”
“Amboi.. melampau!.” Hairi ketawa kelucuan.
“Sudahlah.. I surrender! Kalau you nak bagi tahu, cakap ajalah.. kalau tak nak bagi tahu, I tak kisah..”
“Betul?” duga Hairi.
“Betul!”
“Tak menyesal?”
“Tak.”
“Walaupun benda I bawa ni ada maklumat tentang ayah you?”
“Apa?”
“See this.. what I got!” Hairi menunjukkan sebuah envelop yang disembunyikannya tadi dari tatapan Nurul. Terkejut melihat fail itu, segera Nurul bertindak mahu merampasnya tetapi elakan Hairi yang kiranya lebih pantas telah menggagalkan setiap langkah percubaannya.
“Hey, give me that!” pinta Nurul seakan terdesak.
“Mana boleh? You jugak kata you tak nak tadi..” usik Hairi, nakal.
“Kalau yang ni, I nak!”
“Tak boleh la.. kan you dah janji yang you tak akan menyesal?”
“Hairi, this is not a game. This is about my life!” desak Nurul kian serius. Menyedari kesungguhan kata-kata itu, akhirnya Hairi berhenti bergurau.
“Okey.. okey.. I bagi you fail ni. Tapi you jangan marah, tau?” ucap Hairi sambil menghulurkan fail yang dimaksudkan.
“Tak, I tak marah..” jawabnya bersahaja lantas menyambut apa yang sudah pun berada di dalam tangannya. Dibukanya fail itu lalu dibacanya.
“You tak marah kan?” sekali lagi Hairi meminta kepastian.
“Tak.”
“Macam mana maklumat tu, boleh membantu?” tanya Hairi.
“Tak tahulah.. tapi kita boleh pergi ke tempat ni untuk pastikannya.”
“I harap kali ini kita jumpa orang yang betul.”
“I juga..”
“Kalau tak makin lamalah perkahwinan kita terpaksa ditangguhkan!”
“Hairi!” dia menepuk belakang Hairi, geram. “You ni tak ada benda lain ke nak fikirkan, asyik-asyik nak cakap pasal kawin!”
“Iyalah.. dah dua tahun I tunggu. Tapi ayah you belum juga dijumpai. Apa salahnya kalau lepas kita kahwin, kita sambung cari ayah you semula?”
“Hairi, kalau boleh I mahu dia berada di sini semasa majlis perkahwinan kita.” Tegasnya.
“Okey, I faham..” Hairi memuncungkan bibir. “Nampaknya jadi bujang terlajaklah I sampai ke tua..”
“Hairi!” sekali lagi ditepuknya belakang Hairi, geram.
Hairi ketawa nakal.
Keesokkan hari, Nurul memutuskan untuk mengambil cuti kerana dia harus pergi ke Pulau Pinang bagi meneruskan pencariannya terhadap ayah tercinta. Bertemankan Hairi yang bertanggungjawab sebagai pemandu, mereka memulakan perjalanan seawal pagi dan mereka menjangkakan akan tiba ke destinasi selewat-lewatnya selepas fardhu Zohor. Merentasi kawasan lebuh raya yang agak lengang, tidak banyak pemandangan indah dapat dia saksikan. Melainkan ladang-ladang kelapa sawit dan tumbuhan-tumbuhan hutan yang tumbuh dengan banyaknya di sesetengah kawasan lebuhraya, yang kelihatan hanyalah banjaran-banjaran batu tersergam botak di pinggir-pinggir jalan. Lereng-lerengnya diteres dan ada sebahagiannya dibuat saluran tadahan air bagi mengatasi kejadian tanah runtuh yang sering berlaku sejak kebelakangan ini.
Semakin menghampiri Pulau Pinang, semakin bertambah debaran di hati Nurul. Sempadan-sempadan negeri yang dilalui adalah ibarat tingkat-tingkat anak tangga yang akan membawanya ke suatu tahap debaran yang paling kemuncak. Entah kenapa, dia seperti sudah tidak sanggup lagi untuk melalui kecewa. Banyak pencarian telah dia lakukan, bermula dari bangku sekolah sehinggalah ke alam universiti, dan kini, di alam pekerjaan, dia masih belum berhenti dari berusaha mencari ayahnya. Namun, semua susah-payahnya itu hanya membungakan kekecewaan.
Alangkah sedih kalau pencarian pada kali ini juga disudahi oleh rasa kecewa! Ke mana hendak didamparkan rajuknya nanti? Ke mana lagi hendak dicari ayahnya? Bagaimanakah sekiranya ayah telah pun pergi menyahut seruan Illahi sedangkan dia tidak pula mengetahuinya?
Ah, tak mungkin. Tak mungkin ayah tergamak membiarkan dia terus tercari-cari sebegini sedangkan apa yang dicarinya itu telah pun tiada di muka bumi ini.
Akhirnya kereta Proton Waja Hairi membelok masuk ke perkarangan sebuah kawasan rumah perlindungan warga emas yang letaknya jauh terpencil di hujung desa. Dikelilingi oleh pohon-pohon nyiur yang tinggi, dan pelbagai lagi pohon desa yang merimbun di sekitaran, rumah yang bereka bentukkan ala kolonial itu tetap teguh berdiri mengharungi arus pembangunan moden biarpun usianya sudah menjangkau hampir setengah abad.
Kereta Hairi diberhentikan di salah sebuah kawasan lapang yang terdapat di hadapan rumah berkenaan. Selepas membukakan pintu, lelaki itu mempersilakan dia keluar dan mereka pun berjalan beriringan menuju ke ruang ketibaan. Sambil berjalan itu, sempat juga Nurul meninjau-ninjau ke arah beberapa orang warga emas yang sedang duduk-duduk berehat di tepi anjung. Diperhatikan setiap satu kalau-kalau ada yang menyerupai ayahnya, namun tidak ada seorang pun yang dapat disamakan dengan apa yang masih terpahat dalam ingatan.
Sebentar, mereka sudah pun berada di hadapan kaunter pertanyaan. Seorang gadis kecil molek, berpakaian serba biru, yang segera dikenali sebagai kakitangan di situ, dengan ramahnya telah menyapa mereka sambil memberikan sebuah senyuman manis.
Hairi, mendahului Nurul, memulakan pertanyaannya tentang beberapa perkara kepada gadis itu. Selepas perbincangan yang agak lama, gadis itu meminta diri untuk ke dalam dan kemudiannya kembali semula bersama sebuah fail terpegang kemas di tangan.
“Encik..” ucap gadis itu, sopan. “Sebenarnya kami tak boleh nak dedahkan maklumat peribadi penduduk di sini kepada orang luar.. Tapi memandangkan encik berdua telah berjaya meyakinkan saya, jadi saya tak keberatan untuk menghulurkan pertolongan.”
Hairi dan Nurul menarik nafas lega.
“Terima kasih cik..” ucap mereka serentak.
“Sekarang, mari ikut saya.” Arah gadis itu.
Menaiki lif ke tingkat dua, mereka ditemukan kepada satu koridor panjang yang bersambungan antara satu bahagian kepada bahagian yang lain. Seorang wanita tua baru sahaja keluar daripada salah sebuah pintu-pintu bilik yang terdapat di situ. Apabila mereka bertembung pada satu selekoh, wanita tua itu terus berlalu tanpa menghiraukan kehadiran mereka.
Nurul berjalan lagi. Mengekori kelibat Hairi dan petugas tadi yang telah jauh ke hadapan. Dia tidak tahu ke mana arah akan mereka tuju namun di dalam hati, perasaan gelisah, takut, dan bimbang, semuanya sedang bergandingan menjadi segerombolan tentera penceroboh yang cuba meragut ketenangan jiwanya..Serta-merta terbayang wajah ayahnya di kala muda. Serta-merta juga dia bertanya kepada dirinya, bagaimanakah rupa lelaki itu sekarang? Masihkah tampan seperti dahulu-dahulu atau pertambahan usia telah memamah sekalian tubuh tua ayahnya?
“Nurul..” panggil Hairi tiba-tiba.
Tersentak dia dari lamunan, didapatinya mereka berada betul-betul di hadapan sebuah bilik bernombor 205.
“Inilah bilik encik Zikri..” beritahu gadis petugas tadi lembut. “Saya harap encik berdua berjumpa dengan orang yang betul..”
“Terima kasih..” ucap Nurul keharuan.
“Sama-sama..”
Gadis petugas itu pun pergi meninggalkan mereka.
Nurul memandang muka Hairi meminta kepastian dan lelaki itu mengangguk, sebagai tanda sokongan. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dia kancing giginya kuat-kuat. Dicubanya mengumpul segala kekuatan yang ada agar dia cukup bersedia melalui sebarang kemungkinan. Diberanikan dirinya menggenggam tombol pintu. Diputarkannya perlahan-lahan.
Dan daun pintu itu pun terbuka. Bergemalah bunyi engsel berlaga, tersimbahlah keluar sejenis cahaya yang cukup terang dari dalam bilik.
“Assalamualaikum..” sapa Nurul gugup.
Tiada orang menjawab. Dia menjengulkan kepalanya ke dalam, diterokai segenap isi bilik menerusi ekor matanya. Apa yang didapati ialah bilik itu kosong tanpa penghuni, melainkan ada sebuah katil lama, almari kayu dan sebuah meja kecil diletakkan pada ruang-ruang tertentu di tepi dinding.
“Assalamualaikum..” ulangnya lagi. Kali ini lebih kuat dan lebih berkeyakinan dari yang sebelumnya.
Sunyi sepi. Hanya bunyi putaran kipas kedengaran.
Melangkah masuk. Dia akhirnya ternampak kelibat seorang lelaki sedang duduk di atas kerusi roda, termenung menghadap balkoni, dan kelihatannya terlalu asyik merenung daun-daun hijau pokok ru yang melambai-lambai dipukul angin petang. Begitu asyik lelaki itu termenung sehinggakan tidaklah disedarinya bahawa Nurul telah lama tercegat di situ, memerhati bersama debaran dan kesayuan yang memuncak
Biarpun usia telah meningkat, rambut telah memutih, tubuh kian susut, Nurul dapat mengagak lelaki berbaju melayu dan berkain pelikat itu adalah ayahnya. Cara lelaki itu duduk, cara lelaki itu bermenung dan cara lelaki itu berpakaian saling tidak tumpah seperti gerak-geri ayahnya yang sedang meneleku kesedihan di ruang tamu, tertekan dan hiba tetapi sayangnya pada ketika itu tiada siapa pun yang sudi mengambil peduli.
Ayah? Adakah itu ayah?
“Ayah?” tanpa sedar, terkeluar juga kalimat itu dari bibirnya.
Terdengar suara orang menyapa, lelaki tua tadi tersentak. Perlahan dan mencemaskan, Nurul melihat lelaki itu berpaling.
“Ayah?” dia terjerit kecil, entah kerana gembira atau keharuan, terus dipeluknya lelaki yang berada di hadapannya. Memang tidak disangsikan lagi, inilah ayah yang dicari-carinya selama ini. Dia kenal riak wajah ayah yang sayu itu! Dia kenal redup mata yang pengasih itu! Tak mungkin ada lelaki lain yang dapat menandingi kelembutan wajah ayahnya. Tak mungkin ada lelaki lain yang dapat menandingi senyuman pahit ayahnya!
Dicium pipi ayahnya, dikucup tangan tua ayahnya dan air mata pun terus berhamburan. Dibiarkan ayah terpinga-pinga. Dibiarkan ayah tergamam tidak mengerti. Inilah saat-saat yang dia nantikan selama ini dan dia tak akan membiarkan saat-saat ini berlalu begitu sahaja.
“Ayah, maafkan Nurul ayah!” ucapnya dalam sebak suara. “Nurul bersalah terhadap ayah. Nurul dah tahu perkara yang sebenar, ayah tak buat perkara terkutuk tu!”
Ayah diam tetapi pasangan matanya bergenangan.
“Nurul dah puas cari ayah.. Nurul menyesal ayah..” Nurul melutut di kaki ayahnya.
Diam.
“Kenapa ayah tak cakap?” rintihnya. “Ayah masih marahkan Nurul?”
Diam lagi.
“Ibu dah tak ada, ayah. Ibu dah meninggal dunia. Dia sangat kecewa selepas tahu segala-galanya. Dia nak minta maaf dengan ayah tapi dia tak sempat.”
Air mata ayah gugur bagai manik embun di hujung rumput tatkala mendengar berita ibu sudah tiada. Dalam kerutan dahi dan wajah yang menunjukkan kesayuan, ayah menyentuh jurai panjang rambutnya dan buat kesekian kali dia dapat merasakan tangan yang murni itu begitu lembut memujuk.
“Kenapa ayah diam?” gesanya.
Masih membisu.
“Ayah tak maafkan Nurul ya?”
Geleng lemah.
“Habis tu, kenapa ayah tak mahu cakap?”
Diam.
Alangkah hampa hatinya menyaksikan reaksi ayah sedemikian. Apa merajuk benarkah ayah sehingga tergamak membiarkan dia dahaga menanti ucapan-ucapan mengubati kerinduan?
“Ayah, cakaplah!” gesanya sambil menggoncang-goncangkan tubuh ayah berkali-kali.
“Nurul!”
“Ayah?”
“Nurul!”
“Ha? Hairi?”
Dia ditegur seseorang dari belakang. Bila dia berpaling, dilihatnya Hairi telah tegak berdiri di sisinya, bungkam dan simpati. Dia tidak sedar sejak bila Hairi menghampiri.
“Aku lupa nak beritahu kau sesuatu..” ucap Hairi berat.
“Apa dia?”
“Ayah kau tak boleh bercakap.”
“Ha?”
“Dia menghidap penyakit saraf. Serangan kuman telah menyebabkan dia hilang keupayaan berjalan, dan mulutnya tak boleh lagi berkata-kata..”
O, Tuhan.
Nurul menjadi tambah terpinga-pinga. Kebingungan. Tetapi matanya sudah pun terpaut ke wajah ayah. Di situ, dia melihat air mata ayah berlinangan dan bibir lelaki itu terkebam-kebam seolah menahan sebuah hamburan yang sangat memilukan.
Baru sekarang dia merasa seperti ingin menangis kuat-kuat. Dia sembamkan mukanya ke riba ayah. Dia tahu dia telah banyak bersangka buruk dengan ayah. Dan selama ini, kerana sangka buruk itulah, kehidupan mereka menjadi kacau-bilau. Tiba-tiba dia merasakan bahawa dia telah melakukan sebuah kesilapan yang maha besar yang tidak mungkin akan ada maafnya lagi.
Sepanjang-panjang hari dia menghabiskan masanya menangis di situ. Dan dia juga telah berjanji bahawa pada pertemuan kali ini, selagi ada nafas dan usia, mereka tetap akan bersama, sentiasa dan selama-lamanya. Sampai bila-bila…