Wednesday, December 2, 2009

Kalau Ada Cinta Part 9

RAFIQ menunduk sayu. Wajahnya kelam, mempamerkan seribu duka. Dipandang pula Irah yang sedang duduk di ruang tamu. Sesekali dia menggeleng-geleng. Tidak disangka begini jadinya. Direnung pula perut Irah yang sudah mula menampakkan bentuk. Sudah hampir lima bulan usia kandungan itu.

Dia menghela nafas lagi. Rasa sesal yang tidak terhingga menujah batinnya. Silap aku sendiri! Sangkanya, bila Irah sudah bersuamikan bekas majikannya itu, Irah akan hidup bahagia. Tidak perlu lagi hidup susah sepertinya. Ternyata, tanggapan yang dibuat itu hanyalah suatu angan-angannya sahaja. Segalanya berakhir dengan kehancuran. Belum pun sampai setahun usia perkahwinan anak saudaranya itu, mereka sudah ambil keputusan untuk bercerai sahaja lantaran tiada kesefahaman untuk meneruskan bahtera perkahwinan. Sudahnya, Irah dan anak dalam kandungan itu yang menjadi mangsa. Anak itu akan lahir tanpa mendapat kasih sayang ibu bapa yang sempurna. Dan dialah orang yang pertama patut disalahkan atas segala yang berlaku. Oh Tuhan!

“PAK NGAH, kenapa ni?” Terasa ada tepukan di bahu kirinya. Air mata yang meleleh segera dikesat. Cuba disembunyikan rasa duka yang berselirat. Wajah Irah terpamer di ruang mata. Ayu. Lembut senyumannya.
“Mak Ngah ajak minum petang. Pak Ngah tak sihat ke? Pening kepala? Nak Irah ambilkan ubat?” Rafiq rasa terharu. Sedikit pun tiada tanda-tanda marah mahupun benci dari wajah anak saudaranya itu atas apa yang telah berlaku.
“Pak Ngah tak apa-apa.” Jawabnya pendek. Setiap kali memandangkan wajah Irah, setiap kali itulah hatinya tersayat pilu. Aku yang bersalah pada Irah kerana menghancurkan masa depannya. Aku yang bersalah pada arwah abang kerana tidak menjaga Irah sebaik-baiknya! Hatinya menjerit lagi.
“Kenapa ni? Pak Ngah tak suka ke Irah tinggal di sini?” Irah cuba menduga hati orang tua itu. Sejak dia berpindah ke mari rentetan dari peristiwa perpisahannya dengan Fariz, wajah Rafiq sentiasa diselami duka. Jarang sekali hendak melihat dia tersenyum. Mungkin Irah membebankannya...
“Tak adalah! Pak Ngah tak pernah fikir begitu. Irah tanggungjawab Pak Ngah. Pak Ngah sayangkan Irah macam anak Pak Ngah sendiri. Cuma Pak Ngah rasa terkilan atas apa yang terjadi. Pak Ngah tak sangka akan jadi begini. Pak Ngah rasa bersalah pada Irah.” Dia menunduk. Tidak mampu menentang mata bundar anak saudaranya itu.
“Ini semua kehendak TUHAN Pak Ngah. Dah nak buat macam mana. Memang Irah tak ada jodoh dengan dia. Yang sudah tu sudahlah. Jangan diungkitkan lagi. Irah boleh terima kenyataan ni. Irah harap Pak Ngah dan keluarga pun sama. Dapat menerima Irah di sini. Pak Ngah janganlah bimbang. Bila anak ni lahir dan Irah dah sihat nanti, Irah akan cari kerja untuk tanggung kehidupan Irah. Irah takkan menyusahkan sesiapa.” Irah menjawab tenang. Dia pasrah dengan apa yang terjadi. Biarlah begini daripada hatinya menanggung lara lagi.

Rafiq hanya mampu tersenyum tawar. Dia yang baru sahaja memulakan perniagaan kecil hasil dari duit gaji yang dikumpul bertahun-tahun tidak mampu menjanjikan apa-apa kepada Irah. Terkejut dirinya bila suatu hari Irah sudah tercegat di depan pintu rumah dengan beg baju sarat berisi. Tidak habis disitu, dia tergamam lagi bila diberitahu Irah dan bekas majikannya Encik Fariz mahu bercerai. Sebelum itu, dia telah dua bulan berhenti kerja sebagai pemandu Fariz kerana ingin memulakan perniagaan sendiri. Modal yang ada itu pun kalau tidak Fariz yang turut menolong, belum tentu cukupnya.
“Tinggallah di sini Irah. Selagi ada kudrat Pak Ngah untuk menjaga kamu, Pak Ngah akan usahakan. Tak payahlah difikirkan hal itu dulu.” Jawabnya. Irah sekadar tersenyum, tidak mahu terus-terusan membangkitkan soal itu. Tika ini, dia cuma mahu mencari ketenangan diri, melupakan kisah pahit yang terjadi. Namun, jauh di sudut hati dia tetap nekad. Irah tidak akan berakhir begini. Masih ada cita-cita dan keinginan yang harus di capai. Irah mahu bina hidup baru!

KANDUNGANNYA sudah mula memboyot. Sudah cukup bulan. Menurut doktor, bila-bila masa sahaja Irah akan melahirkan. Kandungannya juga sihat. Mujurlah sepanjang tempoh mengandung, dia tidak mengalami banyak kesukaran melainkan ketika di awal kandungannya dahulu. Saban hari muntah dan lesu. Pengalaman pertama Irah bergelar ibu!

Mak Ngah sudah bising-bising mahu Irah dimasukkan ke hospital. Risau bila melihatkan keadaan Irah yang sarat berisi. Irah pula seperti selalu. Tetap dengan sikap degilnya tidak mahu lagi dimasukkan ke hospital. Katanya dia masih sihat. Masih mampu dan aktif ke sana ke mari walaupun perutnya kian membesar.
“Irah dah sarat benar. Ada baiknya terus masuk hospital.” Saran Mak Ngah. Gusar bila melihatkan keadaan anak saudaranya itu.
“Mak Ngah janganlah bimbang. Irah sihat lagi ni ha. Belum ada tanda-tanda pun dia nak keluar. Mungkin dalam seminggu dua lagi kot. Dia tengah seronok kat dalam tu.” Irah berseloroh. Mulutnya tidak henti-henti mengunyah. Pantang ada makanan. Langsung tidak boleh duduk diam. Ada sahaja yang menjadi habuannya. Semenjak mengandung, seleranya kian bertambah.
“Kak Irah ni dah gemuk macam kerbau dah! Asyik mengunyah aje. Banyaknya budak dalam perut akak tu makan!” Huzair, anak Pak Ngah yang sedang dalam tingkatan 3 mengusik.
“Hish, budak ni! Suka-suka aje mengata orang kerbau.“ Sergah Mak Ngah, marah pada anaknya. Irah ketawa kecil.
“Dah memang iya pun Mak Ngah. Nak buat macam mana. Dah dia teringin nak merasa semua. Entah-entah Huzair masa duduk dalam perut dulu pun macam tu jugak, ye tak Mak Ngah?” Usik Irah pula. Sepupunya tersenyum malu.

Selesai makan malam dan menonton tv malam itu, Irah masuk ke dalam bilik untuk berehat. Dibaringkan tubuhnya ke katil, cuba menggamit lena. Matanya dipejam rapat namun rasa mengantuk masih belum mahu datang. Sesekali dia mengiring ke kiri dan ke kanan. Agak sukar dengan keadaan tubuhnya yang sedemikian.

Irah menghela nafas. Entah apa yang mengganggu perasaannya malam ini hingga langsung tidak dapat melelapkan mata. Kalau hari-hari lain, mudah sahaja dia melenakan diri. Seketika dia duduk berlunjur. Diletakkan beberapa biji bantal di belakang tubuh untuk menyokong sandaran. Bola matanya tertumpu kepada perut yang besar dan sarat itu. Diusap-usapnya dengan kedua-dua belah tangan. Satu perasaan menyelinap masuk ke dalam hati.

Fariz! Bibirnya menuturkan nama itu. Entah kenapa dia jadi rindu pula. Kenapa dia rindu sedangkan lelaki itulah yang paling dibenci? Dia menundukkan wajah, memandang lagi kandungannya. Bibirnya mengorak senyum.

“Rindu kat abah ye? Tak sabar-sabar nak keluar?” Irah bercakap dengan kandungannya. Mungkin bayi itu rindukan Fariz kerana itu dia tiba-tiba teringatkan suaminya. Diusap lagi kandungan itu.

“Baby tak sayang mama?” Dia menyoal. Tiba-tiba hatinya sebak. Rasa sedihnya mula mendatang. Bayi ini akan tinggal bersama Fariz bila lahir nanti. Aku akan berpisah dengannya. Tidak! Aku tak mahu! Ini anak aku juga! Irah mula menangis bila mengingati janji yang pernah dibuat dahulu. Sebelum meninggalkan suaminya, dia telah berjanji akan menyerahkan anak tersebut kepada Fariz apabila lahir kelak. Tapi itu dulu! Sebelum dia punya apa-apa perasaan terhadap bayi ini. Dan kini, satu perasaan baru mula mengalir dalam diri. Perasaan yang begitu asing sekali. Dia tidak mahu berpisah dengan anak ini. Dia mahu memberikan segalanya kepada anak ini. Dia mahukan yang terbaik untuk anak ini.

Seketika suasana sunyi. Irah meraba-raba perutnya. Bayi dalam kandungannya kurang aktif hari ini. Biasanya ada sahaja pergerakannya yang dapat dirasai. Ada juga rasa bimbang yang terbit. Ah, mungkin dia sedang tidur! Seketika kemudian, Irah merasakan tilamnya basah. Aku terkencingkah? Dan bila dipandang ke bahagian bawah tubuhnya, Irah mengucap panjang. Ya ALLAH!!!


MATA yang berat ingin dibuka juga. Dirasakan keletihan dan kesakitan menjalar ke seluruh tubuh. Dia kurang pasti dengan apa yang telah berlaku. Di mana aku? Cuba diingati kembali detik-detik cemas yang diharungi itu.

Dirinya terbaring di atas katil beralaskan cadar putih. Sekeliling ruang didominasi dengan warna itu. Bau sengit ubat menusuk hidung. Di hospital! Irah menjawab sendiri persoalan di benaknya. Tiada sesiapa di sisinya ketika ini. Tiba-tiba matanya tertumpu kepada sesuatu. Suatu lembaga manusia yang diletakkan di dalam troli khas di sisinya. Diamati tubuh kecil yang masih merah itu. Bayi tersebut sedang lena tidur.

Irah terpana. Dadanya berdebar-debar. Inilah yang dinanti-nanti sekian lama. Dihulurkan tangan, cuba mencapai tubuh si kecil itu lalu dipangkunya. Jari-jemari Irah menyentuh kulit muka bayi yang merah. Begitu lembut, kecil dan lemah. Tidak terucap perasaannya tika ini. Irah terlalu gembira! Air matanya menitis. Diamati lagi bayi kecil yang baru lahir itu. Bayiku! Anak mama! Dibuka pula kain putih yang membendung tubuh anaknya. Diperiksa satu persatu. Jari kaki dan tangan, semuanya lengkap tanpa sebarang kecacatan. Irah tersenyum bangga. Inilah anugerah yang paling istimewa untuknya. Bayi yang paling comel pernah dilihatnya. Bayi yang dilahirkannya ke dunia. Segala rasa sakit ketika melahirkan anak itu hilang lenyap. Hanya yang ada suatu rasa kepuasan dan kegembiraan yang tidak terhingga. Bila diingati kembali barulah dia sedar betapa seksanya untuk membawa anak itu ke dunia. Terasa bagaikan hayat sudah hampir ke hujungnya. Sebaik tangisan bayi itu mencecah pendengarannya, Irah terkulai layu. Segala tenaga yang ada, semuanya habis di situ. Semua kesakitan itu tidak dipedulikan. Hanya yang tinggal sebuah perasaan baru yang membalut segenap ruang diri. Naluri seorang ibu. Irah sudah bergelar mama!

Pintu bilik dibuka. Belum sempat dia melangkah kaki untuk masuk ke bilik itu, hati kecilnya melarang. Dilihat Irah sedang memangku bayi kecil yang baru mengenal dunia. Anaknya!

Tiba-tiba sahaja bayi tersebut terjaga dari lena. Tangisannya memenuhi segenap ruang. Segera dipujuk Irah serta ditepuk-tepuk. Masih menangis lagi. Mungkin dia lapar. Irah mendekatkan bayi itu ke dada, ingin menyusukannya. Ternyata naluri keibuannya tepat sekali. Begitu lahap bayi itu menghisap susu. Irah rasa bahagia.

Fariz melangkah juga masuk ke bilik itu. Sebuah senyuman terukir di bibirnya. Irah tergamam. Wajahnya yang tadi tersenyum riang ibarat mentari yang menyinar di waktu pagi bertukar mendung. Dipeluk kemas bayi yang sedang disusukan, seolah tidak mahu Fariz menyentuhnya. Irah takut Fariz akan membawa pergi bayi itu sebagaimana yang telah dijanjikan. Tidak! Irah tidak rela berpisah dengan anak ini!

“Irah macam mana? Dah ok sikit?” Fariz mula berbicara. Diam.
“Anak kita anak lelaki.” Ujarnya lagi. Masih teringat saat ketika jururawat menghulurkan bayi yang baru lahir itu kepadanya untuk diazankan. Dia rasa begitu bangga.

Fariz nampak ada titisan air mata yang mula terkesan di birai mata isterinya. Dia tahu apa yang bermain di fikiran perempuan itu. Mana mungkin Irah sanggup berpisah dengan anak yang baru dilahirkan setelah berjam-jam bertarung dengan maut untuk membawanya ke dunia. Boleh gila meroyan jadinya! Fariz sendiri resah gelisah saat menanti kelahiran anaknya yang pertama. TUHAN sahaja yang tahu gelodak perasaannya. Dia ingin turut serta dalam bilik pembedahan itu, tetapi doktor tidak membenarkan lantaran ada sedikit komplikasi pada kelahiran tersebut. Betapa dia tidak menjangka perkara itu akan berlaku pada malam tersebut. Panggilan telefon oleh isteri pakcik Rafiq membuatkan dia jadi tidak tentu hala. Risau jika apa-apa terjadi kepada kedua-duanya. Fariz tidak ingin kehilangan anak itu, mahupun Irah. Tamakkah hatinya kerana berperasaan begitu?

Tangisan Irah tidak berhenti. Dia benar-benar takut. Fariz boleh berbuat apa sahaja. Kalaulah Fariz tiba-tiba merampas bayi yang sedang dipangku dalam keadaan dirinya yang lemah tidak berdaya, pasti dia boleh jadi gila. Dia bimbang sekali Fariz akan bertindak sedemikian. Ah! Lelaki itu tidak boleh diduga.

Fariz tersenyum tenang. Dia seakan faham apa yang bergolak dalam pemikiran isterinya itu.
“Anak kita perlukan ibunya. Buat sementara waktu ini, Irah jagalah dia. Pastikan dia sihat. Abang takkan buat perkara yang bukan-bukan. Irah jangan risau. Abang takkan rampas anak ini begitu sahaja. Irah pun ibunya juga. Tunggu Irah sihat dulu baru kita bincangkan perkara ini.” Kata-kata Fariz itu melegakan hatinya yang sedang lara.

“MAK tak setuju! Anak tu bukan anak dia seorang! Anak Fariz juga. Cucu keluarga ni!” Zahidah menghenyakkan punggung ke sofa sambil memeluk tubuh. Wajahnya mencuka. Nada tegasnya meluahkan rasa marah di dalam hati.
“Fariz tahu mak. Tapi, takkan Fariz nak buat begitu sekarang. Anak tu pun anak dia juga.” Fariz bersuara lembut. Tidak mahu mencetuskan pergaduhan dengan ibunya.
“Habis, kita semua ni tak ada hak ke atas baby tu? Dia sorang saja? Kamu tu apa? Tunggul kayu?” Herdik Zahidah. Masih tidak berpuas hati.
“ASTARGFIRULLAHALAZIM! Bawak mengucap Ida! Awak sedar tak apa awak cakap ni? Anak tu anak mereka berdua. Biarlah mereka yang tentukan anak tu akan tinggal dengan siapa.“ Azri tidak setuju dengan sikap isterinya. Dia menggeleng-geleng. Sesal juga atas perpisahan anaknya yang sepatutnya tidak harus terjadi.
“Ah! Ida tak peduli! Itu satu-satunya cucu kita bang! Dia nak jaga anak tu? Huh! Apa yang dia ada? Apa yang boleh dia sediakan? Entah-entah, mati kebulur cucu aku tu nanti. Budak muda macam dia bukannya reti nak menjaga anak. Keluarga sendiri pun tak ada. Kalau apa-apa jadi nanti, nak harapkan siapa?” Selar Zahidah, tidak bersetuju. Marahnya pada Irah masih belum habis. Tidak mudah dia melupakan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh menantunya itu.
“Fariz, kamu berdua masih lagi suami isteri. Cuma tak tinggal sebumbung. Mungkin pada luarnya kamu sudah berpisah. Tapi hakikatnya tidak. Abah tak setuju dengan perceraian kamu ni. Fikirkanlah apa akan jadi pada anak tu. Cuba bawa berbincang dengan Irah. Mungkin semua ni boleh diselamatkan kalau kamu berdua bertolak-ansur. Selesaikan masalah dengan cara yang baik. Kamu seorang ayah sekarang. Kamu kena fikirkan tentang anak kamu, jangan diturutkan perasaan sendiri. Irah pun tak ada siapa-siapa selain kamu dan keluarga bapa saudaranya. Kamu sanggup ke lepaskan dia macam tu aje?” Azri cuba memberi nasihat, menyedarkan anaknya akan risiko yang bakal dihadapi kesan dari perpisahan itu.
“Ah! Dia yang cari fasal! Dah elok-elok kahwin, buat perangai. Tuduh orang yang bukan-bukan. Ada laki, bukannya nak layan elok-elok. Bawak bergaduh. Dia yang lari dari rumah ni. Bukannya Fariz yang halau dia! Dah dia jugak yang nak bercerai!” Zahidah mendengus.

“Mak, dengar dulu. Fariz bukan tak nakkan anak tu. Fariz pun sayangkan anak Fariz. Tapi takkan Fariz sekejam itu nak merampas anak Fariz dari tangan dia. Dia baru aje melahirkan anak. Cuba kalau mak berada di tempat dia. Sanggup ke kalau orang ambil anak mak sedangkan mak dalam keadaan macam tu?” Zahidah terdiam. Kata-kata anaknya itu ada betulnya juga. Dia sendiri boleh jadi gila meroyan kalau tiba-tiba anak yang dilahirkannya dengan susah-payah dibawa lari orang.

“Antara Fariz dan Irah, biarlah kami yang selesaikan sendiri. Mungkin kami dah tak ada jodoh untuk bersama. Apapun, Fariz akan berikan yang terbaik untuk anak Fariz.” Putusnya. Dia tidak mahu bertekak lagi fasal ini. Biarlah segalanya berakhir dengan aman...



---------------- sedutan episod ke 10 -------------------------

“Habis tadi tu apa? Jangan nak kelentong dengan saya. Saya tahu sangat perangai budak-budak muda sekarang ni. Itulah, belum apa-apa dah sibuk nak bercinta. Esok-esok kahwin bercerai-berai. Menyusahkan diri sendiri.” Irah rasa tertusuk dengan kata-kata itu. Aduh! Bisanya.
“Haa... tengok tu. Baru saya tegur sikit, nak menangis lagi. Apa ni? Sikit-sikit nak menangis.” Mustakim menarik muka bila dilihatnya ada air mata yang cuba ditahan dari menitis di birai mata perempuan itu. Alahai, murahnya air mata!
Siri Ini special untuk Puan Zafina