Wednesday, December 2, 2009

Menggapai Kasih Part 11

Kereta Mercedez ibu menyusur masuk ke perkarangan rumah. Sekali lagi, di kawasan berbumbung berhampiran pintu utama itulah ibu telah meletakkan keretanya. Lampu mata belalang dipadamkan, diikuti oleh bunyi pintu dibuka, seterusnya diikuti bunyi gerak kaki ibu melangkah masuk ke dalam rumah. Bagaikan orang sedang mengejarkan sesuatu, ibu terjerit-jerit memanggil nama anaknya
“Nurul! Nurul!” jerit ibu dari bawah.
“Nurul di atas ibu!” sahut Nurul yang sedang tekun mengulangkaji pelajaran.
Pintu bilik diketuk.
“Masuk! Pintu tak berkunci!” arah Nurul bersahaja tanpa memalingkan mukanya.
Ibu memulas tombol pintu lalu masuk.
“Nurul.. ibu ada berita baik untuk kita berdua!” kata ibu lantas menyentuh kedua tunggul bahunya dari belakang.
Terdorong oleh suara yang ghairah, dia memusingkan badannya, mendapatkan ibunya yang telah sedia berdiri. Dan apa yang segera menarik perhatiannya ialah wajah ibunya kelihatan berseri-seri.
“Kenapa ibu?” tanyanya agak terkejut.
“Ayah.. Ayah Nurul dah balik!” beritahu ibu sambil tersenyum lebar.
“Apa dia?”
“Ayah Nurul..” ulang ibu. “Azizi.. dia dah balik!”
“Hah?”
Tergamam. Segera berubah air mukanya.

* * * * *

Sangka Nurul, apabila ibu menggunakan istilah ayah, tentulah ia merujuk kepada ayah tirinya tetapi apabila disedari bahawa perkataan itu merujuk kepada ayah kandungnya, serta-merta tubuhnya menjadi seram sejuk. Serta-merta terbayang sajak-sajak Azizi. Kepingan gambar Azizi yang pernah ibu tunjukkan kepadanya pun tergambar di ruang matanya. Serta-merta juga timbul pelbagai pertanyaan dan kebimbangan kalau-kalau ayahnya nanti tidak dapat menerima kewujudannya sebagaimana diri ini seharusnya dilayani?
“Oh.. Nurul ya? Cantik.. cantik.. pakcik tak sangka ibu kamu ada seorang anak gadis yang sebegitu cantik..”
“Pakcik.. saya ada satu perkara nak beritahu pakcik..”
“Apa dia Nurul?”
“Saya adalah anak pakcik..”
“Apa dia?”
“Saya adalah anak yang telah pakcik tinggalkan selama tujuh belas tahun..”
“………………”
Nurul memejamkan mata. Ketar seluruh sendi-sendinya dan sukar untuk dipastikan apakah perasaannya pada ketika itu! Dia merenung muka ibunya yang sedang makan. Ibunya asyik senyum-senyum sejak dari malam tadi. Dia renung langsir-langsir yang berkibaran dan dia ternampakkan wajah Azizi muncul di mana-mana. Bukan tawa mesra yang Azizi berikan. Bukan renungan pengasih yang Azizi lemparkan tetapi wajah itu, saling tak tumpah bagai arca bisu yang tidak punya sebarang perasaan. Kaku dan keras.
Takut, rindu, gelisah, semua adalah kombinasi perasaan yang sangat membebankan. Ia berupaya menghilangkan kegirangan, melunturkan ketenangan dan apa yang lebih dahsyat ialah ia menyebabkan bulu roma meremang, mata sukar hendak dilelapkan dan selera makan makin berkurangan.
Akan tetapi apalah yang dapat dilakukannya kerana pada hari itu ibu akan membawa dia pergi berjumpa dengan ayah kandungnya. Ada perkara dalam hidup ini apabila kita berhadapan dengannya, ia akan membawa kita kepada dua kemungkinan iaitu kemungkinan yang baik atau kemungkinan yang buruk. Dan bagi dirinya, dia lebih suka mengambil jalan selamat iaitu menjauhkan diri dari melalui perkara sedemikian. Sekurang-kurangnya biarpun akibat yang baik tidak dapat dikecapinya tetapi dia telah berjaya menghindarkan dirinya dari ditimpa keburukan.
Itupun jika dia diberi peluang untuk membuat pilihan! Apabila pintu diplomasi sudah tertutup rapat, dan dia pula tidak dibenarkan membantah, tiada apa yang dapat dia lakukan selain daripada terpaksa akur.
“Kenapa Nurul termenung?” tanya ibu tiba-tiba.
“Eh?”
“Nurul nampak macam bimbang sangat..”
“Eh, tak adalah..” jawabnya gugup.
“Nurul mesti tolong ibu. Inilah penantian ibu selama ini. Ibu mahu Nurul tunjukkan sikap yang baik depan Azizi nanti.”
Angguk.
“Ibu nak jelaskan segala kebenaran kepada Azizi. Ibu nak dia tahu yang dia ada tinggalkan seorang anak gadis di sini.”
“Nurul faham ibu.”
“Dia belum lagi berkahwin, sayang. Semuanya semata-mata kerana cintanya kepada ibu ..”
“Ibu janganlah bimbang..” pujuk Nurul cuba meyakinkan ibunya. “Nurul janji, Nurul akan berlaku sebaik mungkin di depan ayah..”
Dan dengan janji yang sedemikian besar, Nurul mula sedikit demi sedikit membina kepercayaan terhadap lelaki yang bakal mereka temui dalam beberapa ketika sahaja nanti. Tak mungkin seorang lelaki yang memiliki cinta yang begitu hebat, rela membujang bertahun-tahun kerana setia pada kenangan cintanya, tetapi kemudiannya menjadi seorang penzalim pula yang tergamak membuang anak hasil dari benihnya sendiri, anak yang selama ini dicanangkan sebagai bukti perkongsian kasih dua jiwa yang kononnya saling memerlukan itu!
Tak mungkin, cinta dan zalim tak bisa bersatu! Dan nukilan-nukilan Azizi sendiri sudah cukup membuktikan bahawa lelaki itu bukanlah seorang yang kejam.
Iya, Azizi bukanlah seorang yang kejam.
Akhirnya dia pun menjadi yakin.
Pukul dua tengah hari. Begitu angka yang ditunjukkan pada dashboard kereta ibu. Sama ada rela atau tidak, dia telah pun dalam perjalanannya menuju ke pejabat Azizi. Dia menjeling ibu di kerusi pemandu yang tampil bersama sehelai kebaya biru muda dan rambut bersanggul tinggi. Kerongsang emas berbentuk bunga tersemat rapi di dada ibu, dan satu utas kalung tembaga cukup menyerlahkan ketrampilan ibu sebagai seorang wanita moden yang cantik tetapi belum hilang ciri-ciri kemelayuannya.
Nurul sendiri memilih sehelai kurung labuh bertatah manik-manik kecil sebagai busana yang bakal dipersembahkan kepada ayahnya nanti. Destinasi mereka kian hampir, masa dirasakan kian singkat, dan debar pula bagai meronta-ronta ingin keluar dari sangkar hatinya. Riak wajah ibunya tenang sahaja.
Sebentar, kereta itu dibelokkan ke perkarangan sebuah bangunan tinggi berwarna biru berkilat, mewah dilapisi cermin-cermin hitam dan di perkarangannya, terdapat pokok-pokok hiasan pelbagai warna.
“Ha, di sinilah tempat Azizi bekerja..” beritahu ibu sejurus, selepas meletakkan kereta di sebuah kawasan di bawah bangunan.
Nurul tidak membalas. Dia mengikut sahaja ibunya keluar dari kereta, langsung bergerak kemas menuju ke pintu lif. Beberapa minit menunggu, pintu lif terbuka. Tiga orang keluar dan mereka pula masuk. Ibu menekan butang angka tujuh belas dan mereka pun membiarkan lif mendaki tingkat demi tingkat menuju ke atas.
Tingkat enam belas. Lif itu terbuka. Seorang wanita cina masuk. Berdebar menunggu setingkat lagi, dia menarik nafasnya dalam-dalam. Sambil menggenggam tangannya yang sejuk, lif telah membawa mereka maju ke satu tingkat yang lebih tinggi.
“Jom!” ibu menarik tangannya sebaik sahaja pintu lif pada tingkat tujuh belas itu terbuka. Dia menurut perintah ibu lalu menginjakkan kakinya keluar.
“Nurul takut?” tanya ibu lembut.
Geleng.
“Nurul jangan takut.. ayah Nurul baik orangnya.. dia tak makan orang..”
Angguk.
Ibu menolak pemegang pintu kaca di hadapan mereka. Sambil memandang-mandang ke sekitaran pejabat yang mewah, mereka singgah bertanya ke meja receptionist.
“Selamat petang puan,” sapa seorang gadis kerani yang sememangnya ditugaskan untuk menunggu di situ.
“Boleh saya berjumpa dengan encik Azizi?” tanya ibu, ramah.
“Encik Azizi Nawawi?” kerani itu meminta kepastian.
“Ha.. iya.. encik Azizi Nawawi..”
“Puan ada buat appointment?”
“Tak ada, tapi katakan saja ada kawan lama dia ingin berjumpa..”
“Sebentar ya, puan.”
Gadis itu tunduk ke meja. Dia membiarkan Nurul dan ibu menunggu. Selepas bercakap-cakap sesuatu di telefon, tumpuannnya kembali kepada dua orang tetamu yang pada perkiraannya sungguh elegan dan bergaya.
“Puan boleh berjumpa dia sekarang, encik Azizi sedang menanti saudari berdua di biliknya..” jemputnya sambil menunjuk ke arah bilik yang dimaksudkan.
“Terima kasih..” ucap ibu bersertakan senyuman pendek.
Tepat dua tiga puluh petang, Nurul dan ibu terpacak betul-betul di hadapan pintu sebuah bilik yang diperbuat dari kayu jati. Tertera di atasnya dua perkataan dalam bahasa inggeris, “Assisstant Director”, iaitu sejenis papan tanda yang cukup untuk menggambarkan betapa hebatnya taraf sosial orang yang bakal mereka temukan sebentar sahaja nanti.
Tok, tok, tok!
Ibu mengetuk pintu bilik.
“Masuk!” satu suara yang tegas memberi arahan dari dalam.
Nurul dan ibu saling berpandangan. Mereka mengangguk sesama sendiri seolah-olah cuba menyalurkan keyakinan ke dalam diri masing-masing. Sebentar, ibu memulas tombol pintu dan mereka mula melangkah masuk ke dalam. Nurul berselindung membelakangi ibunya.
“Iya?” seorang lelaki dalam lingkungan lewat tiga puluhan, berpaling menghadap mereka. Lengkap memakai sut warna kelabu cerah, berkemeja warna hijau pucuk pisang dan dasi warna kuning berkilat, ditambah pula haruman CHANEL, lelaki itu ternyata tidak mengenali mereka.
“Azizi?” suara ibu kedengaran gugup.
Berkerut-kerut dahi Azizi mengamati.
“Azizi dah tak ingatkan kita?” lanjut ibu kian berharap.
Azizi meneliti penampilan ibu dari atas sehingga ke bawah. Seperti terdesak mencari sesuatu yang segera hendak diingati, akhirnya lelaki itu membuat tekaan.
“Kalau Ziz tak silap.. awak ni tentu S..Salina kan?”
Alangkah gembira ibu mendengar pengakuan itu.
“Iya Ziz.. ini Salina...” balas ibu keriangan.
“Salina binti Murad?” teka Azizi lagi.
“Iya, inilah Salina yang Ziz maksudkan..”
“Wow, what a surprise.. sudah lama betul kita tak jumpa..”
“Sudah tujuh belas tahun Ziz.. Tujuh belas tahun bukan satu tempoh yang pendek..”
“Eh, buat apa berdiri kat sana.. silalah duduk..” Azizi mempelawa mereka berdua duduk.
Di hadapan mereka ada sebuah meja kayu yang kemas berisi fail dan buku-buku, serta sebuah komputer peribadi. Dua buah kerusi diletakkan di hadapan meja itu khusus bagi menyambut para tetamu. Pada kerusi yang dua itulah Nurul dan ibunya mengambil tempat. Dan pada kerusi yang dua itulah kehadiran Nurul yang tadinya tidak disedari, tiba-tiba berjaya meraih perhatian Azizi.
“Eh, ini sapa pulak ni?” tanya Azizi mendadak, tatkala Nurul tunduk menahan debaran.
Mujur ibu segera menyampuk, bijak pula mengawal keadaan.
“Ini Nurul..” beritahu ibu, memperkenalkan anak gadisnya.
“Oh.. cantik..” Azizi senyum kagum. “Saling tak ubah macam rupa Zikri..”
“Eh.. bukan!” potong ibu pantas. “Ini bukan anak Zikri..”
“Bukan?” Azizi terkejut. “Kalau bukan anak Zikri, anak sapa pula?”
“Alah.. nanti Ina terangkanlah.. panjang ceritanya..” dalih ibu sengaja menyembunyikan maksud tersirat menerusi kata-kata yang lembut dan bersahaja.
Ibu dan Azizi saling berpandangan. Untuk seketika kedua-duanya terpukau merenung antara satu sama lain dan kemudiannya setelah menyedari keterlanjuran masing-masing, semerta mereka mengalihkan apa yang tidak sewajarnya dilakukan di hadapan seorang gadis semuda Nurul, lantas mereka tersipu-sipu kelucuan.
“Tak sangka Salina masih cantik..” puji Azizi berseloroh.
“Azizi apa kurangnya.. masih segak, masih bergaya. Cuma kumis nipis menambah gaya. Hati di dalam entah siapa yang punya..”
Azizi ketawa mendengar usikan ibu.
“Salina.. Salina.. dah lama Ziz tak dengar kata-kata sebegitu..” ucapnya keharuan. “Selepas Ina kahwin, keadaan terlalu cepat berubah hinggakan Ziz tak sempat menyesuaikan diri dengan semua perubahan tu..”
Air muka ibu berubah. Teduh. Ternyata apa yang diluahkan oleh Azizi telah menembus masuk ke dalam sanubarinya.
“Entahlah Ina..” keluh Azizi lagi. “Kita adalah manusia yang terpenjara kepada kehendak takdir. Kita tak dapat buat satu apa pun sesuka hati kita melainkan semua itu telah ditetapkan oleh takdir..”
Ibu masih membisu.
“Hati seringkali mengimpikan kemungkinan yang indah tetapi takdir jarang-jarang seiring kehendak hati..”
“Azizi..” tiba-tiba ibu memotong.
Azizi terdiam. Dia memandang kosong kepada ibu.
“Kenapa Azizi kena cakap pasal semua ni? Bukankah ini adalah kisah silam kita yang buruk?”
Diam lagi.
“Sudah tujuh belas tahun berlalu dan Ziz sepatutnya sudah punyai seorang isteri..”
“Ina..” tingkah Azizi berat. Dia menentang tepat ke mata Salina. “Apabila sebuah hati telah dipenuhi oleh perasaan cinta kepada seseorang, masih adakah ruang untuk cinta yang lain mengambil tempat?”
Ibu tergamam.
“Terus terang Ziz katakan, Ziz masih cintakan Ina..” tenang Azizi membuat pengakuan.
“Ziz..” mata ibu mula berkaca-kaca. “Ina juga masih sayangkan Ziz, macam dahulu juga..” luah ibu tertahan-tahan.
“Apalah gunanya pengakuan itu Salina, sedangkan diri Salina kini telah lama menjadi isteri Zikri yang sah?”
“Ziz.. kami dah bercerai..” umum ibu mendadak.
“Hah?” Azizi kaget.
“Benar Azizi.. kami dah lama bercerai..” ulang ibu lebih tegas dan lebih berat.
“Tapi..”
“Kami tak pernah bahagia Ziz. Biar kami duduk sebumbung, tubuh ini tak pernah Ina relakan disentuh oleh Zikri. Tubuh ini Ina serahkan hanya untuk lelaki yang paling Ina sayangi iaitu Ziz..”
Azizi kelu tanpa suara. Entah kerana terkejut atau bimbang, apa yang diucapkan oleh Salina itu tidak sama sekali menyenangkan perasaannya.
“Tujuh belas tahun Ina menanti kepulangan Ziz untuk menjelaskan segala-galanya..” ibu terus hanyut dalam lautan emosi.
Aziz bingkas dari kerusi, kemudiannya mundar-mandir beberapa kali di sekeliling kerusi, tetapi akhirnya langkah kakinya terpaku di hadapan cermin besar biliknya yang ditutupi oleh jaringan-jaringan bidai berjalur menegak. Dia ingin melarikan diri dari mendengar rintihan-rintihan Salina tetapi kata-kata itu tetap juga berkumandang dan semakin galak didengarnya, semakin meremang bulu romanya. Terbit peluh-peluh jernih di permukaan dahinya sebagaimana telah terbitnya bayangan wajah Zikri di ruang matanya.
“Ina tak dapat maafkan perbuatan khianat Zikri yang telah menghancurkan kita..”
Azizi ketap bibir, gelisah.
“Ziz.. sebenarnya peristiwa Ina ditangkap basah tujuh belas tahun yang lampau adalah rancangan jahat Zikri untuk memisahkan kita.”
Tiada reaksi.
“Dia bubuh ubat tidur dalam air minuman Ina dan selepas Ina terlena, kami pun diaturkan supaya tidur berdua di dalam sebuah hotel. Zikri sengaja biarkan pegawai pencegah maksiat menyerbu kami supaya dia dapat mengahwini Ina dengan cara yang kotor..”
“Cukup..” potong Azizi.
“Ina tak bersalah Ziz.. Ziz dah salah sangka..”
“Cukup.”
“Pada masa tu, Ina sedang mengandungkan anak kita, Ziz!”
“Cukup!” tiba-tiba Azizi menengking.
Ibu terkejut dan terdiam. Kecut seluruh tubuhnya sebagaimana tubuh anaknya sendiri yang sedang menggeletar mengawal ketakutan. Suasana bertukar sepi dan apa yang kedengaran hanyalah bunyi pusingan kipas penghawa dingin menjalankan tugas.
Azizi bergerak meninggalkan jendela. Dia berpaling melirik dua beranak yang kelihatan kerdil pada ruang mindanya. Sejenak, dia menjeling sekilas pada Nurul yang masih muda tetapi sudah memiliki paras tubuh wanita yang memikat.
“Ina jangan pandai-pandai nak buat cerita pula..” sekali lagi dia memberi amaran, seolah sengaja menujukan kata-kata itu kepada Nurul.
Nurul tidak bergerak, sebaliknya ibulah yang telah mendongak, bersedia menggantikan dirinya dalam menghadapi apa jua kemungkinan.
“Ziz ingat, selepas tujuh belas tahun Ziz menghilang, Ina akan lupakan segala-galanya. Seterusnya membina hidup yang bahagia di samping lelaki yang paling menyayangi Ina iaitu Zikri..” kata Azizi bersama lagak angkuhnya. “Tapi rupanya Ziz dah silap..”
“Apa maksud Ziz?” sampuk ibu curiga.
“Heh,” Azizi ketawa sinis. “Rupa-rupanya Ina masih bodoh kerana tetap jua percayakan seorang lelaki yang telah mendominasi permainan antara kita bertiga selama ini..”
Ibu menjadi semakin keliru.
“Sebenarnya, Zikri bukanlah orang yang merancangkan peristiwa tangkap basah pada malam jamuan kampus kita dulu. Tetapi orang yang merancangnya ialah..”
Nurul dan ibu berdebar menanti.
“Tapi Ziz lah dalang yang merancang semuanya!” umum Azizi selamba sambil ketawa galak.
Tergamam dan keliru, ibu tidak dapat mempercayai apa yang telah didengarinya.
“Apa semua ni, Ziz?” tanya ibu. “Ina tak faham..”
Azizi ketawa lagi. Makin sinis dan makin menghiris. Laksana watak antagonis dalam filem melayu.
“Baik..” balas Azizi. “Jika Ina betul-betul nak tahu, biarlah Ziz jelaskan semuanya. Lagipun Ziz sendiri dah tak sanggup nak biarkan Ina menyiksa kawan baik Ziz sendiri!”