Wednesday, December 2, 2009

Menggapai Kasih Part 1

Loceng sekolah berbunyi. Guru menghabiskan pengajaran. Pelajar-pelajar bergegas mengemas barang-barang. Nurul bangkit dari tempat duduknya. Perlahan-lahan dia menyandang beg ke bahu dan kemudiannya dia menggerakkan pula tapak kakinya, lemah dan gontai, menuju ke luar, mengikuti puluhan pelajar-pelajar lain yang kebanyakannya berlari dengan girang sekali mendapatkan ibu-bapa masing-masing. Atau ada juga sebahagian kecil yang lebih selesa berjalan kaki pulang ke rumah bersama teman-teman seperjuangan. Sambil mereka berjalan itu, sambil mereka berbual-bual bergelak ketawa. Tidak putus-putus cerita mereka. Ada sahaja topik menarik yang dapat mengundang suasana ria. Atau ada juga sebahagian yang lain, biarpun usia kian meninggi, masih gemar menaiki bas persekolahan yang disediakan untuk pulang. Mungkin kerana mudah dan selamat, atau kerana hendak berseronok dengan kawan-kawan, lalu faktor umur tidak lagi menjadi pertimbangan.
Dalam beberapa ketika, Nurul semakin jauh meninggalkan blok bangunan tiga tingkat itu. Suasana yang sebelumnya riuh, kini mula dijajahi kesunyian. Dan Nurul dapat mendengar bunyi angin bertiup kencang. Banyak daun-daun jatuh ke tanah dan terdengar juga bunyi ranting bergesel serta batu-batu berlaga.
Awan petang berarak mendung. Membawa kegelapan kepada langit dinihari yang sememangnya hampir gelap kerana menyambut kedatangan senja. Sekali-sekala, ada suara guruh berkumandang. Memberi khabar sebentar lagi hujan akan singgah membasahi bumi tuhan, membawa rahmat lalu menghalau kekontangan supaya pergi jauh-jauh meninggalkan daerah ini. Semasa kaki Nurul diinjakkan betul-betul berhampiran pintu pagar sekolah, dia dapat melihat ayahnya sedang menunggu di kereta di seberang jalan. Ayah memakai sehelai kemeja kotak-kotak yang tidak dibutangkan, tidak juga disisipkan, seolah sengaja dibiarkan ternganga bagi mendedahkan lapisan t-shirt putih di dalamnya. Seluar khakis ayah tersarung kemas tetapi ada banyak kesan kedutan, tanda seluar itu telah lama dihenyak oleh pemakainya pada sepanjang-panjang hari.
Ayah yang sedang menggenggam sekaki payung tersenyum manis apabila melihat dia datang. Masih tampan dan masih segak, rupa ayah tetap memikat biarpun tanda-tanda penuaan kian ketara di sana-sini. Tubuh ayah yang kelihatan bertambah susutnya, tetap jua belum mahu mengalah dari terus menaburi khidmat dan jasa kepada dirinya.
“Ayah..” ucap Nurul keharuan.
Ayah tidak menjawab sebaliknya ayah terus memeluknya.
“Ayah apa khabar?” tanya Nurul, perlahan.
“Ayah baik.. Nurul?”
“Baik juga..”
“Nurul dah makan?”
“Belum..”
“Kalau gitu, kita pegi makan ya? Nurul tentu lapar..”
Angguk.
Suara garau ayah kedengaran begitu menusuk. Begitu lembut dan begitu pengasih. Memang sering dia menanti ayah berkata-kata kerana setiap kata-kata ayah adalah titisan-titisan air yang membasahi tekak di kala berasa tersangat dahaga. Ucapan-ucapan ayah mengandungi madu yang bisa menghilangkan segala kepahitan hati. Setiap kali ayah berbicara, ungkapannya tulus bunyinya, amat mesra dan terbit bersih dari dalam jiwanya. Ayah tidak pandai berpura. Kalau ada keresahan, keresahan itu akan ketara pada pertuturannya. Kalau ada kesayuan, kesayuan itu akan terserlah melalui riak wajahnya.
Oh, ayahku sayang.
Hujan mulai turun menimpa bumi. Gerimis dan rintik-rintik bagai tangisan anak dara putus bercinta. Ayah memimpin tangannya menuju ke proton saga merah milik ayah. Kereta itu sudah lapuk dan buruk tetapi Nurul tetap suka menaiki kereta itu kerana banyak nilai sentimental terukir antara dia, ayah, dan kereta itu. Nilai-nilai itu tidak mungkin terhapus oleh gesaan masa biarpun suatu masa nanti, ketika dia sudah berumah tangga, dan punya keluarga bahagia, kenangan-kenangan itu tetap akan disimpannya pada ruang yang paling istimewa di dalam kotak ingatannya.
Sedang mereka berpayungan, tergesa-gesa ingin masuk ke dalam kereta, tiba-tiba sebuah kereta merdecedez, berhenti betul-betul di hadapan tempat mereka berdiri. Kereta itu membunyikan hon dan cermin hadapannya terbuka dengan sendiri.
Wajah seorang wanita cantik pertengahan usia, berkaca mata hitam terjengul keluar. Segera mengenali itulah ibunya, Nurul menjadi kaget. Ayah pula terpaku tanpa suara.
“Nurul!” panggil ibu, keras.
Nurul mengangkat kepalanya, gugup.
“Masuk dalam kereta!” perintah ibu lantang.
Nurul serba salah. Dia memandang wajah ayahnya. Kemudian kembali merenung wajah mencuka ibunya.
“Nurul pergilah..” suruh ayah lembut.
“Tapi..”
“Tak apa.. kita jumpa di rumah nanti..”
Nurul mengangguk akur. Bersama hati yang berat, Nurul mencapai payung dari ayahnya. Dia melangkah gontai menuju ke kereta ibu. Dan selepas itu dia masuk ke tempat duduk belakang.
Hujan semakin lebat. Ayah tercegat kebasahan. Memerhatikan segala-gala yang berlaku bagaikan patung yang tidak mampu menghalang. Berkali-kali Nurul berpaling ke belakang, mengamati kelibat ayahnya ketika kereta mercedez ibu bergerak meninggalkan perkarangan sekolah. Kelibat ayah semakin lama semakin menjauh dan menjadi samar-samar. Nurul tahu ayah sedih, dan dia juga turut merasakan betapa sedihnya hati ayah menanggungi semua ini. Namun inilah yang terpaksa mereka lalui sejak enam belas tahun lampau, sejak dirinya masih lagi jahil tentang erti hidup sebagai seorang manusia. Dan sehingga sekarang keadaan ini tidak pernah berubah walaupun sedikit. Tanpa sebarang tanda akan pulih, peristiwa yang berlaku bertambah buruk dari sehari ke sehari.
Nurul tidak mengerti bagaimana dua orang yang saling membenci boleh hidup bersama. Sebagai anak, dia cuba untuk berlaku adil kepada kedua orang tuanya. Dia sayangkan kedua mereka dan dia tidak sanggup kehilangan salah seorang dari mereka. Namun, sikap ibu yang agresif dan pengaruh ibu yang ketara penguasaannya, seringkali membuatkan dia gagal mempertahankan prinsip keadilannya. Seringkali dia terpaksa memberati ibunya dalam banyak perkara dan seringkali juga dia terpaksa melukai hati ayahnya sebagai akibat langsung dari ketidakupayaan semulajadinya.
Ibu tersangat berkuasa dan ibu adalah pemerintah diktator di rumah. Jika Hitler adalah diktator bagi negara Russia, ibu pula adalah diktator bagi negara rumah mereka. Kerana kuasa itulah, negara rumah mereka terbelah seperti Jerman Barat dan Jerman Timur. Mereka dipisahkan oleh sebuah benteng maya yang diciptakan oleh ayah dan ibu. Nurul, seorang rakyat negara ibu, yang sekadar punya kuasa menurut, dihalang sama sekali meminta penjelasan mengapa keadaan itu berlaku, apalagi cuba merobohkan benteng yang sedia ada. Jika tidak, dia akan dianggap sebagai pembelot negara. Apakah hukuman yang paling setimpal untuk seorang pembelot melainkan penyiksaan? Kerana enggan melihat dirinya disiksalah maka ayah banyak mengalah. Ayah sanggup menerima segala tulah dan ayah sanggup membiarkan diri sendiri parah.
Ayah.. apakah sebenarnya yang telah berlaku antara kalian? Mengapa insan semulia ayah harus dihukum ibu sedemikian rupa? Dan mengapa anak ini tidak dibenarkan untuk menghampiri ayahnya sedangkan mereka duduk di bawah satu bumbung yang sama, di bawah satu ukhuwwah yang serupa?
“Oh, jadi Nurul nak tahu sangatlah segala-galanya?” herdik ibu sebaik sahaja mereka tiba di rumah.
“Nurul tak faham, kenapa ibu sanggup buat ayah macam tu sekali..” bantah Nurul, cuba menunjukkan keberaniannya.
“Baik.. kalau Nurul nak tahu, ibu boleh jelaskan.” tegas ibu sambil bercekak pinggang. “Ibu rasa Nurul dah cukup matang untuk mengetahui kebenarannya..”
Nurul diam. Berdebar dia mendengar kata-kata ibu. Tidak sabar-sabar dia menanti ‘kebenaran’ yang bagaimanakah akan ibu kemukakan nanti, dan apa yang lebih penting, adakah kebenaran itu bakal menjawab segala kekeliruannya?
Ibu bangkit dari sofa. Sambil bergerak perlahan-lahan menghampiri pintu gelungsur, wanita itu menyelak kain langsir labuh yang menabiri. Ibu pandang terus ke dalam halaman yang basah, dan kemudiannya berpaling pula menandang anaknya yang masih tercongok membatu.
“Nurul..” panggil ibunya.
Nurul mengangkat kepala gugup.
“Apa yang ibu nak cakapkan ni, mungkin akan mengejutkan Nurul..”
“Cakaplah ibu.. Nurul sudah bersedia..” pintanya lemah.
“Sebenarnya.. Sebenarnya Zikri bukan ayah kandung kamu..”
Terkejut. Nurul memandang muka ibunya.
“Zikri bukan ayah kandung kamu..” ulang ibu lagi. Lebih tegas dan lebih meyakinkan.
Nurul terkejut tetapi segera dapat dikawal bahasa tubuhnya.
“Nurul adalah anak luar nikah..”
Nurul kian terkejut.
“Nurul adalah anak bekas kekasih ibu, Azizi..”
Nurul menekup mulut. Berita ini terlalu besar dan dahsyat untuk dia hadapi. Air matanya ingin melimpah, tetapi mengingat kepada janjinya bahawa dia akan tabah, terpaksa juga dia kumpulkan segala kekuatan yang ada biar dari sudut tubuh yang paling terpencil sekalipun. Dia sudah berjanji dengan ibunya dan dia perlu membuktikannya.
Hati; kau perlu kuat!
Mata; kau perlu kuat!
Ya, kita perlu kuat!
Ibu pun bercerita lagi. Cerita yang sangat dahsyat dan menakutkan. Cerita yang menyingkap satu-persatu tabir yang menyembunyikan kekeliruan Nurul selama ini. Wajah ibu berkerut-kerut semasa bercerita itu. Ibu tampak tersiksa. Air mata ibu mengalir berkali-kali. Serta-merta Nurul menjadi simpati kepada ibunya.
Kata ibu, ibu pernah mempunyai kekasih semasa di bangku universiti. Azizi, itu nama yang ibu gelarkan. Zikri, ayah Nurul sekarang adalah sahabat karib Azizi. Kedua-dua mereka saling menyimpan perasaan terhadap ibu. Akan tetapi hati ibu cuma terpaut kepada seorang lelaki sahaja dan lelaki itu adalah Azizi. Mereka berkenalan secara kebetulan kerana diperkenalkan oleh teman sebilik ibu. Bermula dari perkenalan itulah, terbitnya pintu pertemuan yang seterusnya membuka kepada pintu persahabatan dan akhirnya terbuka kepada pintu percintaan.
Dalam pada itu, kehadiran Zikri yang tidak diundang sering mencipta kekeruhan antara ibu dan kekasihnya. Kekerapan lelaki itu mengunjungi ibu atas urusan-urusan yang tidak penting yang kelihatannya seperti disengajakan, kerap menimbulkan kecurigaan di hati Azizi. Kecurigaan itu secara hukumnya langsung membuatkan ibu serba salah setiap kali Azizi datang menuntut penjelasan.
“Tidak Ziz sangka rupanya Salina pisau serampang dua mata..di hujung makan, di pangkal pun makan..” herdik Azizi kencang sewaktu pertemuan mereka di sebuah kafetaria.
“Ia tak seperti yang Azizi sangkakan.. kami hanya berbincang tentang pelajaran..” jelas ibu, terpaksa membela dirinya.
“Banyak orang berkata-kata.. takkan semuanya dusta.. kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang?”
“Azizi, Ina tak tahu apa lagi hendak Ina katakan.. Apa yang sepatutnya Azizi tahu dah pun Azizi tahu.. apa lagi yang boleh Ina lakukan kalau Azizi tak mahu percayakan Ina..”
“Baik.. jika sungguh kata-katamu..” kata Azizi. “Ziz perlukan bukti..”
“Bukti? Bukti apa?” kening ibu menjungkit kehairanan.
“Bukti kesetiaan..”
Ibu tergamam mendengar permintaan Azizi tatkala lelaki itu membisikkan erti ‘kesetiaan’ yang dimaksudkan. Fikiran ibu buntu menimbangkan kewajaran yang harus dilaksanakan. Ibu takut untuk menerima tetapi ibu juga takut untuk kehilangan Azizi. Menolak bererti tidak setia dan menerima pula ertinya terpaksa menggadai kehormatan diri.
Akhirnya ibu akur juga setelah dipujuk Azizi berkali-kali. Ibu percayakan Azizi. Ibu yakin Azizi lelaki murni. Maka, ibu dengan rela hati membuktikan kesetiaannya dan yakinlah Azizi kepada kesungguhan ibu. Ikatan mereka pun kembali bersemi. Apa yang retak kembali disangga, apa yang kering kembali dibasahi, cinta keduanya subur semula selepas layu diuji kemarau musibah dan api curiga.
Akan tetapi cinta mereka tidak subur lama. Ibarat langit tidak panas sentiasa. Zikri yang cemburu enggan pula berdiam diri. Dalam senyap dan senyum manis, lelaki itu merancang agenda. Jerangkap samar dipasang lengkap berstrategi bagi memastikan pelanduk dijerat bakal mengena. Lalu, ibu yang tidak mengerti apa-apa, akhirnya menjadi mangsa tipu daya seorang lelaki licik seperti Zikri.
Sewaktu berlangsungnya sebuah majlis keraian, ibu diberi minuman yang mengandungi ubat tidur. Matanya tiba-tiba menjadi tersangat letih lalu dia terus terlena tanpa sedarkan diri. Apabila terjaga, ibu dapati dirinya sedang terbaring di atas katil dalam sebuah bilik hotel, dan di sampingnya ada seorang lelaki sedang duduk menemani, dan itulah dia Zikri yang tidak berpakaian. Belum sempat ibu hendak berbuat apa-apa, pegawai pencegah maksiat tiba-tiba datang membuat serbuan. Tertangkaplah ibu tanpa rela bersama seorang lelaki yang tidak pernah dicintainya. Demi melindungi maruah keluarga, Zikri dan ibu terpaksa diijabkabulkan, dan melalui khabar-khabar yang sampai ke pendengaran ibu, tahulah ibu bahawa inilah cara kotor Zikri untuk mencapai hasrat di hati.
Berkecailah impian ibu untuk membina istana bahagia bersama Azizi. Hancurlah ia bersama hancurnya hati Azizi melihat ibu jatuh ke tangan teman sendiri. Azizi pergi sebelum sempat ibu membela diri. Tuduhan Azizi bahawa ibu sememangnya wanita curangan tidak sempat ibu bersihkan sebagaimana berita kandungannya yang baru terbentuk tidak sempat hendak dia sampaikan. Hilanglah Azizi ke luar negeri dan ibu tertinggal di sini bersama juraian air mata.
Takkan mungkin hilang benci ibu kepada Zikri. Takkan mungkin luput dendam ibu kepada Zikri. Sebagai menggantikan apa yang telah dia kehilangan, Zikri tidak pernah diizinkan menyentuh dirinya, apalagi tidur sekatil dengannya. Biarpun zahir bagai suami isteri, namun hakikatnya adalah minyak dan api. Biar zahir bagai keluarga, namun hakikatnya adalah seteru yang mustahil untuk didamaikan. Ibu masih cintakan Azizi dan ibu menunggu kepulangannya supaya dapat dia menjelaskan segala-galanya.
Lima belas tahun berlalu dan keadaan masih juga begitu. Dendam tetap dendam. Benci tetap benci. Natijahnya, Nurul tersepit antara dua benua. Gelora yang melanda menjadikan Nurul lebih cepat matang dari teman seusia. Hari ini, malam ini, setelah hujan kian reda, terjawab akhirnya segala kekeliruan dirinya apabila ibu mula membuat pengakuan.
“Jadi ibu harap Nurul mengerti kenapa ibu buat semua ini..” ucap ibu selepas ombak sedihnya agak reda. “Ibu buat semua ini untuk kebaikan Nurul.. ibu tak mahu Nurul dicederakan oleh lelaki yang jahat seperti Zikri..”
“Hidup ibu dengan ayah begitu derita.. mengapa ibu tak minta cerai sahaja? Bukankah itu lebih baik?” usul Nurul sejenak, memberikan pendapatnya.
Ibu tersenyum pahit mendengar. Ibu seka air matanya. Dia pandang dalam-dalam ke wajah anaknya.
“Ibu tak mungkin melakukan sedemikian sebab ibu tak mahu Nurul membesar sebagai anak yang tidak berayah.. Ibu tak mahu Nurul malu hendak bergaul dengan kawan-kawan sekiranya Nurul tahu yang diri Nurul adalah anak luar nikah..”
“Jadi, ibu hanya menggunakan ayah untuk perkara ini?”
Ibu senyum lagi. Seolah mengerti apa yang sedang Nurul fikirkan.
“Nurul, ayah kamu juga pernah mempergunakan ibu..”
Giliran Nurul pula untuk memberikan senyuman. Namun senyumannya sinis.
“Nurul terharu dengan pengorbanan ibu ke atas Nurul jika ibu benar-benar memaksudkannya..” ucap Nurul. “Tapi Nurul rasa ibu melakukannya bukan untuk Nurul. Ibu melakukannya hanya untuk menutup aib ibu sendiri supaya masyarakat tak mengetahui yang ibu pernah bersekedudukan dengan seorang lelaki di luar nikah..”
“Nurul!” ibu terjerit kecil. “Tergamak Nurul tuduh ibu sedemikian rupa…”
“Biar sebesar manapun dosa ayah.. dia tetap suami ibu.. dan ibu adalah isterinya.. ibu tetap berkewajipan sebagai seorang isteri kepada ayah..”
“Nurul, Nurul tak mengerti perasaan ibu..”
“Nurul minta maaf..” Nurul menghentikan kata-katanya di situ. Dia bangkit dari atas sofa. Dia memandang sekujur tubuh ibunya yang terhenyak menunduk. Dia mahu berlalu tetapi dilihatnya, kurang dua depa dari tempat dia berdiri, ayah sedang memerhati di sebalik ruang terbuka yang memisahkan antara ruang tamu dan meja makan. Ayah sudah lama pulang dan tidak dapat dipastikan sudah berapa lama ayah berdiri di situ. Namun, dari riak wajah ayah, Nurul dapat menduga bahawa ayah telah mendengar segala perbualan mereka tadi.
“Ayah..” Nurul tidak tahu apa yang hendak dikatakan.
Ibu mengangkat kepala memandang ayah tetapi cepat-cepat berpaling ke arah lain.
“Ayah dah lama pulang?” sapa Nurul, cuba mengukir senyuman.
Angguk dan tersenyum. Sebentar, kelibat ayah berlalu, menghilang ke atas. Nurul menarik nafas lega. Ditinggalkan ibunya sendirian, dia turut naik ke atas untuk membersihkan diri.