“KAU dah buang tebiat?! Yang kau pandai-pandai buat keputusan sendiri tu kenapa?” Perempuan tua itu membentak. Fariz masih terdiam. Sesekali terdengar desahan nafasnya menahan sabar. Sesungguhnya penjelasan yang diberikan sebentar tadi bukanlah bertujuan untuk mengundang rasa marah sesiapa. Niatnya untuk mendapat kerjasama dari semua, merungkai masalah yang ada dan meringankan tanggungjawab yang dipikul.
“Ida! Itu kan anak dia! Fariz berhak buat keputusan untuk kebahagiaan Is.” Marah Azri pula. Zahidah mengetap bibir. Kedua belah tangannya kemas memeluk tubuh. Wajahnya sejak dari tadi mencuka. Sungguh tidak menyetujui keputusan Fariz itu.
“Yelah tu! Bila dah tengadah baru nak ingat kat mak bapak. Bila senang, bukannya nak ingat kat keluarga. Entah apalah si Irah tu akan buat lagi nanti. Entah-entah dibawaknya Is tu lari, barulah engkau melalak tak berlagu! Cakap emak kau tak nak dengar. Semua tak betul! Semua tak kena!” Tubuhnya dihenyakkan ke sofa. Sakit hati betul!
“Mak! Irah pun sebahagian dari keluarga ni. Memang dia bukan isteri Fariz lagi. Tapi dia ibu Is. Tak kira apa sekalipun, dia tetap ibu kandung Is. Fariz rasa tak salah kalau kami sama-sama besarkan Is. Kami berdua sayangkan Is. Dan kami juga sama-sama berhak ke atas Is. Tolonglah faham mak. Fariz dah fikir semasak-masaknya. Cubalah bertolak-ansur. Janganlah bersikap macam ni. Tak baik untuk kesihatan mak sendiri.” Lelaki itu cuba menasihati ibunya. Apa yang diminta cuma sedikit. Sekadar hanya supaya kehadiran Irah dapat diterima oleh keluarga itu apabila menemui Is. Fariz telah bersetuju supaya Irah dapat melawat Is pada bila-bila masa. Dan setiap hujung minggu pula dia akan menghantar Is ke rumah Pakcik Rafiq sekiranya Irah pulang dari kampus. Pada hujung minggu Is akan ditinggalkan bermalam di sana untuk bersama bekas isterinya.
“Kalau kau betul sayangkan mak, jangan pandai-pandai nak dekatkan Is dengan si Irah tu! Perempuan macam tu bukannya boleh jadi ibu. Ada dia datang menjenguk anak dia selama ni? Sakit perit anak ada ke dia ambil tahu? Huh! Kalau sayang, tak adanya dia nak lepaskan anak dia macam tu aje dulu. Perempuan macam dia tak layak jadi ibu!” Marah Zahidah lagi.
“Ida! Bawak mengucap sikit! Awak sedar ke apa awak cakap tu? Awak jangan melampau. Ini hal rumah tangga anak kita. Dia dah besar. Pandailah dia pikul tanggungjawab dia sendiri. Apa sekalipun, Irah berhak membesarkan Fariz. Awak sebagai seorang ibu sepatutnya faham perasaan wanita lain yang bergelar ibu. Bukannya terus membenci dan meletakkan kesalahan ke atas seseorang tanpa mengetahui sebab-musababnya. Awak fikir kalau dengan sikap prejudis awak tu, Irah nak ke datang tengok anak dia? Mengadap perangai awak yang macam ni pun saya sendiri jadi sakit hati.” Tegur suaminya.
“Abang senanglah cakap! Abang lupa ke apa dia tuduh keluarga kita dulu? Apa dia kata Ida ni bang? Telinga Ida ni belum pekak lagi bang. Ida ingat setiap patah perkataan yang pernah dia kata kat Ida, bang! Ida tak pernah lupa! Dia memang melampau!” Zahidah menggerutu.
“Kata-kata dia pada awak, awak ingat. Habis, segala caci-maki awak pada dia dulu tu macam mana? Cuba letakkan diri awak di situasi dia. Awak bukan sahaja pernah jatuhkan maruah dia di khalayak ramai Ida. Tak cukup dengan itu awak tampar dia. Awak malukan dia Ida. Itu awak tak fikir ke?” Sinis suara Azri. Zahidah menarik muka. Air liur ditelan. Peristiwa lama yang diungkit kembali mengundang rasa tidak senang.
“Itu hal lama! Salah faham aje. Lagipun Ida dah minta maaf fasal tu!” Bidasnya.
“Ohh...., jadi maaf awak jelah yang ada harga. Maaf Irah pulak macam mana?” Tingkah Azri pula.
“Tapi dia bersalah pada Fariz! Dia bersalah pada anak dia! Dia .....,”
“Kalau dia pernah melakukan kesalahan tak bermakna dia tak boleh dimaafkan Ida. Awak cepat sangat melenting dan sensitif. Sepatutnya sebagai seorang mertua dan orang yang lebih tua awak bertolak ansur dengan anak-anak. Dia kahwin masa usia muda. Masih belasan tahun. Apalah yang dia tahu tentang hal rumahtangga masa tu. Sepatutnya awak mengajar Irah, bukannya bergaduh dengan dia. Sekurang-kurangnya fikirkanlah demi cucu kita tu. Fariz boleh kahwin lain dan carikan ibu pengganti kepada Is. Tapi sama ke? Kalau Ida sendiri abang pisahkan dengan anak-anak apa Ida rasa? Jangan fikirkan diri sendiri aje. Cuba letakkan diri kita kat tempat orang yang mengalami. Apa dia rasa? Apa yang dia alami? Hal yang lama lupakan jelah Ida. Tak guna kalau terus berdendam begini.” Pujuk Azri. Mulut isterinya bagaikan terkunci. Terdiam tanpa kata.
“Anim pula macam mana?” Soal Fariz.
“Terpulang pada abang. Abang sendiri dah buat keputusan. Apapun implikasinya nanti, abanglah tanggung. Anim dah penat dengan hal ni semua. Anim tak nak masuk campur. Suka hatilah nak buat apa pun!” Anim yang dari tadi membisu terus berlalu, enggan melibatkan diri dalam hal tersebut walhal di hatinya masih tekesan rasa marah dan benci atas perbuatan Irah yang mengabaikan anak sendiri.
“Fariz harap terimalah kehadiran Irah bila dia datang ke mari. Jangan pula dikata yang bukan-bukan. Yang lepas tu lepaslah. Fariz dah berbincang elok-elok dengan dia. Susah-payah kami capai persetujuan demi kebahagian Is. Fariz buat ini semua untuk Is juga. Fariz tak mahu akan datang dia terkilan kerana tidak dapat kasih-sayang ibunya sendiri.” Hela Fariz.
“Dahlah Ida. Pergi naik atas, ambil air sembahyang banyak-banyak. Istighfar banyak-banyak. Jangan diturutkan rasa marah tu. Fariz, tunggu sekejap. Abah nak cakap sikit.” Zahidah mahu bersuara. Marahnya masih belum habis. Namun, jelingan suaminya sudah cukup memberi kesan. Mahu tidak mahu terpaksa juga dia berlalu ke tingkat atas.
“Abah bukan tak setuju dengan keputusan Fariz. Baguslah kalau Fariz berfikir sedemikian. Kasih sayang ibu juga penting bagi seorang anak. Tapi, kalau berterusan berulang-alik setiap minggu begitu, tak ke mengganggu kerja Fariz? Fariz sibuk di pejabat. Irah pula sedang belajar. Bukan perkara mudah untuk membesarkan anak dalam keadaan jarak berjauhan begini. Lainlah kalau Fariz ada rancangan lain.” Azri mula bersuara sebaik kelibat isterinya menghilang. Fariz mengangkat kening. Tidak faham dengan ayat terakhir yang disampaikan oleh ayahnya.
“Apa maksud ayah? Fariz tak faham.”
“Fariz tak terfikir ke nak berbaik semula dengan Irah. Maksud ayah kahwin semula dengan Irah?” Duga Azri. Anak mudanya tersentak. Kahwin semula? Dengan Irah? Dia termenung, agak lama. Bagaimana harus dijawab soalan itu? Lama dia berfikir sebelum bersuara semula.
“Abah, Irah tu susah dijangka. Abah pun tahu apa yang berlaku antara Fariz dan dia. Fariz sendiri tak ingin semua ni terjadi. Tapi, dia sendiri yang ingin bebas.” Azri menggelengkan kepala mendengarkan jawapan anaknya itu. Kau masih terlalu mentah Fariz! Banyak lagi yang perlu kau pelajari dalam hidup ini! Bisik hatinya.
“Fariz. Kamu seorang lelaki. Tanggungjawab kamu adalah sangat berat. Jangan ambil mudah semuanya hanya kerana kamu dah bercerai. Kamu ingat dengan melepaskan Irah begitu, tanggungjawab kamu dah selesai? Bagaimana dengan anak Fariz nanti? Mungkin sekarang dia masih kecil, tidak tahu apa-apa. Bagaimana bila dia besar kelak nanti? Dia akan bertanya kenapa keluarganya tidak seperti keluarga orang lain. Kenapa ibu dan bapanya tidak tinggal bersama. Tidak terfikirkah tekanan yang bakal dia hadapi nanti? Abah sama sekali tidak setuju bila kamu kata nak bercerai dulu. Besar akibatnya nanti, bukan terhadap anak Fariz sahaja, malahan seluruh ahli keluarga. Fariz lupakah pada Lydia? Apa yang pernah dia alami? Fariz mahu perkara yang sma berlaku pada Is?” Panjang lebar nasihat Azri pada anaknya.
Fariz bungkam. Kata-kata itu benar-benar menusuk ke dalam jiwa ibarat panah yang dilepaskan tepat ke busarnya. Seketika kenangan bersama Lydia, anak tirinya yang kini jauh di Sarawak menjelma semua di ingatan. Masih diingati tika di awal perkahwinannya dahulu bersama arwah Julia. Bukan mudah untuk menawan hati anak kecil itu untuk menerimanya sebagai seorang bapa. Betapa saban hari panggilan papa meniti di bibir Lydia yang rindukan belaian ayah kandungnya, Kamarul Ariffin!
Dia juga rindukan Lydia. Anak tiri yang sudah beberapa tahun tidak ditemui. Namun, hubungan mereka tidak pernah putus begitu sahaja. Seringkali dia berhubung dengan Lydia menerusi Internet atau telefon. Jarak berjauhan bukan lagi menjadi satu batasan untuk menyatukan satu hubungan.
Fariz tunduk sendiri. Ada benarnya kata-kata Azri itu. Is juga memerlukan Irah dan sebaliknya. Dia mahukan Is sebagaimana Irah juga. Tegarkan keegoan keduanya bilamana masing-masing sendiri inginkan anak kecil yang amat dikasihi?
“Fikirkanlah baik-baik cadangan abah Fariz. Ini untuk masa depan kamu, anak kamu dan Irah. Jangan hanya pentingkan diri sendiri. Ini melibatkan tiga hidup Fariz. Cubalah berbincang sebaiknya dengan Irah. Kamu sama-sama mahukan Is. Jangan sampai satu ketika nanti kamu berebut anak di Mahkamah. Abah tidak mahu sesiapa merana. Tak terfikirkah penderitaan Irah berpisah dengan Is? Is perlukan kamu berdua. Fikirkanlah sebaik-baiknya Fariz.” Kata-kata itu umpama air terjun yang laju menyirami londang di dalam hatinya. Dan Fariz tidak punya jawapan yang nyata. Alahai lelaki!
--------------------- sedutan episod ke 16 -----------------------------------
“Irah tak tidur lagi?” Hampir terlepas gelas di tangan bila ada satu suara menegur. Irah mengurut dada bila melihatkan Hadi yang sudah masuk ke ruang dapur.
“Awak ni kan, suka buat saya terkejut tau! Selalu sangat muncul tiba-tiba. Nasib baik tak pecah gelas ni!” Irah mengawal rasa marahnya. Lelaki itu tersenyum.